Kesan peluru dikepala Hamzah |
KEMAMAN - “Semasa kejar pencuri itu, tiba-tiba saya dengar salah seorang daripada mereka beri arahan ‘tembak, tembak’, jadi saya patah balik larikan diri. Masa itulah juga terdengar bunyi tembakan yang kuat dan terasa angin menerpa belakang kepala,” kata petani, Hamzah Salleh, 51.
Hamzah Salleh |
Hamzah nyaris maut apabila ditembak dengan senapang angin oleh tiga pencuri yang mencuri ayam dalam kejadian di rumahnya di Jalan Jambu, Kampung Kubang Ikan, Bandar Baru Chendor di sempadan Pahang-Terengganu, awal pagi kelmarin.
Berikutan kejadian itu, peluru ‘ball bearing’ atau besi bulat bersaiz kira-kira satu sentimeter (sm) terbenam kira-kira 0.5 sm di kulit kepala mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi kokokan ayam dari reban di sebelah rumahnya lalu segera membuka pintu dan melihat dua lelaki berada dekat reban sambil seorang daripadanya memegang seekor ayam.
“Saya kejar lelaki itu dan bila tiba di depan simpang rumah, seorang daripadanya berlari ke kiri masuk ke hutan manakala seorang lagi berlari ke kanan masuk ke dalam Mitshubishi Storm warna putih di tepi jalan. Dalam kenderaan itu ada seorang lagi lelaki di tempat duduk pemandu.
“Lepas terdengar perkataan tembak, dari jarak kira-kira 30 meter dari kenderaan itu, saya lihat salah seorang mereka mengacukan senapang ke arah saya, jadi saya pusing semula untuk lari,” katanya.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, dia tidak menyangka terkena tembakan itu kerana tidak berasa sakit.
“Apabila saya sentuh belakang kepala, rasa seperti ada benda keras jadi saya suruh abang saya, Yusof, 55, lihat dan dia kata tidak nampak apa-apa kesan.
"Jam 5 pagi baru saya dapat tidur dan setelah terjaga jam 10 pagi, saya rasa berdenyut di belakang kepala,” katanya.
Dia yang masih bujang dan tinggal bersama abangnya di rumah itu sejak 13 tahun lalu hanya mengetahui peluru terbenam di kepalanya apabila berjumpa dengan rakannya kira-kira jam 11 pagi untuk memberitahu kejadian menimpanya.
“Ayam hutan yang dicuri itu milik kawan saya kerana dia minta saya tolong pelihara. Waktu itulah kawan saya periksa kepala saya dan dia nampak ada besi bulat berkilat terbenam dalam kepala saya.
“Lalu saya ke Hospital Kemaman kira-kira jam 2 petang dan saya terpaksa jalani pembedahan kecil pada jam 4 petang untuk keluarkan besi itu,” katanya yang berasal dari Kampung Banggol, Chukai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil imbasan X-ray, doktor mendapati terdapat satu besi bulat disyaki ‘ball bearing’ di kulit kepala sebelah kanan tetapi tidak terkena pada tempurung kepala mangsa.
“Pemeriksaan awal dapati tiada kesan darah pada kepala mangsa dan semasa kejadian juga mangsa tidak rebah.
“Tiga suspek tersebut berusia lingkungan 30-an dan mangsa sempat melihat nombor plat kenderaan suspek. Bagaimanapun mangsa gagal mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas ditambah dengan keadaan gelap dan hujan,” katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment