Search This Blog

HOME

Sunday, May 11, 2014

Kalimah Allah: Kristian Indonesia haramkan penggunaannya.

Prof. Manahem Ali

SHAH ALAM: Seorang sarjana agama samawi Indonesia Prof. Manahem Ali berkata, sebahagian penganut Kristian di republik itu kini menolak penggunaan kalimah 'Allah' dalam Bible kerana menganggapnya sebagai sembahan orang Islam.

Pensyarah Universiti Airlangga, Surabaya itu berkata, malah ada juga kelompok Kristian yang mengharamkan terus penggunaan kalimah tersebut dari naskhah tersebut

"Di Indonesia lebih kejam menurut saya, ada kelompok Kristian yang mengharamkan nama Allah dalam kitab Injil kerana ia dianggap (mereka) berhala umat Islam," katanya dalam sidang media sempena “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Ketika mengulas isu yang timbul apabila istilah berkenaan turut digunakan dalam Bible di Malaysia, katanya, Bible berbahasa Melayu yang digunakan di Sarawak itu menggunakan kalimah “Allah” sebagai menggantikan istilah “Tuhan”, yang diterbitkan oleh Lembaga Alkitab Indonesia.

Sedangkan, jelas Manahem, teks asal Bible langsung tidak mengandungi kalimah “Allah”.

Katanya, perkara itu boleh dilihat dalam teks Bible dalam bahasa Greek bagi golongan Kristian Ortodoks dan Protestan, Aramaik bagi Kristian Assyrian, dan bahasa Latin bagi penganut Roman Katolik.

"Kalau kita beranjak dari sisi bahasa sebetulnya tidak boleh (diguna bukan Muslim) kerana ia adalah istilah yang betul-betul berasal dari al-Quran, dan teks Perjanjian Baru (New Testament) tertulis dalam bahasa Greek dan tidak muncul kalimat 'Allah'.

"Jadi kalau kita himpun semua sektor-sektor Kristian, mereka sepakat dalam satu kalimat iaitu teks Perjanjian Baru tidak muncul nama Allah," katanya.

Beliau berpegang pada pandangan bahawa pengunaan kalimah 'Allah' dalam kitab Bible adalah salah daripada segi bahasa.

Manahem memberitahu, kalimah “Allah” yang terdapat dalam Bible bahasa Melayu hari ini terpesong apabila digunakan sebagai nama umum untuk “tuhan” dan bukan sebagai kata ganti nama khas.

"Kalau mereka memahami Allah itu sama dengan Muslim, mungkin kita boleh terima tetapi mereka menyerongkan istilah itu sebagai kata nama umum seperti 'tuhan', 'dewa' dan lain-lain," katanya.

Tambahnya lagi, sarjana bahasa di Indonesia sudah memaklumkan perkara itu kepada penerbit Bible berbahasa Indonesia iaitu Lembaga Alkitab Indonesia namun ia tidak diperbetulkan.

"Setahu saya scholar Indonesia sudah melayangkan surat kepada Lembaga Alkitab supaya meluruskannya secara gramatik.

"Tetapi Lembaga Alkitab Indonesia tidak mengubah kepincangannya dan tetap menggunakan 'Allahku', 'Allahmu," katanya.

No comments:

Post a Comment