Bukan sahaja maklumat dihujung jari, fitnah juga dihujung jari........... |
Sesetengah orang kata, zaman kehebatan media sosial ini maklumat hanya di hujung jari. Saya hanya menambah, bukan saja maklumat bahkan bahan fitnah juga tidak memerlukan masa lama untuk tersebar hanya dengan menekan butang mahupun papan kekunci.
Kecanggihan pelbagai peralatan teknologi maklumat seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, laman sesawang dan banyak lagi turut membantu satu-satu maklumat sampai dengan hanya menggunakan jari tanpa memerlukan kudrat, wang ringgit mahupun masa yang panjang.
Mungkin benar telahan Nabi SAW bahawa umat kini berada pada zaman fitnah besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan as-Sunnah.
Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun.
Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita itu.
Prinsip ini ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”
Selidik kesahihan berita
Ayat ini ayat perintah kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak terjerumus dalam perbuatan atau tindakan yang menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusannya yang tidak adil atau merugikan pihak lain.
Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara. Ia seiring disiplin dan tradisi keilmuwan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi permasalahan ilmu menggunakan metadologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah.
Adab atau sikap yang berkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelak daripada mendengar atau membaca berita yang membahas aib dan membahayakan pemikiran.
Buat kajian menyeluruh
Juga tidak terburu-buru membuat kesimpulan terhadap sesuatu berita sebelum membuat kajian menyeluruh dan teliti akan keabsahan maklumat itu. Ini seiring sabda Nabi SAW: “Sikap berhati-hati daripada Allah, sedangkan terburu-buru itu daripada syaitan” (Musnad Abu Ya’la: 7/247, dishohihkan oleh al-Albani: 4/404).
Al-Imam Hasan al-Basri pula berkata: “Orang mukmin itu berhati-hati sehingga jelas perkaranya.” Kadangkala ilmuwan dan ulama juga mudah terjebak dalam kancah konflik dan fitnah jika tidak berhati-hati.
Ada kalanya soalan diajukan kepada ulama adalah pertanyaan memancing yang tidak semuanya bermaksud baik, terutama ketika menghukum.
Sebab itu ulama juga tidak harus menjawab setiap pertanyaan apatah lagi jika ada unsur untuk memecah- belahkan umat. Bahkan menjawab ‘saya tidak tahu’ adalah separuh daripada ilmu. (Hasyiyatul Utsuluts Tsalatsah: 1/118 oleh Abdurrohman bin Muhammad an-Najdi)
Sebab itu dalam Surah Al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuh hukum atau kesimpulan seperti yang disebut ayat 12 dalam surah sama: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.
Justeru, dalam berhadapan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat yang begitu canggih masa kini, umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.
Ditulis oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Yang Dipertua Yayaysan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Sumber - BERNAMA
No comments:
Post a Comment