Search This Blog

HOME

Tuesday, March 4, 2014

SWARA - Budaya Gadai Anak Tebus Maruah!

Bayangkan anak sekecil ini sudah dijadikan isteri


Pada satu petang yang indah, ketika berlari pulang dari sekolah dengan perasaan riang, Saneeda dihampiri ayahnya. Berita yang disampaikan ayahnya sukar untuk diterima.

Ayahnya mahu dia berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dilihatnya bagi ‘menebus kehormatan’ - dan ketika itu umurnya baru lima tahun.

Beberapa bulan sebelum itu, ayah Saneeda, Ali Ahmed menghilangkan diri bersama seorang remaja perempuan dari kampung lain.

Bagi mengelakkan keluarga remaja itu membalas dendam, Ali berjanji akan menyerahkan anak perempuan dan anak saudaranya untuk dikahwinkan.

Budaya menyerahkan atau menawarkan kanak-kanak perempuan untuk dikahwini sebagai pampasan bagi menyelesaikan perbalahan masih diamalkan di kebanyakan tempat di Pakistan.

Di Swat, daerah kelahiran Saneeda, amalan ini dipanggil swara. Data kerajaan menunjukkan empat tahun selepas tamatnya pemerintahan Taliban, budaya ini semakin meningkat di Swat, perkampungan indah yang mendapat nama jolokan ‘Switzerland Pakistan’.

Pada 2013, sebanyak sembilan kes direkodkan, bertambah satu kes berbanding pada 2012. Namun, pejuang hak asasi manusia berkata, jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi kerana ramai yang lebih rela menyembunyikan budaya itu walaupun ia sebenarnya merampas kehidupan kanak-kanak perempuan.

“Ayah menahan saya di tengah jalan dan memberitahu dia sudah menyerahkan saya kepada seseorang melalui budaya swara.

"Tidak lama lagi saya akan diserahkan kepada lelaki yang bakal menjadi suami saya,” kata Saneeda, yang memakai selendang warna keemasan bersulam benang merah dan ungu.


Mendengar berita itu, ibu Saneeda membantah. Ibunya tidak rela melihat anak gadis yang masih kecil terperangkap dalam perkahwinan paksa, tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa.

Salah seorang daripada pemimpin kampung terdiri daripada orang tua yang dihormati (jirga) sudah memberi arahan untuk melaksanakan semua urusan.

“Memang pada awalnya kami fikir boleh melawan. Mereka tidak boleh ambil anak kami, tetapi setiap hari mereka memberikan tekanan supaya kami cepat menyerahkan Saneeda dalam swara,” kata Fazal Ahad, ayah saudara Saneeda daripada keluarga ibunya.

Namun nasib menyebelahi mereka apabila keluarga Saneeda menerima perintah mahkamah untuk melindunginya. Polis menahan Ali Ahmed dan anggota jirga yang bersetuju mengahwinkan Saneeda menerusi amalan swara.

Bagi orang luar, Saneeda yang kini berusia tujuh tahun dianggap sangat bernasib baik. Tetapi keadaan sebenar tidaklah semanis yang disangkakan. Akibat peristiwa itu, sampai sekarang Saneeda diejek dan disisihkan.

“Kawan di sekolah mengejek-ngejek saya, mengatakan saya sebenarnya sudah diserahkan melalui swara dan akan berkahwin,” katanya sedih.

Kes Saneeda ini sebenarnya agak luar biasa kerana keluarganya berani menentang dan mencabar keputusan jirga.

Di negara di mana penduduknya sangat mementingkan nama baik keluarga, tindakan ini dianggap seperti menyingkap kain sendiri dan ia amat jarang berlaku.

Kebanyakan keluarga akur dengan keputusan jirga dan melepaskan anak dara sunti untuk menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya.

“Memang ada banyak kes swara, tetapi penduduk di sini tidak mendapatkan khidmat polis dan mahkamah. Malah, tidak mahu pun ia dihebahkan.

"Penduduk di sini tidak bawa kes berkaitan wanita ke mahkamah. Kanak-kanak perempuan yang jadi mangsa perlu menanggung semuanya sendirian,” kata Fazal.

Pihak berkuasa juga tidak menyimpan data mengenai swara, tetapi menurut Samar Minallah, aktivis yang menghasilkan dokumentari mengenai amalan ini berkata, dia sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 132 kes swara di Pakistan sejak 2012.

Seorang lagi remaja perempuan yang diserahkan oleh bapa Saneeda ialah Sapna, yang kini berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, Sapna terpaksa akur dengan keputusan jirga dan berkahwin dengan lelaki yang dipilih untuknya.

Sikap penduduk setempat yang amat mematuhi peraturan budaya swara dan menjaga kerahsiaan, membantutkan usaha wartawan untuk berjumpa dengan Sapna.

Fazal berkata, sembilan kes swara yang dilaporkan di Swat adalah serpihan kecil daripada jumlah kes sebenar.

Bagaimanapun, apa yang menggembirakan, kini semakin ramai mangsa bersedia untuk membuat pengakuan dan bercerita mengenai kisah hidup mereka.

“Melalui laporan media, kini orang ramai semakin sedar bahawa amalan ini menindas hak kanak-kanak perempuan dan ia adalah satu kesalahan. Jadi sesetengah daripada mereka mula tampil membuat laporan,” katanya.

Perkahwinan bawah umur secara paksa ini sebenarnya melanggar undang-undang, tetapi polis berkata, siasatan kes seperti ini sering menemui jalan buntu kerana kebanyakan saksi keberatan untuk memberikan keterangan.

“Dalam kes swara, saksi tidak memberikan bukti untuk menyalahkan atau menentang satu sama lain kerana mereka tinggal di kampung yang sama,” kata Naveed Khan, pegawai polis kanan di Mingora, Swat.

“Contohnya dalam satu kes perkahwinan swara pada 2012, semua 12 yang tertuduh dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk menyabitkan kesalahan mereka. Tiada siapa mahu memberi keterangan dalam kes seperti itu,” ceritanya.

Sambungnya lagi, pada 2013, pihak berkuasa menangkap 65 suspek dalam sembilan kes swara (termasuk bapa Saneeda), tetapi nasib mereka bergantung kepada keputusan mahkamah.

Kumpulan pejuang hak wanita berkata, kerajaan perlu berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk menghapuskan budaya swara.

“Ada lebih 15 kes swara yang diberi pendedahan,” kata Tabassum Adnan Safi, pengerusi kempen kumpulan pejuang hak wanita di Swat.

“Kami sedang berusaha meningkatkan kesedaran wanita mengenai betapa buruknya budaya ini.

"Selain kempen kesedaran, kami juga mengadakan protes menentang amalan swara dan cuba mendapatkan sokongan ramai supaya kanak-kanak perempuan dilindungi.

"Namun saya mengakui, bukan mudah hendak mendapatkan saksi yang bersedia memberikan keterangan di mahkamah,” sambungnya.

Menurut Samar Minallah, perubahan tidak akan berlaku sekiranya polis dan pendakwa tidak bersedia mencabar jirga.

Ini satu tugas yang sukar khususnya di kawasan di mana struktur pemerintahan tradisional amat dihormati.

“Satu kempen kesedaran terhadap keburukan swara sudah dijalankan dan inilah sebabnya kini semakin banyak kes dilaporkan, tetapi pihak berkuasa perlulah mengambil tindakan tegas terhadap jirga dan menghentikan mereka daripada melanggar undang-undang,” katanya.

Nampaknya impian Samar Minallah masih terlalu jauh untuk digapai kerana sebahagian besar penduduk termasuklah pengamal undang-undang sendiri mempertahankan budaya ini.

“Saya tidak nampak di mana salahnya membuang satu duri dalam masyarakat (si pesalah) demi kebaikan banyak pihak.

"Ia menyelamatkan banyak nyawa dan membawa keharmonian dalam keluarga,” kata Syed Kareem Shalman, peguam di Mingora.

“Jika keluarga yang menerima menantu perempuan menerusi swara menganiayanya, keluarga ini akan berhadapan dengan ancaman atau balas dendam daripada keluarga yang memberikan anak perempuan mereka,” katanya.


Sumber - AFP

No comments:

Post a Comment