Search This Blog

HOME

Friday, October 18, 2013

Isu Kalimah Allah - Dewan Ulama PAS kata Wan Saiful sebagai ‘tidak cukup umur’ dan ‘cetek ilmu.’ (Video)



Dewan Ulama Pas semalam mempersoalkan kelantangan Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs), Wan Saiful Wan Jan yang memperlekehkan pendirian ulama parti itu berhubung isu kalimah Allah.

Wan Saiful melalui akaun Facebook miliknya hari ini secara sinis mempertikaikan keputusan ulama Pas yang dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

“Dewan Ulama tidak bersetuju dengan pandangan Presiden (Pas) mengenai isi Allah? Menyatakan perbezaan melalui media? Sungguh tidak wala’ kepada pimpinan, tidak intima dan tidak berakhlak jemaah golongan ulama sebegini,” kata Wan Saiful.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ketika dihubungi Antarapos membidas kenyataan Wan Saiful sebagai ‘tidak cukup umur’ dan ‘cetek ilmu.’

“Dia (Wan Saiful Wan Jan) buat-buat tahu padahal dia tidak tahu.

“Dia memperlekehkan ulama, adalah dia tahu masalah agama yang berkaitan dengan akidah ini?.

“Bukan Islam kalau nak guna boleh tapi kena masuk Islam dahulu, sebab Allah pada orang Islam adalah Maha Esa,” kata Harun.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas , Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh ketika dihubungi Antarapos enggan mengulas kenyataan Wan Saiful yang disifatkannya sebagai ‘budak’ yang belum matang.

“Saya tidak mahu komenlah tentang kenyataan budak-budak (Wan Saiful Wan Jan) itu,” jawabnya ringkas.

Wan Saiful menurut wikipedia terlibat dengan Al-Hizbul Islami (HIZBI), organisasi pelajar yang dikaitkan dengan Pas ketika menuntut di United Kingdom.

“Beliau merupakan Setiausaha Agung pada tahun 1997, Presiden pada tahun 2000-2004, dan Mursyid dalam 2004-2006. Jawatan Mursyid, atau kerusi Majlis Syura, adalah kedudukan yang tertinggi dalam organisasi itu.

“Organisasi, bagaimanapun, memaksanya untuk meletak jawatan dari jawatan Mursyid selepas beliau menyertai Parti Konservatif pada tahun 2005, dengan alasan bahawa tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan dasar Pas.

“Bagaimanapun, beliau kekal sebagai anggota seumur hidup Pas,” lapor wikipedia itu.

Menurut ideas.org.my Wan Saiful adalah Editor AkademiMerdeka.org, projek anjuran Atlas Global Initiative, Naib Presiden Rangkaian Istanbul untuk Liberty dan satu-satu ahli dari Malaysia dalam Mont Pelerin Society.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dilaporkan Utusan Malaysia hari ini berkata kalimah Allah hanya eksklusif untuk Islam sahaja manakala agama-agama lain tidak dibenarkan sama sekali menggunakannya.

Sehubungan itu beliau yang kini berada di Mekah meminta semua umat Islam mempertahankan kalimah suci itu daripada dirosakkan oleh kumpulan tertentu dan dalam masa sama, menjadikannya asas kukuh di dalam kehidupan.

Haron meminta semua pihak bersiap sedia kerana masih terdapat satu lagi mahkamah yang boleh mendengar tuntutan tersebut iaitu Mahkamah Persekutuan.

“Masih ada satu lagi tempat medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan. Mungkin arahan tidak terduga akan berlaku nanti atau mungkin juga Malaysia bukannya medan untuk pertarungan mempertahankan kalimah Allah.

“Sebaliknya hingga ke peringkat Mahkamah Antarabangsa. Mungkin akan sampai ke sana. Apa pun sebagai umat yang faham tentang Islam itu sebagai agama tauhid wajib mempertahankan kalimah suci ini,” katanya. Ikuti video dibawah.


Sumber 

No comments:

Post a Comment