Search This Blog

HOME

Wednesday, November 6, 2013

MENGENAL ALLAH MELALUI NAMA-NAMA & SIFAT-SIFATNYA.




Ibn Taimiyyah adalah orang yang mengkaji dan pakar dalam ilmu mantiq. Dia merupakan ulama Ahli Sunnah yang mengharuskan pengajian ilmu mantiq untuk tujuan menjawab semula tohmahan golongan falsafah atau ‘aqlaniyyun (orang-orang yang mendahulukan akal berbanding wahyu).

Sedangkan Ulama-ulama terdahulu sebelumnya seperti Imam Al-Syafi’I, Imam Ahmad bin Hanbal semuanya mengharamkan ilmu mantiq. Bahkan Imam Syafi’i dalam perkataannya yang masyhur berkata, “Ilmu (agama) itu adalah ‘telah meriwayatkan kepada kami’ dan ‘telah memberitahu kepada kami’ (iaitu hadis Nabi), selain itu adalah perkataan-perkataan Iblis.”

Dalam kita belajar mengenal Allah SWT, perlu juga untuk kita menyentuh perkara-perkara syubhat yang ditimbulkan oleh golongan-golongan kuffar, golongan-golongan yang benci Islam, termasuklah golongan-golongan Jahmiyyah (yang diasas oleh Jahm bin Safwan) di mana mereka menafikan semua sifat-sifat dan nama-nama Allah.

Jahm bin Safwan yang telah dihukum bunuh oleh Kerajaan Bani Umayyah pada 128H adalah orang yang mula-mula menzahirkan akidah mengingkari sifat-sifat ALLAH, di mana akidah ini telah meresapi kebanyakan pemikiran umat Islam yang terpengaruh dengan ilmu kalam.

Kata mereka, “Sesungguhnya Allah mendengar tanpa pendengaran, Allah melihat tanpa penglihatan, Allah mengetahui tanpa ilmu.” Alasan mereka adalah, kalau kita mengatakan Allah ada ilmu, makhluk juga ada ilmu, bererti kita menyamakan ALLAH dengan makhluk. Kalau kita kata Allah mendengar, makhluk juga mendengar, bererti Allah sama dengan makhluk. Itu dakwaan dan kefahaman mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan. Kefahaman ini salah bahkan dihukum oleh ulama salaf sebagai akidah yang terkeluar daripada Islam.

Ya, Allah SWT memiliki ilmu. Manusia juga diberi ilmu. Tetapi ilmu Allah SWT dengan ilmu manusia tidak sama. Allah mendengar, manusia juga mendengar. Pendengaran Allah dengan pendengaran manusia mustahil sama. Begitu juga pendengaran manusia dengan pendengaran binatang tidak sama. Kita berpegang kepada keumuman ayat Al-Quran, Laisa kamislihi syai-un waHuwa Al-Sami’ Al-Basir “Tidak ada sesuatu pun yang semisal denganNya (Allah), dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Syura: 11)

Ulama Ahli Sunnah menetapkan kaedah: “Nama-nama dan Sifat-Sifat ALLAH hanya untukNYA, persamaan nama tidak menunjukkan persamaan yang diberi nama.”

Sebagaimana Allah SWT menamakan diriNya dengan ‘Alim (Maha Mengetahui) dan Halim (Maha Penyantun), Dia juga memberi nama kepada sebahagian hambaNya dengan Alim dan Halim seperti mana firmanNya, “Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan seorang anak yang ‘alim.” (Al-Dzariyat: 28)

Alim dalam ayat ini disandarkan kepada manusia. Allah juga menamakan diriNya dengan sifat ‘alim. “Innallaha ‘Alimun Hakim (Sesungguhnya Allah itu Alim dan Hakim)”, tetapi ‘Alim Allah dengan alim manusia tidak sama. Ahli Kalam mengingkari sifat-sifat yang ALLAH tetapkan untuk diriNya dan mengubah kepada maksud lain. Ini adalah penyakit Ahli Kalam apabila terlalu menggunakan akal dalam membicarakan sifat ALLAH. Kita mohon kepada ALLAH kesejahteraan dalam agama.

Kita kena biasakan membicarakan perkara seperti ini supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang keliru apabila muncul golongan yang cuba menyamakan Allah SWT dengan makhlukNya.

Ada orang bertanya kepada saya, “Kalau kita kata Allah SWT ada gigi, apa jawapan ustaz?” Saya jawab, “Pertama, kita perlu tahu bahawa Allah SWT tidak menyerupai segala sesuatu. Tidak ada satu benda pun yang sama atau serupa dengan Allah. Ini pasti. Kedua, ada atau tidak Allah atau RasulNYA sebut tentang gigi Allah? Jawapannya tidak ada. Tidak ada dalil menyebut Allah ada gigi, tidak ada dalil juga yang menafikan Allah ada gigi.

Jadi tanggungjawab kita adalah: “Dan jangan kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak ada ilmu tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semua itu akan ditanya.” (Al-Isra: 36)

Jangan pandai-pandai menetapkan suatu yang kita tidak tahu tentang ALLAH, dan jangan kita nafikan sesuatu yang Allah tidak khabarkan kepada kita. Namun jika ada yang memperincikan dengan mengatakan bahawa Allah ada gigi seperti gigi manusia, wajib kita nafikan hal itu kerana mustahil sifat Allah seperti sifat manusia. Allah tidak menyerupai sesuatu pun.

PERKARA GHAIB DIAMBIL DARI AL-QURAN DAN HADIS SAHAJA

Ini adalah perkara ghaib dan penting untuk kita mempelajarinya. Ia mengajar kita berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah, sebab hanya Al-Quran dan Sunnah sebenar-benarnya menceritakan benda yang ghaib. Sebab itu kehidupan perlu dimulakan dengan pelajaran dan pemurnian akidah.

Ini kerana akidah melibatkan perkara ghaib, kita tidak nampak, dan sandaran kita hanya Al-Quran dan Sunnah. Setelah itu baru pergi kepada ibadah dan selainnya. Dengan itu barulah kita tidak meninggalkan Al-Quran dan Sunnah apabila berbicara tentang agama.

Dukacitanya hari ini orang membelakangkan pelajaran akidah, maka apa yang berlaku adalah semua tentang agama ini diulas menurut akal masing-masing. Apa yang tidak bertepatan dengan logik akal ditolak tepi. Ini permasalahan yang kita temui dalam masyarakat kita dan ia perlu diatasi.

No comments:

Post a Comment