Search This Blog

HOME

Saturday, April 5, 2014

Kerana telefon pintar, anak bunuh ibu

Sebab telefon anak kelar ibu........ gambar hiasan
MIRI: Pertengkaran seorang ibu dan anak lelakinya yang dikatakan berkaitan pembelian telefon pintar di sini, malam Jumaat berakhir dengan tragedi apabila wanita itu mati dikelar anak sulungnya itu petang Sabtu.

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata polis menahan remaja berusia 18 tahun itu pada 4.30 petang untuk membantu siasatan selepas menemui mayat wanita berusia 43 tahun itu di dalam keretanya di tempat letak kereta berhampiran sebuah gelanggang tenis di sini pada 3 petang.

Beliau berkata mayat Marife Resuello Wong, seorang warga Filipina, didapati mempunyai kesan kelar di leher.

Polis turut menemui pisau pemotong sayur yang disyaki digunakan untuk membunuh Marife di dalam kereta itu.

"Pisau ini mempunyai kesan darah. Ia dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa dan selepas itu, dia melarikan diri dari tempat kejadian," katanya di sini.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek duduk di bahagian belakang kerusi pemandu dan dia bertindak demikian kerana tidak tahan dengan leteran ibunya.

Gan berkata polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya pada Ahad.

"Polis menganggap kes bunuh ini selesai...pertengkaran wanita dan anak lelakinya dari malam tadi berpunca daripada masalah keluarga," katanya.

Gan tidak menjelaskan secara terperinci masalah keluarga itu tetapi Bernama difahamkan ia berpunca daripada keengganan ibu suspek membeli telefon pintar untuk anak lelakinya yang tidak bekerja itu.

Mangsa berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Sumber - mStar

AirAsia Perlu Pindah Ke KLIA2 9 Mei Ini - PM




HANOI: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia perlu berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seperti yang telah dijadualkan iaitu pada 9 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung perpindahan itu.

"Sebagai sebuah kerajaan kita perlu meneliti apa sebab kalau ada perkara yang mereka (AirAsia) fikir keberatan untuk berpindah tetapi yang saya mahu tekankan adalah dialog mereka dengan pihak kerajaan iaitu MAHB untuk mencari penyelesaian di atas kepentingan bersama.

"Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu dilihat macam 'arrogant statement' (kenyataan berbaur angkuh) tapi kalau mereka kata mereka ada sebab dan mereka mahu berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu adalah lebih sesuai lagi," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain-pemain industri Malaysia dan Vietnam, di sini Sabtu.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam yang berakhir hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan syarikat penerbangan itu baru-baru ini yang enggan berpindah ke KLIA2 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), ekoran kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.

Perdana Menteri berkata sepatutnya syarikat itu perlu mengemukakan sebarang kemusykilan dan masalah mereka tentang perpindahan itu pada peringkat awal dan bukannya pada peringkat yang mana KLIA2 sudah siap.

"Sekarang KLIA2 dah hampir siap, kita tidak boleh berpatah balik dan mereka (AirAsia) tidak boleh mengatakan 'kita tidak mahu berpindah' kerana mereka perlu berpindah ke sana," katanya.

Najib berkata kerajaan telah pun melantik jururunding bebas iaitu Ikram Premier Consulting untuk menilai tahap keselamatan KLIA2, dan apabila jururunding berkenaan telah membuat keputusan secara objektif, maka semua pihak perlu menerima.


Sumber - mStar

MH370: Kapal Peronda China Kesan Isyarat Di Kawasan Pencarian

Sebuah kapal peronda China berjaya mengesan satu isyarat di selatan Lautan Hindi.

BEIJING: Sebuah kapal peronda China, Haixun 01, yang menyertai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut agensi berita itu, isyarat itu dikesan pada  frekuensi 37.5 kilohertz (kHz) sesaat.

"Alat pengesan kotak hitam yang digunakan oleh Haixun 01 mengesan isyarat detik itu kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longtitud timur.

"Tetapi belum dapat dipastikan sama ada ia berkaitan pesawat yang hilang," kata Xinhua dalam laporan dua perenggan itu.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston berkata, beliau masih belum menerim laporan berhubung isyarat dan memberi amaran bahawa ia mungkin bukan dari MH370.

"Ini bukan kali pertama kita menjumpai petunjuk tetapi akhirnya ia bertukar menjadi sesuatu yang mengecewakan.

"Saya hanya akan menunggu (Ketua JACC) Angus (Houston) dan pasukannya dan juga pasukan saya untuk tampil dengan sesuatu yang positif kerana tugas ini amat sukar," katanya kepada stesen televisyen ABC.

Agensi berita itu turut melaporkan sebuah pesawat tentera udara China ternampak beberapa objek berwarna putih terapung di kawasan pencarian pada Sabtu.

Pesawat itu turut merakam gambar objek tersebut selama 20 minit selepas ia dijumpai pada pukul 11.05 pagi waktu tempatan.

Seorang juruterbang warga Australia yang berada dalam pesawat itu melaporkan maklumat itu kepada Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang menyelaras operasi mencari pelbagai negara di selatan Lautan Hindi.

Pesawat itu yang berlepas pada pukul 6.04 pagi, merupakan yang pertama meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Perth pada Sabtu untuk operasi mencari pesawat MH370.

Ia tiba di kawasan pencarian, kira-kira 2,700 kilometer dari Perth, pada pukul 9.55 pagi.

Misi pencarian sukar akibat keadaan cuaca yang mendung dan gelombang setinggi satu hingga dua meter.

Pesawat itu kembali ke lapangan terbang kira-kira pukul 2.20 petang.

Sumber - mStar



AIRASIA APA YANG ANDA MAHU DAN SIAPA ANDA SEBENARNYA?

Syarikat penerbangan AirAsia tak habis-habis buat hal

Mula-mula kelantangan kakitangannya tertingginya yang berkepala botak apabila mengutuk akhbar Utusan Malaysia, lepas itu isu menyindir nasi lemak MAS, tak reda lagi satu lagi isu timbul apabila mereka menghina pulak para jururawat dan mereka timbulkan satu lagi isu apabila mengeluarkan kenyataan enggan berpindah ke KLIA 2 dan yang terbaru sekali lagi menghina syarikat penerbangan kepunyaan negara, MAS.


Walaupun anda sudah meminta maaf tetapi ‘kerosakan telahpun berlaku’, anda terlalu sombong dengan kejayaan anda, tetapi kena ingat ‘roda akan tetap berpusing’ yang duduk diatas roda itu akan tetap kebawah diamnya............ bacalah permohonan maaf AirAsia dibawah.

Sindir MAS
PETALING JAYA: AirAsia telah membuat permohonan maaf berhubung artikel yang disiarkan oleh majalah dalam penerbangan, 3sixty edisi April yang dilihat seolah-olah menyindir kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Iklan menghina jururawat
Penghinaan yang terbaru dari AirAsia
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata artikel itu dicetak sebelum kejadian tragis itu berlaku, tetapi majalah itu akan dihapuskan serta-merta dari semua penerbangan pesawat AirAsia.

"Dengan rasa kesal yang mendalam dan penyesalan saya ingin memohon maaf di atas sebarang kesalahan artikel dari perspektif juruterbang dalam terbitan terbaharu majalah pelancongan 3Sixty," katanya.

Kamarudin yang juga penerbit majalah itu berkata mereka telah menangani isu ini untuk memastikan bahawa ia tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

"Tindakan disiplin juga akan diambil terhadap pasukan editorial," katanya.

Artikel ini telah menyebabkan kemarahan pengguna-pengguna internet dan laman sosial tidak lama selepas gambar artikel majalah syarikat penerbangan bajet itu tersebar di ruang siber malam Jumaat.

Artikel ini menyiarkan tentang sistem GPS yang digunakan dalam navigasi penerbangan dan termasuk insiden lalu di mana juruterbang telah mendarat di lapangan terbang yang salah.

Gambar yang tersebar juga menunjukkan ayat: "Latihan dan Persediaan- Di Air Asia latihan juruterbang adalah berterusan dan sangat teliti.

"Yakinlah bahawa kapten anda bersedia sepenuhnya untuk memastikan pesawat anda tidak tersasar. Selamat terbang."

Kamarudin menjelaskan seksyen itu memuatkan artikel untuk ruangan penerbangan bulanan yang ditulis oleh Kapten Lim Khoy Hing, juruterbang bersara yang sebelum ini berkhidmat dengan AirAsia dan Malaysia Airlines.

Katanya, sebagai penyumbang artikel bulanan Kapten Lim menyediakan semua artikel beliau terlebih dahulu sebelum majalah siap dicetak.

"Secara tidak sengaja dan malangnya, isu semasa tentang GPS dan radar itu itu turut dibincangkan artikel dalam majalah yang telah dicetak sebulan sebelum tarikh terbitan.

"Ini adalah masa yang benar-benar sukar bagi negara dan kata-kata tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan saya secara peribadi terhadap kejadian ini.

Dalam reaksi segera, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, tweeted, "Sebaik sahaja kami diberitahu di Twitter, kami segera menarik balik majalah. Kami meminta maaf sekali lagi. Ia menjadi saat-saat yang sukar bagi semua dalam industri".


Sumber - mStar

Pawagam terkenal tapi kaki wanita digigit tikus ketika menonton di Pawagam Mid Valley

Mangsa tikus di Pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) di Mid Valley

PETALING JAYA: Melakukan aktiviti luar bersama keluarga pada waktu malam bertukar tragis selepas kaki Chrisanne Chin digigit tikus semasa dia sedang menonton filem di pawagam Golden Screen Cinemas ( GSC) Mid Valley pada Rabu.

Moderator Belia dan ahli eksekutif Majlis Gereja Malaysia (CCM) itu merasakan sesuatu yang tajam di kakinya dan terus menjerit kesakitan ketika menonton filem di pawagam.

Apabila lampu dibuka dia terkejut melihat darah meleleh di kakinya.

"Sebaik sahaja ia berlaku, kami terus menemui kakitangan dan mereka membawa kit bantuan kecemasan untuk membersihkan luka. Saya juga membuat aduan rasmi dengan GSC. Pihak pengurusan juga membayar balik tiket wayang kami.

"Gigitan tikus adalah berbahaya kerana air liur atau lendirnya boleh membawa maut, seperti mana air kencingnya.

"Mereka memberitahu saya supaya menghantar bil perubatan saya kepada mereka," kata Chin yang juga membuat ulasan filem untuk laman web pangkalan data Filem dan TV, Rotten Tomatoes.

Chin berkata ini adalah isu yang serius dan GSC harus memberi perhatian dalam perkara ini.

"Kesihatan dan keselamatan awam adalah paling utama bagi mana-mana cawangan. Kejadian ini sangat mengecewakan bagi saya sebagai pelanggan tetap GSC yang meminati filem dan menulis ulasan filem adalah salah satu daripada hobi kegemaran saya.

"Saya rasa Malaysia adalah pasaran filem yang besar dan semakin meningkat dan saya percaya GSC tidak perlu hanya melihat untuk mengaut keuntungan sahaja tetapi juga memikul tanggungjawab korporat ke arah memastikan keselamatan dan kesihatan awam.

"Kami hanya mahu pawagam yang bersih dan saya berharap GSC mengambil tindakan serius sebelum lebih ramai orang tercedera," katanya.

Chin menyiarkan gambar kaki berbalut dan ia telah tersebar di Facebook. Sehingga Sabtu, 661 orang berkongsi gambar ini di Facebook.

GSC sejak secara terbuka memohon maaf di laman Facebook mereka dan mereka sudah menghubungi pakar dan pihak berkaitan mengenai perkara ini.


Sumber - mStar

Friday, April 4, 2014

Sekadar ingatan, sendiri mahu ingat dan tolong ingatkan kepada yang lain-lain........


Besar atau kecil, cantik atau buruk ada kolam renang atau takde........... bila dah sampai ajal akan kedalam tu jugak tempat simpannya.......... sendiri mahu ingat, sekadar ingatan dan tolong ingatkan kepada yang lain-lain.

Wednesday, April 2, 2014

Kelebihan orang yang mati Syahid

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. - Surah Ali-Imran : 169-170

Orang yang mati syahid atau syuhada' ialah mereka yang ikhlas berperang dengan orang-orang kafir untuk membela agama Islam, lalu dia terbunuh dalam peperangan itu. Demikian juga orang yang terluka dalam peperangan tersebut lalu dia mati (di luar peperangan) hasil akibat luka tersebut, juga dianggap syahid sebagaimana orang yang terbunuh dalam peperangan.

Golongan inilah yang dimaksudkan di dalam Firman Allah dan Hadis Nabi saw. yang dinyatakan di bawah :

Dari al-Miqdam Ibn Ma’di Karib, Nabi saw. bersabda, “Orang yang mati syahid di jalan Allah diberi 7 keistimewaan:

1. Diampuni dosanya ketika permulaan darahnya memancar keluar.

2. Dapat melihat tempat duduknya di Syurga,

3. Dihiasi dengan perhiasan iman,

4. Akan ditemani 72 bidadari syurga,

5. Diamankan dari azab kubur,

6. Diamankan dari goncangan dahsyat hari qiamat, 

7. Dipakaikan mahkota kehormatan di atas kepalanya di mana satu permata daripadanya adalah lebih baik daripada dunia dengan segala isinya serta dapat memberi syafaat kepada 70 orang dari kalangan ahli keluarganya.” (HR. Ahmad, Tirmidzi dan Baihaqi. Shahih al-Jami’: 5182)

Dari Jabir, dia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah saw. mengumpulkan dua orang lelaki di antara orang-orang yang gugur dalam perang Uhud dalam satu kain. Lalu baginda bersabda, ‘Siapakah di antara mereka yang paling banyak menghafal al-Quran?’ Apabila baginda ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, lalu baginda mendahulukannya ke dalam liang lahad. Baginda bersabda, “Aku adalah saksi bagi mereka” dan baginda memerintahkan dikebumian mereka dengan darah mereka. Mereka tidak disolatkan dan tidak dimandikan”.  (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda tentang orang-orang yang terbunuh dalam perang Uhud,  “Selimutilah mereka dengan darah mereka dan janganlah kalian memandikan mereka kerana tidak ada seorang pun yang terluka di jalan Allah kecuali dia akan datang padahari kiamat dalam keadaan darahnya mengalir berwarna darah sedangkan baunya adalah bau kasturi”.  (HR. An-Nasa’i)

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorang pun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia ingin syahid di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang mati syahid itu tidak menderita kesakitan ketika terbunuh, melainkan hanya seperti seseorang di antara kamu terkena gigitan semut.” (HR Tirmidzi)

Rasulullah saw. bersabda, "Sesiapa menginginkan mati syahid dengan sebenarnya, nescaya Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia mati di tempat tidurnya." (HR Muslim).

Wallahu a'lam.