Menangis Ubat Ajaib |
Pada mulanya tidak tahu wujud rahsia di sebalik tangisan tetapi selepas meneliti beberapa sumber, ada kajian dilakukan ke atas hal ini. Kedengaran remeh tetapi ia pasti membuatkan kita lebih terbuka meluahkan rasa walau di mana kita berada.
Kita pasti pernah mendengar ayat ‘tiada guna menangis’ yang sering digunakan dalam dialog drama dan percakapan seharian masyarakat. Siapa mereka untuk menyatakan air mata itu tidak berguna? Memanglah jika menangis terlalu lama, mata akan kemerahan dan bengkak tetapi jangan salah sangka, menangis dengan mengeluarkan air mata ternyata mampu menjadi ubat ajaib yang berguna bagi kesihatan tubuh badan dan fikiran. Jangan fikirkan soal perasaan ketika menangis sedih tetapi ketahuilah kesan selepasnya.
Setiap yang dicipta pasti mempunyai kelebihannya tersendiri begitu juga tangisan. Sesiapa saja pasti tidak kisah jika tangisan itu disebabkan kegembiraan tetapi percayalah, air mata gembira tidak mengalir terlalu lama dibandingkan dengan air mata kesedihan. Jangan rasa menyesal, ketahuilah beberapa fakta menarik mengenai air mata yang sudah anda keluarkan dalam hidup ini.
Bantu penglihatan
Air mata ternyata membantu penglihatan seseorang, jadi bukan hanya mata itu sendiri yang membantu kita melihat. Jika diperhatikan, setiap bebola mata pasti mengandungi cairan untuk membuatkannya tidak kering. Cairan yang keluar dari mata (air mata) ini dapat mencegah kekeringan pada membran mata yang kebiasaannya mampu membuat penglihatan menjadi kabur jika kering.
Bunuh bakteria
Tak perlu ubat titik untuk mata, cukup dengan air mata yang berfungsi sebagai anti bakteria semula jadi. Di lapisan luar mata mengandungi cairan yang dinamakan lisozom. Cairan ini dapat membunuh sekitar 90 hingga 95 peratus bakteria yang tertinggal di papan kekunci komputer, susur tangga, bakteria selepas bersin dalam hanya lima minit. Hebat bukan?
Keluarkan racun
Seorang ahli biokimia, William Frey melakukan beberapa kajian mengenai air mata dan mendapati cecair yang keluar daripada hasil tangisan emosi ternyata mengandung racun. Tapi jangan salah sangka, keluarnya air mata yang beracun itu menandakan ia membawa racun dari dalam tubuh dan mengeluarkannya menerusi mata.
Kurang tekanan
Bagaimana menangis boleh mengurangi tekanan? Air mata juga mengeluarkan hormon tekanan yang terdapat dalam tubuh iaitu endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin. Selain menurunkan tahap tekanan perasaan, air mata juga membantu melawan penyakit yang disebabkan oleh tekanan seperti tekanan darah tinggi.
Selain baik untuk kesihatan, menangis juga boleh membantu seseorang menjadi lebih ‘segar’. Biasanya seseorang akan menangis menceritakan masalahnya di depan teman atau seseorang yang menyokongnya tetapi dalam hal ini, luahan melalui air mata berupaya meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga hubungan sosial lebih rapat.
Tingkatkan mood
Tahap tekanan seseorang yang menangis disebabkan kesedihan boleh menurun hanya dengan menangis. Mood akan kembali pulih kerana air mata yang dihasilkan daripada tangisan mengandungi 24 peratus protein albumin, berguna menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dibandingkan dengan air mata yang terhasil daripada iritasi mata (sakit mata).
Semua orang akan merasa benci untuk menangis. Meskipun anda didera pelbagai masalah namun selepas menangis biasanya akan muncul perasaan lega. Pada fasa ini, sistem otak dan jantung akan menjadi lancar hingga mampu membuatkan kita merasa lebih baik dan lega. Keluarkan masalah dengan tangisan, jangan dipendam kerana dibiarkan ia boleh ‘meletus’ dengan hebat kelak.
No comments:
Post a Comment