Search This Blog

HOME

Tuesday, December 9, 2014

Penggodam Diminta 'Kembalikan' Facebook Aznil Nawawi.

 
SUBANG JAYA: Pengacara popular Datuk Aznil Nawawi meminta individu yang telah menggodam akaun Facebook miliknya kira-kira setahun lalu agar mengembalikan kata laluan kepadanya bagi membolehkan beliau menguruskan semula laman sosial berkenaan.

Aznil, 52, berkata, akaun Facebook tersebut mempunyai lebih 1.6 juta pengikut yang dikumpulkan sejak enam tahun lalu dan berasa sayang sekiranya ia dibiarkan begitu sahaja.

"Akaun Facebook itu saya daftar pada enam tahun lalu dimana ketika itu laman sosial tersebut belum popular lagi.

"Rasa sayang sangat apabila ia telah digodam kerana kebanyakan peminat saya berkumpul dan mengambil tahu mengenai perkembangan terkini saya menerusi Facebook berkenaan.

"Diharap individu tersebut dapat mengembalikan Facebook saya itu. Apatah lagi sehingga kini individu itu masih lagi memuat naik pelbagai status," katanya kepada mStar Online.

Aznil ditemui pada majlis pelancaran enam program kanak-kanak terbaharu Astro Ceria bersempena musim cuti persekolahan dalam satu majlis yang diadakan di restoran Fullhouse, Sunway Pyramid, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Aznil berharap agar peminat-peminat tidak percayakan setiap status yang dimuatnaik di akaun tersebut kerana ia adalah daripada orang lain.

Beliau juga terkejut, gara-gara salah satu status yang yang dimuat naik oleh penggodam berkenaan seperti 'ingin mencari bantal kekabu', peminatnya terus menghantar barangan tersebut ke pejabatnya di Astro.

"Kasihan pula apabila peminat ditipu dengan status-status yang dimuat naik itu. Terkejut dibuatnya  apabila bantal kekabu seperti yang 'diminta' itu sampai ke pajabat saya.

"Apa-apapun mujurlah individu itu tidak memuatnaik status-status atau berkongsi maklumat yang tidak senonoh," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aznil yang pernah mempopularkan program Tom Tom Bak sebelum ini  bakal muncul menerusi rancangan itu dalan dua episod khas yang dipanggil Tom Tom Bak All Stars.

Menerusi program berkenaan Azni akan bergandingan dengan pelawak Jehan Muse dengan mengumpulkan semula barisan kanak-kanak yang pernah terlibat dengan program tersebut.

"Selain itu, bagi mengikut perkembangan semasa, program itu akan menambah satu segmen 'Anak-Anak Pak Nil'.


"Menerusi segmen itu saya akan mengumpulkan video gelagat-gelagat kanak-kanak yang telah di 'tag' di Instagram menggunakan #anak2paknil," tuturnya.

Tom Tom Bak All Stars akan bersiaran sebanyak dua episod iaitu 21 dan 28 Disember ini, pukul 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611).


Sumber - mStar Online

Thursday, December 4, 2014

Jihad kumpulan militan IS bertentangan syariat Islam sebenar.


KUALA LUMPUR: Kegiatan kumpulan militan IS yang kononnya berjuang untuk mempertahankan kesucian agama Islam adalah bertentangan dengan konsep jihad mengikut syariat Islam sebenar.

Pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El-Muhammady berkata, pembunuhan orang awam secara berleluasa adalah contoh paling jelas menunjukkan aktiviti 'jihad' yang dilakukan kumpulan militan itu bertentangan dengan Islam.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan pujukan untuk berjihad bersama kumpulan militan itu di Syria.

"Ada yang sudah terkeliru dengan aktiviti jihad IS kerana kumpulan militan itu menggunakan ayat Al-Quran, hadis dan sirah Nabi untuk menarik umat Islam menyertai mereka," katanya kepada Bernama selepas memberi ceramah bertajuk 'Penyelewengan Makna Jihad' pada Seminar Pemurnian Akidah 2014, di sini pada Khamis.


Beliau berkata penyelewengan 'jihad' IS yang lain termasuklah menahan dan membunuh tanpa belas kasihan orang asing seperti wartawan, diplomat dan sukarelawan misi kemanusiaan di Syria, di samping mengeksploitasi kaum wanita dengan cara merekrut mereka.

"Kononnya untuk berjihad, sedangkan apa berlaku di sana kita tidak tahu. Ini seperti melakukan eksploitasi ke atas wanita dan orang yang tidak memahami tentang agama," katanya.

Ahmad menegaskan tindakan itu sememangnya jelas sesat daripada landasan Islam sebenar seperti di dalam Al-Quran.

Beliau berkata ideologi 'jihad' IS menyasarkan sesiapa sahaja yang tidak menerima ideologi dan fahaman perjuangan kumpulan militan itu.

"Walaupun mereka mendakwa hendak menubuhkan Daulah Islamiah ... tetapi apabila kita tengok balik aktiviti IS, ia tidak kena satu pun dalam Al-Quran dan sirah...ini dah sesat," katanya.

Beliau meminta umat Islam supaya memahami dengan jelas konsep jihad seperti yang digariskan dalam syariat Islam sebenar yang merangkumi syarat-syarat dan etika tertentu.

"Konsep jihad ini bersifat syumul. Apabila bercakap tentang jihad di medan perang, (umat Islam kena tahu) syarat perlu jelas dari segi musuh kita, (kena) minta izin dengan pemimpin kerana jihad mesti dilaksanakan oleh pemimpin dan bukannya individu.

"Selain itu, anak-anak kena ada izin ibu bapa, (selain) kena fikir adakah cukup persediaan sama ada hutang sudah dilangsaikan ataupun belum, termasuk memastikan keluarga berada dalam keadaan selamat," katanya.

Ahmad menyeru mereka yang memahami penyelewengan IS supaya memberi penjelasan berterusan kepada masyarakat sebagai usaha memerangi ancaman kumpulan militan itu di negara ini.

"Selain itu sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti IS yang berlaku dalam negara ini perlu berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

"Ibu bapa perlu mengawasi tindakan anak-anak mereka kerana usaha memerangi IS kena dilakukan secara komprehensif, tidak boleh hanya dilakukan oleh polis... ia memerlukan penglibatan semua anggota masyarakat," katanya.

Seminar sehari itu yang bertemakan 'Mengekang Doktrin Pelampau Agama' dianjurkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Sumber - BERNAMA

Tanda bukan Islam mula terima al-Quran

Biskop kanan Gereja England, Harries of Pentregarth
Ada dua berita gembira kepada umat Islam dalam tempoh seminggu lalu. Pertama, seorang biskop kanan Gereja England, Harries of Pentregarth pada 30 November lalu mencadangkan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan dalam majlis pertabalan Putera Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara itu.

Pemimpin agama Vatican, Pope Francis
Sehari kemudian, pemimpin agama Vatican, Pope Francis pula menyatakan, tindakan menyamakan Islam dengan keganasan adalah satu perbuatan salah.

“Anda tidak boleh menyatakan demikian. Semua agama mempunyai kumpulan kecil seumpama ini (pelampau). Mereka (penganut Islam) percaya al-Quran adalah kitab suci yang membawa keamanan,” katanya sekembalinya daripada melawat Turki.

Apa yang menarik adalah tanggapan kedua-dua pemimpin agama itu kepada kitab suci al-Quran. Yang tersirat daripada yang tersurat adalah keyakinan mereka bahawa al-Quran itu memberi ketenangan dan mengajak manusia kepada kesejahteraan.

Jika orang bukan Islam menyakini demikian, di mana pula kedudukan kita sebagai umat Islam yang beriman dengan kitab Allah ini? Sejauh mana kita mentadabbur ayat-ayat Allah yang di dalamnya penuh dengan petunjuk, hidayah serta merungkai semua permasalahan dalam hidup manusia.

Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan wajib setiap hari? Selepas membacanya adakah kita berusaha memahami dan mengamalkannya? Hal-hal begini sepatutnya menjadi keutamaan bagi umat Islam sementelahan kita tahu bahawa al-Quran itu memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)

Kelebihan membaca al-Quran bukanlah rahsia. Antaranya, al-Quran akan menjadi syafaat di akhirat. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Umamah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. (riwayat Muslim)

Kedua: Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya di akhirat. Ia berdasarkan hadis daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Di akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan surah al-Baqarah dan surah ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya. (riwayat Muslim)

Sepatutnya kedua-dua berita di atas dijadikan pemangkin kepada semua umat Islam untuk memperhebatkan lagi usaha dakwah kepada orang bukan Islam. Berdakwah tugas semua, bukan terhad kepada para ulama, ustaz dan ustazah. Antara ramuan dakwah yang paling berkesan adalah dakwah bil hal (penampilan kualiti peribadi).

Bagi Malaysia, adakalanya kita memerlukan kepada uslub al-Latf wa al-layn (pendekatan lembut dan lunak). Lebih-lebih lagi dalam hal melibatkan hubungan dengan penganut agama lain. Berlembut pada tempat yang perlukan kelembutan adalah bukti kebijaksanaan pendakwah. Sama juga keadaan berkeras pada tempat yang memerlukan kekerasan juga adalah hikmah. Uslub al-Latf wa al-layn ini diasaskan kepada firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s ketika mereka diperintah menyeru Firaun kepada agama Allah. (rujuk surah Thaha: 43–44)

Semua tindakan itu terangkum dalam dakwah secara hikmah. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik... (an-Nahl: 125)

Mereka yang membudaya dan mengamalkan al-Quran pasti menjadi generasi yang cemerlang dalam segi tingkah laku, amalan dan cara hidup mereka. Apabila ini dicapai, tugas berdakwah kepada bukan Muslim menjadi lebih mudah. Ingatlah bagaimana al-Quran melembutkan hati insan bengis dan keras seperti Umar al-Khatab sekali gus menukar beliau kepada insan Muslim dan mukmin.


Sumber - Utusan Online

Dafi guna khidmat Ahmad Dhani terbit album

Dafi AF (kanan) berjabat tangan dengan Ahmad Dhani selepas menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan album dan pengurusan karier seni di Jakarta, Indonesia, semalam

JAKARTA 4 Dis. – Penyanyi popular, Gadaffi Ismail Sabri mengumumkan kerjasama beliau dengan seniman tersohor Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo melibatkan urusan penerbitan album dan pengurusan karier seninya di negara jiran ini.

Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi memilih Ahmad Dhani yang juga pengasas kumpulan muzik termasyhur, Dewa sebagai penerbit albumnya berikutan rekod cemerlang seniman itu dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Berusia 26 tahun, anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu memberitahu, peluang bekerjasama dengan Ahmad Dhani juga diharap membuka laluan kepadanya untuk membina nama di persada seni Indonesia.

Bekas peserta program realiti popular, Akademi Fantasia itu berkata, beliau sudah lama berhasrat mendapatkan khidmat Ahmad Dhani khususnya untuk menerbitkan album solonya.

“Alhamdulillah hasrat saya akhirnya terlaksana juga. Kerjasama dengan Ahmad Dhani adalah peluang keemasan untuk saya mengukuhkan kedudukan sebagai seorang penyanyi bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi juga untuk meluaskan karier di Indonesia,” kata Dafi pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan Ahmad Dhani, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Ismail Sabri serta Presiden Indonesia Diaspora di Malaysia, Chairul Anhar.

Menurut Dafi, melalui kerjasama itu, Ahmad Dhani akan menerbitkan album solonya sementara pengurusan kerjaya seninya di Indonesia akan dikendalikan oleh syarikat produksi Republika Cinta yang diasaskan pemuzik ternama itu.

Sementara itu, Ahmad Dhani memberitahu, kerjasama itu mencatat rekod peribadi buatnya kerana itu merupakan kali pertama beliau menerbitkan album penuh bagi seorang artis dari luar Indonesia.

“Saya sudah sering bekerjasama dengan beberapa artis Malaysia yang meminta khidmat saya menerbitkan lagu mereka. Namun dengan Dafi, ini adalah kerjasama pertama melibatkan penerbitan sebuah album penuh,” katanya.

Ahmad Dhani berkata, persetujuan untuk menerbitkan album Dafi adalah kerana beliau melihat penyanyi muda itu mempunyai bakat dan potensi yang sangat besar untuk diketengahkan ke pe­ringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Ahmad Dhani melihat kerjasama penerbitan album dengan artis dari Malaysia saling tidak ubah sebagai kerjasama persahabatan dua negara jiran.


Sumber - Utusan Online

Peneroka haram digempur - Libatkan 500 anggota 16 agensi termasuk angkatan tentera.

Jentolak digunakan untuk merobohkan struktur binaan di sebuah kebun yang beroperasi di atas tanah haram di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang, semalam.
CAMERON HIGHLANDS 4 Dis. - Pihak berkuasa mula ‘mengambil alih’ tanah pertanian yang diteroka tanpa kebenaran di daerah ini apabila merobohkan struktur binaan di kebun-kebun yang diusahakan secara haram tersebut.

Operasi sulung itu melibatkan 500 anggota daripada 16 agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pegawai dari Pejabat Peguam Negara.

Dalam operasi di Blue Valley dekat sini, pihak berkuasa merobohkan struktur binaan seperti tiang besi dan penutup plastik di sebuah kebun yang diteroka secara haram.

Kerja-kerja meroboh dijalankan dengan menggunakan tenaga manusia dan peralatan seperti pemotong besi serta jentolak.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Wahab yang mengetuai operasi tersebut berkata, pihaknya akan mengambil alih tanah-tanah yang diusahakan secara haram berkenaan.

Menurut beliau, ada pemilik kebun di situ dikesan telah meneroka tanah lebih dari 11 hektar daripada had dibenarkan atau tiga hingga empat kali ganda daripada sepatutnya.

“Kebun ini sudah beroperasi lebih empat tahun dan telah melabur lebih RM10 juta.

“Kita telah merobohkan struktur binaan di atas tanah haram dan kita akan mengambil alih tanah ini.

“Tindakan merobohkan struktur binaan di sini adalah mengikut undang-undang di bawah Seksyen 425/426 Kanun Tanah Negara,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Tajudeen mengakui, pihak berkuasa berdepan masalah untuk merobohkan struktur binaan terutama daripada besi.

Katanya, ini kerana struktur yang dibina sukar untuk dirobohkan jika menggunakan peralatan biasa seperti pemotong besi sebaliknya perlu menggunakan jentera berat.

“Ini mungkin menyebabkan operasi mengambil alih semua tanah haram di daerah ini memerlukan masa lebih lama daripada tempoh tiga bulan yang ditetapkan.

“Selain itu kejayaan operasi juga bergantung kepada keadaan cuaca,” jelasnya.

Operasi tersebut turut menahan 20 pekerja warga asing untuk pemeriksaan dokumen.

Mengenai usaha menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri kawasan tanah tinggi itu, Mohamed Tajudeen berkata, operasi akan dijalankan secara berterusan.

“Kita akan terus memburu mereka sehingga Cameron Highlands bebas daripada PATI,” tegasnya.


Sumber - Utusan Online

Sudah jatuh ditimpa tangga - Gelaran ‘Datuk Seri’ Anwar ditarik balik

Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah 
SHAH ALAM 4 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah memutuskan untuk menarik balik gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1992.

Pembatalan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA) itu berkuat kuasa pada 3 November lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, gelaran itu ditarik balik berikutan tindakan dan perlakuan Ketua Pembangkang itu sejak akhir 2013 yang mempersoalkan kuasa dan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar tahun ini.

Anwar Ibrahim
Katanya, Anwar turut mempersoalkan hal-hal berkaitan isu agama Islam yang mana Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Tindakan dan perlakuan beliau adalah tidak lagi sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu,” katanya.

Selain pernah menerima darjah kebesaran dari Selangor, Anwar juga telah menerima anugerah yang membawa gelaran yang sama dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Ketegangan dengan pihak istana bermula apabila Sultan Sharafuddin ketika kemelut pelantikan menteri besar telah bertitah agar Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti masing-masing sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, untuk memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat PKR tetap dengan keputusan menamakan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai muktamad.

Sementara itu, PKR dan DAP tetap berkeras mencalonkan Wan Azizah untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Baginda amat berasa dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos lalu dan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor ketika itu menyatakan tindakan DAP dan PKR itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.

Selepas itu, baginda juga menegur Penasihat PKR itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan berhubung amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan sebagai amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Rentetan itu, pihak istana menerima surat yang ditandatangani Anwar pada 10 Ogos lalu memohon untuk Wan Azizah menghadap Sultan bagi memberi penjelasan dan penerangan keputusan yang diputuskan PKR, namun baginda menolak pertemuan itu.


Sumber - Utusan Online

Tunggu keputusan 
kes liwat Anwar

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria ketika dihubungi hari ini berkata, beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka.

“Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami (hakim-hakim) melengkapkan penghakiman. Kami masih membaca penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang untuk menyediakan­nya,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar Ibrahim
Arifin yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.

Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Arifin menjelaskan, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar.

“Tetapi dalam kes-kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu,” katanya.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah
Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober lalu telah berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini akan akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.


Sumber - BERNAMA