Search This Blog

HOME

Tuesday, March 4, 2014

Rahsia Dan Keajaiban Berselawat Keatas Nabi

Berselawatlah kita kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian. Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.

Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Inilah kelebihan berselawat kepada Nabi;

1. Sabda Rasullah SAW: "Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda". – (HR Muslim.)

2. Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalm dirinya.

10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat.

11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa2 kecil seseorang.

23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.

25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – HR Abu Naim.

30. Sabda Nabii SAW: "Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat". – HR Thabrani.

Lafaz Selawat yang sahih

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

Dari hadis: " Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya". [An-Nasae’i: 1292, sahih].

Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:

1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]

2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA: “Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].

3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]

4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua): “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]

5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]

6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].

7. Dari Abu Hurairah RA: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]

8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].

Wallahu a'lam.

Merungkai Rahsia Cahaya Merah Di Kaki Langit


Willebrord Snel Van Royen (1591-1626) dikatakan mencedok fakta asal milik Ibnu Haytam
Ketika matahari hampir terbenam dibahagian barat dan kemudian terbit di timur, kita akan menyaksikan cahaya kuning kemerah-merahan yang sangat indah di garis horizon atau kaki langit. Sedarkah kita kenapa Allah SWT menciptakan ia sedemikian rupa?

Setelah diteliti dalam tafsir Al-Qur'an, Imam Ibnu Kathir menyimpulkan bahawa cahaya mega atau dalam sebutan bahasa arab, Syafaq, bermaksud kemerah-merahan digaris ufuk. Cahaya itu muncul sama ada sebelum matahari tenggelam atau ketika matahari hendak terbit.


Indahnya ciptaan Allah S.W.T.. 
Berpandukan Al-Qur'an, Ibnu Haytam, saintis Islam paling popular dari Sepanyol telah melakukan kajian berhubung fenomena mega ini.

Hasil penemuannya mendapati kemunculan cahaya merah pada waktu pagi atau ketika senja berlaku ketika matahari berada pada kedudukan 19 darjah di bawah kaki langit.

Fakta saintifik ini telah disebutkan oleh beliau hampir 1,000 tahun dahulu ketika berada di Sepanyol, sebelum meninggal dunia pada 1,039 Masihi.

Difahamkan, fakta dan idea asal milik Ibnu Haytam dicedok oleh seorang ahli fizik Belanda, Willebrord Snel Van Royen (1591-1626).

Willebrord Snel Van Royen (1591-1626)

Dia kemudian mempatenkannya dengan istilah Hukum Snellius untuk digunakan dalam menghitung sudut bias pada cahaya atau gelombang yang melalui udara. Ramai saintis moden hari ini menggunakannya sebagai sumber rujukan ilmiah.

Dengan berpandukan hukum tersebut, kiraan yang dilakukan oleh ahli sains mendapati, 20 minit sebelum matahari naik atau terbenam, matahari akan berada pada kedudukan 5 hingga 10 darjah altitud (garis lintang Bumi).

Apabila matahari berada pada posisi tersebut, cahaya ungu akan muncul di langit dan tersebar dengan meluas kira-kira 40 hingga 60 darjah azimut - ukuran kedudukan sfera. Cahaya ini akan berubah menjadi warna merah selepas melalui tingkat kepadatan gas dan molekul yang melikupi ruang atmosfera bumi.

Ahli sains sepakat mengatakan fenomena mega berlaku kerana adanya lapisan atmosfera yang melikupi bumi.

Sebelum sinaran matahari sampai ke Bumi, ia harus menembusi lapisan atmosfera, melalui titik halus yang dinamakan horizon, seterusnya disebar oleh partikel-partikel kecil di atmosfera.

Atmosfera

Sekiranya Bumi tidak memiliki lapisan atmosfera, fenomena cahaya merah mungkin tidak akan muncul dengan tiba-tiba ketika terbit dan terus hilang begitu sahaja pada waktu terbenam.


Daripada interiaksi itu jugalah, manusia mampu melihat cahaya matahari ketika ia hampir tenggelam dan terbit seperti waktu tengah hari dimana penglihatan kita terhalang daripada melihat matahari kerana sinarannya yang menyilaukan mata.

Allah sengaja menciptakan fenomena sebegitu kerana pada saat itu sinar matahari yang sudah condong akan melalui atmosfera yang lebih tebal untuk mencapai mata kita.

Dengan itu, kita boleh melihat sinaran matahari dengan jelas tanpa mencedera atau menyakitkan mata.

Kepentingan fenomena mega ini telah dijelaskan secara tersirat oleh Allah di dalam Al-Qur'an melalui surah Al-Insyiqaq, ayat 16. Firman Allah yang bermaksud: "Maka Aku bersumpah demi mega".

Allah bersumpah pada ayat tersebut kerana Dia hendak memberitahu bahawasanya Syafaq, yakni cahaya merah terletak betul-betul ditengah garis pemisah antara dua keadaan iaitu siang dan malam.

Bahkan, jika dikaji surah Al-Insyiqaq daripada ayat 1 hingga 25, kedudukan ayat tentang Al-Syafaq ini juga terletak di antara bahagian tengah surah.

Untuk memahami ayat ini, ilmuwan tafsir, Hasan Al-Basri dan Ikrimah cuba menjelaskan makna Syafaq dengan berpandukan plot selepas ayat 16, iaitu bermula daripada ayat 17 yang bermaksud; "Dan (demi) malam serta segala yang dihimpunkannya". Ayat ke-18 pula, "Dan (demi) bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama".

Setelah Allah bersumpah dengan tiga perkara itu - demi cahaya merah, malam yang menghimpunkan segala-galanya dan demi bulan apabila ia penuh purnama.

Dan (demi) malam serta segala yang dihimpunkannya

Allah berfirman pula pada ayat ke-19 yang maksudnya; "Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan, menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)".

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, Hasan Al-Basri dan Ikrimah membuat kesimpulan bahawasanya Allah ingin memberitahu sesungguhnya kehidupan kita pasti akan melalui situasi yang berbeza-beza, seperti mana perubahan alam.

Fenomena alam hidup yang berubah-ubah ini untuk menunjukkan kepada kita kekuasaan Allah mencipta segala sesuatu.

Dia jugalah yang menghiasi warna-warni hidup manusia yang sentiasa bersulamkan bahagia, dukacita, kesenangan dan kepayahan.

Demikian Allah mendidik manusia agar menjadikan sunnah alam ini sebagai panduan hidup di muka bumi.

Penjelasan inilah kenapa Allah bersumpah pada cahaya merah, pada malam yang gelap dan bulan purnama.

"Saya Terima Apa Saja Hukuman Allah", Tun Dr Mahathir.

Tun Dr. Mahathir........ masih ramai yang menghormatinya samada didalam atau diluar negara.

1. Saya tahu tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang yang menghukum saya sebagai anti-hadis. Orang lain juga akan dilarang membaca tulisan ini. Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau hukuman mereka dipersoal. Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima seperti firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran.

2. Orang yang benar, berani. Orang yang takut, takut kerana salah atau mungkin didapati salah.

3. Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah. Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini kononnya dilarang oleh agama Islam.

4. Saya sekarang dilabel, iaitu diberi gelaran atau dicap anti-hadis kerana kononnya saya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang telah diberi gelaran yang sama.

5. Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam.

6. Hari ini kita lihat ummat Islam berpecah, bermusuh sesama mereka, berperang dan membuat kerja orang Yahudi dan Nasrani. Siapakah yang membawa malapetaka ini kepada orang Islam dan Negara-negara mereka. Bukankah mereka fasih dalam bahasa Arab bahkan penasihat dan pemimpin mereka terpelajar dengan dalamnya ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Saya sendiri sering mendengar mereka dari kedua-dua belah, mengeluarkan ayat Quran dan hadis bagi menghalalkan perbuatan mereka.

7. Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru itu saya terpaksa terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai ajaran Islam. Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu maka ia bukan Islam. Apakah saya tidak Islam. Apakah lafaz dua kalimah syahadat oleh saya tidak boleh diterima.

8. Selain dari khatam Quran semasa umur belasan tahun, saya baca terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ya, memang terjemahan Quran bukan Quran. Tetapi bolehkah kita kata terjemahan ajaran Islam yang diajar kepada kita dalam bahasa Melayu bukan Islam? Jika apa yang disampaikan dalam bahasa Melayu berkenaan agama Islam bukan Islam, majoriti orang Melayu bukanlah Islam.

9. Saya dan rakan-rakan saya pernah dihukum kafir kerana sebagai ahli parti tertentu telah bekerjasama dengan orang kafir. Tidak ada siapa yang fasih berbahasa Arab dan mendalami ajaran Islam yang mempertahankan saya apabila dituduh kafir. Mungkin sebabnya ialah mereka bersetuju saya kafir.

10. Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir. Tetapi tidak ada orang yang mendalami agama Islam yang fasih berbahasa Arab mendakwa mereka ini kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka maksum?

11. Orang yang fasih berbahasa Arab dan mengenal diri sendiri sebagai ulama Islam dan mursyid telah berkata ia sanggup bekerjasama dengan syaitan jika syaitan menyokongnya. Orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu larangan dalam Al-Quran terhadap bekerjasama dengan syaitan, tidak membuat tuduhan apa-apa, jauh sekali dari memberi apa-apa label kepadanya. Kenapa?

12. Bukan sahaja orang Arab yang fasih bahasa Arab yang berpecah dan bermusuh sesama Islam, tetapi di Malaysia juga perpecahan berlaku apabila orang yang digelar ulama dan fasih dalam bahasa Arab memisahkan diri dan memecahkan perpaduan orang Islam kerana tidak dapat tempat di dunia, tidak dipilih jadi Yang Berhormat. Sehingga sekarang perpecahan ini berlaku. Maka lemahlah orang Islam dan terpaksalah mereka mengemis untuk mendapat sokongan orang bukan Islam. Maka berpeluk-peluklah mereka. Tidak ada ulama yang berkecuali yang mendesak supaya semua orang Islam bersatupadu dan bersaudara semula.

13. Orang yang sama juga mendakwa bahawa Allah s.w.t. mencarut. Tiada siapa dari orang yang fasih berbahasa Arab dan tahu secara mendalam ajaran Islam yang menyangkal dakwaan ini. Mungkin ada hadis yang berkata demikian. Saya belum jumpa. Sila tunjuk kepada saya hadis yang berkata Tuhan mencarut.

14. Dalam ajaran Islam, ada yang wajib dan ada yang sunnat. Kita diberitahu yang sunnat boleh kita terima dan tunaikan tetapi tidaklah kita bersalah jika kita tidak tunaikan. Tetapi ada gesaan bahawa yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan walaupun bercanggah dengan firman Tuhan dalam Al-Quran.

15. Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu samada hadis wajib dan mesti diterima. Betulkan saya.

16. Apa pula dengan orang yang utamakan hadis dari firman Allah s.w.t. yang terdapat dalam Al-Quran yang kita terima sebagai wahyu dari Allah s.w.t. Berkenaan dengan zina, apakah hukum yang terdapat dalam Al-Quran. Dan apakah yang terdapat dalam hadis. Yang manakah lebih utama, wahyu dan firman Allah s.w.t. atau hadis yang diriwayatkan oleh beberapa keturunan manusia biasa, yang dikaji, disah atau ditolak oleh pakar hadis yang juga manusia biasa 200 tahun kemudian. Salahkah jika kita pilih Al-Quran yang jelas dan satu yang tidak berbeza-beza dan oleh itu tidak merejam dan menembak mati dengan mesingun perempuan yang dituduh berzina.

17. Bukankah Allah s.w.t. telah berpesan berpuluh kali bahawa “apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil”. Allah s.w.t. juga sebut sebagai tidak suka akan kezaliman.

18. Apakah melabel iaitu menghukum seseorang selepas membaca akhbar atau mendengar lapuran T.V. mencerminkan keadilan yang dituntut dalam Islam. Apakah tanpa memberi peluang kepada yang tertuduh untuk mempertahankan diri, adil di sisi agama Islam. Apakah tanpa membincang dan membahas oleh badan yang dipertanggungjawabkan seperti mahkamah, yang terdiri dari orang yang tidak berkepentingan, adalah cara Islam mengadil.

19. Kita lihat akan betapa buruknya keadaan umat Islam sekarang. Apakah ini kerana sudah ditakdirkan bahawa orang Islam akan ditindas dan agama Islam dihina.

20. Tidakkah Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan menukar nasib sesiapa jika ia tidak berusaha menukar nasibnya sendiri.

21. Jika kita ingin menukar nasib dan kita berusaha sehingga terselamat diri kita, bolehkah kita kata ini bukan takdir, atau ini bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.

22. Kita tahu adanya hadis yang sahih dan yang lemah Apabila hadis berbeza atau bertentangan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, yang mana satukah yang kita harus terima? Jika kita pegang kepada Al-Quran, apakah ini salah.

23. Apakah kita wajib terima apa saja yang disampaikan oleh orang yang berbahasa Arab yang mempelajari agama walaupun jelas bertentangan dengan ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis. Apakah kita mesti iktiraf siapa sahaja yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Apakah semua ahli persatuan ulama benar-benar ulama.

24. Amatlah merbahaya dan mengelirukan apabila sesiapa sahaja, hanya kerana fasih dalam bahasa Arab dan mendapat ijazah sarjana dalam bidang agama Islam, diberi gelaran ulama.

25. Perpecahan umat Islam kepada berbagai mazhab adalah disebabkan oleh orang seperti ini. Pengikut mereka turun temurun bermusuh dan membunuh. Tidak ada toleransi di kalangan mereka sedangkan Al-Quran tidak suruh kita bermusuh walaupun dengan penganut agama lain, melainkan mereka bermusuh dengan kita. Kepada mereka agama mereka. Lemahnya umat Islam dan terhinanya agama Islam ialah kerana ajaran mereka yang tidak boleh ditegur, yang tuntut kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi hanya kepada mereka.

26. Saya tahu bahawa jawapan kepada tulisan saya ini ialah saya anti-hadis, anti Al-Quran bahkan kafir.

27. Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah s.w.t. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah s.w.t. tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya.


Sumber - Chedet.cc

Perempuan Simpanan Tersilap Upload Gambar!

Gambar 'selfie' oleh Li Shanshan dan Luo Zhiyuan

Gara-gara tersilap memuat naik gambar ke media sosial, seorang perempuan simpanan telah mendedahkan wang tunai yang dimilikinya iaitu sebanyak £3 juta di dalam bank.

Rupa-rupanya dia bukan sahaja memuat naik gambar bersama kekasihnya yang juga orang kuat parti politik di China, Luo Zhiyuan di Facebook, sebaliknya dia juga memuat naik akaun bank tanpa disedarinya.

Entri tersebut telah menyebabkan Facebook wanita itu, Li Shanshan dihujani dengan pernyataan mengenai wang tersebut.

Shanshan sebelum ini berbuat demikian kerana ingin mengajar kekasihnya yang dikatakan enggan membayar nafkah kepada anak mereka.

Anak hasil hubungan terlarang - Photo SCMP Pictures
Sebagai bukti bahawa dia adalah kekasih Zhiyuan, Shanshan merakamkan selfie bersama Zhiyuan yang ketika itu sedang tidur bersama, dan dimuat naik dalam facebook.

Kini timbul persoalan sama ada Zhiyuan sudah membayar nafkah berkenaan atau tidak, dan berdasarkan akaun yang dimuat naiknya itu, sudah pasti ia menunjukkan bahawa wang nafkah itu sudah dijelaskan kekasihnya.

Namun selepas dihujani pelbagai pertanyaan, Shanshan terus memadamkan entri berkenaan.

Bagaimanapun dia kemudiannya menulis dalam Facebook bahawa wang berkenaan tiada kaitan dengan Zhiyuan, dan ia merupakan urusan peribadinya.

Shanshan juga mendakwa ahli politik yang kaya itu telah memanupulasi orang ramai untuk mendapatkan kontrak dan telah menggodanya untuk menjalin hubungan dengannya.

Dalam pada itu, Zhiyuan dalam satu mesej pesanan ringkas memberitahu perempuan simpananya bahawa jika dia kehilangan pekerjaan, maka wanita itu akan menerima padah.


Rahsia Kecantikan Selebriti Bollywood

Apa rahsia di sebalik badan anggun aktres Bollywood seperti Shilpa Shetty, Katrina Kaif dan ramai lagi mempuyai wajah seperti bidadari dengan kulit yang indah?. 

Di sini kami akan membongkar beberapa rahsia kecantikan terbaik yang telah diamalkan oleh diva-diva terkenal Bollywood. Teruskan membaca! 

Aishwarya Rai

Bekas Miss India yang pernah memegang gelaran sebagai "wanita tercantik di dunia" ini merupakan contoh dan inspirasi kepada orang-orang di India mahupun seluruh dunia.

Ashwarya Rai percaya dalam penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti timun untuk masalah kulit, tepung gram untuk pembersihan dan menggunakan campuran susu dan yogurt untuk melembapkan kulit. 

Untuk mengeluarkan toksin, dia menggunakan losyen semula jadi daripada madu, limau dan air panas untuk disapu pada badannya. 

Kareena Kapoor

Ikon glamor ini telah menggegarkan industri filem dengan saiz avatar sifar beliau. Perjalanan sebagai anak seni beliau telah menarik perhatian daripada semua peringkat umur. Perubahan beliau memerlukan banyak usaha, senaman yang memerlukan tumpuan penuh dan tabiat makan yang sihat. 

Rahsia di sebalik badannya yang fit dan 'abs' sempurna adalah kerana Kareena mengikuti rejim yang ditetapkan oleh pakar pemakanan beliau, Rujuta Diwekar, yang mana merupakan penulis buku "Don't lose your mind, lose your weight" dan "Women and the Weight loss tamasha". Selain itu, Kareena turut mengamalkan makan enam hidangan kecil, sihat dan berkhasiat serta mengamalkan yoga. 

Shilpa Shetty

Dia merupakan seorang 'tomboy' semasa zaman remajanya, mempunyai badan yang tinggi lampai dan senyuman yang nakal. Namun, dia mengalami transformasi ajaib yang mana menjadikannya sebagai seorang wanita yang berkarisma, cantik dan sentiasa bersedia seperti sekarang. 

Telah mewakili negaranya dalam versi UK Big Boss dan melancarkan Yoga CD sendiri. Rahsia badannya yang fit dan 'toned, falsafah kecergasan beliau adalah terdiri daripada latihan berat untuk 'toning', yoga untuk mencapai fleksibiliti dan ketangkasan dan meditasi untuk sentiasa berasa tenang dan damai. 

Dia tidak percaya pada berlapar untuk diet sebaliknya mematuhi tabiat makan yang sihat selari dengan rejim latihan yang ketat . 

Hema Malini

Dia adalah seorang pelakon legenda yang mana telah berusia dengan begitu anggun sekali. Rahsianya, beliau hanya menggunakan minyak aroma untuk menjaga kulitnya berseri dan sihat.

Untuk mengekalkan rambutnya sihat, aktres ini menggunakan campuran minyak kelapa, amla, tulsi dan neem untuk mengurut rambutnya dua kali seminggu. 

Selain itu, dia turut menggunakan pembersih susu Clarins untuk membuatkan kulitnya licin dan segar. 

Tambahan lagi, minum air yang banyak adalah satu lagi aspek penting dalam menjaga kulitnya supaya sentiasa terhidrat dan berseri. 

Untuk kecergasan, Hema mengamalkan aktiviti berbasikal, 'Pranayam' selama 45 minit dan yoga setiap selang sehari. 

Dia turut percaya dan mengamalkan diet vegetarian yang ketat yang terdiri daripada roti, dal, sayur-sayuran, beras, rasam, buah-buahan segar, teh hijau dan kadang-kadang bantuan daripada minyak sapi. 

Karisma Kapoor

Diva ini kelihatan cantik walaupun tanpa kesan solekan dan gaya rambut ekor kuda tinggi beliau turut membantu meningkatkan ciri-cirinya yang hebat.

Telah memasuki angka 30an dan seorang ibu yang mempunyai bentuk badan yang sempurna, dia telah mengamalkan carta pemakanan seperti berikut:

    Sarapan: 2 keping roti bakar gandum penuh dengan sayuran
    Makan tengah hari: Salad buah
    Snek: Sandwich atau Dhokla atau Udang
    Makan lewat malam: Sup
    Makan Malam: Dada ayam dan sayuran panggang. 

Dia turut mevariasikan diet ini bersama beras perang, ikan kukus atau ayam dan mempunyai 2-3 putih telur setiap hari untuk mengekalkan pengambilan protein. 

Katrina Kaif

Digelar sebagai "Barbie Doll", Katrina telah menguasai industri filem India dengan senyumannya seperti bidadari, bentuk badannya yang panjang, ciri-ciri lembutnya dan kulit bersinar. Beliau merupakan salah satu pelakon tampak jelita mahupun tanpa mekap. 

Rahsianya, dia hanya menggunakan topeng lumpur mineral untuk memerangi pelbagai masalah kulit yang terdiri daripada minyak muka yang berlebihan dan jerawat. 

Beliau percaya dalam spa badan yang mana untuk bertujuan untuk bersantai secara keseluruhan dan kesejahteraan. 

Sumber

Gadis Asia Terbaik Di Dunia!

Nora Danish antara yang terbaik

Seperti benua lain, Asia mempunyai pelbagai negara yang didiami masyarakat dengan latar belakang berbeza. Setiap negara mempunyai kesenian dan keistimewaannya yang tersendiri termasuklah kecantikan gadisnya. Kecantikan gadis Asia belum tentu dapat ditandingi mana-mana wanita lain seluruh dunia.

Apa yang menariknya? Disenaraikan beberapa kelebihan wanita Asia yang berjaya menarik minat jejaka luar hingga memperlihatkan peratusan perkahwinan campur naik mendadak saban tahun.

Cantik Cara Tradisional - Asian Natural Beauty


Wanita Asia punya banyak rahsia cantik yang diolah daripada alam semula jadi. Di Malaysia contohnya, ada banyak ramuan tradisional yang diminum atau dipakai di badan untuk tujuan kecantikan. Wanita Jepun kebiasaannya minum teh. Hampir semua negara mempunyai rahsia turun-temurun cantik menggunakan cara tradisional mereka sendiri. Pola pemakanan warga Asia juga cenderung lebih sihat. Hal itu juga menjadi pendorong kecantikan dan rahsia awet muda wanita Asia.

Warna Kulit Jadi Pelindung - Natural Asian Skin


Warna kulit orang Asia cenderung kuning hingga sawo matang. Semakin gelap warna kulit, semakin bagus perlindungan terhadap kerosakan akibat sinar matahari. Oleh itu, bagi anda yang memiliki kulit sawo matang seharusnya bersyukur. Wanita dengan kulit putih memerlukan perlindungan yang lebih banyak. Selain itu, kulit wanita Asia cenderung lebih halus dan lembut. Kerap kali kita lihat gadis Barat sanggup berjemur di bawah terik matahari semata-mata mahukan tona warna kulit seperti orang Asia. Jelas, mereka cemburu dengan kita!

Tak mudah kedut - Beutskin Essence


Komposisi lemak di wajah wanita Asia lebih banyak berbanding wanita dari benua Eropah dan Amerika. Perbezaan ini menyebabkan kulit wajah wanita Asia tidak mudah berkedut. Wanita Asia juga cenderung memiliki mata yang cembung, hal ini akan membuat mereka tidak mudah mengalami mata kendur. Lemak di sekitar bibir juga lebih banyak sehingga garis lengkung senyum lebih samar.

Kemudian dari segi fizikal, wanita Asia memiliki kulit yang halus mulus dan lembut seperti sutera, jauh bezanya jika bandingkan dengan kulit wanita Barat yang kasar dan berbulu lebat.

Tulang Wajah Lebih Halus - Asian Woman Beauty Face


Dibandingkan gadis dari benua Eropah dan Amerika, struktur tulang wajah wanita Asia lebih halus. Tulang pipi tidak terlalu menonjol, tulang dagu juga lebih halus dan membujur. Hal ini membuatkan wajah wanita Asia tampak lebih lembut. Sedangkan wanita Barat memiliki struktur tulang yang lebih tegap, tulang hidung lebih menonjol, tulang pipi tinggi dan tulang dagu lebih terlihat.

Lambat Beruban - Asian Girl Hairs



Rambut orang Asia lebih cepat tumbuh dibandingkan masyarakat Carribean mahupun Caucasian. Menariknya, rambut kita tumbuh 1 hingga 3 sentimeter setiap bulan. Lebih menyenangkan apabila rambut kita lambat untuk mengalami kebotakan berbanding masyarakat luar lain. Selain botak atas faktor usia, rambut beruban orang Asia juga lebih lambat daripada bangsa lain.

Tidak perlu bersusah payah mewarnakan rambut. Sedia kala memiliki rambut hitam pada waktu orang lain mewarnai rambut? Anda harus bangga dengan hal ini. Rambut asli Asia mengandungi medulla yang banyak pigmen warna gelap membuatkannya berkilau dan lembut. Namun kerana rambut kita lebih tebal dan panjang, kadangkala ia lebih cepat kering. Perlu rajin melakukan ‘rawatan’ dengan nutrisi untuk mengekalkan kelembapannya.

Sumber: Harian Metro Online

Diva Hollywood Dengan Perangai Menjengkelkan

HOLLYWOOD

Kita selalu dengar tentang penyanyi diva yang mempunyai banyak syarat dan pantang-larang untuk membuat persembahan, atau pun enggan bekerjasama dengan orang lain. Tapi bukan penyanyi sahaja yang mempunyai pelbagai jenis tabiat yang menjengkelkan, para pelakon Hollywood juga sama.

Anda mungkin fikir nama-nama yang agak jelas menunjukkan belang mereka, seperti Charlie Sheen, Lindsay Lohan, Jennifer Lopez atau Russell Crowe. Tapi menurut sumber-sumber dalam Hollywood sendiri, di antara para pelakon yang terkenal kerana bersikap sukar termasuk:

Katherine Heigl

Sekalipun ramai rakan artis yang menafikannya, banyak desas-desus mengatakan bekas bintang "Grey's Anatomy" ini sukar untuk bekerjasama, sehingga menyebabkan dia dan pengarah filem Judd Apatow kini tidak lagi bertegur sapa.

Dia dikatakan banyak menghabiskan bajet studio produksi kerana seringkali mahukan pelbagai jenis pakaian untuk watak yang dibawanya dan suka menyepikan diri di trelernya. Dia juga dilaporkan seringkali mahukan perubahan dalam skrip dan masuk campur dalam urusan penulis dan pengarah.

Menurut Sofia Vergara, yang turut berlakon dalam "New Year's Eve" di samping Heigl, pelakon berdarah kacukan Jerman-Irish itu seringkali merungut di set dan tidak bersyukur kerana diberikan peranan dalam filem tersebut.

Mike Myers

Pelakon komedi ini mungkin nampak seperti seorang insan yang mudah didekati, tapi menurut mereka yang pernah bekerjasama dengan Myers, bintang "Shrek" dan "Austin Powers" tersebut amat mementingkan kesempurnaan dan suka mengawal keadaan, menyebabkan dia tidak disenangi ramai.

Malah dikatakan dia pernah mengamuk dengan seorang kru filem hanya kerana kru tersebut memandangnya ketika di set penggambaran.

Val Kilmer

Pengarah John Frankenheimer, yang pernah bekerjasama dengan Val Kilmer dalam filem "The Island of Dr. Moreau" pada tahun 1996, pernah membuat kenyataan yang menjadi ayat popularnya sehingga kini: "Ada dua perkara yang saya tak akan lakukan lagi seumur hidup. Pertama, mendaki Gunung Everest. Kedua, bekerjasama dengan Val Kilmer."

Frankenheimer yang pernah berkelahi dengan Kilmer di set mengatakan dia tidak suka dengan etika kerja Kilmer. Malah perkara yang sama juga berlaku dengan Joel Schumacher, pengarah filem "Batman Forever". Dia juga pernah bergaduh secara fizikal dengan Kilmer kerana perbezaan pendapat.

Kilmer juga dikatakan seringkali mencetus konflik dengan para pelakon lain dan kru produksi.

Ashlee Simpson

Satu sumber mengatakan adik kepada penyanyi Jessica Simpson ini tidak mempunyai disiplin yang baik ketika dia masih lagi berlakon dalam "Melrose Place".

Menurut sumber tersebut, Ashlee dibuang dari drama tersebut kerana berkelakuan seperti diva di lokasi penggambaran. Dia juga sering lewat dan tidak disukai oleh para pelakon yang lain.

"Kelakuannya menimbulkan perkelahian di antara barisan pelakon yang lain," jelas sumber tersebut.

Gene Hackman

Pengarah Wes Anderson dan pelakon Gwyneth Paltrow mengakui bahawa mereka amat takut bekerja dengan pemenang Oscar Gene Hackman ketika membintangi filem "The Royal Tenenbaums".

Dalam sidang media tayangan ulangtahun ke-10 filem tersebut, para pelakon dan kru produksi memberitahu yang Hackman seorang yang panas baran dan pernah memaki penulis lakon layar mereka, Noah Baumbach dan menggesa Wes Anderson agar "berkelakuan seperti lelaki sejati".

Malah, seorang lagi bintang filem tersebut, Anjelica Huston berkata, "Saya pun takut, tapi saya lebih risaukan Anderson. Sejak bekerjasama dengan Gene dalam filem ini, tiada seorang pun dari barisan pelakon atau kru produksi yang masih berhubung dengannya!"

William Shatner

Bintang "Star Trek" ini memang amat dikenali sebagai pelakon yang ego dan mementingkan diri. Malah, ketika dijemput untuk memeriahkan majlis pengunduran rakan lakonannya James Doohan yang didiagnos dengan Alzheimer pada tahun 2004, Shatner memberitahu pihak promoter bahawa dia tidak mahu melibatkan diri dan tidak berminat dengan benda-benda berkaitan Alzheimer.

Jelas rakan lakonannya, George Takei, itu memang perangai biasa Shatner, "Kalau dia rasa dia tak nak buat apa yang orang lain suruh, dia akan beredar. Tak kira sama ada siri televisyen, drama, atau sebarang majlis."

Marlon Brando

Marlon Brando dikatakan tidak dapat menerima kritikan pengarah filem Frank Oz yang mengatakan lakonannya sebagai seorang homoseksual tidak meyakinkan, lalu memutuskan untuk menunjukkan perangai buruk sepanjang penggambaran filem "The Score" pada tahun 2001.

Menurut sumber, antara tingkah laku Brando termasuk menggelar Oz "Miss Piggy", enggan memakai seluar (sehinggakan semua babak membabitkannya memerlukan para kru merakam dari bahagian pinggang ke atas), dan menyerahkan surat doktor kepada pihak produksi dengan catatan mengatakan Brando mempunyai alahan pada Oz.

Hal tersebut menyebabkan Oz tidak tahan lagi dan membuat keputusan untuk mengarahkan babak Brando dari bilik berbeza, dan menggunakan pelakon Robert DeNiro sebagai perantara.

Sean Young

Dia merupakan bintang besar pada tahun 80-an, tapi sinarnya mula malap apabila seringkali menunjukkan tingkah laku yang buruk di set akibat ketagihan alkohol.

Menurut sumber, pengarah Oliver Stone pernah memecatnya dari filem "Wall Street" kerana kelakuannya, manakala pelakon James Wood memfailkan saman sebanyak enam juta dolar ke atas Sean Young apabila bekas kekasihnya itu seringkali mengganggunya.

Gwyneth Paltrow

Entah kenapa, Gwyneth Paltrow seringkali disinonimkan dengan perkara-perkara negatif dan kata-kata yang seringkali menimbulkan kemarahan orang lan.

Dia dikatakan tidak menghiraukan pelakon gandingannya yang lain termasuk Scarlett Johansson ketika membintangi "Iron Man 2", malah dikatakan cemburu kerana Johansson diberikan perhatian oleh pihak produksi dan media berbanding dirinya sendiri.

Paltrow juga seringkali dikhabarkan bersikap buruk dengan pihak media, dan enggan berjabat tangan dengan mereka.

Mandy Patinkin

Berbeza dengan yang lain, pelakon siri popular "Homeland", Mandy Patinkin sendiri mengakui yang dia agak menyusahkan ketika masih lagi membintangi drama perubatan, "Chicago Hope".

"Saya sukar menerima pendapat orang lain," ujar Patinkin. "Saya enggan dengar arahan pengarah sebab saya memang mengada-ngada. Saya memulakan kerjaya seni saya melalui kolaborasi bersama insan hebat seperti Milos Forman, Sidney Lumet, dan James Lapine, tapi saya tidak mahu menerima pendapat!"

Patinkin akui berkelakuan buruk suatu masa dahulu dan amat menyesali perangainya itu.

Sumber