Search This Blog

HOME

Friday, December 12, 2014

Kisah Piala AFF Suzuki - Separuh Akhir II Malaysia lwn Vietnam


Saksikan jaringan2 pemain Malaysia dan Vietnam semasa perlawanan separuh kedua di Hanoi, Vietnam yang berkesudahan negara kita melangkah ke perlawanan akhir menentang Thailand pada 17 Disember di Bangkok dan pada 20 Disember 2014 di Kuala Lumpur.


Jom tonton.............



‘Senior kunci kami’ - Dollah Salleh (5 gambar & Video)


Sepang: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Dollah Salleh memuji persembahan cemerlang barisan pemain senior negara dan mengakui mereka kunci utama kejayaan Malaysia menewaskan Vietnam di gelanggang lawan kelmarin sekali gus mara ke pentas final Piala AFF.





Pengendali berusia 51 tahun itu turut memuji persembahan Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya yang diturunkan buat kali pertama ketika bertemu Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua kelmarin.

“Setakat ini alhamdulillah, nampaknya memang pemain senior memang menunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan.

“Antara mereka adalah Shukor (Adan), Indra Putra (Mahayuddin), Piya, serta Amri (Yahyah),” katanya.

Mengulas mengenai Piya, Dollah berkata, pemain itu memang sentiasa berada dalam perancangannya walaupun tidak diturunkan pada perlawanan sebelum ini.

“Saya sentiasa membuat pertukaran pemain dan kebetulan semalam saya ingin mencuba Piya dan tindakan itu nampaknya berhasil.

“Yang penting persefahaman antara Piya, Safiq (Rahim) dan Indra di bahagian tengah berhasil.”

Selepas memenuhi sasaran mara ke final, Dollah berkata, barisan pemain negara seharusnya tidak mensia-siakan peluang untuk menjulang piala berprestij itu buat kali kedua.

“Sebagai seorang jurulatih, sudah tentu saya sendiri ingin memenangi piala ini. Sudah sampai tahap ini, takkan kita mahu biarkan saja peluang terhidang ini,” katanya.

 

Sumber - HM Online

Taring Indra Putra


Kudratnya bersama skuad Harimau Malaya diragui namun segala-galanya terbukti kelmarin bahawa penyerang veteran Indra Putra Mahayuddin masih berbisa di pentas antarabangsa apabila menjadi antara tonggak kejayaan membenam Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF di Hanoi.

Pemain berusia 33 tahun itu diberikan kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama, menggantikan Mohd Safee Sali yang mengalami kecederaan pangkal paha pada saat akhir dan dia mengambil kesempatan itu dengan penuh bergaya.

Walaupun Indra tidak menjaringkan gol menarik seperti ketika menyumbat gol ketiga dari jarak jauh menentang Singapura pada aksi kumpulan, namun pemain FELDA United itu mencuri tumpuan di depan 40,000 penyokong Vietnam di Stadium Nasional My Dinh.

Larian pertamanya dalam kotak penalti menghadiahkan sepakan penalti buat skuad Dollah Salleh pada minit kedua manakala hantaran lintangnya dari sebelah kiri ditampan masuk pertahanan tuan rumah Din Tien Thanh pada minit ke-29.

Bagi Indra, ia kejayaan cukup manis buat dirinya di pentas antarabangsa selepas beberapa tahun tidak beraksi sehinggalah dipanggil semula Dollah pada perlawanan persahabatan dengan Indonesia 14 September lalu.

“Bagi saya kejayaan ini kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi semua pemain.

“Pada separuh masa pertama kami memberikan aksi terbaik mungkin pada babak kedua rentak kami berubah, tapi yang penting kami ke final. Ini kejayaan buat rakyat Malaysia yang mengkritik kami tapi segala kritikan itu diambil dengan baik,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Indra yang sudah mengumpul 16 gol dalam 48 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2002 nyata tidak sabar berdepan Thailand bagi aksi final timbal balik di Bangkok Rabu ini dan Shah Alam, Sabtu.

Dia tidak pernah merasai pengalaman beraksi di final Piala AFF apabila tidak berada dalam skuad juara 2010 dan tidak mahu peluang terbaik kali ini terlepas begitu saja.

“Ini final yang cukup bermakna bagi saya di pentas antarabangsa dan saya harap kami boleh berikan aksi terbaik,” kata Indra.


Sumber - Metro Online

Tak puas tabur bakti - Piya


Sepang: Beraksi buat pertama kali di Piala AFF 2014 kelmarin ternyata memberi tekanan buat ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi namun tetap berpuas hati kerana berjaya membantu skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir bertemu Thailand 17 dan 20 Disember ini.

Menurutnya, walaupun baru kali pertama diturunkan jurulatih Dollah Salleh setidak-tidaknya dia membuktikan kehadirannya memberi impak apabila Malaysia bangkit dari kekalahan separuh akhir kedua 1-2 dengan mencatat kemenangan 4-2 (agregat 5-4).

“Saya mengakui tanggungjawab ini sangat besar terutama untuk mengatasi kelebihan pasukan lawan,” katanya ketika skuad kebangsaan pulang dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) semalam.

Jelasnya, sebelum turun beraksi dia berasa tanggungjawab yang dipikulnya amat besar dan penuh risiko terutama untuk membantu pasukan bangkit seterusnya mara ke perlawanan akhir.

“Saya akui ada sedikit tekanan untuk menghadapi perlawanan itu. Kalau ikutkan, peluang yang diberikan jurulatih menjadi sesuatu yang cukup baik.


“Walaupun ini perlawanan pertama, saya puas hati kerana berjaya melakukan hantaran untuk membantu pasukan mendapatkan jaringan,” katanya.

Pemain yang terkenal dengan nama timangan, Piya itu mengakui belum puas dalam memberikan sumbangan kepada pasukan kebangsaan.

“Seterusnya saya harap dapat beraksi pula dalam perlawanan akhir dan membantu Harimau Malaya merampas semula kejuaraan ini,” katanya.


Tambahnya, dia tidak kisah siapa yang akan diturunkan menjelang aksi akhir nanti, kerana setiap pemain sudah pasti akan memberikan persembahan terbaik.

“Keyakinan sudah ada tapi saya perlukan lebih banyak peluang untuk mempertingkatkannya di pentas antarabangsa. Kalau terus diberi peluang, saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya.


Sumber - Metro Online

Tidak sedar syirik dalam doa


Antara keistimewaan Islam ialah ALLAH Azza wa Jalla menyediakan ruang secara langsung untuk sesiapa sahaja berhubung, memohon, merayu, merintih, meminta dan berdoa mengikut keperluan masing-masing. Sama ada pemimpin atau rakyat biasa, miskin atau kaya, tua atau muda, orang awam atau orang agama, tidak kira latar bangsa dan kedudukannya, di mana sahaja dia berada, kutub selatan atau utara; semua diberikan ruang dan peluang yang sama.

Berdoa terus kepada ALLAH

Mintalah kerana ALLAH itu Maha Mendengar. Pohonlah kerana ALLAH itu Maha Memakbulkan. Istighfarlah kerana ALLAH itu Maha Pengampun. Malam atau siang, pagi atau petang, di masjid atau di padang, sambil berdiri atau baring melintang, ALLAH tetap mendengar apa yang kita minta. ALLAH itu sangat dekat dengan hamba-Nya, bahkan lebih dekat daripada apa yang kita sangkakan.

ALLAH bersedia untuk mendengar, bersedia untuk memberi, bersedia untuk memakbulkan. Bila dan bagaimana? Terserahlah kepada keadilan dan ketentuan-Nya. ALLAH berpesan kepada Baginda SAW: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". (Surah al-Baqarah: 186)

Dalam ayat lain, ALLAH menyatakan: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya". (Surah Qaf: 16)

Justeru, berhubung dan berdoalah secara langsung kepada ALLAH. Selagi mana kita bergelar hamba, selama itulah kita mempunyai hak untuk berdoa. ALLAH tidak pernah mendiskriminasikan hamba-Nya mengikut bangsa, warna kulit, pangkat, jawatan dan harta. Hanya nilai takwa yang membezakan antara manusia.

Perantaraan dalam doa

Namun begitu, Islam tetap membenarkan kita untuk mewujudkan perantaraan dalam berdoa. Hal ini disebut sebagai tawasul. Tawassul berasal daripada bahasa Arab wasilah, tawassala-yatawassalu-tawassulan. Tawassul dalam berdoa bermaksud kita menjadikan sesuatu sebagai perantara dalam doa.

Apakah perkara yang boleh kita tawasul? Ada tawassul yang dibenarkan dan ada tawassul yang diharamkan, bahkan boleh jatuh kepada kesyirikan.

Tawassul  dibenarkan

Pertama: Tawassul dengan nama ALLAH. Hal ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud: "Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu". (Surah al-A’raf: 180)

Tawassul dengan nama ALLAH itu contohnya kita berdoa: "Ya Ghaffar, ighfirli" (Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunilah daku). "Ya Rahman Ya Rahim, irhamni" Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Pengasih, kasihanilah daku".

Tawassul dengan nama-nama ALLAH bermaksud kita memilih dan menyebut nama-nama ALLAH yang sesuai dengan hajat dan permintaan kita. Dengan ketinggian dan kemuliaan nama-nama tersebut kita mohon semoga ALLAH perkenankan hajat kita.

Kedua: Tawassul dengan amalan soleh sendiri. Kita dibolehkan untuk menyebut amal soleh yang pernah kita lakukan kemudian diikuti dengan berdoa hajat kita, diharapkan dengan keikhlasan dan keberkatan amal soleh tersebut dapat dimakbulkan hajat kita.

Hal ini berdasarkan kisah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan tiga lelaki yang terperangkap dalam gua. Ada batu besar yang menutupi pintu gua tersebut. Lalu, seorang berdoa dengan mengatakan dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab ALLAH, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya.

Maka dengan amalan soleh itu mereka berdoa kepada ALLAH agar dibukakan pintu gua tersebut.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 2272)

Ketiga: Tawassul dengan orang soleh yang masih hidup. Kita boleh berjumpa dengan orang soleh yang akidah dan amal ibadatnya bertepatan dengan al-Quran dan sunnah bagi meminta tolong didoakan kepada kita. Diharapkan dengan kesolehan beliau akan menjadikan doa kepada kita tersebut dimakbulkan.

Tawassul dengan orang soleh ini dibenarkan dengan syarat orang tersebut masih lagi hidup. Jika seorang yang soleh meninggal dunia, kita tidak dibenarkan untuk bertawasul dengan beliau lagi. Sahabat sering meminta agar Rasulullah SAW berdoa kepada mereka.

Namun, setelah kewafatan Baginda SAW, sahabat tidak pun pergi ke kubur Rasulullah SAW dan minta untuk didoakan. Contohnya Umar Al-Khatthab  pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dan Umar berkata: "Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi SAW. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia dalam kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami". (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 3710).

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah di landa kemarau panjang. Umar meminta Abbas berdoa dan beliau pun berdoa. Tidak lama setelah itu, ALLAH pun menurunkan hujan kepada mereka.

Doa yang dilarang

Tawassul yang dilarang adalah seperti meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada ALLAH, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada ALLAH.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Diharamkan untuk kita menjadikan orang yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa kita, walaupun semasa hidup dia seorang yang soleh. Bahkan kepada Rasulullah SAW sendiri.

Jika dibolehkan sudah pasti Umar al-Khattab tidak berjumpa dengan Abbas untuk minta didoakan. Umar akan terus ke kubur Baginda Rasulullah SAW untuk minta didoakan. Rasulullah SAW lebih lagi mulia dan soleh.

Justeru, kata-kata dan tindakan Umar ini menunjukkan tidak disyariatkan untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati sama ada dengan menyebut "Madad Ya Rasulallah", "Madad Ya Ali", ‘Madad Ya Husain" dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.

Namun, pelik dan hairan ada segolongan manusia yang bertopengkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, berjubah dan berserban, bermati-matian ingin mempertahankan boleh untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati.

Sebab itu golongan ini ada yang mengunjungi kubur tok guru dan syekh-syekh mereka untuk minta didoakan. Ada yang mengalunkannya dalam nyanyian dan qasidah.

Semoga ALLAH selamatkan kita daripada hasutan dan ajaran menyeleweng ini sama ada yang berasal dari negara ini atau yang dibawa dari  luar negara. Berdoalah terus kepada ALLAH kerana ruang itu tidak pernah disekat. Sesiapa sahaja dan di mana pun kita berada.

Berdoalah dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kejelasan tauhid kepada-Nya. Jangan sampai ada unsur syirik yang tidak kita sedari. Yakinlah ALLAH tidak pernah mungkiri janji. Setiap permintaan akan diberi. Sabar dan terus menanti walaupun sampai akhirat nanti.


Sumber - Ustaz Abdul Razak Abdul Muthalib

RM780,000 Diserahkan Untuk Bebaskan Penternak Ikan Sangkar?

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Salehudin Abdul Rahman (kiri) bersama Sai Chuin dan isterinya Pek Nyen. Turut bersama mereka Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Zain (kanan).
Sejumlah wang sebanyak kira-kira 10 juta Peso (RM780,000) dikatakan telah diserahkan kepada Kumpulan bersenjata Abu Sayyaf untuk membebaskan tawanan seorang penternak ikan sangkar yang diculik Jun lepas.

Laporan Mstar Online memetik, sumber dari Filipina di Pulau Jolo di mana mangsa Chan Sai Chiun telah ditahan selama 177 hari berkata perunding menyerahkan wang kepada Kumpulan sub Abu Sayyaf yang dikawal oleh Sawadjan bersaudara diketuai oleh Al-Habsi Misaya.

Sumber berkata, jumlah wang tuntutan pada mulanya iaitu 30 juta Peso (RM2.34 juta) telah pun dikurangkan.

“Anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan operasi dan wang untuk dibayar kepada utusan, pegawai-pegawai tempatan dan pemimpin puak yang berlainan bagi mendapatkan laluan selamat,” kata seorang sumber yang tidak mahu dikenali.

Chan, pada mulanya dijangka akan dibebaskan bersama-sama seorang lagi rakyat Malaysia yang diculik iaitu anggota polis Konstabel Zakiah Alep, 26.

Dia diculik dipercayai oleh kumpulan yang sama dari Pulau Mabul, Sabah pada 12 Julai lepas.

Bagaimanapun, sumber itu berkata rundingan untuk melepaskan Zakiah ini terhalang disebabkan tiada kesepakatan berhubung jumlah wang yang diserahkan.

Menurut sumber itu, rundingan untuk Zakiah telah disambung semula dan ‘persoalannya adalah wang’.

Tidak diketahui sumber wang yang diberikan kepada kumpulan terbabit kerana di dalam laporan itu tidak didedahkan sumber yang menyerahkan wang.

Pada satu sidang media 13 November lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan mempunyai dasar untuk tidak melayan sebarang tuntutan tebusan, walaupun untuk pegawai polis.

Beliau juga berkata, usaha menyelamatkan dua tebusan itu sedang berjalan bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci buat masa ini. 

Video Kumpulan Abu Sayyaf  Tayang 250 Juta Peso Wang Tebusan Yang Diterima Bebaskan Mangsa Culik Jerman


Sumber - MYNEWSHUB.CC

Pramugari Dicurah Air Panas.. AirAsia Thai Patah Balik!


Gara-gara seorang penumpang baran yang melempar secawan air panas kepada pramugari bertugas, pesawat Air Asia yang dalam penerbangan dari Thailand ke Nanjing, China memutuskan untuk berpatah balik ke Bangkok.
Difahamkan, penumpang wanita terbabit memarahi pramugari sebelum mencurah air panas ke arahnya ketika menaiki penerbangan charter ke Nanjing, pada malam Khamis.

Pramugari yang menjadi mangsa segera dirawat dan sebaik pesawat tiba di Bangkok, penumpang wanita terbabit dan tiga penumpang lain bersamanya diarahkan meninggalkan pesawat.


Suasana kecoh dalam pesawat AirAsia akibat tindakan dari dua orang penumpang pesawat berkenaan
Media China melaporkan selain air panas, mi segera turut dilontar ke arah pramugari.

Dalam kenyataan oleh Air Asia, kapten dan krew pesawat didakwa sudah cuba berbincang secara baik dengan penumpang berkenaan namun tidak dapat mencapai jalan penyelesaian diharapkan.


Polis Thailand menahan penumpang terbabit
Insiden membabitkan sikap ‘pelik’ pelancong dari China sebenarnya bukanlah kisah baharu malah banyak pelancong negara lain yang pernah mendapat kesan daripada perangai mereka telah memberi cadangan kepada Beijing supaya mengedarkan garis panduan kepada rakyat negara terbabit yang mahu ke luar negara.

Februari lalu, 27 pelancong China yang menyertai rombongan ke Phuket diarahkan keluar dari pesawat China Eastern Airlines selepas bergaduh dengan dahsyat kerana berebut tempat duduk. - MYNEWSHUB.CC