Doakan MH370 |
SEPANG: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih melakukan yang terbaik dalam usaha menjejaki Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines dalam operasi yang masuk hari ke-12.
Beberapa rakyat asing yang ditemui, berkata mereka percaya Malaysia dan 26 negara yang menyertai operasi, mempunyai keupayaan untuk mengesan pesawat yang hilang itu.
Nick Pronesti, dari Alabama, Amerika Syarikat, berpendapat bahawa operasi SAR tidak terlalu perlahan walaupun beberapa media antarabangsa mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia cuba menyembunyikan maklumat.
“Saya tidak fikir ia terlalu perlahan. Mereka perlu mengetahui sebelum memperuntukkan lebih banyak masa dan wang bagi usaha mencari.
"Memang amat sukar bagi pelbagai negara itu untuk berkongsi teknologi dan menjalankan kerja secara bersama,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.
Ahli perniagaan berumur 29 tahun itu juga berkata oleh kerana 26 negara itu memberi komitmen untuk membantu dalam pencarian, maka amatlah mencbar bagi Malaysia untuk mengetuai operasi.
Amy Roxburgh, 20, mempunyai pendapat yang sama dan berharap semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih hidup dan selamat walaupun insiden itu berlaku hampir dua minggu lalu.
“Pesawat itu hilang, tiada siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku. Saya berharap mereka dapat menemuinya dan penumpang semuanya selamat,” kata rakyat Sweden itu yang kini bercuti di Malaysia.
Rakyat Indonesia, Achmad Ismail Sudharto, 56, berkata ini bukan masanya untuk menyalahkan pasukan mencari dan menyelamat yang bekerja keras selama 24 jam untuk menjejaki pesawat itu.
Achmad yang akan menaiki penerbangan ke Jeddah berkata seluruh dunia berdukacita terhadap nasib penumpang MH370.
"Ini operasi yang paling besar kerana ia melibatkan banyak negara, justeru kita perlu bersabar sehingga pasukan penyelamat berjaya menemui pesawat berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment