Search This Blog

HOME

Monday, January 13, 2014

Solat Sambil Mendukung Anak/Bayi.

Contoh bersolat sambil mendukung anak.
Antara yang membuktikan Rasullulah S.A.W. meraikan psikologi kanak-kanak ialah baginda pernah mendukung cucunya ketika sedang menunaikan solat. Perkara ini dapat dilihat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra :

 "Sesungguhnya Rasullulah S.A.W. menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasullulah S.A.W. dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud , baginda meletakkannya apabila bangun , baginda mendukungnya semula . "{Al-Bukhari,Sahih al-Bukhari, bab Iza Hamila Jariyatan Saghiratan Ala Unuqihi Fi al-Solat, hadis nombor 486}

Hadis ini menunjukkkan keharusan seseorang membawa atau mendukung kanak-kanak lelaki maupun perempuan dan juga binatang yang suci di dalam solat, samada fardu atau sunat. Hukum berbuat demikian adalah harus, bukan sahaja kepada orang yang menunaikan solat secara sendirian, bahkan juga yang menjadi imam.

Inilah yang dipegang oleh al-Imam al-Syafie. Sebaliknya ulama mazhab maliki, hanya mengharuskan di dalam solat sunat sahaja dan menegah melakukannya di dalam solat fardu.

Mungkin ada yang bertanya, bukankah perbuatan mendukung anak ketika solat, menyebabkan banyak berlaku pergerakan dan pergerakan yang banyak membatalkan solat. Mungkin juga ada yang berkata, hadis di atas tidak membuktikan Rasullulah saw melakukannya secara kerap, sebaliknya hanya sekali sahaja sepanjang hayat Baginda S.A.W.

Untuk menjawab anggapan sebegini suka dinyatakan di dalam hadis di atas, tidak semestinya melibatkan pergerakan yang banyak dan berterusan, kerana melibatkan satu pergerakan dan meletakkannya satu pergerakan . Ini tidak bertentangan dengan pandangan majoriti ulama, yang berpendapat solat batal, jika berlaku pergerakan yang banyak lagi dan berturut-turut, kerana pergerakan yang berlaku ketika mendukung dan membawa kanak-kanak tidak banyak dan tidak berturut-turut.

Dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan, ia hanya khusus untuk nabi sahaja, tidak diterima kerana kemungkinan nabi saw mendukung Umamah, sebaik sahaja beliau selesai qadak hajat. Kebiasaannya kanak-kanak yang telah selesai qadak hajat, berada di dalam keadaaan suci untuk satu tempoh yang panjang.

Al-Imam al-Nawawi pernah mengulas isu ini. Antara lain beliau mengatakan: "mendukung atau membawa kanak-kanak di dalam solat, tidak bercanggah dengan kaedah syarak, kerana manusia adalah suci . Najis yang terdapat didalam perut adalah dimaafkan ,kerana berada di dalam perut. Pakaian kanak-kanak dan jasad  mereka berada di dalam keadaan suci. Dalil-dalil syarak jelas membuktikan demikian. Pergerakan yang berlaku di dalam solat,  tidak membatalkan solat, jika sedikit atau banyak tetapi terpisah-pisah. Perbuatan nabi saw di atas membuktikan keharusan mendukung anak di dalam solat. 35

Hadis di atas membuktikan pada asalnya pakaian dan badan kanak-kanak adalah suci kecuali jika diyakini benar-benar membawa najis. Hadis ini menunjukan keharusan membawa najis dalam solat, kerana Umamah ketika itu berumur tiga tahun. Pada peringkat umur sebegini, selalunya kanak-kanak berada di dalam keadaan bersih dan tidak membawa najis, kerana pada kebiasaannya ahli keluarga tidak akan berani membawanya keluar melainkan setelah dipastikan benar-benar berada di dalam keadaan bersih. Ini dilihat kepada kanak-kanak perempuan orang-orang awam biasa, bagaimana pula dengan cucu Rasullulah saw sendiri, sudah tentu lagi bersih dan terjamin daripada membawa najis . 36

Dengan itu, secara automatik dapat difahami, jika diyakini kanak-kanak tersebut membawa najis pada badannya, tidak boleh mendukungnya ketika sedang menunaikan solat kerana termasuk ke dalam ertikata menanggung najis, yang membatalkan solat.

35-Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jil.5 , halaman 35
36-Ibd, halaman 193

Cara menggendong bayi dalam solat :

1. Adalah baik sebelum itu, bayi yg mahu dikendong terlebih dahulu dibersihkan daripada segala najis.

2. Memulakan niat solat seperti biasa sambil menggendong bayi.

3. Tangan tidak perlu diangkat ketika takbir dan tidak perlu diletakkan di atas dada. Kerana hukum mengangkat tangan dan meletakkannya di atas dada hanyalah sunat.

4. Bacalah apa sahaja yg perlu dibaca dalam keadaan berdiri.

5. Lalu rukuk dengan tangan memegang erat bayi tersebut, tidak perlu meletakkan tangan di atas lutut kalau tidak dapat melakukannya.

6. Semasa mahu sujud, letakkan bayi itu dan kemudian dikendong kembali apabila mahu bangkit ke rakaat seterusnya.

7. Laksanakan seperti itu hingga solat selesai.

Petikan :
Buku "Psikologi Rasullulah saw Dalam Berinteraksi Dengan Masyarakat " .
Halaman 44-47
Karangan Dr.Basri bin Ibrahim

No comments:

Post a Comment