Search This Blog

HOME

Sunday, February 23, 2014

Tuduh bakal calon PKR jual dadah, Presiden Pas diperintah bayar saman RM2 juta kerana ingkar perintah penghakiman.


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diperintahkan mahkamah membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, berhubung kes saman fitnah.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan semalam, selepas Abdul hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan terhadapnya pada 5 Disember lalu.

Memetik laporan akhbar tempatan, peguam palintif, A Vasudevan berkata, mahkamah juga turut memerintahkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi itu dari tarikh writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1, 500.

"Abdul Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes disebut di mahkamah dan mengemukakan sebarang memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu," katanya.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan Mohd Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dungun telah memfailkan saman terhadap Abdul Hadi bagi membersihkan namanya susulan dikaitkan dengan pil kuda pada ceramah PRU13, lalu.


Subhanallah, Serban dan kopiah masih elok walau telah ditanam 22 tahun lalu.

Ahli Jawatankuasa masjid menggali semula kubur di pekarangan Masjid Jamek Al-Abidi, semalam.

Sungai Petani: Kerja penggalian 11 kubur di pekarangan Masjid Jamek Al-Abidi, Simpang Tiga Pasir di Merbok, dekat sini, semalam, menemui serban dan kopiah putih dalam keadaan masih elok walaupun sudah tertanam sejak 22 tahun lalu.

Kecuali kopiah yang hanya terkoyak sedikit di bahagian atas, serban itu masih tidak terjejas dan melilit dalam bentuk asal.

Penemuan itu terhasil apabila Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) diketuai Sheikh Radzi Abdul Mutalib memantau kerja penggalian semula kubur berkenaan untuk dikebumikan di tanah perkuburan lain di dalam masjid berkenaan, sekali gus memberi laluan kepada pembesarannya.

Serban dan kopiah itu milik Allahyarham Shamsudin Abas yang meninggal dunia ketika berusia lebih 80 tahun pada 1992 dan dikebumikan di masjid itu yang dibina pada 1942.

Cucu ketujuhnya, Rohana Shamsudin, 48, berkata, arwah datuknya dikebumikan bersama serban dan kopiah selepas sakit tua selama dua bulan.

Maria bimbang keselamatan pemain Brazil - Adakah Duta Brazil cuba memalukan Malaysia?

Maria (dua dari kiri) bergambar bersama Flor (dua dari kanan), Evaldo (kiri) dan Impagliazzo.

Kuala Terengganu: Adakah pemain bola sepak Brazil selamat bermain bola sepak di negara ini. Itu yang dipersoalkan Duta Brazil di Malaysia Maria Auxiliadora Figueirado.

Semalam, beliau datang ke negeri ini bagi mengadakan perjumpaan dan meminta penjelasan pihak pengurusan T-Team dengan membincangkan soal keselamatan terutama berhubung pemain bola sepak kelahiran Brazil.

Penyerang T-Team Evaldo Rodrigues didakwa ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pada 1 Februari lalu.

Dalam insiden pada separuh pertama saingan Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu turut membabitkan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo yang ditendang di pangkal paha oleh seorang anggota keselamatan.

Maria berkata, tugas kedutaan adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Brazil yang tinggal di negara asing dalam kedudukan selamat.

‘FAM perlu pembaharuan’

Tengku Mahkota Johor antara yang layak menerajui FAM

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk seorang presiden baru mengemudi tampuk pemerintahan FAM apabila jawatan itu dipertandingkan pada kongres badan induk itu pada 25 Mei depan.

Bukan bermaksud menidakkan sumbangan presiden ketika ini iaitu Sultan Ahmad Shah, namun bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, situasi semasa sememangnya memerlukan satu pembaharuan dalam kepimpinan bola sepak di negara ini.

Annuar berkata, sekiranya semua pihak mahukan perubahan, maka beliau mencabar calon-calon yang berkelayakan serta berkaliber supaya tampil ke depan dan tidak hanya terus menerus menyalahkan presiden sedia ada kerana baginda berada di tampuk kepimpinan kini juga adalah kerana mendapat sokongan daripada ahli gabungan FAM.

“Sebenarnya daripada segi statut FAM, memang daripada dulu pun jawatan ini (presiden) dipertandingkan, masalahnya ramai yang takut nak tawarkan diri.

“Saya fikir untuk kali ini, harap ada keberanian daripada pihak badan gabungan, tak memadai dengan hanya mengeluh sepanjang masa.

“Kalau ada yang berkemampuan, mereka harus dicalonkan. Bola sepak Malaysia kini perlukan satu lonjakan yang besar.

“Masanya sudah sampai, bercakap pun sudah lama dan macam-macam yang sudah kita lalui. Tapi kalau sampai pemilihan kita balik kepada cara lama, maka tidak akan ada apa-apa perubahan,” katanya ketika ditemui pada majlis jersi AFC untuk pasukan Kelantan, semalam. 

Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menghormati sumbangan besar yang sudah dicurahkan oleh Sultan Ahmad Shah, tetapi beliau juga percaya Presiden FAM itu sudah bersedia untuk membuka laluan kepada calon-calon baru.

Ditanya siapakah calon yang beliau rasakan layak untuk mengambil alih jawatan itu, Annuar secara terbuka menyebut beberapa, antaranya termasuklah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

“Saya rasa jawatan ini harus dipegang oleh salah satu presiden badan gabungan. Presiden PBNJ boleh, Presiden Sabah (Persatuan Bola Sepak Sabah), Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Presiden Kuala Lumpur (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur),” katanya.

Annuar tidak layak untuk bertanding pada Kongres FAM untuk penggal 2014-2018 kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan sejak April 2012 kerana mengkritik skuad negara bimbingan Datuk K Rajagobal ketika itu.

Sumber

PDRM dan Imigresen serbu KLCC

Antara pendatang haram yang ditahan

Kuala Lumpur: Hajat sepasang kekasih warga Indonesia bersiar-siar sempena cuti hujung minggu untuk melihat keindahan Menara Berkembar PETRONAS terbantut apabila ditahan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, semalam.

Pasangan berusia 20-an itu antara 350 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula jam 10 pagi di sekitar pusat beli-belah itu.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata, daripada jumlah itu, 170 PATI termasuk empat kanak-kanak ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

“Warga Bangladesh yang ditahan seramai 70 orang diikuti Myanmar (60), Indonesia (20) dan negara lain (20).

“Operasi bersepadu besar-besaran itu turut disertai 250 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan, semalam. Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa di negara ini, dokumen palsu serta pemegang kad pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak diiktiraf.


Saturday, February 22, 2014

Keputusan mahkamah tepat putuskan Karpal bersalah hina Sultan Perak - JATI

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali,
hukuman terhadap Karpal Singh tepat.

SHAH ALAM:  Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi menetapkan Pengerusi DAP Karpal Singh bersalah atas kesalahan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis perlembagaan pada 2009 adalah bertepatan. 

Aidit berkata tindakan Karpal itu bagaimanapun bukan dibuat atas kapasiti siapa menang mahupun kalah sebaliknya dilihat merupakan langkah pertama ketika itu untuk menukar sistem pentadbiran negara yang ada pada hari ini.

Adakah Karpal Singh akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah dijatuhkan hukuman? 
"Keputusan mahkamah itu memang tepat untuk mendapati bahawa Karpal singh bersalah kerana perkara itu memang telah pun dipelihara dalam Perlembagaan Negara kita sebagai peraturan yang mengatur cara pentadbiran termasuk pemilihan-pemilihan pemimpin-pemimpin negeri tertentu. 

"Justeru pada saya apabila Karpal Singh mencabar itu bukan dia kira dia boleh menang atau pun tidak, tetapi dia telah memulakan usaha-usaha bersama-sama pemimpin-pemimpin DAP yang lain dan juga sebahagian daripada tokoh-tokoh pembangkang yang lain. 

"Mereka ini sejak kebelakangan ini mereka hendak melihat sejauh mana mereka mendapat sokongan dan berjaya hatta hendak menukar tunggak-tunggak yang telah membina negara kita," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Hakim Mahkamah tinggi Azman Abdullah yang memutuskan Karpal bersalah atas tindakannya itu pada 2009. 

Malah katanya tindakan Karpal itu dibuat selepas berlakunya tsunami politik pada 2008 yang ketika itu DAP sudah bergabung dengan PKR dan PAS di bawah naungan Pakatan Rakyat. 

"Berdasarkan Islam agama negara, hak-hak Melayu sebagai Bumiputera, dan peranan institusi Raja sebagai pemelihara agama Islam. 

"Sekarang ini saya lihat sejak kebelakangan ini, sejak tahun 2008 kiranya, itulah mereka punya strategi sekarang," katanya. 

"Sebab sebelum tahun 2008, mereka tidak berani hendak uji lebih-lebih daripada apa yang patut sebab politik mereka tidak kuat tetapi tsunami 2008 telah memberikan mereka kelebihan atau mereka sekarang pergi kepada fasa kedua, dan fasa kedua ini mereka hendak melihat adakah kemungkinan mereka boleh menukar tunggak-tunggak ini," katanya.

Aidit selain itu berkata, jika perkara ini tidak dibendung, bimbang perkara ini akan terus berleluasa sehingga ada fasa ketiga yang mahu merombak sepenuhnya dasar-dasar kerajaan yang ada pada hari ini. 

"Malah sekarang saya lihat sudah ada usaha fasa yang ketiga, dan fasa ketiga ini bukan lagi uji-uji tetapi terus memajukan idea-idea untuk menukar usaha itu. 

"Sudah mula ada pihak-pihak yang tidak senang dengan tunggak-tunggak negara kita, mereka sudah bermain-main dengan konsep demokrasi yang mahu mewujudkan republik. Ini adalah untuk apa? Untuk menukar institusi Raja. 

"Mereka sedar dan berani memainkan konsep agama Islam itu dan agama lain itu semuanya sama rata, sebab apa? Sebab mereka hendak membawa persepsi tiada satu agama yang benar, semua agama yang boleh bawa kepada keredhaan Tuhan, jadi satu-satu mereka telah uji dan mereka juga bawa hak pemeliharaan hak orang Melayu itu adalah satu rasisme," katanya. 

Peguam veteran itu hari ini didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis perlembagaan pada 2009 ketika bekas Menteri Besar Perak, Datuk Nizar Jamaluddin digugurkan tidak menjadi Menteri Besar Perak yang sah. 

Karpal, 73, yang juga Pengerusi DAP, juga berisiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana kesalahan itu membawa sehingga denda berjumlah RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber - SINAR HARIAN

KELEBIHAN BERSUAMI BOROI, GEMUK

Kepada wanita, sudikah anda menerima suami yang perutnya seperti ini

BOROI. Malangnya perkataan itu, ia jadi musuh hampir semua orang.

Bagi lelaki, mereka sanggup buat apa sahaja untuk memastikan diri tidak termasuk dalam golongan yang malang itu terutama apabila usia menjangkau 40-an.

Namun dalam berusaha, hanya sedikit yang berjaya. Ini berkait dengan banyak sebab, pemakanan, gaya hidup juga soal istiqamah dalam bersenam.

Bagi wanita pula, mereka seboleh mungkin tidak mahu pasangan boroi kerana hakikatnya, sesiapa yang boroi akan dipandang hodoh seperti kuih yang tidak ikut bentuk acuan.

Namun dalam berdepan dengan isu boroi, kita kadang kala diperdengarkan dengan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa lelaki boroi juga punya kelebihan.

Ini termasuk pengakuan oleh wanita sendiri yang saya dapati melalui tinjauan media sosial menyebut bahawa lelaki boroi itu seksi. Benarkah?

Saya kira ini mungkin sekadar alasan untuk menyedapkan hati kerana secara relatif, bagaimana boroi mahu dianggap seksi. Apakah kuih yang jadinya tidak mengikut bentuk acuan semestinya sedap?

Ya, saya sendiri termasuk dalam kategori boroi. Dan untuk menyedapkan hati sendiri, sejak berkahwin, saya sering mengatakan kepada sesiapa sahaja yang membangkitkan isu keboroian saya bahawa hanya jauhari yang mengenal manikam. Kononnya, hanya wanita yang bersuamikan lelaki boroi sahaja tahu kelebihan kami.

Kadang kala saya membuat perbandingan bahawa kami yang boroi ini seumpama minyak masak Seri Murni yang melalui proses pemeringkatan dua kali untuk mendapat kualiti  terbaik.

Sesiapa yang tidak fahami  metafora ini, cuba-cuba fikir sendiri untuk mendapatkan jawapannya!

Baru-baru ini saya ditemukan dengan satu lagi kenyataan bahawa lelaki boroi dikatakan lebih penyayang, berfikiran jauh (mungkin sebab hujung perutnya lebih jauh dari otak) dan satu lagi, seksi.

Itu berkaitan dengan boroi.

Dalam kes gemuk atau berat badan berlebihan, satu soal selidik di Jerman mendapati lelaki yang termasuk dalam kategori itu lebih setia dalam percintaan berbanding mereka yang mempunyai berat badan ideal ataupun kurus.

Gambar hiasan
Sekumpulan lelaki berusia antara 31 hingga 69 tahun ditanya mengenai tahap kesetiaan mereka dalam hubungan cinta termasuk yang sudah berkahwin.

Hasilnya mendapati daripada 53 peratus yang memberikan jawapan, hanya 11 peratus yang mengaku benar-benar setia dan mereka terdiri daripada lelaki-lelaki gemuk.

23 peratus lagi yang dikenal pasti mempunyai berat badan ideal, mengaku curang. Demikian juga 19 peratus mereka yang dikategorikan sebagai kurus.

Apa pun, saya tidak jamin ini juga cerminan bagi orang kita.

Namun harus jadi ingatan bahawa setiap apa yang padanya ada kelebihan, pasti ada kekurangan dan setiap yang dianggap kurang, pasti ada kelebihan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, dan bagaimana seadanya kita.

Kepada mereka yang termasuk kategori gemuk atau boroi, usahlah lagi bergundah gulana. Jangan dibenci, apa lagi dikeji 'tembikai masak' anda kerana di situlah tersimpan rahsia kelebihan diri anda yang tidak banyak diketahui orang. 

Uar-uarkanlah bahawa anda bukanlah kuih yang jadinya tidak mengikut acuan kerana bahulu yang rupanya cantik molek bukan semestinya sedap!

Kepada isteri-isteri yang suaminya boroi atau gemuk, anggaplah diri anda bertuah kerana zaman sekarang, ramai suami yang tidak setia. Yakinlah selagi mana perut suami anda boroi dan badannya juga gemuk, itulah tanda dia setia.

Lazimnya, jarang ada wanita muda yang mahu lelaki seperti itu melainkan jika dompetnya juga benar-benar boroi dan gemuk!

Ditulis oleh: MUHAMAD MAT YAKIM

Sumber - SINAR HARIAN