Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin As Sanusi |
JOHANNESBURG, Afrika Selatan 23 Jan. - Ulama yang berhimpun di Muktamar Ilmi Al Islami Bagi Khidmat Kemanusiaan kali kedua di Azaadville, Johannesburg, bersepakat supaya pemahaman terhadap agama suci ini dibuat dengan lebih kepekaan agar umat Islam tidak tersasar dari landasan yang betul.
Ini diperakui ramai ulama dari lebih 70 negara sejurus mendengar ucapan khas yang disampaikan Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin As Sanusi pada penutup muktamar kelmarin.
Ulama terkenal yang juga Presiden Universiti Darul Ulum Deoband, India, Sheikh Abdul Qasim Numani Al Qasimi menyifatkan ucapan yang disampaikan oleh wakil MAINS dan Malaysia itu telah menggulung segala perbincangan dalam muktamar sejak pembentangan kertas kerja dilakukan bermula 16 Januari lalu.
Ucapan Sheikh Muhammad Fuad adalah sebaik-baik ucapan penutup. Inilah sebenarnya yang hendak disampaikan," katanya selepas muktamar di Madrasah Arabiah Islamiah di Azaadville.
Katanya, ucapan Sheikh Muhammad Fuad berkaitan hujah penyebaran dan pengukuhan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, fikah, hadis dan tasawuf membuka mata para ulama, sekali gus memperakui bahawa manhaj atau metodologi imam terdahulu adalah benar dan dapat mengembalikan kekuatan ilmu pengetahuan serta memastikan perjalanan ilmu itu sahih dan betul.
Hujah itu dibincangkan sama oleh Mufti Lebanon, Sheikh Usamah Abdul Razak Al Rifaie melalui tajuk Kemuliaan Para Sahabat Yang Hebat, melalui dalil daripada al-Quran dan sunah berkaitan status para sahabat yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Katanya, hal ini adalah kerana Nabi Muhammad SAW melarang dengan keras setiap ucapan dan tindak-tanduk yang boleh mencalarkan kemuliaan para sahabat baginda.
Dalam pembentangan itu juga, Sheikh Usamah Abdul Razak menggesa dengan nada keras kepada kepimpinan seluruh negara Islam supaya menyekat penyebaran doktrin Syiah Immamiah yang selama ini telah merendahkan kedudukan para sahabat yang dikasihi Rasulullah.
Permusuhan golongan Syiah Immamiah terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah sangat dahsyat dan salah satu iktikad (kepercayaan) mereka ialah apabila lahir kelak Imam Mahadi mereka percaya akan berlaku kemusnahan terhadap golongan yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kesan daripada kepercayaan inilah telah berlaku pada masa ini satu pergolakan dahsyat di beberapa negara, di antara mereka yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah Immamiah ini," katanya lagi.
Maka di akhir pembentangan itu, beliau mencadangkan supaya barisan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah seluruh dunia melakukan satu kajian khusus terhadap kitab karangan ulama Syiah Immamiah ini yang mengandungi kefahaman mereka yang begitu menyimpang daripada agama.
Syiah Immamiah sentiasa sahaja mendakwa Ahli Sunnah Wal Jamaah menfitnah mereka dengan dakwaan yang tiada bukti," tegasnya.
Apa pun cadangan itu telah terlebih dahulu disambut oleh Sheikh Muhammad Fuad melalui buku ditulis oleh beliau dan diterbitkan MAINS dan Kumpulan Pendidikan Sofa, bertajuk Doktrin Syiah Immamiah yang telah pun dibaca dan disebarkan kepada umat Islam di Malaysia.
Sementara itu, perkara yang ada hubung kait dengan ucapan penggulungan itu juga disentuh oeh ulama hadis terkenal dari Mekah, Sheikh Abdul Hafiz Malik Abdul Haq Al-Makki melalui pembentangan bertajuk Kesinambungan Antara Syariat dan Tarekat.
Kata Sheikh Abdul Hafiz pada muktamar itu, banyak pendapat salah yang mengatakan tarekat adalah sebahagian daripada syariat Islam itu sebagai satu yang sesat dan bidaah.
No comments:
Post a Comment