Kapten Zaharie Ahmad Shah bersama Simulator penerbangan dirumahnya. |
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengambil simulator penerbangan daripada rumah juruterbang MH370 itu untuk diperiksa oleh pakar.
Adakah misteri akan terjawab? |
"Kami ke rumah beliau petang semalam dan mengambil simulator dan semuanya yang dapat membantu kami. Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami," katanya pada sidang media yang dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, petang tadi.
Beliau berkata pakar memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapatkan petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat itu.
Menurut laporan media, Zaharie berpengalaman luas dengan rekod 18,365 jam penerbangan telah memasang sendiri simulator penerbangan itu di rumahnya.
Malah, kapten yang mula berkhidmat dengan MAS pada 1981 ini juga dikatakan memiliki kepakaran boleh mendaratkan pesawat penumpang di landasan yang lebih pendek berbanding landasan standard kapal terbang komersial.
Semalam, polis telah memeriksa rumah Kapten Zaharie serta pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid serta membawa beberapa beg yang tidak diketahui kandungannya.
Selain itu, Khalid berkata, siasatan polis masih bertumpu kepada empat fokus iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi.
“Kami belum melengkapkan siasatan terhadap penumpang dalam pesawat dan mengklasifikasikan siasatan terhadap semua penumpang termasuk kru mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan iaitu menjurus kepada kesalahan merampas pesawat, sabotaj termasuk perbuatan pengganas dan semua kesalahan mengikut Akta Penerbangan.
“Itu bermaksud kita menyiasat semua penumpang dalam pesawat berkenaan. Kami juga menyiasat semua pihak yang mempunyai kaitan dengan pesawat termasuk petugas yang tarik kapal terbang,” katanya mengaku belum menerima data lengkap atau profil semua penumpang setakat ini.
Boeing 777-200ER sedang dalam penerbangan ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 kru bila hilang dari imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi. Pesawat dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi.
Nasib penumpang masih tidak diketahui kerana pesawat belum dapat dikesan.
Sumber - Harian Metro
No comments:
Post a Comment