Search This Blog

HOME

Wednesday, March 5, 2014

Usaha Menghapuskan Minoriti Umat Islam di Republik Afrika Tengah.

Orang Islam dibunuh sewenang-wenangnya

Rancangan jahat menghapuskan orang Islam di Republik Afrika Tengah menyebabkan krisis kemanusiaan semakin meruncing sejak awal tahun lalu.

Kira-kira 1.4 juta penduduk minoriti Islam menjadi sasaran keganasan kumpulan militia Kristian yang menggelar diri mereka sebagai anti-Balaka.

Penasihat kanan Amnesty International, Joanne Mariner berkata, militia anti-Balaka melancarkan kempen pembersihan orang Islam secara besar-besaran di negara terbabit dan menyelar kumpulan pengaman antarabangsa kerana gagal menghalang perbuatan itu.

“Walaupun terdapat kira-kira 1,600 askar Perancis ditempatkan di negara bergolak itu bersama 6,000 anggota pasukan pengaman Kesatuan Afrika (Misca), mereka masih gagal menghentikan pertelagahan antara kedua-dua puak tersebut,” tegasnya.

Difahamkan, insiden keganasan etnik pada kali ini adalah paling buruk sejak bekas Presiden Michel Djotodia meletak jawatan pada 10 Januari lalu.

Selain itu, ada pihak mendakwa, faktor utama menyebabkan keganasan etnik itu kerana negara Barat dan sekutunya tidak senang dengan perkembangan Islam di negara tersebut.

Pengusiran secara paksa

Kumpulan hak asasi manusia (HRW) menyatakan, serangan ke atas penduduk Islam sememangnya sudah dapat dijangka.

Menurut laporan Amnesty, lebih 100 penduduk di barat dan utara negara itu menjadi saksi kekejaman ke atas orang Islam selepas kumpulan pelampau Kristian tersebut meneruskan rancangan menghapuskan dan mengusir orang Islam secara paksa dari negara itu.

Keganasan paling teruk direkodkan adalah di bandar utara Bossemptele, di mana sekurang-kurangnya 100 orang termasuk warga emas dan seorang imam lingkungan 70-an dibunuh, Januari lalu.

Selain itu, beberapa bandar lain seperti Bouali, Boyali dan Baoro turut menjadi sasaran serangan militia anti-Blaka sejak akhir tahun lalu.

Keganasan itu menyebabkan banyak pihak mula khuatir jika insiden pembunuhan beramai-ramai seperti di Rwanda hampir 20 tahun lalu kembali berulang.

Bencana kemanusian terburuk

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres memberitahu, beliau telah menyaksikan bencana kemanusiaan terburuk dan sentimen anti-Islam di Republik Afrika Tengah.

Menurutnya lagi, sebahagian daripada penduduk Islam masih terperangkap di dalam negara itu akibat tindakan pengepungan kumpulan militia anti-Balaka.

Sementara itu, Pengarah Kecemasan HRW, Peter Bouckaert memaklumkan etnik minoriti tersebut turut berhadapan ancaman bunuh.

“Sebelum konfl ik itu tercetus, populasi orang Islam mencecah sehingga 30,000 orang.

Namun, kini jumlahnya kurang daripada 500 orang selain tujuh daripada lapan masjid dimusnahkan sewenang-wenangnya,” jelasnya lagi.

80 peratus pelarian di dunia adalah orang Islam

Negara berkeluasan 623,000 kilometer persegi ini didiami kira-kira lima juta penduduk.

Sejak lima dekad lalu, Republik Afrika Tengah berada di bawah pemerintahan kuku besi selepas mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 1960.

Ia turut disenaraikan sebagai negara termiskin di dunia walaupun kaya dengan emas, kayu balak, berlian dan uranium.

Penduduk Islam minoriti di negara itu hanya 15 peratus atau 750,000 orang namun, mereka mampu menguasai bidang ekonomi dan perdagangan.

Bagaimana kekacauan tercetus

Gabungan kumpulan Islam, Seleka pimpinan Michel Djotodia menggulingkan bekas Presiden Francois Bozize dalam rampasan kuasa, Mac tahun lalu. Beberapa bulan sebelum itu, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan kerajaan perpaduan yang akan dipimpin oleh beliau.

Bagaimanapun, perjanjian damai tersebut gagal dilaksanakan selepas kumpulan Seleka semakin mara dan menawan beberapa bandar termasuk ibu negara.

Ketegangan yang memuncak menyebabkan Bozize terpaksa melarikan diri ke Cameroon. Difahamkan, beliau pernah mengetuai rampasan kuasa, kira-kira 10 tahun lalu dan memenangi pilihan raya pada 2005 serta 2011.

Apa berlaku selepas Bozize digulingkan

Negara itu menjadi huru-hara akibat krisis politik. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 400,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh beberapa bulan.

Bagaimanapun, konflik semakin meningkat selepas kebangkitan kumpulan anti-Balaka yang melancarkan kempen penghapusan etnik Islam hingga menyebabkan pasukan pengaman antarabangsa terpaksa campur tangan.

Pada 10 Januari lalu, Djotodia akhirnya meletak jawatan, selepas banyak pihak mempertikaikan kredibiliti beliau kerana gagal menamatkan pertumpahan di Republik Afrika Tengah.

Susulan daripada pengunduran Djotodia, bekas Datuk Bandar Bangui, Catherine Samba-Panza menjadi wanita pertama dilantik sebagai presiden sementara pada 23 Januari lalu.

Berapakah jumlah korban keganasan etnik tersebut

Kaki tangan Palang Merah Antarabangsa melaporkan, lebih seribu mayat ditemui bergelimpangan di sekitar ibu negara sejak 5 Disember lalu.

Selain itu, kira-kira 133 kanak-kanak dibunuh sejak dua bulan lalu dan sebahagian daripadanya turut dipancung dan anggota tubuh mereka dikudungkan.

Bagaimana nasib penduduk Islam

Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di negara jiran dan beberapa lokasi di seluruh negara termasuk lapangan terbang di Bangui.

Jumlah pelarian semakin meningkat dikhuatiri menyebabkan bencana kemanusiaan terburuk kerana bekalan makanan dan ubat-ubatan semakin berkurangan akibat sekatan daripada kumpulan militia, anti-Balaka.


Kebanyakan pelarian juga jatuh sakit dan mengalami trauma.

No comments:

Post a Comment