Search This Blog

HOME

Wednesday, August 6, 2014

Dunia Artis Jadi Punca Johan As'ari Lupa Diri

Johan As'ari (kanan) akui lupa diri setelah bergelar pelakon
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari mendedahkan dunia artis yang diceburinya telah membawa kemudaratan sehingga menyebabkan dia lupa diri dan meninggalkan solat.

Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As'ari, 28, berkata, selepas drama pertamanya berjudul Juvana dan Cinta Elysa mendapat sambutan hangat daripada penonton, dia mula mengabaikan diri terhadap perintah Allah.

"Dahulu saya seorang yang cintakan ilmu dan sanggup menggambara ke Batam dan Jambi, Indonesia berbulan-bulan bagi mendalami pengetahuan Islam. Kemudian saya balik ke Malaysia dan belajar di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUiM) dalam jurusan kaunselor, selepas itu saya mendapat tawaran berlakon.

"Sekelip mata saya terus jadi popular yang saya langsung tidak pernah terfikir. Daripada situ saya sedikit demi sedikit berubah dan seronok dengan populariti yang saya kecapi hingga lupa untuk sembahyang dan berzikir yang dahulunya memang menjadi amalan saya," katanya dalam satu kiriman mesej menerusi apliaksi WhatsApp kepada mStar Online, pada Selasa.


Johan (kanan) dan Hisyam Hamid menjalani penggambaran di Krabi, Thailand.

Johan ketika ini berada di Krabi, Thailand kerana menjalani penggambaran drama bersiri Cintaku Di Krabi bersama pelakon Liyana Jasmay dan Hisyam Hamid.

Dalam pada itu kata Johan, kemewahan dan kehidupan dunia glamor yang diraihnya selama ini membuatkan jiwanya berasa kosong selain hati tidak tenang berbanding sebelum bergelar artis.


Bagaimanapun dia tiba-tiba didatangi perasaan insaf dan sedar terhadap kealpaan itu ketika menjalani penggambaran drama di Krabi yang mana ia itu turut dikongsi dalam Instagram miliknya pada pagi Selasa.

"Ya, pagi tadi (Selasa) saya benar-benar sedar dan menangis meminta keampunan daripada Allah S.W.T. Selama ini Allah banyak kali beri teguran melalui beberapa kejadian yang menimpa saya, namun hati saya sudah mati dan tidak menyedarinya.

"Alhamdulillah ketika bangun pagi tadi tiba-tiba saya rasakan taufik dan hidayah Allah meminta saya bertaubat untuk kembali ke jalanNya semula.

"Saya berniat untuk kembali semula untuk belajar seperti dahulu dan mendalami ilmu agama agar hati saya tidak tersasar," katanya.

Dalam pada itu, Johan berkata, dia tidak berniat untuk mengundurkan diri daripada dunia seni, sebaliknya berusaha untuk mengimbangkan antara kerjaya seninya dan tuntutan akhirat.


Sumber - mStar Online

Isteri Tak Muncul, Proses Sulh Awie & Rozana Gagal

Awie ditemani peguamnya, Mohd Hafizal Parcho ketika hadir ke mahkamah untuk proses Sulh (rundingan) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu. Isterinya, Rozana Misbun bagaimanapun gagal menghadirkan diri pada pertemuan itu. Foto SHAARI CHE MAT.
KUALA LUMPUR: Proses Sulh di antara vokalis kumpulan Wings, Awie dan isterinya, Rozana Misbun gagal selepas wanita berkenaan tidak hadir pada rundingan yang berlangsung di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar kegagalan isterinya itu hadir ke mahkamah dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi pesanan faksimili kepada peguamnya, Mohd Hafizal Parcho pada Selasa lalu.

"Saya tidak boleh komen apa-apa kerana dia (Rozana) tidak hadir dan tiada sebarang perbincangan berlaku dalam pejabat Sulh tadi.

"Saya sendiri tidak pasti puncanya mungkin dia 'datang bulan' kot," katanya kepada mStar Online ketika ditemui diperkarangan mahkamah.

Proses sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian, yang melibatkan satu atau lebih tuntutan dengan dikendalikan oleh pegawai sulh.

Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.

Rozana tidak hadir pada proses Sulh yang berlangsung di Pejabat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.
Dalam pada itu, peguam Awie, Mohd Hafizal memberitahu, rundingan tersebut sepatutnya diadakan bagi membincangkan mengenai soal hak penjagaan anak secara kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka.

Jelas Mohd Hafizal, ekoran kegagalan Rozana hadir pada rundingan tersebut, pihak mahkamah menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes berkenaan untuk dibicarakan.

"Rundingan pada hari ini sepatutnya berkenaan soal anak tetapi ia gagal kerana pihak defendan (Rozana) tidak menghadirkan diri tanpa memberikan sebab tertentu dan notis telah diberikan kepadanya pada 24 Julai lalu.

"Tidak akan ada kali kedua atau ketiga proses sulh dan kes berkenaan akan disebut di mahkamah pada 3 September," katanya.

Selain Awie selaku plaintif dan Mohd Hafizal, proses Sulh yang berlangsung selama 10 minit itu turut dihadiri oleh Pegawai Sulh, Surayah Ramli.

Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur.

Awie akan kembali ke mahkamah pada 3 September depan bagi mendengar sebutan kes hak penjagaan anak (hadanah) secara kekal selepas proses Sulh tidak berjaya.
Mahkamah turut membenarkan permohonan injunksi oleh Awie untuk menghalang Rozana, 36, daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.Sehubungan itu mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Rozana juga telah membuat tiga laporan polis di Balai Polis Daerah Brickfields berhubung kejadian yang berlaku keatasnya termasuklah ancaman halangan untuk berjumpa tiga anak kandungnya.


Sumber - mStar Online

7 Rakyat Malaysia Dikenal Pasti Dalam Video 'Sukan Bogel' - Polis

GEORGE TOWN: Polis mengenal pasti tujuh rakyat Malaysia yang merupakan antara peserta pesta 'sukan bogel', yang didakwa diadakan di Teluk Bahang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi pada Rabu berkata, seramai 15 peserta dilihat di dalam video yang bertajuk "Penang Nude Sport Games" (Pesta Sukan Bogel Pulau Pinang) di mana tujuh rakyat Malaysia, manakala empat lagi dari Singapura.

"Mereka yang lain adalah seorang dari Filipina, dua dari Myanmar, dan seorang dari India.

"Sembilan peserta adalah lelaki manakala enam lagi wanita," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata, polis turut merakamkan kenyataan 10 individu bagi membantu siasatan.

Video berkenaan tersebar selepas ia dimuat naik dua bulan lalu di laman perkongsian video Vimeo.


Sumber - mStar Online

PKR Berat Sebelah - PAS

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap mengamalkan dasar berat sebelah apabila menjadikan isu pembinaan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) sebagai alasan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PKR dan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) seharusnya turut mengecam tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 billion yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Prai.

Tambah beliau, lebih malang projek yang dibiayai sendiri kerajaan Pulau Pinang itu dianugerahkan kepada syarikat Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

"Saya pelik kenapa Tan Sri Khalid dibantai teruk kerana projek yang bukan dibawah bidang kuasanya. Namun dalam masa yang sama, tidak berlaku kepada kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng.

"Kerajaan Pulau Pinang tidak terikat dengan mana-mana pihak. Namun kenapa rundingan terus? Namun tindakan Guan Eng ini tidak langsung di kecam oleh pimpinan PR sepertimana Tan Sri Khalid dikecam dan didesak meletakkan jawatan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu timbul sehari selepas PKR membentangkan 'lima dalil' bagi menyokong keputusan parti itu untuk menggulingkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Selain isu Kidex, pendedahan utama berhubung dakwaan salah laku Abdul Khalid ialah membabitkan pelupusan hutang peribadinya sebanyak RM70 juta dengan Bank Islam yang dibuat secara mengejut serta menimbulkan 'keraguan munasabah'.

Selain itu menerusi kenyataannya bagi mempertahankan Abdul Khalid, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh sekali lagi membandingkan pentadbiran kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor.

"2014 adalah tahun ke enam kerajaan Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit dan yang terakhir bajet 2014 defisitnya adalah RM 255.44 juta.

"Apakah agaknya yang difikirkan Guan Eng sehingga berani berbelanja besar (projek terowong) dengan kewangan yang kritikal itu pada perkara yang tidak perlu? Dimanakah suara pimpinan PR dalam menegur sikap Guan Eng ini?" katanya.


Sumber - mStar Online

MB Selangor: Kecoh, Tiba-Tiba Azmin Dicalonkan

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
PETALING JAYA: Senario dalam bilik sidang media Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini berbeza, situasi tenang bertukar tegang seketika apabila wujud dua kenyataan bercanggah berhubung isu calon Menteri Besar Selangor.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bersama pimpinan peringkat pusat, negeri dan cabang Selangor menyatakan sokongan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan itu.

Namun, sebaik sahaja sidang media tamat, keadaan bertukar kecoh apabila satu kenyataan media yang kononnya dari Majlis Pimpinan Negeri Selangor mahu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dinamakan sebagai calon bagi mengisi kerusi panas itu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menafikan kenyataan bercanggah tersebut, namun tidak menolak keberangkalian wujud unsur sabotaj.

"Saya tidak tahu siapa yang edarkan kenyataan media itu. Setahu saya, semua pimpinan sebulat suara setuju dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk menamakan Wan Azizah.

"Kita akan siasat siapa perkara ini. Saya juga tidak menolak mungkin wujud unsur sabotaj untuk menimbulkan kekeliruan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di sini, Rabu.

Kenyataan bercanggah itu turut menyatakan Azmin layak dipertimbangkan sebagai calon kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran di peringkat Persekutuan dan juga negeri.

"Ketokohan dan pengalaman beliau selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Pengarah Pilihanraya Pusat dan Timbalan Presiden PKR melayakkan nama beliau diangkat bersama Wan Azizah untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar," demikian menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, ia  turut menyebut Azmin diyakini mampu mencorakkan hala tuju Pakatan Rakyat dan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Kami memerlukan seorang pemimpin yang lebih tangkas, berpengalaman luas dalam pentadbiran  dan pengurusan kerajaan, berhemah dalam pengurusan ekonomi serta mempunyai daya tahan untuk berdepan asakan parti lawan," menurut kenyataan itu.


Sumber - mStar Online

Bunuh Remaja: Rambo Bentong Dihukum Mati

Akhirnya ke tali gantung
TEMERLOH: 'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, antara 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang pada 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.


Sumber - mStar Online

MH17: 150 Mayat Sempurna, 300 Anggota Badan Dibedah Siasat

PUTRAJAYA: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) sudah menjalankan bedah siasat terhadap 150 mayat sempurna dan 300 pelbagai anggota badan tidak sempurna mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sehingga Selasa, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

"Daripada 226 keranda yang selesai dibuka ada 600 bahagian... pemeriksaan dibuat ke atas 450 bahagian iaitu 150 ialah mayat sempurna manakala 300 pula anggota pelbagai badan tidak sempurna," katanya.

Dr Subramaniam berkata, satu keranda yang baru tiba di Kem Tentera Hilversum, Amsterdam pada 4 Ogos, sedang dalam proses pemeriksaan bedah siasat.

"Jangkaannya dalam seminggu dua ini semua pemerikaaan (bedah siasat) siap dijalankan, selepas itu proses mengenal pasti (pemadanan) akan dijalankan daripada keputusan DNA yang kita hantar daripada ahli keluarga terdekat,” katanya.

Bercakap dalam sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca kementerian di sini, Rabu, beliau berkata, proses mengenal pasti mangsa mayat pula dijangka siap selewat-lewatnya dalam tiga minggu lagi.

Dr Subramaniam berkata, selepas segala proses rumit itu selesai, kerajaan akan membuat keputusan berhubung proses membawa balik mangsa mayat itu ke negara ini dengan mengambil kira pandangan waris mangsa.

"Sebab ada pelbagai pandangan, ada yang tidak mahu ianya dibawa balik, ada yang nak dibakar di situ dan ada juga yang mahu membawa balik secepat mungkin. Tiap-tiap pandangan akan diambil kira oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pasukan DVI Malaysia dan DVI antarabangsa berada dalam fasa pemadanan data pemeriksaan antemortem dan post mortem bagi tujuan pengesahan secara positif identiti mangsa.

Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.


Sumber - mStarOnline