Search This Blog

HOME

Tuesday, January 21, 2014

Menggelupur Bila diserbu - Ikut Siling Pun Tak Lepas.

Seorang warga asing tanpa izin gagal menyembunyikan diri di atas siling ketika operasi di flat Taman Pelangi Juru, awal pagi tadi. FOTO Amir Irsyad Omar


CUBA lari dengan memanjat siling di Pulau Pinang dan baling batu di Kota Kinabalu belum dapat melepaskan pendatang asing tanpa izin (Pati) daripada dicekup pihak berkuasa yang melancarkan operasi besar-besaran, di seluruh negara, bermula tengah malam tadi.

Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengotakan janjinya apabila mengetuai lebih 500 penguatkuasa dalam operasi besar-besaran mengempur Pati yang dijalankan serentak di seluruh negara, sebentar tadi.

Ahmad Zahid menyertai lebih 500 penguatkuasa membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela); Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyerbu sarang Pati berdekatan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang.

Ketika melancarkan operasi sebentar tadi, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak akan berlembut lagi terutama dalam usaha membanteras Pati di negara ini.

Menurutnya, kerajaan sudah memberi tempoh mencukupi buat majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka terutama menerusi Program Khas Pemutihan Pati (PKPP) yang baru sahaja tamat jam 12 malam tadi.

"Kami tidak mahu kerajaan dituduh 'tin kosong' justeru, saya sendiri turun untuk menyertai operasi ini hari ini," katanya.

Justeru, katanya, operasi ini dilancarkan serentak seluruh negara bagi memastikan Pati diusir dari Malaysia.

Sementara itu, katanya, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh PKPP kerana tempoh diberikan sebelum ini sudah mencukupi.

Hadir sama pada operasi berkenaan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

Ahmad Zahid juga mengetuai ops bersepadu di sebuah kawasan penempatan pekerja asing di SEPANG, di mana seramai 220 Pati ditahan atas pelbagai kesalahan.

Dalam serbuan disertai lebih 300 penguatkuasa pelbagai agensi itu bermula jam 1 hingga 7 pagi itu, seramai 949 pekerja asing diperiksa di sebuah penempatan warga asing bersebelahan Downtown KLIA.

Ahmad Zahid berkata, pekerja asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh seramai 89 orang, India (83), Nepal (21), Pakistan (25) dan dua warga Myammar di atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen lengkap, tinggal lebih masa dan memiliki pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke depot tahanan sementara di Semenyih dan KLIA bagi siasatan lanjut.

"Ops bersepadu itu disertai seramai 334 anggota penguatkuasa dari Jabatan Imigresen Malaysia, RELA, JPN, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)" katanya.


Di JURU, 102 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pendaftaran negara menjalankan pemeriksaan di flet di Taman Pelangi, di sini, terkenal sebagai penempatan warga asing.

Seorang warga asing tanpa izin gagal menyembunyikan diri atas siling ketika operasi di flat Taman Pelangi Juru, awal pagi tadi. FOTO Amir Irsyad Omar 
Dalam pemeriksaan Op Pati bermula 1 pagi tadi, 40 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Vietnam termasuk dua kanak-kanak ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu premis berikutan kengganan warga asing memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.

sehingga jam 1.30 pagi tadi proses semakan dokumen masih dijalankan ada warga asing dikesan bersembunyi dalam tangki air.

Di KUALA LUMPUR, 230 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan terbabit dalam operasi Op 6p Bersepadu yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Dalam operasi membabitkan enam agensi antaranya 52 anggota Jabatan Imigresen Malaysia, 55 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA (44), JPAM (12), DBKL (50) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Di SHAH ALAM, 19 warga asing termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi besar-besaran kawasan rumah kongsi di Denai Alam, di sini, bermula jam 12 tengah malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata operasi disertai 33 pegawai dan anggota dari Imigresen Selangor, 33 anggota RELA dan empat pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Di KUALA TERENGGANU, 154 anggota terdiri Imigresen, RELA, SPRM, JPAM dan JPN negeri mengadakan Ops Pati di sini bermula jam 12.45 pagi.

Anggota penguatkuasa dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang ditugaskan memeriksa antara tujuh hingga 20 lokasi sekitar bandar raya ini.

Dalam operasi pertama dilakukan di sebuah rumah sewa berhampiran Pantai Batu Burok, anggota penguat kuasa memerlukan kira-kira setengah jam mengetuk dan mengarahkan pintu rumah dibuka sebelum seorang lelaki India berusia lewat 30-an muncul membuka pintu.

Enam PATI ditahan kerana kesalahan permit kerja tamat tempoh.


Di ARAU, 26 termasuk 25 lelaki dan seorang wanita Pati ditahan dalam Operasi 6P bersepadu.

Di dalam operasi yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2 pagi itu beberapa agensi penguatkuasa menyerbu dua lokasi berasingan di Ulu Pauh di sini.

Ketua Operasi, Mohd Zulhilmi Zulkifly, berkata 50 anggota penguatkuasa terdiri daripada PDRM, JPAM, Rela,JPN dan Imigresen menahan kesemua mereka terdiri daripada 10 warga Myammar,14 Bangladesh dan dua dari Indonesia itu.

Zulhilmi yang juga Timbalan Pengarah Imigresen negeri itu berkata seramai 99 orang diperiksa dibdalam operasi berkenaan.

"Operasi yang dianggap berjaya ini berjalan lancar dan antara kesalahan yang didapati dilakukan adalah tidak memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan tamat tempoh.

"Kesemua mereka yang ditahan akan dihantar ke Kompleks Imigresen negeri bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Menyorok dalam reban ayam adalah antara taktik warga asing bagi mengelak daripada ditahan di kawasan pembinaan di Mutiara Rini.

Selain itu, ada juga penghuni rumah kongsi di situ yang tidak membuka pintu untuk dijalankan pemeriksaan hingga menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa memecahkannya.

Ketua Penyelaras Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, hasil pemeriksaan serentak di empat zon seluruh negeri itu, seramai 1,200 warga asing ditahan.

Menurutnya, mereka itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Selain rumah kongsi di Mutiara Rini itu, pasukan di tiga zon lain turut memeriksa kawasan penempatan pendatang asing dan juga kilang," katanya.

Dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, Jabatan Imigresen dibantu RELA, JPN, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Di KUALA KRAI, seorang warga asing meyalahkan ejenya kerana permit kerja tamat tempoh selepas ditahan Jabatan Imigresen Kelantan di kilang arang.

Fan Tin Sen, 39, lelaki warga Vietnam antara 25 warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi tadi.

Menurut Fan, dia sudah lima tahun bekerja di negara ini dan boleh berbahasa Melayu, namun awal pagi tadi dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana ditahan akibat melakukan kesalahan.

"Ejen yang sepatutnya memperbaharui permit kerja saya tidak berbuat demikian.

"Sudah enam hari saya tunggu (untuk dapatkan permit kerja) baru," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan, Nordin Ibrahim berkata, seramai 90 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Kelantan, RELA, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Kelantan terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, seramai 75 warga asing membabitkan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Vietnam diperiksa.

"Hasil pemeriksaan mendapati 25 daripada mereka melakukan kesalahan antaranya permit kerja tamat tempoh dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 10 warga Vietnam, Nepal (11), dan Indonesia (empat). Mereka terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 40 tahun," katanya.

Di SEREMBAN, seorang lelaki warga Myanmar bertindak bersembunyi dalam sebuah lori di tapak pembinaan pangsapuri di Nilai Spring, dekat sini, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Lelaki berusia 30-an terbabit antara 29 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam Ops 6P bersepadu Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Rakyat, awal pagi tadi.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 163 warga asing diperiksa di dua tapak pembinaan di Jalan Labu dan Nilai Spring.

Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki disyaki majikan kepada seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah.

"Lelaki terbabit kita tahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing tanpa permit jika bersalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang ditahan di premis mereka," katanya.

Di KUCHING, lebih 50 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya melarikan diri dengan bersembunyi dalam hutan berhampiran satu tapak pembinaan di sini, awal pagi tadi.

Sebaik serbuan dijalankan penguat kuasa Imigresen, PATI di kawasan itu bertempiaran lari masuk ke hutan berhampiran.

Bagaimanapun, dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu berjaya menahan 72 PATI di empat tapak pembinaan di sekitar bandar raya ini.

Seramai 100 anggota RELA dan Jabatan Imigresen terbabit dalam operasi terbabit.

Di MELAKA, seramai 61 orang ditahan dalam operasi yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek Hassan.

Antaranya, warga Indonesia Asyati Atun yang memasuki Malaysia secara haram 10 bulan lalu.
Asyati ditahan bersama anak lelaki berusia sebulan setengah dalam di sebuah tapak binaan di bandar ini awal pagi tadi.

Asyati, 34, yang sugul ketika ditahan berkata, dia merancang untuk pulang ke Surabaya, Indonesia sebelum bersalin, namun kerana kekangan wang, dia meneruskan kerja sebagai buruh kasar bersama suaminya Muliady Misnawi, 37, yang turut ditahan.

Kemasukan secara haram Asyati ini bukanlah kali pertama, selepas dia kembali ke Surabaya empat tahun lalu untuk melahirkan anak pertama mereka.

Ironinya, Asyati melahirkan anaknya di sebuah hospital swasta di sini tanpa sebarang masalah pada 2 Disember lalu.



No comments:

Post a Comment