Pian Cecupak (dari kiri), Nash dan Boy Iman menerima penganugerahan yang membawa gelaran Datuk oleh pengamal adat pepatih Naning. |
PETALING JAYA: Dua artis yang menerima penganugerahan yang membawa gelaran Datuk daripada puak adat pepatih Naning berasa terkilan apabila ia dipersendakan oleh sesetengah pihak.
Kedua-dua artis berkenaan iaitu Pian (Cecupak) dan Boy Iman menjelaskan adalah tidak wajar mereka dijadikan bahan jenaka kerana keputusan menerima gelaran itu hanya sebagai menghormati permintaan puak tersebut.
“Saya marah dengan mereka yang mempersendakan dan mengutuk tentang peribadi saya serta mempersoalkan gelaran ini tanpa bertanya terlebih dahulu.
“Sudahlah saya dipinggirkan daripada industri seni, kini mereka keji dan melemparkan kata-kata hinaan dengan menjadikan saya sebagai bahan jenaka mereka serta mengungkit kisah lama saya,” ujar Pian dengan nada kesal kepada mStar Online.
Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan pelakon komedi Pian (Cecupak), Boy Iman dan penyanyi Nash dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M) yang membawa gelaran Datuk.
Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu dilakukan semperna hari keputeraan Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning Ke-21, Datuk Nordin Abd Jalil yang diadakan di A Famosa Resort, Melaka pada 4 Mei lalu.
Tindakan Pian dan Boy Iman memuat naik gambar-gambar mereka menerima anugerah berkenaan di laman sosial masing-masing mendapat kritikan banyak pihak kerana gelaran berkenaan dikatakan tidak sah.
Ia mengakibatkan kedua-dua mereka melepaskan rasa tidak puas hati di laman sosial masing-masing sebagai menjawab tuduhan berkenaan.
Dalam pada itu Pian atau nama sebenar Mohd Rafiq Abdul Rahman, 44, berkata, dia tidak pernah berharap atau meminta untuk diberikan gelaran tersebut.
“Bukan saya yang minta atau bayar untuk dapatkan gelaran itu, namun jika pihak mereka ingin memberikannya, saya tidak boleh menolak kerana saya menghormati mereka yang banyak memberi peluang pekerjaan kepada saya selama ini.
“Saya tidak kisah orang ingin iktiraf atau tidak gelaran itu kerana saya menghormati sejarah mereka dahulu, lagi pula saya hanya akan guna gelaran ini pada majlis-majlis rasmi yang dianjurkan puak itu sahaja,” ujarnya.
Pian berkata, dia menerima gelaran itu berikutan sumbangan yang diberikan atas kerja-kerja amal yang dilakukan bersama pihak berkenaan.
Dia juga mempunyai beberapa perancangan dalam membesarkan perniagaan kuah rojaknya bersama koperasi yang dimiliki oleh puak Naning berkenaan.
Sementara itu, pelakon Nurol Iman Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iman menganggap penganugerahan yang diberikan kepada beberapa selebriti termasuk dirinya adalah bagi membolehkan pihak berkenaan mendapat publisiti tentang wujudnya puak itu dalam masyarakat.
“Saya tidak kisah tentang panggilan atau gelaran tersebut, bagi saya penganugerahan yang mereka berikan adalah satu penghormatan terhadap saya atas sumbangan saya kepada mereka.
“Mungkin bagi mereka penganugerahan tersebut dibuat kepada artis adalah untuk membolehkan masyarakat sedar tentang kewujudan mereka dalam masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Boy turut berharap agar masyarakat tidak mempersendakan dan terus menghentamnya secara terbuka di laman-laman sosial tentang perkara ini.
Sementara itu The Star pada 27 Jun 2013 melaporkan, anugerah yang diberikan oleh ketua-ketua wilayah dan pemimpin-pemimpin tradisional mana-mana negeri tidak diiktiraf di negara ini melainkan kurniaan Yang di- Pertuan Agong dan ketua-ketua kerjaaan negeri.
Akhbar Utusan Malaysia pada 30 Mei 2011 turut memetik kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menjelaskan anugerah dan gelaran yang disampaikan oleh kumpulan berkenaan adalah tidak sah dan tidak diiktiraf oleh kerajaan kerana hanya Yang Dipertua Negeri sahaja yang mempunyai hak mengurniakan sebarang darjah kebesaran.
Pihak berkenaan pula mendakwa anugerah itu adalah sah dalam adat pepatih Naning dan tidak menyalahi undang-undang selain tiada kaitan dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan.
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment