Search This Blog

HOME

Thursday, July 24, 2014

Misteri Mayat Dililit Ular Akhirnya Terjawab.

Seekor ular sawa kelihatan sedang melingkar disisi 'mayat'

PETALING JAYA: Stesen televisyen saluran Astro Oasis mengesahkan beberapa gambar jenazah dililit seekor ular yang tersebar dan menimbulkan kekecohan masyarakat merupakan salah satu babak dalam drama Tanah Kubur: Kutuk Azan.

Pengurus saluran itu, Namanzee Harris berkata, gambar tersebut diambil oleh salah seorang krew produksi untuk simpanan pihak Astro, bagaimanapun ia tersebar di laman-laman blog dengan pelbagai cerita yang menimbulkan kerisauan orang ramai.


"Ya, itu merupakan salah satu babak dalam drama Tanah Kubur bagi episod Kutuk Azan, saya juga tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar di internet kerana drama itu belum lagi ditayangkan.

"Penggambaran dilakukan kira-kira tiga minggu lepas di Sungai Ijok, Selangor dan diarahkan oleh Rashid Sibir. Saya juga sudah minta pengesahan tentang gambar itu daripada pihak produksi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Bayi Antara 15 Maut Dalam Serangan Israel Ke Atas Sekolah Di Gaza

Seorang lelaki rakyat Palestin membawa mayat seorang bayi berusia setahun yang merupakan antara 15 terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Beit Hanoun di utara Gaza pada Khamis. Foto AP


BANDAR GAZA (Wilayah Palestin): Sekurang-kurangnya 15 orang termasuk seorang bayi terbunuh apabila sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang Israel di utara Gaza pada Khamis.

Jurucakap perkhimatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, jumlah kematian boleh mencecah sehingga 15 orang dan lebih ramai yang cedera dalam kejadian itu.

Difahamkan, jumlah mereka yang cedera kira-kira 200 orang.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai mangsa serangan, tetapi seorang wartawan AFP yang berada dekat rumah mayat berkata, mayat-mayat yang tiba dari tempat kejadian termasuk seorang ibu dan bayinya yang berusia setahun.

Ia merupakan insiden terbaharu membabitkan serangan Israel yang menyasarkan sekolah dan hospital di wilayah Palestin, dengan jumlah kematian dalam serangan militan Gaza sejak 17 hari lalu mencecah lebih 770 orang.


Sementara itu, seorang pegawai PBB mengesahkan beberapa orang maut dan cedera di sekolah di Beit Hanun, yang digunakan sebagai pusat perlindungan beratus-ratus rakyat Palestin. - AFP

Pemain Kelab Bolasepak Israel, Maccabi Haifa diserang penonton semsa perlawanan persahabatan di Austria (Gambar & Video)

Maccabi Haifa terpaksa menghentikan aksi persahabatan di Austria selepas pemain mereka diserang penonton.

LONDON - Kelab bola sepak Israel, Maccabi Haifa mengharungi perlawanan pra-musim yang menakutkan di Austria semalam, apabila pemain-pemain mereka diserang oleh sekumpulan penonton yang melepaskan kemarahan ke atas keganasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin.


Dalam perlawanan tersebut, kelab Perancis, Lille sedang mendahului 2-0 sebelum permainan terpaksa dihentikan pada minit ke-86 selepas penonton memasuki padang dan mula menyepak serta menyerang pemain-pemain Maccabi.

Jurulatih Maccabi, Aleksander Stanojevic cuba melawan kumpulan penyokong tersebut, namun dia ditumbuk di muka semasa pergelutan berlaku.




Pihak keselamatan cuba untuk meleraikan kekecohan, sementara pemain Maccabi bertempiaran lari memasuki terowong menuju ke bilik persalinan mereka (Lihat video dibawah).


Perlawanan tersebut diadakan di Austria selepas Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) melarang Israel untuk menjadi tuan rumah sejak bulan lalu ekoran pergolakan yang berlaku di negara itu. - AGENSI

Wednesday, July 23, 2014

Rusia Ada Bukti Jet Ukraine Terbang Hampiri MH17


MOSCOW – Beberapa pegawai Rusia berkata, pihaknya mempunyai bukti yang menunjukkan jet pejuang Su-25 milik Ukraine terbang pada jarak hanya tiga hingga lima kilometer dari pesawat penerbangan Malaysia MH17.

“Jet pejuang ini dilengkapi roket R-60 yang mampu mencapai sasaran pada jarak 12 kilometer (km) dan dijamin mengenai sasaran pada jarak lima kilometer,” kata Ketua Staf Tentera Rusia, Leftenan Jeneral Andrei Kartopolov pada satu taklimat kepada pemberita di sini kelmarin.

Pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa Rusia tidak memberikan sistem peluru berpandu jenis darat ke udara Buk kepada kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Beliau mendakwa Boeing 777 itu telah mengurangkan tahap kelajuan tiga minit sebelum hilang dari radar dan terhempas di timur Ukraine.

“Pesawat telah mengurangkan kelajuan pada pukul 5.20 petang waktu tempatan sebelum hilang dari skrin radar pada pukul 5.23 petang,” kata Kartapolov yang memberitahu pesawat itu berada dalam koridor udara yang betul menuju ke Donetsk namun beralih arah ke utara.


Katanya, pesawat itu cuba untuk kembali ke koridor udara yang betul namun gagal sebelum disahkan terhempas dan mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal dalam penerbangan itu pada Khamis lalu. – Agensi

MH17: Hishamuddin Rais kaki kutuk PM hari ini puji PM dan kutuk pula Anwar

Hishamuddin Rais

Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdiplomasi dengan kumpulan pemisah Ukraine mendapat pujian ramai pihak.

Antaranya, bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya, Hishamuddin Rais yang sebelum ini sering mengkritik pentadbiran Najib dan Barisan Nasional (BN).

“Najib dilihat sebagai pemimpin dunia yang berjaya berunding dengan pemberontak,” katanya dalam satu SMS kepada Astro AWANI.

Hishamuddin turut mengkritik kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh Rusia membantu pemberontak di ukraine menembak penerbangan MH17.

“Anwar tanpa sebarang bukti menuduh Rusia membantu pemberontak di Ukraine menembak MH17. Dia salah. China, India, Jerman, Belgium dan lain-lain tidak membuat sebarang kenyataan.

“Persoalannya, siapa nasihatkan Anwar?” katanya.

Pendekatan diplomatik yang digunakan Perdana Menteri turut menerima pujian dari parti pembangkang DAP dan menyifatkan langkah yang diambil Najib adalah terbaik bagi menyelesaikan percanggahan mengenai MH17.


“DAP bersetuju dengan Najib bahawa di kawasan konflik dengan pihak berkuasa bertelagah, menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Rundingan PM Dengan Borodai Hanya Diketahui Orang Tertentu


KUALA LUMPUR: Ketika pemimpin Barat kian hebat menuding jari kepada kumpulan pemisah pro-Russia dan juga Moscow berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh, kerajaan Malaysia tidak banyak bersuara.

Sebab sikap berdiam diri ini yang menimbulkan kritikan di tanah air menjadi jelas hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan selepas tengah malam tadi bahawa kerajaannya sudah merundingkan pemulangan mayat hampir 300 mangsa Penerbangan MH17 dari wilayah yang dikuasai pemisah.

Najib yang berusaha menerusi orang tengah bagi menghubungi pemimpin pemberontak, Alexander Borodai, adalah pemain utama dalam mencapai persetujuan itu, menurut dua sumber di Malaysia yang mengetahui mengenai rundingan itu.

Rundingan itu tidak dihebahkan dan Najib hanya membabitkan beberapa orang kepercayaannya sahaja dalam usaha itu.

“Rundingan itu tidak dimulakan oleh Malaysia tetapi ia adalah projek Perdana Menteri,” kata satu daripada sumber itu.

“Beliau adalah pemain utama dan hanya membabitkan kalangan orang kepercayaannya. Malah beberapa penasihat rapatnya juga bukan sebahagian daripada mereka.”

Menerusi persetujuan itu, Malaysia akan menerima kotak hitam pesawat dan perakam data penerbangan yang berada dalam tangan pemberontak selepas ditemui di tapak pesawat itu terhempas di sempadan Russia.

Mayat mangsa pula akan dibawa keluar dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah supaya penyiasat antarabangsa dapat melakukan ujian DNA dengan selamat dan mengembalikan kepada keluarga.

Orang tengah yang sumber itu enggan nyatakan, mengatur sekurang-kurangnya satu perbincangan melalui telefon antara Najib dan Borodai menerusi penterjemah.

Malaysia mahukan tiga perkara daripada kumpulan pemisah: pemulangan mayat mangsa, penyerahan kotak hitam dan jaminan akses dengan selamat ke kawasan pesawat terhempas.

Menurut sumber kedua, pengikut Borodai mahukan dokumen yang ditandatangan yang memperakui bahawa kotak hitam itu tidak diusik.

Mereka juga mahukan penyerahan kotak hitam itu kepada pihak Malaysia kerana tidak mahu alat itu jatuh ke tangan kerajaan Ukraine.

Perakam suara dan data itu penting untuk penyiasat merumuskan apa yang menyebabkan pesawat berkenaan terhempas di timur Ukraine pada Khamis lalu semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Ketika rundingan mencapai kemajuan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan wakil syarikat penerbangan dan kerajaan terbang ke Kiev hujung minggu lalu.

Menurut sumber pertama, persetujuan asas dicapai semalam dan Najib kemudian memberitahu sekumpulan kecil pegawai bahawa persetujuan sudah dicapai.

Sidang media yang dijadualkan pada jam 5.30 petang dibatalkan secara tiba-tiba. Pada jam 10 malam, Najib menghimpunkan penasihat dan pegawai media di kediaman rasminya untuk satu taklimat.


Pengumuman dibuat sejurus selepas tengah malam. Menjelang pagi di Malaysia hari ini, kotak hitam berkenaan berada dalam tangan Malaysia dan kereta api yang membawa mayat mangsa bertolak keluar dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah. – Reuters

Orang Kaya Pun Mengemis Di Arab Saudi

Wang simpanan ada RM1.01 juta tapi masih mengemis
Yanbu (Arab Saudi) – Polis di sini semalam menangkap seorang lelaki Arab kerana mengemis walaupun dia mempunyai wang simpanan SR1.2 juta (RM1.01 juta) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mahal.

Polis berkata, lelaki itu yang namanya tidak disiarkan, warga negara Teluk, melawat Saudi dengan menggguna visa pelancong bersama-sama isteri dan tiga anaknya. Mereka didapati menginap di sebuah apartmen mewah di Yanbu, bandar di barat Saudi.

“Kami menemui sejumlah besar wang padanya dan resit deposit wang. Jumlah yang dimilikinya lebih SR1.2 juta (RM1.1 juta) dan sebuah kenderaan mahal.


“Kami juga mendapati dia tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah apartmen mewah. Dia ditangkap kerana mengemis di jalan raya,” kata jurucakap polis, Kolonel Fahd Al Ghannam. – AFP