Kumpulan Wings dari kiri, Black, Joe, Awie dan Eddie semasa mempromosi album baru mereka 'Menakluk Kosmos' |
KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terkenal, Wings kecewa apabila empat buah lagu terbaharu mereka daripada album terbaharu berjudul Menakluk Kosmos yang dipasarkan menerusi iTunes sejak dua bulan lalu boleh dimuat naik secara percuma.
Pemain gitar utama kumpulan itu, Abdul Zamin Abdul Kadir atau Joe berkata, mereka mendapat maklumat berkenaan daripada peminat dan sebagai penerbit dan komposer dia kesal dengan kejadian itu.
"Tiga buah lagu dari album terbaharu iaitu Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia dan Bisa Yang Tertunda memang dilancarkan di iTunes untuk tujuan promosi tetapi inilah risiko apabila ia dilancarkan secara digital kerana ia mudah dimuat turun secara percuma tanpa kawalan di Internet.
Kumpulan Wings menunjukkan album baru mereka 'Menakluk Kosmos' |
"Paling pelik sebuah lagu yang belum dilancarkan iaitu Hei Lihat Sini yang akan digunakan sebagai lagu runut bunyi sebuah filem terbitan KRU turut dapat dimuat naik secara percuma," katanya kepada mStar Online.
Joe ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan di Hard Rock Cafe di sini, Isnin.
Menakluk Kosmos bakal berada dipasaran pada 22 Mei ini dan turut dijual secara digital menerusi iTunes.
Dalam pada itu, Joe berkata, bukan lagu mereka sahaja boleh dimuat naik secara percuma malah album itu juga boleh didengari menerusi aplikasi Spotify dan Deezer bagi pengguna telefon pintar sebelum sempat album itu dilancarkan.
Jelas Joe, dia dan rakan-rakan pelik bagaimana perkara itu boleh terjadi namun bersyukur pihak syarikat rakaman mereka KRU Music cepat mengambil tindakan.
"Ini bukan kali pertama isu cetak rompak berlaku kepada Wings tetapi ini adalah kali pertama ia berlaku sebelum kami sempat melancarkan album berkenaan.
"Nasib baik KRU Music cepat mengambil tindakan bagi menarik balik album berkenaan dari terus dapat didengar secara percuma menerusi aplikasi itu," jelasnya.
Sementara itu, Awie selaku vokalis utama Wings berkata, biarpun album berkenaan mengambil masa setahun untuk disiapkan namun dia berpuas hati kerana mereka mampu meneliti kekurangan yang ada pada lagu yang dicipta bagi memastikan karya terbaik dipilih untuk diberikan kepada peminat.
Jelasnya lagi, sepanjang 13 tahun tidak menghasilkan album baharu bersama Wings, dia juga perlu memastikan Menakluk Kosmos dapat memenuhi cita rasa pendengar terutamanya peminat setia kumpulan itu.
"Bukan mudah untuk mendapatkan kembali aura cara nyanyian untuk lagu-lagu Wings dan tempoh panjang yang diambil untuk menyiapkan album ini juga memberikan saya peluang untuk benar-benar menjiwai dan memastikan teknik vokal disampaikan dengan baik.
"Malah rakaman vokal saya dilakukan di Pulau Langkawi selama dua minggu pada Disember lalu bagi mendapatkan suasana baharu dan tiada gangguan," ujarnya.
Jelas Awie lagi, mereka yakin peminat dapat menerima album terbaharu ini nanti kerana Menakluk Kosmos adalah karya terbaik mereka setakat ini.
Untuk rekod, Naga Keramat adalah album terakhir kumpulan itu yang mereka rakamkan pada tahun 2002.
Selain Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia dan Bisa Yang Tertunda, album terbaharu itu turut menampilkan tujuh lagi lagu baharu iaitu Menakluk Kosmos, Raja Segala Duri, Komplikasi Pramaya, Gurindam Mahsyar, Adoney Dari Paran, Segitiga Piramida dan Penanti.
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment