Search This Blog

HOME

Wednesday, March 19, 2014

Tetap cari pesawat sampai dapat

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

SEPANG: Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia yang memasuki hari ke-12 yang memberi tumpuan kepada dua koridor dengan pihak berkuasa dan pasukan penyiasat mendapatkan kepakaran dan pengalaman Perancis untuk mencari kotak hitam.

Bercakap dalam sidang media harian di sini petang semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau mendapatkan pembabitan Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang bersetuju membantu pasukan mencari dan menyelamat.

"Mereka ada pengetahuan dalam nahas Air France dan dua tahun diambil untuk jumpa kotak hitam.

Maklumat dan pengetahuan mereka akan bantu kita. Kita akan buat keputusan selanjutnya dari situ," katanya ditanya tindakan yang akan dilakukan sekiranya pesawat itu masih tidak dijumpai selepas 30 hari.

Kebiasaannya pakar penerbangan percaya lampu isyarat perakam penerbangan akan berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat B777-200ER membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam Jumaat.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu. Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.

Misi mencari itu kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Koridor utara dan selatan itu meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata adalah penting untuk mencari kotak hitam bagi menjawab semua persoalan dan ketidaktentuan.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan menyimpang dari fokusnya untuk mencari pesawat dengan kepentingan yang seimbang terhadap kedua-dua koridor berkenaan walaupun koridor selatan kelihatan lebih mencabar.

"Tidak menarik, tetapi ia lebih mencabar. Kedua-duanya sama penting tetapi koridor selatan lebih mencabar. Masa masih untuk mencari pesawat itu," katanya.

Beliau berkata pada masa ini pihak berkuasa mengenal pasti aset-aset dan peralatan yang mungkin sesuai untuk operasi mencari di koridor selatan yang meliputi kawasan lautan yang luas berbanding koridor utara.

Hishammuddin berkata pasukan penyiasat menerima beberapa data radar daripada beberapa buah negara dan sedang dianalisis para pakar.

"Semua negara yang saya hubungi pertama kali membayangkan kes seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Keduanya, mereka akan memberi kerjasama yang penuh kepada kita. Adalah terlalu awal untuk mendedahkan data itu. Dan data yang diberikan kepada kita terlalu sensitif dan saya memerlukan kebenaran mereka sebelum mengeluarkannya," katanya.


Sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment