Siapa bakal MB Selangor?.......... atau mungkinkah kedua-duanya akan tercicir |
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib akan dibawa masuk ke dalam pentadbiran negeri Selangor sekiranya Anwar Ibrahim menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang kelak?
Dalam ceramahnya di Kompleks Penghulu di sini malam Khamis lalu, Anwar berkata, kebolehan bekas veteran Umno itu mengurus pembangunan desa amat diperlukan dalam memantapkan pentadbiran negeri.
Menurut Anwar jika kebolehan Tan Sri Muhammad ini digabungkan dengan kepakaran mengurus ekonomi oleh Menteri Besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentu ia akan memberi manfaat besar kepada pembangunan Selangor.
"Ukurannya ialah apa manfaat kepada rakyat. Ini yang dimulakan Tan Sri Khalid kita kena tingkatkan malah supaya dia dapat teruskan membantu dalam kerajaan negeri Selangor nanti.
"Tapi saya juga nak panggil orang macam Tan Sri Muhammad Taib kerana beliau dari segi program desa dan luar bandar, beliau ada dasarnya.. Dan kita manfaatkan peranannya," katanya di hadapan kira-kira 150 hadirin.
Kenapa tiba-tiba khidmat Mat Tyson diperlukan di Selangor?
Muhammad atau dikenali sebagai Mat Tyson sebelum ini pernah mengumumkan menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mantan Menteri Besar Bekas Selangor itu juga adalah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang berkhidmat di antara 18 Mac 2008 sehingga 9 April 2009.
Beliau yang menerajui Selangor selama hampir 11 tahun melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor setelah Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah cuba membawa wang tunai sebanyak RM 2.4 juta ke Australia.
Mengapa tiba-tiba khidmat Tan Sri Muhammad diperlukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor? Adakah kerana beliau adalah bekas ipar Sultan Selangor?
Atau, adakah kerana Tan Sri Muhammad juga kini adalah seorang ahli PAS? mungkinkah ini adalah inisiatif Anwar untuk melembutkan sikap PAS terhadap pelan “Gerak Kajangnya” untuk merempuh Putrajaya?
Umum tahu Anwar masih menghadapi sikap “degil” PAS tidak mahu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia mahupun Menteri Besar Selangor. Adakah ini satu muslihat baru Anwar untuk menyejukkan hati PAS dengan “memuliakan” seorang ahli PAS dalam urusan kerajaan negeri?
Atau, adakah kerana Anwar ingin memanfaatkan kedudukan Tan Sri Muhammad yang pernah menjadi ahli keluarga di raja untuk melobi bagi pihaknya mendapat perkenan Sultan dilantik Menteri Besar jika menang PRK Kajang?
Anwar mahu Mat Tyson jadi 'regu'nya dalam politik Selangor?
Mengenali watak politik Anwar ini bukan satu kemustahilan. Tan Sri Muhammad Taib yang terpaksa bersara ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu kerana “kesilapan peribadinya” membawa masuk sejumlah wang ke Australia, kini akan dijadikan “regu politik” barunya.
Jika benar Tan Sri Muhammad mahu diambil masuk dalam kerajaan Selangor, apakah nasib Tan Sri Khalid Ibrahim?, adakah kenyataan Anwar ini satu pengesahan bahawa apapun halangannya, beliau tetap mahu menjadi Menteri Besar selepas PRK Kajang 23 April nanti?
Masih ingat peranan yang diberikan pada Saifudin Nasution?
Apakah apabila beliau menjadi Menteri Besar nanti, Anwar akan lantik dua penasihat ekonomi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk urusan ekonomi makro Selangor dan seorang lagi Tan Sri Muhammad bagi menasihatinya akan ehwal pembangunan desa?
Jika benar demikian, apa akan jadi pada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini ditimang-timang untuk menjadi penggerak pembangunan luar bandar dengan pelantikan yang pernah dibuat oleh Tan Sri Khalid?
Sejak kongres PKR lalu, nama Saifuddin sudah dilambung-lambung oleh Anwar untuk menjadi “perantara” PKR dengan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Khalid.
Ramai dalam PKR yang merungut bahawa Khalid terlalu “kedekut” untuk membantu PKR. Malah ramai yang menyalahkan para penasihatnya seperti Faekah Husin dan Arfaeza Aziz serta Rohani Talib yang sering “mengabaikan” keperluan parti.
Untuk menjadi jambatan di antara kedua pihak, PKR dan Kerajaan Negeri Selangor, Saifuddin diumumkan akan melaksanakan tugas berkenaan. Dan, demi memastikan beliau boleh “melentur” penasihat-penasihat Khalid, Saifuddin akan diangkat sebagai Ketua Staff Pejabat Menteri Besar.
Bagaimanapun sukar dipastikan sama ada itu adalah hanya alasan digunakan Khalid atau Anwar sendiri. Yang pastinya pelantikan yang dibuat Khalid itu hanya satu kenyataan politik untuk meredakan kemarahan ahli parti terhadap pentadbiran Khalid.
Anehnya setelah beberapa bulan pelantikan itu dibuat, Khalid mengumumkan kedudukan Saifuddin sebagai pegawai yang bertanggungjawab untuk menyusun program pembangunan luar bandar di Selangor pula.
Adalah kurang pasti sudah berapa kali Saifuddin menyertai mesyuarat perancangan luar bandar. Namun yang jelas laporan bahawa beliau masih belum berpejabat di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri masih tidak berubah.
Kini Anwar sudah buat pencerahan. Dalam kempennya malam Khamis lalu, beliau sudah mengumumkan bahawa Tan Sri Muhammad Taib adalah pilihan sebenarnya untuk memetakan pembangunan desa Selangor dan bukan Saifuddin.
Hati Saifuddin tergores lagi
Demikian adalah jenama politik Anwar, lepas jambatan tongkat dibuang. Sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi. Jika Tan Sri Muhammad boleh menjadi regu politik lebih baik untuk mendapat perkenan Sultan apa sahaja boleh dijanjikan oleh Anwar walaupun hati Saifuddin mungkin tercalar dengan perubahan citarasa Anwar itu.
Namun yang lebih sugul selepas pengumuman Anwar ini pastinya Tan Sri Khalid. Nampaknya semakin dekat hari penamaan calon untuk mengesahhkan kedudukan Anwar sebagai Adun Selangor, semakin jelas bahawa Anwar mahu Khalid mengosongkan kerusi Menteri Besar.
Azmin Ali? Mungkin akan kekal sebagai pemerhati dan memanaskan kerusi Timbalan Presiden PKR sehingga Mei nanti. Mungkin bagi menjaga hati Saifuddin supaya tidak terus terluka, beliau akan “diperakukan” Anwar untuk menyaingi Azmin bagi kerusi itu. Bukankah begitu politik Anwar?.
No comments:
Post a Comment