Search This Blog

HOME

Monday, October 13, 2014

Anneliese, Maut Selepas Dirasuk Entiti Misteri!

Anneliese Michel kisahnya di filemkan

Dilahirkan pada 21 September 1952 di Jerman, Anneliese Michel menjalani kehidupan normal sama seperti gadis seusianya.

Anak kepada pasangan Josef dan Anna Michel ini dibesarkan dalam pegangan Katolik yang kuat.

Anneliese bersama keluarganya
Gadis ini dikenali sebagai seorang yang periang dan disukai ramai. Namun, itu semua sebelum Anneliese ditimpa penyakit misteri yang bermula pada tahun 1968.

Pada mulanya, doktor mengatakan gadis ini sekadar menghidap penyakit batuk kering. Dia diberikan rawatan di Hospital Mittelberg, Jerman. Setelah sembuh, Anneliese dibenarkan pulang semula ke rumah.

Seperti biasa, Anneliese memulakan persekolahan di sekolah menengah Aschefenburg. Semuanya bermula dengan lancar sehinggalah Anneliese tiba-tiba diserang penyakit misteri. Anneliese menghadapi kesukaran untuk bertutur.


Anneliese Michel semasa menderita kerasukan
Dia juga sukar berjalan dan sering berpaut pada meja, kerusi atau apa-apa sahaja yang berada dalam capaiannya untuk berdiri.

Pada tahun 1973, Anneliese mula ditimpa kemurungan yang serius. Perubahannya mendadak dan disedari oleh orang-orang disekelilignya.

Semasa upacara menghalau syaitan
Keadaan itu berlanjutan agak lama sehinggalah dia mengadu melihat bayangan misteri yang menyeramkan dan sering menghantui dirinya.

Anneliese sering menggambarkan bahawa dia melihat raut misteri wajah syaitan pada dinding rumahnya. Anneliese menyatakan bahawa syaitan itu mempunyai tujuh tanduk dan mahkota.

Bukan itu saja, ahli keluarga juga pernah beberapa kali melihat Anneliese dalam keadaan tercampak, seperti dibaling ke tanah.

Yang misterinya, tidak kelihatan sesiapa pun yang memperlakukan gadis itu sedemikian rupa.

Pernah suatu hari, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam, kedua-dua tangan Anneliese secara misteri membengkak secara mendadak sebelum dia terlambung ke belakang daripada kerusi yang didudukinya. Gadis itu hanya mampu menjerit meminta pertolongan.

Josef dan Anna tahu ada benda misteri berlaku dan menggangu Anneliese. Apatah lagi keadaan gadis itu semakin buruk setiap hari. Dia mula mengamuk dan melakukan perkara pelik dan misteri termasuklah menjilat air kencingnya sendiri.

Anneliese memakan lalat, labah-labah dan juga pernah menelan kepala burung yang sudah mati. Pada ketika yang lain, gadis itu akan merangkak masuk ke bawah meja dan menyalak seperti anjing selama dua hari.

Menjerit dan mengoyakkan bajunya sudah menjadi aktiviti misteri yang dilakukannya setiap hari.

Tidak sanggup melihat anak gadis mereka terseksa, pasangan suami isteri itu bertindak menghubungi paderi, dengan harapan paderi akan menggunakan cara alternatif untuk memulihkan keadaan misteri yang dialami Anneliese.

Sebelum bersetuju memberikan khidmat exorcism kepada Anneliese, Paderi Arnold pernah membawa gadis itu bertemu ramai doktor untuk merawat penyakit misteri itu namun buntu.

Menurut doktor, Anneliese menghidap sejenis sawan dan hanya diberikan pil bagi membantu menenangkan dirinya.

Dua orang paderi yang mulanya tidak percaya Anneliese dirasuk terdiam apabila mereka menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas secara misteri ke lantai tanpa ada sesiapa yang mengangkat atau mencampakkannya.

Melihatkan keadaan misteri yang mengganggu gadis itu, pada tahun 1975, ketua paderi dikawasan tersebut telah memberi kebenaran kepada Paderi Arnold Renz dan Paderi Ernst Alt untuk menjalankan ritual exorcism (pengusiran syaitan) terhadap Anneliese.

Rawatan berlangsung selama 10 bulan untuk merawat penyakit misteri tersebut. Dalam tempoh itu, sebanyak 67 kali ritual tersebut dijalankan.

Setiap minggu, beberapa kali gadis itu menjalani kaedah spiritual yang menyeksakan. Kesemua ritual untuk menghalau gangguan misteri itu turut dirakamkan dalam bentuk audio.

Anneliese turut menghadapi kecederaan lutut yang serius sepanjang menjalani proses exorcism. Gadis ini perlu melutut lebih daripada 600 kali setiap kali ritual yang memakan masa berjam-jam lamanya.

Kubor Anneliese Michel

Hasil daripada ritual untuk menghalau gangguan misteri tersebut, kedua-dua paderi mendakwa dapat mengesan enam jenis syaitan yang telah merasuk Anneliese iaitu Judas, Lucifer, Hitler, Nero, Fallen Priest dan Cain.

Sekalipun telah berpuluh-puluh ritual dijalankan untuk menghalau syaitan misteri yang dikatakan merasuk tubuh gadis itu, semuanya gagal.

Anneliese terus hidup terseksa dan akhirnya meninggal dunia pada 1 Julai 1976, selepas lapan tahun bertarung dengan 'penunggu misteri' yang menguasai dirinya.

Hasil bedah siasat mendapati kematian misteri Anneliese Michel disebabkan kekurangan air dan zat makanan. Dia juga menghidapi demam panas dan Pneumonia ketika itu. Berat badan Anneliese sewaktu kematiannya hanyalah lebih kurang 30 kilogram.

Dua tahun selepas peristiwa misteri itu, mahkamah memutuskan kedua-dua ibu bapa Anneliese beserta dua paderi yang merawatnya didapati bersalah atau tuduhan menyebabkan kematian Anneliese. Kesemua mereka dipenjarakan selama enam bulan.

Selepas lebih 30 tahun kematian Anneliese yang begitu misteri, banyak pihak yang semakin meragui dia benar-benar dirasuk. Mereka mempersoalkan ubat-ubatan yang diberikan kepadanya.

Ramai yang bersetuju bahawa Anneliese mungkin menderita kerana penyakit schizophrenia atau sejenis gangguan mental. Jika diberikan rawatan yang betul, mungkin Anneliese masih boleh diselamatkan.

Namun, dari sudut lain pula, tiada siapa mampu menerangkan kejadian misteri bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke tanah.

Begitu juga dengan rakaman audio yang memperdengarkan suara misteri yang pelik Anneliese yang dikatakan berbicara dalam bahasa kuno lama yang sudah tidak digunakan lagi ketika itu.

Sehingga kini, persoalan misteri apa sebenarnya yang membunuh Anneliese masih menjadi tanda tanya. Tiada jawapan tepat yang dapat diberikan.


Malah, kisah misteri yang menimpa Anneliese turut diangkat ke layar perak menerusi filem seram, The Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada tahun 2005.

Glace Ice, Ais Paling Mahal Di Dunia!

Glace Ice, ketulan ais paling mahal di dunia
Menikmati minuman kegemaran tanpa gangguan rasa pada waktu stres memang menenangkan. Apalagi jika ia minuman sejuk yang mahal. Malangnya, jika dibiarkan beberapa lama, ia pasti cair, sekaligus merubah rasa.


Baru-baru ini, syarikat Glace Luxury Ice Co. dari California mencipta satu teknologi ais baharu iaitu ais tahan cair.


Bahkan, ia juga dikatakan diperbuat daripada sumber air mineral semula jadi yang menyihatkan. Istimewanya, setiap kiub adalah buatan tangan yang dihasilkan dari bongkah ais seberat 136.078 kilogram.

Cara pembuatannya agak rumit. Sumber air semula jadi yang dipilih akan dirawat terlebih dahulu supaya benar-benar bersih sebelum diproses.


Kemudian, air tersebut akan dimasukkan ke dalam acuan berukuran 8,000 kubik inci. Air akan dikacau perlahan-lahan ditengah-tengahnya supaya gas terbebas sehinggalah hampir beku.

Kemudian, ais separa beku itu akan dibekukan dengan menggunakan ais kering dan disembur sesuatu supaya kelihatan bersinar seperti kaca. Akhirnya, ais akan diukir membentuk sfera atau kiub.

Ais yang sudah siap akan dipeket ke dalam beg kedap udara yang boleh ditutup semula. Ia bertujuan bagi mengelak ais terdedah kepada udara kotor.

Menurut laman web Glace Luxury Ice Co., proses pembuatannya yang rumit menjadikan Glace Ice benar-benar bersifat sifar rasa berbeza dengan ais biasa. Glace Ice membolehkan pengguna memaksimumkan pengalaman menikmati minuman mereka. Rekaannya yang unik membuatkan ia tahan cair dengan penyejukan maksimum.

Ais biasa secara umumnya diperbuat dari air paip tempatan dan mengandungi lebih 150 kotoran dan karsinogen yang boleh mendatangkan penyakit kepada pengguna. Kotoran-kotoran itu juga menyebabkan ais memiliki rasa sendiri. Tanpa disedari, ais akan mempengaruhi rasa sebenar minuman, lalu merubah rasanya.

Bagaimanapun, harganya tidaklah semurah harga ais biasa yang mudah dibeli dikedai-kedai 24 jam. Malah, harganya jauh lebih mahal, mencecah ribuan ringgit. Biasanya ia dijual dengan harga USD$325 (RM1028) untuk satu beg ais yang mengandungi 50 biji.

Dengan erti kata lain, seketul ais berharga sekitar RM20. Namun, ais mewah ini tidak dijual seketul-seketul. Sebaliknya didatangkan dalam pek yang sudah siap.

Walaupun sangat mahal, dari satu sudut lain, ia sangat berbaloi untuk anda miliki, apalagi jika dipadankan dengan minuman yang mahal dan mewah.

Saiz ais juga agak besar yang mampu mencecah 2.5 inci. Hanya seketul untuk satu cawan air berukuran 250 ml. Berkualiti dan berbaloi.

Lagipun, ais berbentuk kiub atau G3 (G-Cubed) ini mampu bertahan selama 15 hingga 40 minit tanpa cair di dalam air. Manakala ais berbentuk sfera atau Mariko Sfera pula boleh bertahan selama 15 hingga 30 minit sahaja kerana saiznya yang lebih kecil. Jika ais biasa sudah tentu berubah menjadi air dalam tempoh tersebut.

Glace Ice sebenarnya diasaskan oleh Roberto Sequeira. Dia merupakan pensyarah fakulti perniagaan di salah sebuah universiti di California.

Dia banyak menghabiskan masa memerhati dunia perniagaan sehinggalah berjaya mengeluarkan produk ais mewah miliknya sendiri.

Sunday, October 12, 2014

Kisah Penggodam Komputer Yang Baru Berusia 12 Tahun.

Wang Zhengyang penggodam cilik
China - Wang Zhengyang, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menggodam kedalam sistem komputer sekolah dan juga sistem jual beli online tapi mendakwa dia menggodam hanya kerana mahu membantu memperbaiki masalah keselamatan di dalam sistem.

Wang memecah masuk sistem sekolah dan kemudiannya memberitahu syarikat yang membuat sistem mengenai isu keselamatan tersebut.

Wang dikatakan mula belajar menggodam kerana malas membuat kerja sekolahnya. Tapi menurut Wang, dia hanya menggodam kerana mahu memperbetulkan masalah dan dia adalah seorang penggodam 'white hat'.


"Saya cuma mahu memperbaiki website", katanya di Konferens Keselamatan Internet China di Beijing pada hujung bulan lepas.

"Anda perlu menyerang website untuk mengetahui kelemahannya", tambahnya lagi.

Wang juga pernah menggodam sebuah laman web jual beli online dengan menukar produk dari 2500 yuan kepada 1 yuan, tapi kemudiannya melaporkan kepada pengurus laman web berkenaan mengenai isu itu.

Kami akan dapatkan hak kami - Adlin Aman Ramlie


KUALA LUMPUR: Adlin Aman Ramlie mewakili waris keluarga AR Tompel yang lain berkata, jika pihak Astro masih berkeras untuk tidak memenuhi tiga tuntutan yang dikemukakan, mereka tiada pilihan lain untuk bertindak nekad secara habis-habisan.

Adlin sewaktu dihubungi berkata, pihaknya tidak akan berganjak daripada memastikan apa yang diperjuangkan mereka terhadap Allahyarham AR Tompel mendapat hak serta pengadilan yang saksama.

Pelakon Azhan Rani membawakan watak AR Tompel


"Saya tak tahu keputusan mereka (Astro) untuk terus menyiarkan telefilem biopik Saloma itu seperti galakan, cabaran dan seakan menyemarakkan api perbalahan. Tapi pada pihak kami, kita akan buat apa saja sehabis baik untuk mendapatkan hak kami.

"Kami akan berjuang hingga ke titisan akhir. Saya bukan nak cakap takbur, riak atau bongkak, tapi jelas kami seperti teraniaya. Di peringkat keluarga waris Allahyarham AR Tompel, kami sepakat dengan apa yang dikatakan sebelum ini.

Adlin tidak akan mengalah
Sedutan watak Saloma yang dilakonkan oleh Nabila Huda dan watak Allahyarham A.R Tompel yang dibawakan oleh Azahan Rani
  
"Sekalipun mengambil masa bertahun-tahun, kami tak kisah asalkan ia mampu memberi pengajaran dan apa yang kami mahukan diperolehi. Apa yang dilalui kami boleh terjadi kepada sesiapa saja termasuk artis mahupun seniman yang lain," katanya.

Beliau menjelaskan tujuan sidang media itu dilakukan bukan untuk mengeruhkan keadaan tetapi pihak mereka bersedia untuk berkompromi selagi tuntutan mampu dipenuhi.

Menurut Adlin, bukan soal menang atau kalah di mahkamah yang mahu dibuktikan pihaknya sekiranya hal ini terpaksa diselesaikan dengan cara perundangan.

"Jika jalan perundangan yang dipilih yakni untuk menyaman Astro, kami juga berhak untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan arahan supaya mereka memenuhi permintaan kami.

"Saya memang tak arif untuk bercakap soal perundangan. Tapi saya yakin pelbagai cara lagi boleh dirujuk. Saya tahu buku perundangan itu tebal dan saya boleh minta bantuan mereka yang arif untuk membantu kami mendapatkan keadilan dengan apa cara sekalipun," katanya.

Tambah Adlin lagi, andai kata pihak Astro terus-terusan mahu menyiarkan telefilem itu, mereka boleh berkompromi jika babak membabitkan Allahyarham AR Tompel dimansuhkan menerusi proses penyuntingan semula.

"Jika pada aspek penyiaran (Astro) belum mampu mengubah fikiran mereka, kami boleh berdepan pada skop lain pula. Kami boleh merujuk kepada pihak produksi telefilem ini pula iaitu Kus Semangat Aktor untuk dinilai semula semua ini berdasarkan aspek sebuah karya.

"Saya sedar dalam hal ini, pihak produksi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kerana kuasa berada pada Astro sebagai penyiar. Saya tekankan sekali lagi, kami akan cari apa saja sudut dan sudut penyelesaian untuk memastikan hak kami dipenuhi.


"Selagi semua ini tak selesai, saya yakin selagi itu roh arwah bapa saya, anak dan cucu saya tak kan tenteram. Hal ini memang satu mimpi ngeri buat keluarga kami," katanya - BH Online

Anggota polis maut dihempap pokok dikebumi di kampung halaman.

Jenazah Koperal Dzukhairi Ahmad dan Konstabel Mohd Sharil Hisham Hashmadi maut selepas pokok timpa pondok kawal stor di Jalan Belfield, Kampung Attap, di bawa keluar dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur untuk disembahyangkan di Masjid Bukit Aman. - Foto Sairien Nafis
KUALA LUMPUR: Jenazah dua anggota polis yang maut dalam kejadian pokok tumbang, di sini malam tadi, akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Bukit Aman di sini kira-kira 10.15 pagi untuk dimandikan dan solat jenazah yang akan diadakan sebelum solat Zuhur.

"Jenazah Allahyarham Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48, akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kerinchi, Desa Aman, di sini.

"Jenazah Allahyarham Konstabel Mohd Sharil Hisham Hashamdi, 25, akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk diterbangkan ke Tambunan, Sabah dan dijangka sampai kira-kira jam 4 petang hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata keputusan laporan bedah siasat terhadap kedua-dua anggota polis itu mendapati punca kematian adalah akibat sesak nafas.

Malam tadi semasa hujan lebat melanda ibu negara, dua anggota polis itu maut setelah sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap mereka ketika berada di dalam sebuah kontena yang dijadikan tempat simpanan barang kes di Jalan Bellfield, Kampung Attap, di sini.

Mohd Sharil Hisham meninggal dunia di tempat kejadian manakala Dzulkhairi ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur - Bernama

Pelajar sekolah direkrut sertai militan berjihad di Syria


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad, semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan perkara itu berkata, individu yang giat menjalankan kegiatan itu hanya melalui Facebook menyasarkan golongan ini memandangkan mereka lebih mudah terpedaya.

"Trend rekrut melalui Facebook amat membimbangkan dengan menyasarkan usia antara 15 dan 30 tahun ... kita ada kesan pelajar sekolah menengah juga cenderung untuk berjihad dan dipujuk melalui Facebook.

"Selain pelajar sekolah, penuntut IPTA/IPTS yang biasanya mempunyai masalah dalam pengajian dan masalah keluarga turut menjadi sasaran ... pekerja swasta dan kerajaan termasuk ahli perniagaan juga dipujuk untuk sama-sama berjihad," katanya.

Ayob Khan berkata, terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu Islamic State (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham.

Beliau menjelaskan, kebiasaannya golongan sasaran ini dipujuk dan direkrut berasaskan ayat-ayat suci Al-Quran dan untuk berjihad bersama mujahidin - Utusan Online

MH17: Jenazah Shaliza Tidak Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia




Shaliza Zaini, 45 bersama suami Hans van den Hende serta anak-anak Piers, 15, Marnix, 12 dan Margaux

KUALA LUMPUR: Jenazah mangsa MH17 dari Malaysia yang baharu dikenal pasti tidak akan dibawa pulang ke Malaysia atas permintaan keluarganya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Ya..sepatutnya dibawa ke Malaysia, tapi atas permintaan keluarga mangsa, jenazah akan dibawa pulang ke Australia, iaitu negara suaminya," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61, di Wisma MCA, di sini, Ahad.

Beliau berkata pihak berkuasa masih cuba untuk mengenal pasti seorang lagi mangsa dari Malaysia.

Mengenai proses siasatan, beliau menjangkakan ia akan mengalami kelewatan berikutan lokasi nahas di Donestk masih tidak selamat, selain faktor musim sejuk hampir tiba.

Pada Jumaat, dilaporkan mayat Shaliza Zaini Dewa, 45, telah dikenal pasti.

Shaliza Zaini, 45, bersama suaminya, Hans van den Hende serta anak-anak Piers, 15, Marnix, 12 dan Margaux, lapan tahun berada dalam penerbangan yang malang itu pada 17 Julai.

Mereka pulang dari bercuti di Amsterdam dan mahu menyambut Aidilfitri dengan saudara-mara mereka di Kajang, sebelum kembali ke Melbourne.

Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai, membunuh semua 298 orang di atas kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Pesawat itu dipercayai telah ditembak jatuh di Ukraine, kira-kira 50km dari sempadan Rusia - myStar Online