Search This Blog

HOME

Tuesday, November 19, 2013

KERJA YANG SIA-SIA - PDRM tukang tangkap pendatang haram, Jabatan Imigresen tukang bawak masuk pendatang haram.




Kelmarin akhbar Berita Harian mendedahkan perbuatan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT).

Pegawai terbabit dikatakan menerima sogokan ratusan ribu ringgit sebulan bagi melepaskan warga asing yang diseludup ke negara ini menggunakan dokumen palsu.

bukan pertama kali pendedahan seumpama itu dilaporkan. Sebelum ini BH turut membongkar perbuatan sama di pintu masuk Pelabuhan Klang dan tindakan sudah pun diambil, tetapi isu rasuah membabitkan pegawai imigresen bagai tiada penghujungnya.

Ini mengundang persoalan apakah tindakan yang diambil selama ini tidak cukup tegas? Adakah hukuman sekarang masih tidak menakutkan pegawai lain agar tidak melakukan perbuatan sama?

Mungkinkah juga masih wujud kelemahan dalam sistem pemantauan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) imigresen di pintu masuk negara ini?

Semua persoalan ini sebenarnya bukan baru, tetapi bagai skrip drama yang diulang setiap kali berlaku kontroversi dalam agensi itu.

Kita percaya selepas ini jabatan itu juga akan menubuhkan pasukan bertindak khas untuk menyiasat atau membaiki sebarang kelemahan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
Keberkesanan pasukan khas

Persoalannya, apa sudah jadi dengan syor yang dikemukakan pasukan khas yang ditubuhkan dalam kes sebelum ini? Apakah penubuhan pasukan itu cuma hangat-hangat tahi ayam?

Kita akui bukan mudah untuk menangani isu rasuah. Apa lagi perbuatan itu bukan saja membabitkan penerima rasuah, malah yang memberi. Maknanya, rasuah tidak mungkin dapat ditangani selagi ada yang memberi.

Dalam konteks ini, pihak imigresen atau kementerian berkaitan kenalah memberi perhatian terhadap penjelasan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, mengenai sebab majikan memberi sogokan untuk membawa masuk warga asing.

Kalaulah betul apa yang dikatakan Shamsuddin mengenai kerenah birokrasi seperti proses dokumentasi yang rumit, adakalanya mengambil masa tiga atau empat bulan, maka kelemahan itu hendaklah diperbaiki segera.

Kita juga tidak menolak kemungkinan perbuatan rasuah di pintu masuk negara ini didalangi sindiket yang sentiasa mencari ruang untuk memperalatkan pegawai imigresen yang tidak amanah atau suka mengamalkan gaya hidup di luar kemampuan.

Apa yang membimbangkan, perlakuan pegawai terbabit turut mengancam keselamatan rakyat dan negara. Justeru, apa pun tindakan selepas ini, ia hendaklah dilakukan secara menyeluruh.

Ini termasuk memperkukuhkan aspek risikan dan pemantauan kerana kita tidak mahu akibat sikap tidak amanah segelintir pegawai, menyebabkan imej imigresen tercalar lagi.

Bak kata pepatah, disebabkan seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Nota: Artikal ini ditulis oleh saudara Mahfar Ali

Sumber

No comments:

Post a Comment