Kita masih boleh lagi berdoa untuk mereka |
Setelah mendengar berita yang sangat menyedihkan, kehilangan pesawat penerbangan MH370 yang bermula dari awal pagi Sabtu sampai sekarang kita masih berbincang tentangnya, di samping pasukan menyelamat masih dalam proses mencari pesawat tersebut, saya terpanggil untuk berkongsi beberapa perkara, khususnya bila melihat di media sosial; di blog, twitter, facebook dan sebagainya, betapa banyak pandangan, sangkaan, bahkan tohmahan, serta berita-berita yang tidak pasti kebenaran dan kesahihannya tersebar.
Islam sentiasa mengajar kita mengembalikan segala masalah kepada petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah, sebagaimana firman Allah yang sering kita dengar, “Jika kamu berselisih tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul (Al-Quran dan Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (An Nisa: 59)
Demikian juga, apabila Allah SWT menguji negara, pemimpin dan rakyat dengan insiden kehilangan pesawat MH370, ternyata ini bukan isu politik dan bukan isu yang boleh dipermainkan. Sebaliknya ini adalah isu yang membabitkan keselamatan dan nyawa, yang sepatutnya kita kembalikan kepada Allah dan Rasul.
Jika ada yang mengatakan Al-Quran dan Al-Sunnah tidak relevan pada hari ini untuk dijadikan panduan, perkataan itu boleh membawa kepada kekufuran. Nabi SAW menyatakan dalam banyak hadis, antaranya, “Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian perkara yang putih (terang benderang), malamnya seperti siangnya. Tidaklah seseorang itu berpaling darinya selepas peninggalanku melainkan dia akan binasa.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad).
ANALISA DAN JANGAN GOPOH MENYEBARKAN BERITA
Maka marilah kita meneliti bagaimana Al-Quran dan Al-Sunnah mengajar kita mendepani isu yang membabitkan keselamatan dan maqasid al-syar’iyah. Sebagai Muslim secara khususnya, dan sebagai rakyat Malaysia secara umumnya, kita perlu berpendirian seperti yang Allah SWT nyatakan dalam surah Al-Nisa’, “Dan apabila datang kepada mereka berita-berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyebarkannya.
Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahui kefahaman dari mereka (Rasul dan pemerintah). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebagian kecil (di antara kamu).” (Surah An-Nisa, 4: 83)
Maka perkara pertama yang perlu kita teliti dalam isu yang membabitkan negara, keamanan dan ketakutan, adalah menyerahkannya kepada agama dan kepada pemimpin di mana merekalah yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikannya.
Adapun teori, spekulasi, tuduh menuduh yang dipolitikkan, perbuatan ini menyelisihi petunjuk. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, kita perlu kembali kepada mesej yang Allah sampaikan untuk menenteramkan keadaan. Demi memastikan kesejahteraan, kita kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, seterusnya kembalikan kepada pemimpin.
Syaikh Abdurrahman bin Nasir As-Sa’di rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: “Dalam ayat ini terdapat dalil bagi kaedah adab, iaitu apabila terjadi pembahasan suatu urusan maka hendaklah diserahkan kepada ahlinya. Hendaklah diserahkan kepada orang yang berhak membahasnya, dan jangan mendahului mereka, kerana ia lebih hampir kepada kebenaran dan lebih selamat dari kesalahan.
Di dalamnya juga terdapat larangan tergopoh gapah dan terburu-buru untuk menyebarkan suatu berita setelah mendengarkannya. Dan perintah untuk meneliti dan mempelajari dengan baik sebelum berbicara; apakah bicaranya itu adalah kemaslahatan sehingga boleh dia lakukan? Atau adakah ia mengandungi kemudaratan sehingga patut dijauhi?” (Taysirul Kariimir Rahman fi Tafsiri Kalaamil Mannan)
Al-Imam Ibn Jarir Al-Tabari pula ketika menjelaskan maksud ayat ini dalam tafsirnya berkata, Allah menggunakan perkataan “azaa’uu bih” yang bermaksud menyebarkan, iaitu cepat-cepat dan bersegera menyebarkan berita tersebut.
Apa yang dapat kita lihat, realiti yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, sejak awal kejadian lagi, apabila sebahagian kita mendapat berita pesawat tersebut hilang, ada yang membuat teori sendiri bahawa pesawat tersebut terhempas. Ada yang kata pesawat tersebut telah mendarat dengan selamat di China, ada yang kaitkan dengan isu politik, ada yang jadikan ianya lawak jenaka dan permainan, dan sebagainya.
Jadi tolonglah, sebagai orang Islam, Allah telah tunjukkan di dalam Al-Quran bagaimana seharusnya sikap dan pendirian kita. Berita tentang keamanan dan ketakutan, jangan sama sekali kita segera menyebarkannya, sebaliknya serahkan kepada ahlinya iaitu orang yang berautoriti untuk mengulas.
Sabda Nabi SAW, “Antara tanda kebaikan seorang muslim itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya.” (Sahih, riwayat Ahmad)
Saya suka memetik kenyataan YB Khairi Jamaluddin apabila beliau menyatakan secara jelas dalam satu kenyataannya bahawa kita bukan berlumba-lumba untuk memastikan siapa yang paling cepat menyebarkan berita, tetapi fokus kita adalah ketepatan maklumat yang kita perolehi.
Jadi berhati-hati dalam dunia tanpa batasan pada hari ini, jangan tergolong di kalangan orang yang menyebarkan maklumat yang tidak benar. Kata Nabi dalam hadis sahih, “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa saja yang dia dengar.” (Sahih, Imam Muslim)
Bahkan Allah memerintahkan supaya menyemak kesahihan berita yang sampai sebelum kita menerimanya. “Wahai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, hendaklah kamu semak dan periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
BERTANGGUNGJAWAB DAN BERFIKIR SEBELUM BERBICARA
Dalam Al-Quran, ALLAH SWT menyatakan tidak layak bagi sesiapa yang tidak memiliki ilmu untuk mengulas apatah lagi menyebarkan berita yang dia tidak ada ilmu tentangnya. Firman Allah di dalam Surah Al-Isra’, “Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggung jawabannya.” (Al Isra: 36)
Sayang sekali, kita lihat pengamal media sosial yang menjadikan internet sebagai rujukan, mereka menerima dan menyebar maklumat secara gelojoh, menyebar perkataan yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkal kebenarannya.
Dr. Sulaiman As-Saloomi pernah berkata, “Perkataan ini asalnya milik kita, kita berhak untuk mengucapnya atau tidak mengucapnya. Kita berhak menyusun perkataan tersebut sama ada susunan itu baik ataupun buruk. Kita juga yang berhak untuk menangguhkan perkataan tersebut daripada diungkapkan.”
Firman Allah SWT, “Tidaklah seseorang itu mengungkapkan sesuatu perkataan kecuali ada di dekatnya Raqibun Atid (malaikat pengawas yang sentiasa bersiap sedia mencatat).” (Surah Qaf: 18)
Jadi kita perlu sedar bahawa setiap berita atau teori yang kita sebarkan itu dicatat oleh malaikat dan kelak akan disoal dan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita. Dalam ayat ini disebut Raqib dan Atid, yang bermaksud sangat dekat dengan manusia, sinonim dengan perkataan muraqabah yakni dekat.
Maka penting untuk kita sedar dan tahu bahawa ada malaikat yang bersama-sama kita dan bersiap sedia mencatat setiap bicara dan perbuatan manusia pada setiap masa.
Ulama salaf seperti Hammad bin Zaid menceritakan, “Ayyub As-Sakhtiani (seorang ulama hadis yang agung) pernah ditanya tentang suatu permasalahan lalu dia diam. Maka lelaki yang bertanya itu berkata: Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak faham, adakah aku perlu mengulanginya kepadamu? Ayyub berkata: Aku faham, tetapi aku berfikir sebelum aku hendak menjawab kepadamu.”
Mengapa dia berfikir sedemikian rupa kalau tidak kerana dia menyedari pada dirinya ada tanggungjawab sebelum dia mengungkapkan suatu perkataan.
BERDOA DAN ELAKKAN PERSELISIHAN
Tragedi ini juga menunjukkan walau betapa hebat pun mesin ciptaan manusia, ianya masih terlalu lemah dan sama sekali tidak dapat menandingi ilmu dan kekuasaan ALLAH. Allah berfirman, “Jika ada suatu seberat biji sawi, dan ia berada di dalam batu, atau di langit, atau di bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya. Sesungguhnya Allah Maha Halus Maha Teliti.” (Luqman: 16)
Di saat manusia keliru dan tertanya-tanya apa terjadi dan ke mana hilangnya pesawat itu, di saat manusia telah mengerahkan secanggih-canggih alat ciptaan mereka namun masih gagal, pada masa itu Allah Mengetahui dan kepadaNya kita memohon petunjuk.
Maka nasihat untuk diri saya dan seluruh kaum Muslimin ialah............
Pertama sekali sabar dan redha atas apa yang berlaku.
Kedua, kita berusaha, bahkan Perdana Menteri sendiri dengan kerahan agensi-agensi kerajaan berusaha untuk mencarinya.
Ketiga, kita berdoa kepada ALLAH SWT serta menjauhi syirik dan kepercayaan khurafat.
Keempat, bertawakkal kepada Allah SWT.
Kelima, pastikan maklumat yang kita peroleh tentang berita terkini adalah dari sumber yang tepat, berautoriti lagi benar.
Masyarakat awam boleh menghulur bantuan dalam bentuk doa, kata semangat dan sokongan moral. Adapun mengutuk, mengeji, memperkecilkan usaha yang dilakukan, ini tindakan tidak wajar dan menyelisihi Syarak. Sedangkan kita wajar memberi semangat dan memohon dari ALLAH agar Allah SWT memudahkan segala urusan.
Elakkan perselisihan dan perpecahan. Pada ketika inilah kita perlu berusaha memupuk perpaduan serta menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak keselamatan agar segalanya dapat diselesaikan. Sabda Nabi SAW, “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat satu binaan yang saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain.” (Al Bukhari dan Muslim)
Jika dalam hal ini kita tidak mampu bersatu bahkan mencari ruang untuk berselisih, usahlah kita mengangankan kejayaan Umat Islam dan keredhaan Allah SWT, dan usahlah kita menyangka kita ini orang yang beriman kepada risalah yang Allah turunkan. Wallahu a’lam.
Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment