Willebrord Snel Van Royen (1591-1626) dikatakan mencedok fakta asal milik Ibnu Haytam |
Ketika matahari hampir terbenam dibahagian barat dan kemudian terbit di timur, kita akan menyaksikan cahaya kuning kemerah-merahan yang sangat indah di garis horizon atau kaki langit. Sedarkah kita kenapa Allah SWT menciptakan ia sedemikian rupa?
Setelah diteliti dalam tafsir Al-Qur'an, Imam Ibnu Kathir menyimpulkan bahawa cahaya mega atau dalam sebutan bahasa arab, Syafaq, bermaksud kemerah-merahan digaris ufuk. Cahaya itu muncul sama ada sebelum matahari tenggelam atau ketika matahari hendak terbit.
Indahnya ciptaan Allah S.W.T.. |
Berpandukan Al-Qur'an, Ibnu Haytam, saintis Islam paling popular dari Sepanyol telah melakukan kajian berhubung fenomena mega ini.
Hasil penemuannya mendapati kemunculan cahaya merah pada waktu pagi atau ketika senja berlaku ketika matahari berada pada kedudukan 19 darjah di bawah kaki langit.
Fakta saintifik ini telah disebutkan oleh beliau hampir 1,000 tahun dahulu ketika berada di Sepanyol, sebelum meninggal dunia pada 1,039 Masihi.
Difahamkan, fakta dan idea asal milik Ibnu Haytam dicedok oleh seorang ahli fizik Belanda, Willebrord Snel Van Royen (1591-1626).
Willebrord Snel Van Royen (1591-1626)
Dia kemudian mempatenkannya dengan istilah Hukum Snellius untuk digunakan dalam menghitung sudut bias pada cahaya atau gelombang yang melalui udara. Ramai saintis moden hari ini menggunakannya sebagai sumber rujukan ilmiah.
Dengan berpandukan hukum tersebut, kiraan yang dilakukan oleh ahli sains mendapati, 20 minit sebelum matahari naik atau terbenam, matahari akan berada pada kedudukan 5 hingga 10 darjah altitud (garis lintang Bumi).
Apabila matahari berada pada posisi tersebut, cahaya ungu akan muncul di langit dan tersebar dengan meluas kira-kira 40 hingga 60 darjah azimut - ukuran kedudukan sfera. Cahaya ini akan berubah menjadi warna merah selepas melalui tingkat kepadatan gas dan molekul yang melikupi ruang atmosfera bumi.
Ahli sains sepakat mengatakan fenomena mega berlaku kerana adanya lapisan atmosfera yang melikupi bumi.
Sebelum sinaran matahari sampai ke Bumi, ia harus menembusi lapisan atmosfera, melalui titik halus yang dinamakan horizon, seterusnya disebar oleh partikel-partikel kecil di atmosfera.
Atmosfera
Sekiranya Bumi tidak memiliki lapisan atmosfera, fenomena cahaya merah mungkin tidak akan muncul dengan tiba-tiba ketika terbit dan terus hilang begitu sahaja pada waktu terbenam.
Daripada interiaksi itu jugalah, manusia mampu melihat cahaya matahari ketika ia hampir tenggelam dan terbit seperti waktu tengah hari dimana penglihatan kita terhalang daripada melihat matahari kerana sinarannya yang menyilaukan mata.
Allah sengaja menciptakan fenomena sebegitu kerana pada saat itu sinar matahari yang sudah condong akan melalui atmosfera yang lebih tebal untuk mencapai mata kita.
Dengan itu, kita boleh melihat sinaran matahari dengan jelas tanpa mencedera atau menyakitkan mata.
Kepentingan fenomena mega ini telah dijelaskan secara tersirat oleh Allah di dalam Al-Qur'an melalui surah Al-Insyiqaq, ayat 16. Firman Allah yang bermaksud: "Maka Aku bersumpah demi mega".
Allah bersumpah pada ayat tersebut kerana Dia hendak memberitahu bahawasanya Syafaq, yakni cahaya merah terletak betul-betul ditengah garis pemisah antara dua keadaan iaitu siang dan malam.
Bahkan, jika dikaji surah Al-Insyiqaq daripada ayat 1 hingga 25, kedudukan ayat tentang Al-Syafaq ini juga terletak di antara bahagian tengah surah.
Untuk memahami ayat ini, ilmuwan tafsir, Hasan Al-Basri dan Ikrimah cuba menjelaskan makna Syafaq dengan berpandukan plot selepas ayat 16, iaitu bermula daripada ayat 17 yang bermaksud; "Dan (demi) malam serta segala yang dihimpunkannya". Ayat ke-18 pula, "Dan (demi) bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama".
Setelah Allah bersumpah dengan tiga perkara itu - demi cahaya merah, malam yang menghimpunkan segala-galanya dan demi bulan apabila ia penuh purnama.
Dan (demi) malam serta segala yang dihimpunkannya
Allah berfirman pula pada ayat ke-19 yang maksudnya; "Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan, menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)".
Berdasarkan ayat-ayat tersebut, Hasan Al-Basri dan Ikrimah membuat kesimpulan bahawasanya Allah ingin memberitahu sesungguhnya kehidupan kita pasti akan melalui situasi yang berbeza-beza, seperti mana perubahan alam.
Fenomena alam hidup yang berubah-ubah ini untuk menunjukkan kepada kita kekuasaan Allah mencipta segala sesuatu.
Dia jugalah yang menghiasi warna-warni hidup manusia yang sentiasa bersulamkan bahagia, dukacita, kesenangan dan kepayahan.
Demikian Allah mendidik manusia agar menjadikan sunnah alam ini sebagai panduan hidup di muka bumi.
Penjelasan inilah kenapa Allah bersumpah pada cahaya merah, pada malam yang gelap dan bulan purnama.
No comments:
Post a Comment