Search This Blog

HOME

Tuesday, January 21, 2014

Aktiviti Mandi Di Pantai Kerachut, P.Pinang Kini Tidak Dibenarkan Lagi.


BALIK PULAU: Aktiviti mandi dan berenang di Pantai Kerachut kini tidak dibenarkan sama sekali, demikian tegas pihak berkuasa Taman Negara Pulau Pinang pada Selasa.

Superintenden taman itu, Saat Yaakob ketika mengumumkan demikian menegaskan, pihaknya terpaksa mengambil pendirian tegas tanpa tolak ansur ekoran beberapa kejadian lemas yang kerap berlaku di situ.

“Selama ini kami tidak menghalang aktiviti berenang di kawasan taman negara ini tetapi kami juga tidak mengalakkannya.

"Tetapi kini ia tidak akan dibenarkan lagi," ujarnya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain di sini, Selasa.

Sabtu lalu, tiga orang menjadi mangsa korban manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas sekumpulan anggota kumpulan sebuah syarikat yang sedang menjalani program bina semangat di pantai itu telah tenggelam dibawa arus.

P. Yogambigai, 24, Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 23 dan Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, kesemuanya ditemui mati manakala Norhayati Nasrul, 22, dan Nurain Nabilah Mokhtar, 21, bernasib baik apabila berjaya diselamatkan.

Saat menjelaskan ketika kejadian itu berlaku, dua anggota renjernya kebetulan sedang bertugas di kawasan tersebut dan cuba menyelamatkan mereka. “Sebenarnya dua bendera merah yang memberi amaran jangan berenang di kawasan itu telah dipacakkan dua tahun yang lalu. “Tetapi pelawat tetap tidak mengendahkan arahan tersebut. Tetapi kini kami akan meletakkan bendera melarang sebarang aktiviti mandian di seluruh kawasan taman yang berpantai,” tegasnya.

Taman Negara Teluk Bahang Pulau Pinang memiliki 40 orang kakitangan dan renjer.


Sementara itu Shah Headan berkata, Pantai Kerachut adalah pantai yang paling berbahaya di pulau itu kerana kedalamannya menjunam secara mendadak hanya selepas dua meter dari pantai kepada sedalam lima meter dan selepas itu 10 meter.

Tetapi taman negara ini adalah sebuah taman yang popular di Pulau Pinang dengan menerima kunjungan purata 10,000 pelawat sebulan sepanjang tahun lalu.


No comments:

Post a Comment