Search This Blog

HOME

Monday, April 7, 2014

Cintai Tunang Orang, Juru Runding Mahu Jumpa Eina Azman.

Gambar mesra Eina Azman berpegangan tangan dengan tunangan orang menjadi isu

PETALING JAYA: Pelakon Syed Mohamad Asri Syed Osman atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha akan bertemu dengan pelakon kontroversi Eina Azman bagi membincangkan isu terbaharu wanita itu yang dikatakan bercinta dengan tunang orang.

Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya Shy8, berkata, dia akan meminta pelakon wanita tersebut menjelaskan situasi sebenar tentang dakwaan itu dan cuba mencari penyelesaian.

"Saya akan jumpa Eina untuk berbincang tentang isu permasalahan kontrak sebelum ini termasuk isu peribadi hubungan cinta tersebut.

"Saya akan menasihatkan dia apa yang perlu dan tidak patut dilakukan terutama sekali jika berlaku isu yang boleh menjejaskan nama baik dia seperti ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Shy8 berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah akhbar pada Ahad berhubung gambar mesra yang dimuat naik oleh Eina Azman di laman sosialnya.

Gambar mesra dan berpegangan tangan itu dikatakan seorang lelaki tunangan orang.

Shy8 telah dilantik oleh Eina Azman sebagai perunding bagi menyelesaikan isu berkaitan kontrak dan kontroversi yang dihadapi pelakon itu dibawah syarikat pengurusan miliknya.

Sementara itu, Eina yang cuba dihubungi oleh pihak mStar Online tidak menjawab panggilan.

Tambah Shy8, Eina seharusnya lebih barhati-hati dalam memuat naik sebarang gambar yang boleh mengaitkannya dengan sebarang kontroversi.

"Sebagai orang muda saya faham dia ingin berkongsi tentang kegembiraannya dengan memuat naik gambar-gambar peribadi, namun sebagai artis dia seharusnya berfikir panjang tentang kesan baik dan buruk.

"Selepas berlaku isu seperti ini, dia juga harus bijak mengawal situasi agar tidak menjejaskan nama baik dia, kalau betul bercinta mengaku sahaja," katanya.

Sementara itu, Shy8 berkata, Eina belum  secara rasmi menjadi artis di bawah syarikat pengurusannya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai individu yang dilantik sebagai perunding peribadi dan pelakon lebih tua daripadanya, dia berhak memberi nasihat untuk kebaikan artis tersebut.

"Sebagai seorang yang lebih tua dan lebih berpengalaman saya akan beri nasihat kepada dia tentang perkara ini.

"Bukan dia sahaja, malah mana-mana artis sekalipun yang ingin minta nasihat dan pandangan tanpa bernaung di bawah syarikat saya pun saya sedia membantu," katanya.

Dalam pada itu, Shy8 berkata, dia kini sedang menapis beberapa selebriti yang mahu bernaung dibawah syarikat pengurusannya.

Dia hanya menarima beberapa nama sahaja mengikut terma dan syarat yang dipersetujui secara bersama.

"Saya tidak ambil secara mudah, bagi selebriti yang ingin menggunakan khidmat pengurusan saya perlu mempersetujui syarat yang saya tetapkan.

"Salah satunya ialah perlu menceritakan segala hubungan cinta dan peribadi mereka kepada saya, mempunyai komitmen dengan kerjaya dan berdisplin serta boleh mendengar nasihat," katanya.

Sumber - mStar

Bekas Pemain Arsenal Jadi Pemberontak Di Syria.

Pejuang Syria ini mengaku sebagai bekas pemain Arsenal

Seorang pemberontak di Syria mendakwa dia merupakan bekas pemain Arsenal yang membesar bersama bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Lelaki yang mendakwa telah meninggalkan kehidupan mewah di Eropah itu dikesan mengeluarkan pengakuan tersebut menerusi dua rakaman video yang dimuat naik di laman web ekstremis.

Laman web tersebut antara lain turut menggesa penduduk di Ukraine menyertai Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Bekas anak didik Arsene Wenger itu dikesan menutup mukanya dengan kain hitam sambil memegang senjata api jenis, AK-47 dan bercakap dengan penonton dalam Bahasa Inggeris yang baik.

Dalam rakaman tersebut, lelaki itu mendakwa, "Saya telah membesar dengan Ronaldo, bermain untuk Arsenal dan meninggalkan bola sepak, wang dan cara hidup mewah Eropah untuk mengikut jalan Allah."

"Saya juga dari Portugal dan menyertai kumpulan ini sejak dua tahun lalu.

"Nasihat saya kepada awak adalah kami memerlukan apa sahaja sokongan kepada mereka yang dapat membantu kami berlawan dengan musuh," katanya.

Lelaki itu juga berkata, "Selamat datang  dan mari menyertai kami, kepada mereka yang berfikir tidak boleh bertempur mungkin kamu dapat membantu dengan cara lain.

"Sebagai contoh memberi bantuan perubatan, kewangan, nasihat dan apa-apa lagi yang ada pada kamu. Kami akan menerima apa sahaja sumbangan kamu yang ingin berjihad bersama," jelasnya.


Sementara itu, jurucakap Arsenal memberitahu, pihaknya tidak mengenali lelaki terbabit dan bersedia menyiasat dakwaan berkenaan kerana tidak mahu kelab yang sedang bersaing untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris itu diboikot gara-gara dikaitkan dengan pengganas.

Sumber - mstar

Sunday, April 6, 2014

MH370: Pesawat China Kesan Objek Putih Terapung Di Kawasan Ada 'Isyarat Nadi'.


KUALA LUMPUR/PERTH: Sebuah kapal peronda China yang mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 mengesan isyarat nadi di selatan Lautan Hindi pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua, yang melihat kemungkinan petunjuk ia adalah peranti beacon dari "kotak hitam" pesawat itu di dalam air.

Xinhua turut melaporkan bahawa sebuah pesawat tentera udara China melihat beberapa objek putih terapung di kawasan carian itu.

Menurut laporan AFP, objek itu dilihat di permukaan air, kira-kira "90 kilometer dari kawasan pengesanan".

Pihak berkuasa Australia yang melakukan pencarian itu berkata, isyarat seperti itu mungkin "selaras" dengan kotak hitam, tetapi kedua-dua mereka dan Xinhua menegaskan bahawa tiada bukti konklusif bagi mengaitkan isyarat "ping" dengan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Satu pengesan kotak hitam digunakan oleh kapal Haixun 01 memperoleh isyarat "ping" dengan frekuensi 37.5kHz sesaat - sama seperti yang dipancarkan oleh perakam penerbangan, pada kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur, kata Xinhua.

Puluhan kapal dan pesawat dari 26 negara berusaha untuk mencari perakam kotak hitam sebelum ianya kehabisan tenaga bateri.

Sebanyak 10 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal melakukan pencarian di kawasan 217,000km persegi di perairan kira-kira 1,700 km barat laut Perth, Australia, di mana penyiasat mempercayai pesawat Boeing itu terjunam ke laut.

"Ciri-ciri yang dilaporkan (oleh kapal China) adalah konsisten dengan kotak hitam pesawat," kata Ketua Laksamana Udara Angus Houston yang mengetuai agensi yang menyelaraskan operasi Australia, dalam satu kenyataan.


"Bagaimanapun, tiada pengesahan pada peringkat ini bahawa isyarat dan objek berkaitan dengan pesawat yang hilang," kata beliau sambil menambah agensi itu telah memohon bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada China. - REUTERS

MH370: Isyarat Dikesan 'Konsisten' Dengan Kotak Hitam.


Gambar kapal peronda China, Haixun 01 yang diambil pada Sabtu semasa melakukan pencarian pesawat MH370 yang hilang, di selatan Lautan Hindi. Gambar ihsan China News Service. - REUTERS


PERTH: Isyarat yang dikesan oleh kapal peronda China yang mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi adalah "konsisten" dengan jenis yang dipancarkan dari kotak hitam pesawat, kata Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston yang mengetuai pencarian itu.

Agensi berita rasmi China, Xinhua pada Sabtu melaporkan bahawa pengesan kotak hitam di atas kapal China itu memperoleh isyarat pada frekuensi 37.5kHz.

Akustik peranti Beacon di dalam air yang melibatkan kedua-dua data perakam penerbangan dan perakam suara kokpit MH370 berfungsi pada frekuensi itu, kata jurucakap Honeywell Aerospace, pengeluar kotak hitam bagi pesawat yang hilang, kepada AFP.

Ketua Laksamana Udara Angus Houston yang mengetui pusat penyelarasan agensi bersama bagi pencarian itu berkata, bentuk isyarat yang dilaporkan "adalah selaras dengan kotak hitam pesawat itu".

Beberapa objek putih turut dilihat terapung di permukaan air, kira-kira 90 kilometer dari kawasan pengesanan itu, yang katanya menurut satu kenyataan JACC.

Beliau bagaimanapun memberi amaran: "Tiada pengesahan pada peringkat ini bahawa isyarat dan objek berkaitan dengan pesawat yang hilang."

JACC dalam satu kenyataan pada Ahad, ia mengulangi bahawa isyarat itu belum disahkan.

Sebanyak 10 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal yang melakukan pencarian di kawasan 217,000km persegi di perairan kira-kira 1,700 km barat laut Perth, Australia, hampir sebulan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing. - AFP

Saturday, April 5, 2014

Tuan rumah terkejut tikus gergasi sebesar kucing hidup atas loteng rumahnya.

Besarnya tikus....... 

LONDON: Satu keluarga yang pada mulanya menyangka yang loteng rumah mereka sedang diserang anai-anai 'terkejut beruk' apabila mendapati sebenarnya ia adalah angkara seekor tikus gergasi sebesar kucing.

Tikus gergasi itu yang berukuran dua kaki panjang dari kepala ke ekor ditangkap di atas siling rumah keluarga Walters oleh pekerja-pekerja kawalan serangga yang dipanggil untuk memeriksa apa yang sebenarnya sedang terjadi di bawah bumbung rumah mereka itu.

Akhbar The Mirror memetik pemilik rumah tersebut Grace Walters sebagai berkata, pada mulanya mereka menyangkakan yang bahagian bumbung rumah mereka telah diserang anai-anai selepas terdengar bunyi bising seperti sesuatu sedang mengerit kayu.

“Kami kemudiannya terdengar seperti sesuatu sedang menguyah kayu.

“Selepas syarikat kawalan makhluk perosak datang membuat pemeriksaan dan selepas mereka meletakkan kamera barulah kami sedar yang sedang menguyah kayu itu adalah seekor tikus," katanya.

Menurutnya lagi, pekerja itu tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menebuk siling rumahnya untuk menangkap tikus gergasi tersebut.

Puan Walters menambah, mereka semua kemudiannya terkejut sebaik sahaja melihat kelibat tikus itu kerana ia terlalu besar dan hampir-hampir tidak mempercayainya.

Mereka tidak menyangka seekor tikus sebesar itu boleh menjadikan siling dan loteng rumah mereka sebagai kediamannya.

“Lebih menakutkan lagi ialah untuk mengetahui yang seekor tikus boleh membesar sebesar itu dan hidup di dalam rumah anda," kata Puan Walters lagi.

Marcus Giusti, kakitangan syarikat kawalan makhluk perosak itu berkata, tikus mula membiak dan membesar dengan pantas selepas kebanyakan negara Eropah meminda undang-undang yang menghadkan penggunaan racun kawalan makhluk perosak.

“Tidak syak lagi ini adalah tikus yang paling besar yang pernah kami tangkap setakat ini dan ia sangatlah merbahaya kepada seisi keluarga.

Hanya seminggu yang lalu, satu keluarga di Solna, Sweden menemui seekor tikus sebesar 16 inci hidup di dalam almari dapur mereka.


Sumber - myStar

Penerjun Bebas Nyaris Maut Dirempuh Meteor.

 

Seorang penerjun bebas bukan sahaja berjaya merakam detik luar biasa tentang pergerakan meteor jatuh ke bumi tetapi dia juga bernasib baik kerana tidak terbunuh akibat dihentam batu tersebut.

Video pergerakan meteor dari jarak dekat yang pertama di dunia itu dirakam oleh Anders Helstrup secara tidak sengaja ketika melakukan terjunan bebas.


Ahli geologi Hans Amundsen berkata, video yang telah dikeluarkan melalui saluran berita Norway itu merupakan rakaman pertama di dunia mengenai meteor yang sedang jatuh ke bumi.

"Ia bukan benda lain lagi. Bentuknya mirip meteor, pada satu bahagian ia seperti telah pecah dan sebelah lagi bulat dan masih elok," katanya.

Helstrup merakam video tersebut ketika membuat terjunan bebas bersama Kelab Payung Terjun Oslo berdekatan Lapangan Terbang Østre Æra di Norway.


Semasa Helstrup membuat terjunan dari pesawat, meteor tersebut dikesan lalu dengan jarak beberapa kaki disebelahnya dengan kelajuan 300 batu sejam.

"Saya perasaan ada sesuatu selepas terjun dari pesawat, tetapi saya tidak tahu apakah ia," kata Helstrup.

Amundsen yang merupakan kakitangan NASA memberitahu, pihaknya percaya batu tersebut adalah sebahagian daripada meteor besar yang telah pecah ketika jatuh ke bumi.


Sumber - mStar

Komander polis Afghanistan tembak mati jurugambar wanita dari German di Afghanistan

Kathy Gannon (paling kiri) dan jurugambar veteran AP Anja Niedringhaus, (tiga, kanan), bergambar bersama askar-askar Pakistan ketika membuat liputan di sana pada 2012. -foto AP

KHOST (Afghanistan): Seorang komander polis Afghanistan pada Jumaat menembak mati seorang jurugambar wanita Jerman yang bekerja untuk Associated Press (AP) pada malam menjelang pilihan raya presiden, dalam serangan yang turut mengakibatkan rakan sekerjanya dari Kanada cedera, menurut agensi berita tersebut.

Kedua-dua petugas media berkenaan ditembak di dalam kereta di daerah Tanai, wilayah Khost, di timur negara ini ketika mereka membuat laporan mengenai pengagihan kertas undi bagi pilihan raya untuk memilih pengganti kepada Presiden Hamid Karzai.

Insiden itu berlaku ketika Afghanistan menjalankan operasi keselamatan besar-besaran untuk melindungi pengundi dan pegawai pilihan raya, selepas Taliban berikrar untuk mengganggu proses pengundian pada Sabtu dengan keganasan.

Anja Niedringhaus adalah petugas media yang ketiga bekerja untuk media antarabangsa yang dibunuh di Afghanistan semasa kempen pilihan raya, selepas wartawan Sweden Nils Horner dan Sardar Ahmad dari Agence France- Presse.

"Anja Niedringhaus, 48, seorang jurugambar antarabangsa yang diiktiraf Jerman, terbunuh serta-merta," kata AP dalam satu laporan dari Kabul.

"Wartawannya, Kathy Gannon, telah mengalami kecederaan dan menerima rawatan perubatan. Beliau digambarkan sebagai berada dalam keadaan stabil dan bercakap dengan kakitangan perubatan."

Menurut AP komander polis melepaskan tembakan ketika dua petugasnya itu berada di dalam kereta dan mengikuti perjalanan dengan petugas pilihan raya untuk menghantar peti undi di bandar Khost.

"Ketika mereka duduk di dalam kereta menunggu konvoi untuk bergerak, seorang komander unit yang dinamakan sebagai Naqibullah berjalan menuju ke kereta, melaungkan 'Allahu Akbar' dan melepaskan tembakan ke atas mereka di tempat duduk belakang," agensi berita berkata.

"Dia kemudian menyerah diri dan telah ditangkap."

Gabenor wilayah Khost Abdul Jabbar Naeemi dan pegawai-pegawai lain mengesahkan bahawa penyerang adalah seorang komander polis yang ditahan serta-merta selepas kejadian itu.

"Anja dan Kathy telah menghabiskan masa beberapa tahun di Afghanistan untuk membuat liputan mengenai konflik dan penduduk di sana," kata Editor Eksekutif AP Kathleen Carroll dalam laporan AP.

Presiden Hamid Karzai mengeluarkan kenyataan yang melahirkan ucapan takziah dan mengarahkan siasatan.


Sumber - mStar