Search This Blog

HOME

Tuesday, March 4, 2014

Cara Paling Luarbiasa Promosi Filem-filem Hollywood

Poster filem Borat

Antara cara untuk memastikan sesebuah filem akan berjaya di pasaran ialah dengan cara mempromosikannya kepada khalayak umum. Pelbagai gaya promosi akan dilakukan oleh penerbit semata-mata untuk mendapatkan perhatian masyarakat.

Berikut adalah beberapa cara dan tindakan yang dilakukan yang dianggap luarbiasa untuk mempromosikan sesebuah filem.

The Prisoner Of Zenda (1937)

Lagenda publisiti terkenal Hollywood, Russel Birdwell berjaya mencipta kelainan tersendiri untuk memperkenalkan filem ini kepada dunia. Caranya ialah dengan menerbangkan lebih sedozen penduduk dari Zenda, Ontario yang dibawa ke tayangan perdana dunia bagi filem tersebut yang telah diadakan di bandaraya New York. Dikatakan cara itu telah berjaya memberi kesan kepada filem arahan David O. Selznick yang akhirnya menyaksikan filem ini tercalon dalam dua anugerah Oscar.

Gone with The wind (1939)

Sekali lagi Russel Birdwell mencipta fenomena untuk filem 'Gone with The wind' ini. Namun, caranya agak berbeza kerana apa yang dilakukan ialah menganjurkan ujibakat untuk mencari pelakon utama wanita bagi filem ini yang telah memakan masa selama tiga tahun.

Dalam tempoh tersebut, pengarah kasting telah bergerak ke seluruh negara untuk melakukan ujibakat bagi watak Scarlett O'Hara. Antara aktres yang pernah hadir untuk ujibakat termasuklah Katherine Hepburn, Lana Turner dan Paulette Goddard namun akhirnya seorang pelakon kurang dikenali dari Britain, Vivian Leigh telah terpilih. Filem ini berjaya mencapai matlamatnya dan sehingga kini jumlah keuntungannya mencecah 2.7 bilion mengikut angka masakini.

Teacher's Pet (1958)

Filem yang mengisahkan tentang hidup editor akhbar dan dibintangi oleh aktor Clark Gable dan aktres Doris Day. Oleh kerana filem ini mengenai kisah seorang pemberita, seramai 50 orang pemberita dari Hollywood telah difilemkan ketika berada di meja masing-masing dan beberapa orang daripada mereka diberikan dialog dalam filem tersebut.

Jadi, sudah tentulah cara tersebut mampu menghasilkan impak yang besar kepada filem ini kerana orang-orang akhbar sendiri yang terlibat di dalamnya. Filem ini telah tersenarai sebagai salah satu filem terbaik pada tahun 1958 oleh New York Times dan dicalonkan dalam dua anugerah Oscar.

Down Missouri Way (1946)

Filem yang mengisahkan tentang seorang profesor agrikultur yang mendapatkan tawaran berlakon untuk Baghal terlatihnya bernama Shirley. Jadi, apa yang pihak publisiti filem ini lakukan untuk mempromosikannya ialah dengan membawa Shirley dan Baghal itu bersama-sama dengan iklan filem itu di belakang badannya berjalan di Fifth Avenue dan memasuki sebuah restoran menghadap ke gelanggang gelongsor ais di Plaza Rockefeller.

Pihak akhbar telah membuat liputan mengenai kejadian tersebut dan secara tidak langsung memberikan promosi percuma kepada filem itu tetapi ia tetap gagal membantu filem itu mencapai kutipan Box Office.

Mr. Sardonicus (1961)

Pihak eksekutif Colobia Pictures telah meminta pengarah filem ini, William Castle agar menyudahkan filem itu dengan jalan cerita yang menggembirakan tetapi William memberikan kata putus itu kepada pihak umum.

Dia meminta mereka memberikan undi ke atas penamat cerita bagi watak utama. Hasil kajiannya itu, dia mendapati ramai yang tidak mahukan cerita berakhir dengan gembira. Namun, publisiti itu tetap gagal membantu filem itu berjaya di pasaran.

The Blair Witch Project (1999)

Filem yang hanya menelan belanja sebanyak USD$35,000 ini berjaya mencecah jualan sebanyak USD$249 juta di seluruh dunia. Ini mungkin kejayaan strategi promosi yang dilakukan oleh penerbit. Mereka telah mewar-warkan filem ini kononnya telah ditemui apabila tiga orang pelajar perfileman yang sedang mencari 'Blair witch' telah hilang di dalam hutan di Maryland.

Mereka telah menyenaraikan watak utama filem ini sebagai 'hilang dan dianggap mati' pada Internet Movie Database sebelum filem ini ditayangkan. Mungkin kerana ingin tahu lebih lanjut mengenai publisiti itu, ramai yang keluar menontonnya. Dan teknik mereka akhirnya berjaya!

Office Space (1999)

Filem ini antara lain mengisahkan tiga orang pekerja syarikat yang bertindak balas terhadap suasana kerja mereka yang kurang memberangsangkan. Cara filem ini dipromosikan ialah dengan meletakkan seorang lelaki dalam Kubikel Plexiglas di atas sebuah bangunan pejabat yang bertentangan dengan Times Square.

Ramai orang terutamanya yang berada berhampiran dengan bangunan pejabat merasa simpati dengannya. Filem ini berjaya meraih kejayaan dan telah tersenarai dalam kedudukan ke 65 oleh Bravo pada tahun 2008, untuk filem paling lucu sepanjang zaman.

Borat (2006)

Aktor British, Sacha Baron Cohen, bertindak sebagai pemegang watak utama filem ini iaitu Borat, seorang wartawan dari Kazakhstan. Antara promosi ketara untuk filem ini ialah apa yang dilakukan oleh beliau sendiri misalnya dengan berpakaian lengkap sebagai Borat, Sacha telah ke Rumah Putih untuk menjemput presiden ke tayangan filemnya tetapi telah dihalang oleh Secret Service Rumah Putih.

Malah, tindakannya telah memaksa kerajaan Kazakhstan membuat peringatan kepada penonton bahawa apa yang dilakonkan oleh Sacha tidak semestinya mencerminkan nilai-nilai negara tersebut. Usaha Sacha nampaknya berhasil dan memberikan pulangan lumayan kepada filem itu dengan mengaut keuntungan sebanyak USD$248 juta di seluruh dunia.

INFO - Makanan Yang Sesuai Mengikut Jenis Darah

Dr. Peter J. Adamo

Patutkah anda mengikuti diet tertentu dan senaman berdasarkan jenis darah anda? Itulah apa yang telah dicadangkan oleh Dr. D'Adamo di dalam bukunya yang bertajuk 'Eat Right for Your Blood Type'.

Dr. D'Adamo adalah seorang doktor 'naturopathic' yang merasakan bahawa jenis darah boleh menentukan penyakit dan penyakit-penyakit yang mungkin akan dihidapi oleh badan anda.


Ia adalah satu pendekatan yang menarik, namun belum ada kajian lagi dijalankan, dan tidak ada kajian yang menunjukkan jenis darah boleh menjadi peramal untuk perkembangan sesuatu penyakit.

Walaubagaimanapun, jika anda tertarik dengan idea berdiet mengikut jenis darah, anda boleh teruskan membaca.

Apa yang menentukan kuantiti?

Wanita akan makan dalam kuantiti jumlah yang rendah setiap hari. Menurut Dr. D'Adamo, pengiraan ini adalah berdasarkan etnik.

Dalam jenis darah, anda perlu mengubah pengambilan kumpulan makanan tertentu mengikut kumpulan etnik anda seperti Asia, Caucasian atau Afrika-Amerika.

Kumpulan makanan dan jenis darah

Jenis O. Dinasihatkan untuk mengamalkan pemakanan daging tanpa lemak, ayam , ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin dan tenusu serta senaman dengan bersungguh-sungguh.

Jenis A. Perlu mengamalkan makan makanan soya, bijirin, sayur-sayuran organik dan melakukan senaman yang lebih lembut.

Jenis B. Perlu makan makanan tenusu, daging, hasil keluaran , jagung atau gandum dan melakukan senaman yang sederhana serta dinasihatkan tidak mengambil terlalu banyak kekacang.

Jenis AB. Harus makan makanan laut, tauhu, susu, ayam, daging lembu dan melakukan senaman yang menenangkan.

Faedah mengamalkan pemakanan mengikut jenis darah. 

Dr. D'Adamo menyarankan untuk mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, dan makan protein yang mencukupi dengan mengambil daging tanpa lemak, ayam, makanan soya, makanan laut dan susu rendah lemak. Beliau juga mengesyorkan untuk memakan lemak setiap hari, dan menghadkan gula dan alkohol.

INFO - Makanan Yang Mampu Mengurangkan Tekanan

Anda mengalami tekanan dari tempat kerja?


Anda mengalami tekanan dari tempat kerja? Atau cuaca yang panas membuatkan anda berasa tertekan? Jangan risau. Makanlah makanan yang boleh membebaskan anda daripada stress seperti senarai di bawah:

Oren

Kajian dari German menunjukkan bahawa vitamin C membantu untuk mengurangkan tekanan dan membuatkan tekanan darah menjadi normal semula. Vitamin C juga dikenali untuk meningkatkan sistem imunisasi dalam badan.

Kentang

Kentang boleh mengurangkan stress kerana ia memuaskan keinginan anda untuk mendapatkan karbohidrat dan kemanisan apabila anda berada di bawah tekanan yang berlebihan. Kentang penuh dengan 'betacarotene' dan lain-lain vitamin serta fiber yang membantu badan anda untuk memproses karbohidrat dalam proses yang mantap.

Aprikot kering

Buah aprikot kaya dengan magnesium yang mana dapat mengurangkan tekanan dan boleh mengendurkan otot secara semulajadi.

Almond, pistachio & walnut

Kacang almond penuh dengan vitamin B dan E dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi. Manakala walnut dan pistachio membantu untuk menurunkan tekanan darah.

Ayam belanda

Daging ayam belanda mengandungi amino asid yang juga dipanggil 'L-trytophan'. Amino asid ini juga melepaskan serotonin, satu bahan kimia yang baik untuk otak. Inilah sebabnya orang berasa sangat tenang selepas makan daging ayam belanda.

Bayam

Kekurangan magnesium dalam badan boleh menyebabkan migrain dan rasa keletihan. Satu cawan bayam memberikan 40 peratus magnesium yang anda sememangnya perlu dalam badan.

Salmon

Ikan salmon mempunyai asid lemak Omega 3 yang tinggi yang mana boleh membantu menangani penyakit jantung. Kajian menunjukkan bahawa Omega 3 menyimpan hormon tekanan daripada memuncak.

Avokado

Lemak tidak tepu dan potassium yang ada dalam buah avokado membantu untuk mengurang tekanan darah dalam badan. Potassium yang cukup dalam badan boleh mengurangkan tekanan darah dan tahukah anda, avokado mempunyai lebih potassium berbanding pisang?

Sayur-sayuran hijau

Brokoli, sawi dan sayur-sayuran hijau lain adalah sumber utama vitamin yang membantu menyegarkan badan anda di kala stress.

Benarkah Makanan Mempengaruhi Akhlak Kita?

Sedapnya Nasi Lemak ni.........

Sebagai orang Islam, kita sememangnya tahu bahawa makanan yang ditetapkan haram tidak boleh dimakan. Dalam dunia ini masih banyak lagi makanan halal yang boleh dimakan.

Namun, tahukah kita bahawa makanan yang kita makan juga turut mempengaruhi akhlak seharian kita. Benarkah begitu? Ya benar. Apa yang baik kita masukkan dalam badan kita, maka baiklah akhlak kita. Jika buruk yang kita masukkan dalam badan kita, maka ia akan berlaku sebaliknya.

Makanan yang tidak halal terbahagi kepada tiga kategori;

Pertama: Apa yang kita ketahui secara zahir adalah halal, seperti makanan yang dijual oleh restoran Muslim. Kita tidak dituntut untuk menyemak status para pembekal kepada restoran itu sama ada mereka menepati syarat-syarat halal atau tidak.

Dalam kategori ini, seandainya ada makanan yang tidak halal dalam restoran itu, kita sebagai pengguna tidak berdosa kerana ia bukan sesuatu yang disengajakan.

Allah berfirman: "Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". [al-Ahzab 33:05]

Kedua: Apa yang diketahui sebagai tidak halal secara jelas, namun pada saat itu kita berada dalam keadaan darurat sehingga terpaksa memakannya. Maksud darurat ialah suasana yang mengancam nyawa dan anggota (life and death situation).

Dalam kategori ini, kita sebagai pengguna tidak berdosa untuk memakan sekadar yang perlu kerana suasana darurat tersebut menghalalkan apa yang haram.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". [al-Baqarah 2:173]

Ketiga: Apa yang diketahui secara jelas adalah tidak halal, namun ia tetap sengaja dimakan. Sengaja memakan apa yang tidak halal adalah perbuatan dosa dan semua perbuatan dosa – tanpa terhad kepada makanan tidak halal – akan menggelapkan hati seseorang.

Semakin kerap seseorang itu sengaja melakukan dosa, semakin gelaplah hatinya. Semakin gelap hati seseorang, semakin dia terhijab dari Islam yang sebenar. Semakin jauh dari Islam yang sebenar, semakin rosaklah akhlak orang tersebut.

Rasulullah bersabda berkenaan dosa dan hati: "Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya. Jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih.


Namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang di sebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”(al-Mutaffifin 83:14) [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 4244].

Belanja £150,000 Ketagih Diet Coca!

£150,000 Hanya Untuk Diet Coke

Seorang wanita yang ketagih dengan minuman Diet Coke telah menghabiskan wang sebanyak £150,000 untuk membolehkannya minum hingga 16 liter minuman itu setiap hari.

Sehinggakan pada satu-satu masa, Jakki Ballan sanggup minum 50 tin Diet Coke sehari hanya dalam masa tiga jam.

Ibu kepada tiga orang anak itu mula minum Diet Coke ketika berusia 14 tahun dan sejak itu dia mula ketagih dengan minuman berkenaan.

Adakalanya dia sanggup membelanjakan £500 seminggu semata-mata untuk membeli Diet Coke.

Ballan juga akan panik jika bekalan coke itu tidak mencukupi.

Dia kini mula mendapatkan rawatan perubatan untuk mengatasi ketagihannya itu selepas mengalami halusinasi akibat minum terlalu banyak Diet Coke.

“Ketagihan ini membuat hidup saya kacau-bilau. Saya tidak boleh keluar rumah tanpa memastikan Diet Coke mencukupi.


“Saya kini bimbang dengan kesihatan saya dan saya mahu melihat anak-anak saya membesar,’’ katanya.

SWARA - Budaya Gadai Anak Tebus Maruah!

Bayangkan anak sekecil ini sudah dijadikan isteri


Pada satu petang yang indah, ketika berlari pulang dari sekolah dengan perasaan riang, Saneeda dihampiri ayahnya. Berita yang disampaikan ayahnya sukar untuk diterima.

Ayahnya mahu dia berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dilihatnya bagi ‘menebus kehormatan’ - dan ketika itu umurnya baru lima tahun.

Beberapa bulan sebelum itu, ayah Saneeda, Ali Ahmed menghilangkan diri bersama seorang remaja perempuan dari kampung lain.

Bagi mengelakkan keluarga remaja itu membalas dendam, Ali berjanji akan menyerahkan anak perempuan dan anak saudaranya untuk dikahwinkan.

Budaya menyerahkan atau menawarkan kanak-kanak perempuan untuk dikahwini sebagai pampasan bagi menyelesaikan perbalahan masih diamalkan di kebanyakan tempat di Pakistan.

Di Swat, daerah kelahiran Saneeda, amalan ini dipanggil swara. Data kerajaan menunjukkan empat tahun selepas tamatnya pemerintahan Taliban, budaya ini semakin meningkat di Swat, perkampungan indah yang mendapat nama jolokan ‘Switzerland Pakistan’.

Pada 2013, sebanyak sembilan kes direkodkan, bertambah satu kes berbanding pada 2012. Namun, pejuang hak asasi manusia berkata, jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi kerana ramai yang lebih rela menyembunyikan budaya itu walaupun ia sebenarnya merampas kehidupan kanak-kanak perempuan.

“Ayah menahan saya di tengah jalan dan memberitahu dia sudah menyerahkan saya kepada seseorang melalui budaya swara.

"Tidak lama lagi saya akan diserahkan kepada lelaki yang bakal menjadi suami saya,” kata Saneeda, yang memakai selendang warna keemasan bersulam benang merah dan ungu.


Mendengar berita itu, ibu Saneeda membantah. Ibunya tidak rela melihat anak gadis yang masih kecil terperangkap dalam perkahwinan paksa, tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa.

Salah seorang daripada pemimpin kampung terdiri daripada orang tua yang dihormati (jirga) sudah memberi arahan untuk melaksanakan semua urusan.

“Memang pada awalnya kami fikir boleh melawan. Mereka tidak boleh ambil anak kami, tetapi setiap hari mereka memberikan tekanan supaya kami cepat menyerahkan Saneeda dalam swara,” kata Fazal Ahad, ayah saudara Saneeda daripada keluarga ibunya.

Namun nasib menyebelahi mereka apabila keluarga Saneeda menerima perintah mahkamah untuk melindunginya. Polis menahan Ali Ahmed dan anggota jirga yang bersetuju mengahwinkan Saneeda menerusi amalan swara.

Bagi orang luar, Saneeda yang kini berusia tujuh tahun dianggap sangat bernasib baik. Tetapi keadaan sebenar tidaklah semanis yang disangkakan. Akibat peristiwa itu, sampai sekarang Saneeda diejek dan disisihkan.

“Kawan di sekolah mengejek-ngejek saya, mengatakan saya sebenarnya sudah diserahkan melalui swara dan akan berkahwin,” katanya sedih.

Kes Saneeda ini sebenarnya agak luar biasa kerana keluarganya berani menentang dan mencabar keputusan jirga.

Di negara di mana penduduknya sangat mementingkan nama baik keluarga, tindakan ini dianggap seperti menyingkap kain sendiri dan ia amat jarang berlaku.

Kebanyakan keluarga akur dengan keputusan jirga dan melepaskan anak dara sunti untuk menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya.

“Memang ada banyak kes swara, tetapi penduduk di sini tidak mendapatkan khidmat polis dan mahkamah. Malah, tidak mahu pun ia dihebahkan.

"Penduduk di sini tidak bawa kes berkaitan wanita ke mahkamah. Kanak-kanak perempuan yang jadi mangsa perlu menanggung semuanya sendirian,” kata Fazal.

Pihak berkuasa juga tidak menyimpan data mengenai swara, tetapi menurut Samar Minallah, aktivis yang menghasilkan dokumentari mengenai amalan ini berkata, dia sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 132 kes swara di Pakistan sejak 2012.

Seorang lagi remaja perempuan yang diserahkan oleh bapa Saneeda ialah Sapna, yang kini berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, Sapna terpaksa akur dengan keputusan jirga dan berkahwin dengan lelaki yang dipilih untuknya.

Sikap penduduk setempat yang amat mematuhi peraturan budaya swara dan menjaga kerahsiaan, membantutkan usaha wartawan untuk berjumpa dengan Sapna.

Fazal berkata, sembilan kes swara yang dilaporkan di Swat adalah serpihan kecil daripada jumlah kes sebenar.

Bagaimanapun, apa yang menggembirakan, kini semakin ramai mangsa bersedia untuk membuat pengakuan dan bercerita mengenai kisah hidup mereka.

“Melalui laporan media, kini orang ramai semakin sedar bahawa amalan ini menindas hak kanak-kanak perempuan dan ia adalah satu kesalahan. Jadi sesetengah daripada mereka mula tampil membuat laporan,” katanya.

Perkahwinan bawah umur secara paksa ini sebenarnya melanggar undang-undang, tetapi polis berkata, siasatan kes seperti ini sering menemui jalan buntu kerana kebanyakan saksi keberatan untuk memberikan keterangan.

“Dalam kes swara, saksi tidak memberikan bukti untuk menyalahkan atau menentang satu sama lain kerana mereka tinggal di kampung yang sama,” kata Naveed Khan, pegawai polis kanan di Mingora, Swat.

“Contohnya dalam satu kes perkahwinan swara pada 2012, semua 12 yang tertuduh dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk menyabitkan kesalahan mereka. Tiada siapa mahu memberi keterangan dalam kes seperti itu,” ceritanya.

Sambungnya lagi, pada 2013, pihak berkuasa menangkap 65 suspek dalam sembilan kes swara (termasuk bapa Saneeda), tetapi nasib mereka bergantung kepada keputusan mahkamah.

Kumpulan pejuang hak wanita berkata, kerajaan perlu berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk menghapuskan budaya swara.

“Ada lebih 15 kes swara yang diberi pendedahan,” kata Tabassum Adnan Safi, pengerusi kempen kumpulan pejuang hak wanita di Swat.

“Kami sedang berusaha meningkatkan kesedaran wanita mengenai betapa buruknya budaya ini.

"Selain kempen kesedaran, kami juga mengadakan protes menentang amalan swara dan cuba mendapatkan sokongan ramai supaya kanak-kanak perempuan dilindungi.

"Namun saya mengakui, bukan mudah hendak mendapatkan saksi yang bersedia memberikan keterangan di mahkamah,” sambungnya.

Menurut Samar Minallah, perubahan tidak akan berlaku sekiranya polis dan pendakwa tidak bersedia mencabar jirga.

Ini satu tugas yang sukar khususnya di kawasan di mana struktur pemerintahan tradisional amat dihormati.

“Satu kempen kesedaran terhadap keburukan swara sudah dijalankan dan inilah sebabnya kini semakin banyak kes dilaporkan, tetapi pihak berkuasa perlulah mengambil tindakan tegas terhadap jirga dan menghentikan mereka daripada melanggar undang-undang,” katanya.

Nampaknya impian Samar Minallah masih terlalu jauh untuk digapai kerana sebahagian besar penduduk termasuklah pengamal undang-undang sendiri mempertahankan budaya ini.

“Saya tidak nampak di mana salahnya membuang satu duri dalam masyarakat (si pesalah) demi kebaikan banyak pihak.

"Ia menyelamatkan banyak nyawa dan membawa keharmonian dalam keluarga,” kata Syed Kareem Shalman, peguam di Mingora.

“Jika keluarga yang menerima menantu perempuan menerusi swara menganiayanya, keluarga ini akan berhadapan dengan ancaman atau balas dendam daripada keluarga yang memberikan anak perempuan mereka,” katanya.


Sumber - AFP

PENGOTOR - Gambar pekerja PIZZA Hut kencing di Singki dirakam

Pekerja Pizza Hut pengotor

Sebuah restoran Pizza Hut yang terletak di Mingo County, West Virginia, Amerika Syarikat terpaksa ditutup buat sementara waktu selepas pekerjanya didapati kencing di sinki restoran tersebut.

Sebaik rakaman CCTV perbuatan menjijikkan itu diketahui, restoran tersebut terus diarahkan tutup oleh jabatan kesihatan tempatan untuk menjalani pemeriksaan kebersihan dan kesihatan.

Hal ini kerana perbuatan itu dikhuatiri memberi kesan pada pengguna memandangkan sinki sama digunakan untuk mencuci peralatan yang digunakan untuk memasak makanan dan menghidangkannya pada pelanggan.

Pizza Hut Corporation mengesahkan, lelaki dalam video terbabit adalah Pengurus Daerah mereka yang telah dipecat serta merta kerana tidak mengikut standard operasi dan mencemarkan nama baik syarikat.

Bagaimanapun, jurucakap Pizza Hut turut menjelaskan bahawa perbuatan itu dilakukan selepas waktu operasi.


Sumber - Mynewshub.my