Berserabut kepala otak Menteri Besar Selangor ni.......... MB yang sedang di 'henyak' oleh kawan dan lawan |
Minggu ini saya mahu membawa pembaca kepada isu berkaitan kuasa Sultan untuk melantik Menteri Besar. Isu ini sedang hangat diperkata ekoran peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang dan keputusan PKR meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk pilihan raya kecil nanti.
Anwar dikatakan sedang mengambil langkah untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Benar atau tidak caturan politik itu, saya tidak berniat menyatakan pendapat mengenainya. Saya hanya mahu membuat ulasan mengenai apakah kelayakan atau syarat untuk menjadi Menteri Besar.
“Penggunaan istilah 'pada hematnya' menunjukkan kuasa mutlak Sultan. Sultan tidak perlu berbincang dengan sesiapa. Perlembagaan juga tidak meletakkan syarat atau tatacara bagi Sultan untuk menentukan 'hemat' baginda”
Apakah kuasa dan peranan Sultan dalam pelantikan Menteri Besar? Adakah Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar? Atau, adakah pelantikan Menteri Besar adalah kuasa mutlak politik.
Bagi tujuan tulisan ini saya mengambil contoh peruntukan Perlembagaan negeri Selangor. agaimanapun, peruntukan serupa didapati dalam semua Perlembagaan Negeri yang lain.
Rujuk Perlembagaan
Perkara ini kerap diperkata, tetapi, saya percaya kita perlu mendekati Perlembagaan dengan pengisiannya, bukan tafsirannya saja. Oleh itu, pendekatan saya ialah meletakkan peruntukan Perlembagaan, terutama Perlembagaan Negeri Selangor yang mungkin susah untuk digapai orang awam.
Perkara 53 Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan bahawa Sultan hendaklah melantik Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Dalam proses melantik Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Sultan hendaklah melantik Menteri Besar bagi mempengerusikan Majlis Mesyuarat Negeri.
Kuasa Sultan untuk melantik Menteri Besar terikat dengan syarat bahawa seseorang itu hendaklah seorang ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan dan beliau hendaklah Melayu dan beragama Islam.
Bagi syarat menjadi ADUN, seseorang itu hendaklah dengan sah menjadi calon bertanding pilihan raya dan memenangi pilihan raya. Untuk menjadi calon dan bertanding pada pilihan raya, seseorang itu hendaklah berumur 21 tahun atau lebih. Beliau hendaklah menetap di negeri terbabit.
Ini disebut dalam Perkara 63. Perlembagaan tidak mensyaratkan seseorang itu anak kelahiran negeri Selangor. Jumlah atau jangka masa ‘menetap’ atau bermastautin juga tidak dinyatakan. Maka, dalam undang-undang dan amalan, walaupun hanya sedikit masa atau ditukar saja alamat tempat tinggal, maka seseorang itu dikira sebagai sudah menepati kehendak undang-undang.
Syarat kedua yang mengikat Sultan dalam melantik Menteri Besar ialah, seseorang yang akan dilantik itu hendaklah pada hemat baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti.
Perbahasan atau tafsiran timbul di sini. Adakah Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar? Jawapan saya ialah tidak.
Sultan terikat dengan dua syarat ini, iaitu, untuk melantik seorang ADUN; dan baginda juga hendaklah melantik seorang yang ‘pada hemat baginda’, ‘mungkin mendapat kepercayaan majoriti’ ADUN.
Di sini juga timbul soal tafsiran. Adakah Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan ‘hemat’ baginda mengenai sesiapa yang ‘mungkin mendapat kepercayaan majoriti’. Jawapan saya ialah ya.
Fahami istilah hemat Sultan
Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan ADUN yang ‘pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti’ ADUN. Penggunaan istilah ‘pada hematnya’ menunjukkan kuasa mutlak Sultan. Sultan tidak perlu berbincang dengan sesiapa. Perlembagaan juga tidak meletakkan apa-apa syarat atau tatacara bagi Sultan untuk menentukan ‘hemat’ baginda. Ada negara yang meletakkan tatacara tertentu bagi Ketua Negara (dalam kes kita, Sultan) dalam menentukan kepercayaan majoriti, sama ada dengan mensyaratkan seseorang yang dilantik akan menyerahkannya kepada Dewan untuk menentukan kepercayaan kepada Ketua Kerajaan (Menteri Besar). Tetapi, tatacara umpama ini tiada dalam Perlembagaan kita.
Oleh itu, walaupun Sultan terikat dengan syarat untuk melantik Menteri Besar, Sultan tidak terikat dengan apa-apa syarat dalam Perlembagaan mengenai tatacara menentukan ‘hemat’ baginda berhubung ‘kepercayaan majoriti’ Ahli Dewan.
Mengenai syarat Melayu dan Islam, keduanya ini disebut dalam Perkara 51(2). Walaupun begitu, Sultan mempunyai kuasa untuk meminggirkan kedua syarat ini sekiranya baginda fikirkan perlu dalam membuat lantikan Menteri Besar.
Walau apapun pemahaman kita mengenai isu pelantikan Menteri Besar, umumnya, Perlembagaan hendaklah dibaca dengan semangat dan sejarahnya.
Ditulis oleh: Shamrahayu A. Aziz
Sumber - BERNAMA
No comments:
Post a Comment