"Kalau nak kerja seludup diesel berhenti kerja dengan kerajaan,” - Datuk Seri Mohd Shukri Abdull |
Putrajaya: Harapkan pagar, pagar makan padi. Seorang pegawai penguat kuasa yang sepatutnya bertanggungjawab mengekang penyeludupan diesel bersubsidi bertindak sebaliknya malah mampu hidup mewah hasil daripada penjualan diesel berkenaan.
Tanpa mendedahkan pegawai penguat kuasa dari kementerian mana, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, siasatan awal mendapati akaun bank pegawai penguat kuasa berkenaan mempunyai sejumlah RM1.5 juta hasil daripada penyeludupan diesel bersubsidi.
“Dia (pegawai penguatkuasa) itu sendiri yang terbabit dalam penyeludupan minyak diesel dengan menjualnya sendiri.
Kita sudah dapat mengesan kegiatannya dan duit di dalam akaunnya sudah dirampas.
“Kegiatannya terbongkar hasil siasatan SPRM.
Saya tak boleh sebut dari mana, tetapi siapa yang buat dia rasa pedasnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.
Lebih mengejutkan, Mohd Shukri berkata, ada juga pegawai penguat kuasa yang membeli lori sendiri bagi menjalankan aktiviti penyeludupan diesel semata-mata untuk mengaut keuntungan atas angin walaupun mengetahui kegiatan itu salah.
“Kita menerima banyak maklumat pembabitan pegawai penguat kuasa, malah ada kes mengejutkan membabitkan pegawai penguat kuasa sendiri yang membeli lori untuk menyeludup diesel dan kita dapat mengesan kegiatan mereka.
“Pegawai itu sedang berada dalam radar kami dan ada juga yang sudah ditahan.
Cuma sekarang kita tidak boleh memberi maklumat secara terperinci kerana kes itu belum dibawa ke mahkamah,” katanya.
Sambil meluahkan kekecewaan terhadap pegawai penguat kuasa yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, beliau berkata, sebanyak mana atau sebaik mana pun undang-undang serta peraturan, tetapi jika pegawai penguat kuasa tidak bertanggungjawab isu penyeludupan diesel bersubsidi tidak dapat dikawal dan diatasi.
Menurutnya, SPRM memandang serius perkara itu memandangkan kes meningkat dengan ketara sejak 2010, dan boleh dianggap terlalu melampau.
“Kami sudah ‘penat’ sejak 2010 cuba mengekang isu ini, tetapi ia tetap meningkat setiap tahun,” katanya.
Satu hari nanti orang akan kata SPRM tidur tidak buat kerja, sedangkan ini bukan tanggungjawab SPRM tetapi pegawai penguat kuasa yang diberi tanggungjawab menjaga diesel, kami melihat dari segi rasuah,” katanya.
“Saya menyeru pegawai diamanah untuk mengambil tindakan terhadap kegiatan ini, lakukanlah dengan amanah... kalau nak kerja seludup diesel berhenti kerja dengan kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment