Rasuah (dalam bahasa Arab disebut risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan membatalkan suatu yang haq atau untuk membenarkan suatu yang batil. (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah)
Dapat disimpulkan, ia adalah apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya terjadi kepadanya.
Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram, ia merupakan dosa besar kerana pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya SAW. Dari Abdullah bin ‘Amr dia berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Pemberi dan penerima rasuah berhak mendapat kemurkaan Allah dan dijauhkan dari rahmat Allah SWT kerana mereka telah melakukan suatu perbuatan yang batil dan mengambil sesuatu yang bukan hak mereka.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menceritakan tentang orang-orang Yahudi, “Mereka adalah orang-orang yang Allah sudah tidak berkehendak mensucikan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang pedih di Akhirat. Mereka gemar mendengar berita bohong dan gemar memakan Al-Suht (yang haram).” (Surah Al-Maidah: 41-42)
Dalam menafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab, Ibn Mas’ud ra. dan selainnya mengatakan yang dimaksud dengan As-Suhtu (suatu yang haram) adalah rasuah. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi)
Ibnu Mas’ud ra. mengatakan, “Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau hakim) adalah kekufuran, adapun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram).” (Al-Tabarani, Mu’jam Al-Kabir)
Namun tidak kurang ramai di kalangan masyarakat yang terlibat dengan rasuah yang kadangkala tanpa mereka sedari, boleh jadi kerana istilahnya telah diubah kepada hadiah dan sebagainya. Hal ini terjadi baik untuk mendapatkan jawatan atau pekerjaan, tender, untuk memasukkan anak ke sekolah atau universiti, atau untuk mencapai tujuan dunia yang lain. Ini adalah kezaliman kerana mengambil sesuatu yang mungkin sepatutnya adalah hak orang lain.
Hadiah-hadiah yang kita berikan kepada hakim atau pemerintah, juga termasuk dalam kategori rasuah yang diharamkan, walaupun ia dilakukan untuk mendapatkan hak kita kembali. Walaupun terjadi khilaf di mana ada ulama membolehkan memberi pemberian untuk mendapatkan hak, namun pendapat ini dibantah oleh sebahagian ulama yang lain.
Ini kerana jika kita memberi wang kepada hakim kerana kita di pihak yang dizalimi, kita sebenarnya membantunya dalam kezaliman yang dia lakukan, dan menggalakkannya untuk mengulangi lagi kezaliman itu pada masa akan datang. Kerana itu dalam banyak hal yang membabitkan kezaliman pemerintah, Islam banyak menyuruh supaya kita bersabar.
Ini merangkumi petugas-petugas yang mewakili pemerintah seperti polis dan sebagainya, janganlah kita memberi hadiah atau wang kepada mereka untuk melepaskan diri dari hukuman, atau untuk meringankan hukuman. Walaupun namanya diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya ia adalah rasuah yang haram dan mendapat laknat Allah dan RasulNya, maka jangan sesekali kita terlibat di dalamnya.
Para hakim, petugas, pemerintah juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah, ini termasuk ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Sabda Nabi, “Barangsiapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul” (Sahih. Abu Daud). Ini adalah bagi mengelakkan kezaliman, di mana orang berharta terlepas dari hukum dengan membayar wang, manakala orang yang tidak berharta tidak bebas dari hukuman.
Takutlah kita apabila membaca firman Allah, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa harta itu kepada hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan dosa padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)
Imam Al-Qurthubi berkata, “Barangsiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Di antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan kamu sedangkan kamu tahu bahawa kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah menjadi halal dengan keputusan hakim.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an)
No comments:
Post a Comment