Search This Blog

HOME

Friday, November 22, 2013

Hati-hati dengan kisah misteri.


Kisah kehilangan seorang remaja di Vila Nabila, Johor Bahru menggemparkan negara baru-baru ini.


Kehilangan seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang kononnya hilang setelah memasuki sebuah vila usang dikenali sebagai Vila Nabila di Johor telah menjadi topik hangat di media-media massa dan sosial baru-baru ini.

Ia menjadi sensasi apabila dikhabarkan bahawa salah seorang rakan melihatnya memasuki vila berkenaan, tetapi tiada seorang pun yang menemuinya walaupun ada usaha mencari dilakukan.

Berita ini ditambah pula dengan dengan pelbagai versi misteri banglo berusia 40 tahun ini, termasuk cerita bahawa seorang penghuninya telah dibunuh dalam rumah berkenaan.

Ada pula cerita lain yang mengisahkan tentang seorang amah membunuh pemilik rumah ini, termasuk seorang anak gadis bernama Nabila.

Walaupun pihak polis yang menyiasat kes seumpama ini menasihatkan agar orang ramai tidak terpedaya, namun kelihatan manusia lebih mempercayai berita-berita aneh berbanding maklumat sahih pihak berkuasa.

Ingatan palsu

Persoalan yang timbul ialah mengapa berita seumpama ini mudah dipercayai? Kedua, mengapa pula ada rakan-rakannya yang melaporkan bahawa mereka melihatnya memasuki vila berkenaan?

Dalam bidang psikologi, perkara ini dinamakan sebagai false memory atau ingatan palsu. Ia biasanya terjadi apabila seseorang percaya mereka mengingati sesuatu perkara sebagai benar-benar terjadi walaupun hakikatnya peristiwa itu tidak wujud.

Ini bukan bermakna mereka cuba berbohong, tetapi ia wujud hasil proses mental atas keyakinan terhadap suatu kejadian.

Setiap kali berlakunya kemalangan jalan raya, kita akan mendengar pelbagai versi cerita oleh saksi sehinggakan ada yang tidak masuk akal. Bagaimanapun, kerana cerita ini biasanya diulang-ulang dengan cara yang sensasi, masyarakat akan berasakan ia seolah-olah benar-benar berlaku.

Dalam keadaan kecemasan atau ketakutan, penglihatan manusia biasanya lebih tertumpu kepada objek atau peristiwa tertentu yang mempunyai makna dari sudut emosi mereka.

Misalnya, apabila melihat kemalangan ngeri, orang biasanya akan menumpukan kepada aspek kengerian seperti darah, bunyi dentuman atau bentuk kenderaan yang mengalami kerosakan teruk. Mereka mungkin tidak melihat bagaimana proses kemalangan itu berlaku.

Sungguhpun begitu, apabila bercerita mengalami kemalangan, mereka biasanya akan membuat cerita berdasarkan pertimbangan emosi tadi dan bukannya berdasarkan apa sebenarnya yang dilihat.

Kisah sensasi

Keadaan ini yang menjadikan ingatan palsu terbentuk. Begitu juga dengan cerita-cerita aneh lain. Ia hanyalah suatu cakap mulut, kemudiannya diperbesarkan, menjadikan ia seolah-olah peristiwa yang benar-benar berlaku.

Apabila melalui kawasan perkuburan dikatakan sebagai seram dan berhantu misalnya, seseorang yang mempercayai kisah-kisah seperti itu, akan melaporkan bahawa mereka melihat makhluk halus yang menyeramkan. Sedangkan apa yang dilihatnya hanyalah plastik putih yang diterbangkan angin.

Dalam kes kehilangan budak lelaki tadi, ia menjadi sensasi kerana kononnya berlaku di sebuah banglo usang yang tidak berpenghuni. Lokasi banglo ini yang letaknya di atas bukit dan sunyi daripada keriuhan manusia menjadikan cerita misteri ini seolah-olah sebagai sesuatu yang berkemungkinan besar terjadi.

Sebab itu, masyarakat perlu berhati-hati dengan berita-berita yang tidak masuk akal seperti ini, sekalipun ia menjadi topik hangat di media sosial.

Berita-berita luar biasa ini tidak akan menjadikan kita sebagai manusia kritis dan logik. Misalnya, apabila berlakunya kejadian bahawa budak ini hilang kerana disembunyikan oleh makhluk misteri, maka apakah yang boleh kita lakukan lagi untuk menemuinya semula?

Secara am, apa yang kita boleh lakukan sekadar berharap bahawa budak tadi akan dikembalikan oleh 'makhluk' yang menyembunyikannya.

Sedangkan, kalau kita percaya bahawa budak tadi bukan hilang kerana disorok oleh makhluk halus dan sebagainya, masih banyak usaha untuk mencarinya boleh dilakukan. Kita mempunyai lebih banyak alternatif berasaskan pertimbangan logik dan akal yang waras.

Kita bernasib baik kerana budak yang hilang itu akhirnya ditemui. Ia bukan ditemui di banglo usang tadi, tetapi menginap di rumah seorang kenalannya. Ia sekurang-kurangnya mengingatkan kita semua bahawa tidak semua cerita patut dipercayai dengan mudah.

Sebagai manusia yang waras, sesuatu yang berlaku itu tidak mungkin menjangkaui akal logik manusia.

Sumber - http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment