Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin |
SHAH ALAM: PAS Kelantan perlu bersedia untuk melaksanakan hudud secara saksama termasuk ke atas sultan atau raja dan tidak mengira pangkat, darjat serta keturunan, kata bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Justeru beliau menegaskan PAS Kelantan perlu mengkaji semula pelaksanaan hukum itu agar ia tidak tersasar daripada matlamat keadilan undang-undang Islam itu.
"Saya bukan nak mematikan semangat kerajaan Kelantan, cuma saya minta PAS lihat semula beberapa perkara . Bukan nak halang PAS melaksanakan hudud itu. Dalam dunia ini berdasarkan undian yang dibuat majoriti orang Islam yang berpendidikan, mereka nak kepada Islam.
"(Tetapi) apabila hudud dilaksanakan di Nigeria apabila mereka potong tangan pencuri terus sokongan kepada Islam ditarik. Mereka lihat yang bawahan sahaja yang kena hukuman, kita takut yang curi kayu kena hukum tapi yang curi kayu balak tak kena.
"Hendaklah undang undang disamaratakan sehingga ke peringkat tidak perlu ada dua mahkamah dan mahkamah khas. Sama sahaja antara sultan, raja dan rakyat biasa, terus terang saya sebut. Apabila sampai ke peringkat itu, undang-undang akan adil," katanya di Program Wacana Sinar bertajuk "Hudud : Bersediakah Kita", pada petang tadi.
Asri berkata PAS Kelantan perlu melihat keberanian Brunei untuk melaksanakan hudud ke atas semua rakyatnya termasuk bukan Islam.
"Saya bersetuju bagaimana Brunei nak laksanakan hudud dimana yang Islam dan bukan Islam akan dikenakan hudud.
"Hudud tak boleh dibuat secara tergesa-gesa. negara Islam bukan negara hudud, saya takut salah faham. Hudud adalah mekanisme undang-undang kecil sahaja di sebuah negara Islam yang mementingkan keadilan, kebajikan dan penghormatan satu sama lain.
"Hudud pelengkap untuk mengatasi supaya suasana indah dari dicemari. Negara islam adalah negara kebaikan," katanya.
Malah kata Asri, sebelum melaksanakan hudud, kerajaan PAS Kelantan seharusnya telah menyediakan keadaan kondusif di mana segala prasarana dan kemudahan tersedia untuk menampung pelaksanaan hukum itu.
Maka dengan cara itu, bukan sahaja orang Islam akan menerima pelaksanaan hukum itu, malah turut disambut baik golongan bukan muslim.
"Kita memang ada sedikit perbezaan. Kita bukan menghalang hudud tapi PAS sendiri kena bincang supaya ada manfaat dalam banyak perkara. Ini bukan soal tak setuju hukum. Sebab bila buat dalam keadaan tidak kondusif, orang akan lari dari Islam. Nanti akan ada salah tafsiran mengenai Islam, " katanya lagi.
Wacana yang diadakan pada petang tadi mendapat sambutan menggalakkan apabila ruang Dewan Auditorium 1 dipenuhi dengan orang ramai.
Selain Asri, turut dijemput menjadi panel program tersebut adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah; Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong selain pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik selaku moderator.
Wacana yang berlangsung lebih dua jam itu turut mengupas hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Hukum Jenayah Syariah II 1993 sekiranya usul tersebut mendapat kelulusan pada sidang Dewan Rakyat pada Jun akan datang.
Sumber - Antarapos
No comments:
Post a Comment