Search This Blog

HOME

Friday, December 12, 2014

Guan Eng : Bukan Islam Di Pulau Pinang Tidak Dilarang Guna Kalimah Allah


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini memberi jaminan hari ini, tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah “Allah”, lapor The Malaysian Insider.

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang dilampirkan padanya satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam. 

“Masyarakat bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang Islam. Enakmen itu hanya digunapakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam. Jadi, tiada isu timbul. 

“Kita tidak meluluskan mana-mana undang yang membenarkan larangan itu terpakai kepada masyarakat bukan Islam,” kata Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini. 

Menurutnya, penasihat undang-undang negeri juga mengesahkan enakmen tersebut tidak terpakai terhadap masyarakat bukan Islam. 

Kenyataan Guan Eng itu bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Januari 2010. 

“Bahawa kalimah-kalimah yang berkaitan dengan kesucian agama Islam adalah khusus bagi agama dan orang Islam sahaja. Oleh itu ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam. 

“Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang besar kepada agama dan orang Islam. 

“Oleh itu orang Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan terhadap kalimah-kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub,”kenyataan dari e-fatwa.gov.my dipetik.
  
Dalam fatwa itu disebut 40 perkataan, termasuk “Allah” dilarang digunakan oleh bukan Islam. 

“Oleh itu, mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada menghina kesucian agama Islam adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.” 

Mengulas isu sama, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berkata tidak boleh mana-mana muslim atau penguatkuasa agama melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada bukan Islam. 

Anwar mendakwa media-media UMNO dan Barisan Nasional telah menggunakan ‘maqasid shariah’ untuk mengesahkan budaya perkauman dan ekstrimis mereka. 

“Ini satu penipuan dan penghinaan kepada Islam. Dalam perbuatan ini mereka telah memesongkan tujuan sebenar dan kepentingan maqasid al-shariah,” jelasnya. 

Seterusnya Anwar berkata agama telah digunakan untuk kepentingan dan agenda pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik topeng “pejuang bangsa dan agama.” 

“Pejuang-pejuang agama ini terus hidup mewah dan mengenepikan prinsip-prinsip Islam, menyokong kronisma dan rasuah. Mereka bicara soal maqasid, tetapi terus angkuh dan sombong dan mengharamkan kebebasan bersuara dan wacana awam,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini, lapor FMT. 
Sumber - AID

Maqasid Syariah Berlawanan Dengan Pemikiran Liberal


Kalimah “maqasid” mulai popular hari ini apabila banyak tulisan, ucapan, diskusi dan wacana menggunakan terma maqasid, di samping tak kurang juga jenama yang diperkenalkan atas nama maqasid seperti Lepak Maqasid dan Sekolah Pemikiran As-Syatibi (Ulama’ Maqasid).

Namun bagi saya, banyak perbincangan maqasid sesetengah pihak di Malaysia hari ini begitu mengecewakan, hanya menyentuh isu-isu mikro atau bersifat juz’iyyah seperti menegakkan keadilan sosial, memperjuang hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan lain-lain laungan yang dakwanya itulah maqasid Syariah yang wajib dicapai, itulah tujuan utama syariah diturunkan. 
Tetapi isu maqasid yang paling utama, bersifat kulliah atau makro yang hakikatnya adalah asas segala maqasid yang dilaungkan tadi dipinggirkan. Natijahnya, apa yang dibincangkan tiada penyelesaian jelas dan buntu ke arah mana mahu dituju. Buntu untuk apa semua itu dilaungkan. Adakah sekadar kebajikan dan keadilan sosial itu sahaja yang Allah mahu dari manusia? 
Ingin sekali saya berkongsi seringkas yang boleh serba sedikit mengenai asas Maqasid Syariah yang perlu ditekankan bagi memandu kita semua khususnya sebagai seorang Muslim yang terikat dengan syariah dan juga sebagai panduan asas bagi mereka yang ingin berwacana berkaitan ilmu Maqasid. 
Makna Maqasid Syariah 

Maqasid Syariah, Maqasid Syari’, dan Maqasid Syar’iyyah semuanya membawa maksud yang sama.[1] 

Dari sudut bahasa, Maqasid adalah kata jama’ yang berasal dari kalimah maqsad, yang membawa maksud tujuan. 

Maqasid Syariah pula bermaksud ; Matlamat daripada syariah yang diturunkan, dan rahsia-rahsia yang diletakkan As-Syari’ (Allah swt) pada setiap hukum hakamnya”[2], seperti mana yang dijelaskan Al-‘Allamah ‘Allal Al-Fasi. 

Syeikh Ibn ‘Asyur pula menerangkan ; 
“Maqasid ‘Ammah bagi Syariah adalah makna-makna (ma’ani) dan hikmah-hikmah yang dicatatkan/dikehendaki As-Syari’ (Allah swt) dalam semua atau majoriti urusan pensyariatan.”[3] 

Secara mudahnya, boleh saya katakan Maqasid Syariah ini adalah apa yang Allah kehendaki melalui segala syariat yang diturunkanNya kepada kita. Untuk menjawab kenapa dan apa tujuan kita laksanakan segala tuntutan syariat ini. 

Maqasid Syariah sangatlah penting untuk difahami, kerana satu titik penting yang membezakan sistem Islam dengan segala sistem dan ideologi selainnya adalah berbezanya Maqasid yang begitu jauh antara keduanya yang akhirnya akan menentukan tempat tinggal akhir kita buat selama-lamanya, samada syurga atau neraka. 
Maqasid Syariah adalah Maqasid Al-Quran

Hakikatnya, Maqasid Syariah dan Maqasid Al-Quran adalah sama. Kerana sumber utama syariah itu sendiri adalah Al-Quran, bukan bersumberkan logik akal semata-mata. 
Begitulah juga bagi semua urusan di dunia ini, tidak boleh lari dari panduan Al-Quran dan As-sunnah yang merupakan wahyu daripada Allah swt yang menciptakan seluruh makhluk di dunia ini. Maka tidak boleh tidak, perbincangan maqasid Al-Quran adalah satu perbincangan yang terpenting sebagai dasar perbincangan maqasid. 
Sudah ramai ulama’ yang membahaskan tentang Maqasid Al-Quran yang kebiasaannya terbahagi kepada 3 bahagian maqasid ; 
1.    Maqasid setiap ayat Al-Quran secara terperinci.
2.    Maqasid setiap surah di dalam Al-Quran,
3.    Maqasid umum Al-Quran secara keseluruhan (Maqasid Al-‘Ammah lil Al-Quran). [4]

Adapun dalam artikel kali ini saya hanya ingin berkongsi mengenai Maqasid Umum Al-Quran secara keseluruhan untuk memberi gambaran yang lebih luas maqasid utama yang semestinya dicapai. 
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Jawahir Al-Quran” menyatakan terdapat 3 Maqasid  Al-Quran yang terpenting sebagai pokok kepada segala maqasid yang lain.

1.    Mengenalkan kita pada Allah swt
2.    Mengenalkan kita pada jalan lurus yang wajib dilaluinya.
3.    Mengenalkan keadaan ketika hari Akhirat[5]
Sultan Al-‘Ulama, Al-‘Izz bin Abd Salam menyimpulkan maqasid Al-Quran dalam satu ayat :
“الأمر باكتساب المصالح وأسبابها والزجر عن اكتساب المفاسد وأسبابها”
(arahan supaya memperoleh maslahah-maslahah dan sebab-sebabnya, serta larangan daripada memperoleh mafsadah-mafsadah dan sebab-sebabnya)[6]
Al-Baqa’ie pula telah menyatakan maqasid surah Al-Ikhlas yang merupakan 1/3 daripada Al-Quran : 
” Ia memadai dengan arahan supaya beriktikad dengan keesaan Allah yang merupakan iktikad (kepercayaan) yang paling utama. Segala maqasidnya tertumpu kepada menerangkan Aqidah, hukum-hakam, dan kisah-kisah. Surah ini merangkumi seluruh pengetahuan Ilahiyyah dan membidas mereka yang tidak mempercayainya. Inilah sebenarnya yang dikehendaki yang mana menjadi ikutan/asas segala maqasid yang lain.”[7]

Maqasid Al-Quran Yang Mencabar Kuasa Barat dan Pejuang-Pejuang Liberal 

Penulis Tafsir fi Zilal Al-Quran, As-Syahid Syed Qutb rahimahullah telah merungkaikan kepada kita maqasid asasi Al-Quran dengan lebih jelas dan tepat pada situasi hari ini. Ia selari dengan keterangan-keterangan Ulama’ Agung di atas. Malah beliau telah menulis sebuah tafsir Al-Quran yang lebih membuka mata kita hari ini, bertepatan dengan situasi dunia akhir zaman yang penuh pertembungan ideologi dan kuasa abad ini. 
Syed Qutb – dengan taufiq dan rahmat Allah swt kepadanya –  yang telah hidup berpuluh tahun di bawah naungan Allah, mendalami makna-makna setiap ayatnya, telah dikurniakan kemampuan untuk mengetahui tujuan sebenar yang praktikal (Aghradh ‘Amaliyyah) daripada Al-Quran dan mengetahuiMaqasid Asasiyyah Al-Quran. Jika kita selalu membaca Tafsir  fi Zilal Al-Quran, pasti kita akan dapati beliau sering mengulangi perkara yang sama bagi menguatkannya dan menunjukkan perkara yang ditulis itulah yang terpenting.

Perkara atau isu yang sentiasa diulangi Syed Qutb adalah berkenaan Aqidah, Al-Hakimiyyah, dan Pertembungan yang sentiasa berlaku sepanjang zaman antara Aqidah dan Jahiliyyah. 
Ia tidak kontradik dengan apa yang dapat kita perhatikan sendiri dari Al-Quran. Hakikat-hakikat yang sentiasa difokuskan Al-Quran adalah berkenaan hakikat Uluhiyyah dan ciri-ciri khususnya, Hakikat ‘ubudiyyah, menentukan hubungan ubudiyyah dengan uluhiyyah, hakikat perkara ghaib, hakikat manusia, hakikat ciptaan alam, dan hakikat kehidupan.[8] 

Maqasid Asasi Al-Quran menurut Syed Qutb adalah perjuangan di dalam pertempuran Aqidah (Ma’rakah Al-Aqidah), melawan musuh-musuh Umat Islam, dan menetapkan umat Islam di atas jalannya.[9] 

Al-Quran di sisi Sayyid Qutb bukanlah bercerita tentang peristiwa yang berlaku pada sesuatu fatrah zaman tertentu yang telah berlalu dan berakhir begitu sahaja. Bukan juga mengisahkan tentang pertembungan dengan Jahiliyyah lalu yang telah hapus di mamah zaman. Tetapi ia bercerita tentang  segala Jahiliyyah-Jahiliyyah yang wujud tidak kira masa dan zaman. Tentang bertembungan dengan realiti yang terpesong tidak kira zaman, dan membawa realiti tersebut pulang ke Jalan Allah yang lurus.[10]
Perkara yang disebut di atas adalah isu pokok dalam Al-Quran, maqasid asasi bagi Al-Quran. Sebab itulah kita dapat perhatikan Syed Qutb seringkali mengulanginya bagi menyedarkan dan membuka mata hati kita yang sudah lama terlena. 
Menurut Syed Qutb lagi, kehidupan manusia di muka bumi ini tidak akan lurus melainkan apabila wujudnya hakikat ini dalam kepercayaan dan gambaran mereka, begitu juga dalam kehidupan dan realiti mereka[11], bahawa Allah swt yang Maha Berkuasa di dunia ini. Allah sahaja lah yang layak memerintah segala sistem di dunia ini. KuasaNya mutlak tidak tertanding oleh sebarang kuasa dan sistem manusia, atau dalam bahasa arab ringkasnya disebut Al-Hakimiyyah Lillah (Seluruh pemerintahan adalah milik Allah) 

Inilah sebenarnya titik penting berbezanya maqasid ataupun tujuan utama umat Islam dengan musuh Islam dan sekutunya. 
Pejuang Islam yang hakiki sentiasa berjuang menegakkan Hakimiyyah Allah, manakala musuh Islam sentiasa berjuang menjatuhkan Hakimiyyah Allah, ingin terus kekal berkuasa di atas muka bumi ini, mengatasi Allah swt. 
Kesimpulan 

Menegakkan Aqidah di muka bumi, menegakkan Hakimiyyah Allah, inilah maqasid kepada segala maqasid yang dibincangkan hari ini yang mana tidak pernah disebut oleh pejuang liberal di Malaysia. 
Akhirnya kita ingin membawa seluruh manusia kepada Allah swt. Kita ingin mengangkat kedudukan Agama Allah menjadi sistem untuk seluruh manusia di dunia ini. Agama Allah iaitu Islam sahajalah yang layak bahkan wajib untuk dipatuhi, kerana kita yakin bahawa tidak ada yang dapat menyediakan suatu sistem terbaik untuk seluruh makhluk di dunia ini melainkan Al-Khaliq, Allah swt, Pencipta kepada semua makhluk. 

Sunnah perjuangan sudah termaktub di dalam Al-Quran, maqasid Al-Quran ini sentiasa mencabar kuasa Jahiliyyah, mencabar kedudukan-kedudukan manusia yang merasakan diri mereka tuhan yang berkuasa di dunia ini, mencabar kedudukan mereka yang bertuhankan akal dan hawa nafsu. Pejuang-pejuang liberalisme yang bertuhankan akal, akan sentiasa tercabar dengan hakikat Hakimiyyah Allah ini. 
Hanya mereka yang naif akan terus terpedaya dengan laungan-laungan liberal, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan tajaan barat dan musuh Islam bagi menutupi kerakusan mereka yang tamakkan kuasa besar dunia, yang menyerang umat Islam dalam pelbagai bentuk fizikal mahupun pemikiran, untuk mengekalkan kedudukan mereka di tampuk pemerintahan dunia, mengatasi kedudukan tertinggi Allah swt yang menjadi maqasid utama kita. 
Umat Islam yang menyedari hakikat ini akan sentiasa berjuang dengan segala kemampuan untuk menegakkan agama Islam, berani bertembung dengan segala kuasa dan pemikiran selain Islam pada hari ini seperti Liberalisme, Humanisme, Feminisme, Hedonisme yang merupakan umpan barat bagi menarik hati umat Islam dan mencairkannya secara halus dan perlahan-lahan. 
Kita perlu yakin bahawa Islam sahajalah yang mampu memberi rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Jika tidak, apakah ertinya Islamnya kita pada saat ini? 
Ingatlah kata-kata Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah : 
“Sesungguhnya asas syariah adalah ia memberi hikmah dan kebaikan pada kehidupan manusia.Syariah semuanya adil, semuanya maslahah, dan semuanya hikmah.”[12] 

Rujukan:
[1] Nadzoriah Al-Maqasid ‘Inda Al-Imam As-Syatibi, m/s 17
[2] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah wa Makarimuha, m/s 3
[3] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah, m/s 50
[4] Maqasid Al-Maqasid, Syeikh Dr. Ahmad Ar-Raisuni, m/s 21-24
[5] Jawahir Al-Quran, m/s 23
[6] Qawa’id Al-Ahkam fi Islah Al-Anaam. 10/1
[7] Nazmu Ad-Durar fi Tanasubi Al-Ayat wa As-Suwar, 593/8
[8] Lihat : Surah Al-Baqarah ayat 109, 130, 217, Surah An-Nisa’ ayat 89 sebagai contoh.
[9] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 3541/1
[10] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 1219/3
[11] Lihat : Fi Zilal Al-Quran 1753/3
[12] I’lam Al-Muwaqqi’in, 3/3

* Penulis adalah Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), BA Syariah (Hons) Fiqh & Usul Fiqh, Universiti Yarmouk, Jordan.

Teater Takhta 3 Ratu dianjak sehari hormati pemergian ibu Awie

 
KUALA LUMPUR: Bagi menghormati situasi getir yang dilalui salah seorang pelakon teater Takhta 3 Ratu, Awie yang baru kehilangan ibunda tersayang pagi tadi, pihak produksi teater berkenaan memilih untuk menganjak sehari daripada tarikh pementasan asal.

Teater arahan sutradara Erma Fatima itu sepatutnya dipentaskan malam esok sekali gus berlangsungnya malam pratonton untuk media.

Namun disebabkan memahami keadaan pelakon berkenaan, perubahan tarikh terpaksa dilakukan.

Asalnya teater berkenaan mula dipentaskan esok hingga 22 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.


Pihak produksi teater turut memberitahu malam pratonton media hanya akan diadakan pada malam Isnin ini.

Selain Awie, Takhta 3 Ratu turut dibintangi Erra Fazira, Izreen Azminda, Soo Wincci, Datuk Rahim Razali, Remy Ishak dan Beto Kusyairy. Tiket menonton teater Takhta 3 Ratu yang akan dipentaskan bermula esok hingga 22 Disember ini di Istana Budaya dijual berharga RM50 hingga RM350.

Ia boleh dibeli di kaunter Istana Budaya atau layari laman www.airasiaredpix.com.








Sumber - BH Online

Keikhlasan polis trafik jadi viral media sosial

Seorang pengguna Facebook memaparkan gambar anggota polis trafik, Hamizon yang enggan menerima wang saguhati selepas membantu menukar tayar kereta seorang pengguna di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 12 Dis. – Tindakan seorang anggota polis trafik membantu menukar tayar kenderaan dipandu seorang wanita yang pancit biarpun sibuk menjalankan tugas menjadi viral di dalam laman-laman media sosial termasuk Facebook.

Keikhlasan anggota polis tersebut yang bernama Hamizon itu jelas terlihat apabila menolak pemberian wang sebagai balasan kepada bantuan yang diberikan oleh suami wanita tersebut.

Menurut pemilik akaun Facebook, Jay Sheelan dalam satu entrinya menyatakan dia tersentuh dengan sikap itu dan berharap ada lebih ramai lagi seperti Hamizon.

Jelasnya, semasa kejadian isterinya memandu kereta berseorangan manakala dia pula sedang dalam perjalanan ke Jalan Kuching.

“Sebelum saya tiba ke lokasi, anggota itu sedang membantu isteri saya menukar tayar. Selepas selesai, saya menghulurkan wang atas pertolongan itu tetapi ditolak secara baik sambil berkata, hari ini saya tolong awak, sekarang giliran awak pula menolong orang lain.

“Terima kasih banyak Shamizon (tidak pasti sama ada nama itu betul atau tidak). Gembira kerana polis trafik mempunyai pegawai seperti ini dan saya bertuah kerana dapat bertemu dengannya,” katanya.

Di dalam akaun Facebook Jay juga turut memaparkan gambar anggota tersebut yang kemudian mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Utusan Malaysia turut mengesan satu komen daripada anak anggota tersebut Nurul Najihah yang memperbetulkan nama bapanya itu adalah Hamizon bukan Shamizon.

“Itu ayah saya Encik Hamizon.. Haha papa famous (terkenal) lah,” ujarnya.

Kenyataan Nurul Najihah itu yang tersiar di dalam akaun Facebook Friends of BN - Barisan Nasional mendapat respons daripada Jay dan mengucapkan terima kasih banyak dan berharap dapat berjumpa dengan Hamizon sekali lagi.


Sumber - Utusan Online

Dikerat suami: Kaki, tangan sukar disambung.


KLUANG 12 Dis. – “Kami sekeluarga buntu dan tidak tahu hendak lakukan apa-apa kerana memikirkan nasib yang menimpa adik setelah kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya putus”.

Demikian luahan abang kepada K. Menaga, 44, yang putus anggota badan itu akibat dikerat dengan kejam oleh suaminya dalam pertengkaran di rumah mereka di Taman Sri Suria di sini, semalam.

K. Ravichantaran, 47, berkata, lebih meresahkan mereka apabila doktor yang merawat adiknya memberitahu kemungkinan kedua-dua kaki dan tangan itu tidak dapat disambung semula.

“Namun, doktor memberi kami semangat agar terus bersabar untuk menunggu keadaan dia stabil dan menggunakan kaedah rawatan lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suami Menaga yang cemburu kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain bertindak menggantung diri selepas mencederakan wanita tersebut.

Ravichantaran berkata, adik keduanya yang kini masih tidak sedarkan diri kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini.

“Kami mahu keadaan kembali reda terlebih dahulu sebelum memikirkan masa depan mereka. Ketika ini banyak urusan perlu dilakukan dan anak sulung mangsa juga sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian tersebut.

Sumber - Utusan Online

Tuesday, December 9, 2014

Laporan Senat: Penderaan CIA kejam, tidak berkesan


WASHINGTON: Laporan Senat Amerika Syarikat mendedahkan penderaan yang dilakukan Biro Penyiasatan Pusat (CIA) terhadap suspek al-Qaeda adalah kejam, tidak berkesan dan tidak dikendalikan dengan baik.

Laporan itu juga menyatakan, CIA memperdayakan Rumah Putih dan Kongres mengenai faedah programnya dalam usaha untuk menangkis serangan, sekali gus menimbulkan semula perbincangan mengenai soal siasat yang menggunakan kaedah merejam mangsa di dalam air.

Selain direjam, tahanan juga dibelasah, dibelenggu sehingga patah tangan dan kaki, tidak dibenarkan tidur selama lebih seminggu, diancam dengan pistol dan diugut menggunakan alat gerudi berkuasa elektrik.

Ketika laporan 500 muka surat itu dikeluarkan, Presiden Barack Obama mengakui bahawa tindakan CIA itu adalah tidak produktif dan bertentangan dengan nilai Amerika Syarikat.

Pengarah CIA, John Brennan mempertahankan penggunaan kaedah berkenaan yang didakwanya mencontohi apa yang dilakukan pada zaman Presiden George W Bush berikutan serangan al-Qaeda pada 11 September 2001 di bandar raya Amerika Syarikat.

Kedutaan Amerika kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pengeluaran laporan itu walaupun Setiausaha Negara, John Kerry memberi amaran ia mungkin menimbulkan provokasi di seluruh dunia.

Sumber - AFP

Terengganu Arah Pasar Raya Tutup Waktu Solat Jumaat Mulai Januari 2015


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengarahkan semua pasar raya di negeri itu ditutup pada Jumaat mulai 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang mulai Januari tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat Jumaat dengan melepak di premis berkenaan.

"Keputusan itu telah dipersetujui pada mesyuarat Exco minggu lepas," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa.

Semasa perbahasan Bajet Terengganu 2015, Hilmi Harun (PAS-Manir) mendakwa ramai orang Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat Jumaat dengan melepak di pasar raya.

Ahmad Razif berkata penguatkuasaan terhadap arahan itu akan dijalankan dan dipantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara itu, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (BN-Kuala Besut) meminta kerajaan negeri membangunkan tenaga boleh diperbaharui daripada sumber angin, solar dan ombak sebagai alternatif kepada tenaga elektrik sedia ada.

"Terengganu mempunyai pantai sepanjang 244 km, sudah tentu ia terdedah kepada kuasa angin, yang boleh diubah kepada tenaga elektrik.

"Begitu juga dengan tenaga solar dan ombak yang banyak didapati di sepanjang pantai negeri ini," katanya ketika membahaskan Bajet 2015.

Tengku Zaihan berkata, walaupun Terengganu telah mempunyai janakuasa hidro elektrik Tasik Kenyir yang menggunakan kuasa air, tetapi mengolah tenaga daripada sumber lain perlu diberi perhatian serius.

Beliau juga mahu jumlah anggota polis di Pulau Perhentian ditambah berikutan kini hanya dua anggota polis bertugas pada satu-satu masa bagi menjamin keselamatan penduduk dan pelancong.

"Yang agak mendukacitakan walaupun bangunan PDRM tersergam indah di pulau itu tetapi ia hanyalah berstatus pondok polis yang keanggotaannya hanya dua orang sahaja. Jadi kita merayu agar status pondok polis berkenaan dinaik taraf kepada balai polis," katanya.


Sumber - mStar Online