HOLLYWOOD |
Kita selalu dengar tentang penyanyi diva yang mempunyai banyak syarat dan pantang-larang untuk membuat persembahan, atau pun enggan bekerjasama dengan orang lain. Tapi bukan penyanyi sahaja yang mempunyai pelbagai jenis tabiat yang menjengkelkan, para pelakon Hollywood juga sama.
Anda mungkin fikir nama-nama yang agak jelas menunjukkan belang mereka, seperti Charlie Sheen, Lindsay Lohan, Jennifer Lopez atau Russell Crowe. Tapi menurut sumber-sumber dalam Hollywood sendiri, di antara para pelakon yang terkenal kerana bersikap sukar termasuk:
Katherine Heigl
Sekalipun ramai rakan artis yang menafikannya, banyak desas-desus mengatakan bekas bintang "Grey's Anatomy" ini sukar untuk bekerjasama, sehingga menyebabkan dia dan pengarah filem Judd Apatow kini tidak lagi bertegur sapa.
Dia dikatakan banyak menghabiskan bajet studio produksi kerana seringkali mahukan pelbagai jenis pakaian untuk watak yang dibawanya dan suka menyepikan diri di trelernya. Dia juga dilaporkan seringkali mahukan perubahan dalam skrip dan masuk campur dalam urusan penulis dan pengarah.
Menurut Sofia Vergara, yang turut berlakon dalam "New Year's Eve" di samping Heigl, pelakon berdarah kacukan Jerman-Irish itu seringkali merungut di set dan tidak bersyukur kerana diberikan peranan dalam filem tersebut.
Mike Myers
Pelakon komedi ini mungkin nampak seperti seorang insan yang mudah didekati, tapi menurut mereka yang pernah bekerjasama dengan Myers, bintang "Shrek" dan "Austin Powers" tersebut amat mementingkan kesempurnaan dan suka mengawal keadaan, menyebabkan dia tidak disenangi ramai.
Malah dikatakan dia pernah mengamuk dengan seorang kru filem hanya kerana kru tersebut memandangnya ketika di set penggambaran.
Val Kilmer
Pengarah John Frankenheimer, yang pernah bekerjasama dengan Val Kilmer dalam filem "The Island of Dr. Moreau" pada tahun 1996, pernah membuat kenyataan yang menjadi ayat popularnya sehingga kini: "Ada dua perkara yang saya tak akan lakukan lagi seumur hidup. Pertama, mendaki Gunung Everest. Kedua, bekerjasama dengan Val Kilmer."
Frankenheimer yang pernah berkelahi dengan Kilmer di set mengatakan dia tidak suka dengan etika kerja Kilmer. Malah perkara yang sama juga berlaku dengan Joel Schumacher, pengarah filem "Batman Forever". Dia juga pernah bergaduh secara fizikal dengan Kilmer kerana perbezaan pendapat.
Kilmer juga dikatakan seringkali mencetus konflik dengan para pelakon lain dan kru produksi.
Ashlee Simpson
Satu sumber mengatakan adik kepada penyanyi Jessica Simpson ini tidak mempunyai disiplin yang baik ketika dia masih lagi berlakon dalam "Melrose Place".
Menurut sumber tersebut, Ashlee dibuang dari drama tersebut kerana berkelakuan seperti diva di lokasi penggambaran. Dia juga sering lewat dan tidak disukai oleh para pelakon yang lain.
"Kelakuannya menimbulkan perkelahian di antara barisan pelakon yang lain," jelas sumber tersebut.
Gene Hackman
Pengarah Wes Anderson dan pelakon Gwyneth Paltrow mengakui bahawa mereka amat takut bekerja dengan pemenang Oscar Gene Hackman ketika membintangi filem "The Royal Tenenbaums".
Dalam sidang media tayangan ulangtahun ke-10 filem tersebut, para pelakon dan kru produksi memberitahu yang Hackman seorang yang panas baran dan pernah memaki penulis lakon layar mereka, Noah Baumbach dan menggesa Wes Anderson agar "berkelakuan seperti lelaki sejati".
Malah, seorang lagi bintang filem tersebut, Anjelica Huston berkata, "Saya pun takut, tapi saya lebih risaukan Anderson. Sejak bekerjasama dengan Gene dalam filem ini, tiada seorang pun dari barisan pelakon atau kru produksi yang masih berhubung dengannya!"
William Shatner
Bintang "Star Trek" ini memang amat dikenali sebagai pelakon yang ego dan mementingkan diri. Malah, ketika dijemput untuk memeriahkan majlis pengunduran rakan lakonannya James Doohan yang didiagnos dengan Alzheimer pada tahun 2004, Shatner memberitahu pihak promoter bahawa dia tidak mahu melibatkan diri dan tidak berminat dengan benda-benda berkaitan Alzheimer.
Jelas rakan lakonannya, George Takei, itu memang perangai biasa Shatner, "Kalau dia rasa dia tak nak buat apa yang orang lain suruh, dia akan beredar. Tak kira sama ada siri televisyen, drama, atau sebarang majlis."
Marlon Brando
Marlon Brando dikatakan tidak dapat menerima kritikan pengarah filem Frank Oz yang mengatakan lakonannya sebagai seorang homoseksual tidak meyakinkan, lalu memutuskan untuk menunjukkan perangai buruk sepanjang penggambaran filem "The Score" pada tahun 2001.
Menurut sumber, antara tingkah laku Brando termasuk menggelar Oz "Miss Piggy", enggan memakai seluar (sehinggakan semua babak membabitkannya memerlukan para kru merakam dari bahagian pinggang ke atas), dan menyerahkan surat doktor kepada pihak produksi dengan catatan mengatakan Brando mempunyai alahan pada Oz.
Hal tersebut menyebabkan Oz tidak tahan lagi dan membuat keputusan untuk mengarahkan babak Brando dari bilik berbeza, dan menggunakan pelakon Robert DeNiro sebagai perantara.
Sean Young
Dia merupakan bintang besar pada tahun 80-an, tapi sinarnya mula malap apabila seringkali menunjukkan tingkah laku yang buruk di set akibat ketagihan alkohol.
Menurut sumber, pengarah Oliver Stone pernah memecatnya dari filem "Wall Street" kerana kelakuannya, manakala pelakon James Wood memfailkan saman sebanyak enam juta dolar ke atas Sean Young apabila bekas kekasihnya itu seringkali mengganggunya.
Gwyneth Paltrow
Entah kenapa, Gwyneth Paltrow seringkali disinonimkan dengan perkara-perkara negatif dan kata-kata yang seringkali menimbulkan kemarahan orang lan.
Dia dikatakan tidak menghiraukan pelakon gandingannya yang lain termasuk Scarlett Johansson ketika membintangi "Iron Man 2", malah dikatakan cemburu kerana Johansson diberikan perhatian oleh pihak produksi dan media berbanding dirinya sendiri.
Paltrow juga seringkali dikhabarkan bersikap buruk dengan pihak media, dan enggan berjabat tangan dengan mereka.
Mandy Patinkin
Berbeza dengan yang lain, pelakon siri popular "Homeland", Mandy Patinkin sendiri mengakui yang dia agak menyusahkan ketika masih lagi membintangi drama perubatan, "Chicago Hope".
"Saya sukar menerima pendapat orang lain," ujar Patinkin. "Saya enggan dengar arahan pengarah sebab saya memang mengada-ngada. Saya memulakan kerjaya seni saya melalui kolaborasi bersama insan hebat seperti Milos Forman, Sidney Lumet, dan James Lapine, tapi saya tidak mahu menerima pendapat!"
Patinkin akui berkelakuan buruk suatu masa dahulu dan amat menyesali perangainya itu.
No comments:
Post a Comment