Search This Blog

HOME

Monday, October 28, 2013

Strategi Contextualisation Melalui Kalimah Allah.


Sejak keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 oktober 2013 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh majalah Kristian Katolik The Herald, isu ini kelihatan menjadi satu polemik yang mengundang pelbagai komen di luar konteks keputusan tersebut.

Kita melihat pelbagai liputan yang seolah-olah memberi gambaran bahawa penganut Kristian di Malaysia dizalimi dan keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak berasas. Keluarlah dalam pelbagai media, kartun-kartun, karikatur, lawak jenaka dan pelbagai anologi yang tidak munasabah. Amat malang juga apabila mereka yang terdiri daripada golongan cerdik pandai turut sama mengeluarkan kenyataan yang di luar konteks. Turut juga memberi komen dalam isu ini adalah tokoh-tokoh Islam luar negara yang memberi kenyataan tanpa melihat isu sebenar dalam penghakiman tersebut.

Penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini bukan melarang orang kafir daripada menyebut kalimah Allah. Sebutlah kalimah Allah dan cubalah untuk mengenali Allah dengan sebenar-benarnya. Apa yang dilarang adalah penggunaan kalimah Allah oleh majalah Kristian yang terang-terangan bertujuan untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Melayu Islam. Penggunaan kalimah Allah adalah salah satu cara untuk menunjukkan bahawa dakyah Kristian yang mereka bawa sebenarnya amat dekat di hati umat Islam. Inilah strategi mereka yang disebut “contextualization”.

Dalam gambar di atas, Maryam digambarkan dengan gambaran yang menyerupai masyarakat setempat yang menjadi sasaran dakyah kristian. Strategi contextualisation merupakan satu pintu masuk, satu cara supaya dakyah mereka mudah diterima, dekat di hati sasaran mereka, meggunakan pelbagai imej, istilah, nama dan perkataan yang telah biasa didengari. Penggunaan nama Allah dalam The Herald adalah salah satu manifestasi strategi ini, yang membuka pintu-pintu baru kepada dakyah mereka. Bayangkan, orang Melayu Islam akan merasa janggal untuk hadir ke gereja atas apa jua alasan, namun kejanggalan tersebut tidak akan lagi ketara sekiranya gereja nanti disebut sebagai rumah Allah!

Aktivis yang terpedaya

Sesetengah aktivis dan para pendakwah Islam berpendapat bahawa penguatkuasaan larangan sebegini akan hanya menjauhkan orang kafir daripada dakwah mereka. Mereka menggunakan pelbagai istilah seperti tolak-ansur atau toleransi, mengurus perbezaan secara berhikmah atau mengajak supaya isu ini ditangani dengan dialog dan tidak perlu dibawa ke mahkamah.

Kita perlu meneliti isu ini daripada awal, dan bukan hanya melihat keputusan ini sebagai satu-satunya peristiwa. Pembohongan yang berlaku di pelbagai media sekarang cuba menenggelamkan fakta bahawa kumpulan missionary Kristian inilah yang sebenarnya menggugat struktur masyarakat sedia ada. Malaysia yang agama persekutuannya ialah Islam sememangnya telah mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal penyebaran agama lain di kalangan orang Islam. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri menggunakan kuasa sedia ada dalam mengawal permit penerbitan akhbar dan majalah untuk membendung dakyah kristianisasi yang cuba dilaksanakan oleh majalah The Herald.

Akhirnya, setelah melalui beberapa fasa amaran dan permit bersyarat daripada KDN, pihak Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur telah mencabar keputusan KDN di mahkamah pada dalam tahun 2009. Sekali lagi, isu penyalahgunaan kalimah Allah ini bukan dibawa ke mahkamah oleh orang Islam, tetapi dibawa ke mahkamah oleh pihak missionary Kristian!

Dengan jelasnya fakta ini, maka tidak sepatutnya sesetengah aktivis dan pendakwah Islam menidakkan keputusan mahkamah dan berundur ke belakang, seolah-olah usaha dialog dan perbincangan tidak pernah wujud. Kenapa setelah beberapa tahun isu ini di mahkamah dan setelah keputusan berpihak kepada KDN, barulah pihak-pihak ini beria-ria mengusulkan kepada penyelesaian berhikmah? Kita perlu menyedari bahawa kita berada dalam suasana yang mana kita sedang menghadapi serangan. Wajarkah setelah kita berjaya mempertahankan diri daripada serangan kali ini, kita pula yang beria-ria untuk berlembut? Bukankah kita sepatutnya bersatu hati dan cuba mempersiapkan diri sebelum menghadapi serangan seterusnya? Lebih patut lagi sebenarnya untuk kita yang memulakan serangan, menutup segala pintu masuk kepada ancaman yang dibawa oleh dakyah sesat ini, dan menyedarkan semua pihak tentang bahaya yang menanti sekiranya kita terus dengan kelalaian dan tidak sensitif dengan perancangan pihak yang mahu mengganggu gugat keamanan dan keharmonian yang sedia wujud.

Amatlah janggal orang yang cuma memburukkan imej agama Islam dengan komen-komen di luar konteks. Isu sebenar di hadapan kita adalah agenda kristianisasi yang mengancam umat dan bukannya menyekat orang-orang bukan Islam daripada mengenal Allah.

Berfatwa tanpa mengenal realiti

Pelbagai media yang ada juga secara jahat mengambil pandangan para ulama luar negara tanpa penjelasan yang wajar. Saya percaya mana-mana tokoh ulama Islam akan menjawab bahawa kalimah Allah bukan milik eksklusif umat Islam. Mereka juga akan menjawab bahawa adalah sesuatu yang tidak wajar untuk menyekat orang bukan Islam daripada menyebut nama Allah. Kedua-dua jawapan ini adalah respon yang benar, bahkan saya juga mempersetujuinya. Namun perlu diingat sekali lagi, persoalan sebenarnya yang patut ditimbulkan adalah adakah wajar mana-mana kerajaan negara Islam membiarkan penyebaran agama lain dan pemurtadan umat Islam dibiarkan berleluasa? Inilah isu yang sebenarnya. Saya percaya bahkan amat yakin bahawa para ulama tersebut akan bersetuju bahawa mana-mana kerajaan umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk menutup mana-mana pintu kepada agenda memurtadkan orang Islam bahkan golongan sebegini sepatutnya dihukum dengan sekeras-keras hukuman.

Gadaian politik

Sebenarnya pihak yang memusuhi agama Islam amat pandai mengeksploitasi segala kelemahan umat. Kita dapat menilai daripada isu penyalahgunaan kalimah Allah ini, betapa umat Islam begitu lemah dan terperangkap dalam kerangka politik sempit. PAS selaku Parti Islam tidak sesekali akan menyokong apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan walaupun dalam isu sebesar ini. Walaupun terdapat segelintir kecil ulamak PAS yang bersuara, namun suara mereka tenggelam oleh pendirian rasmi Pakatan Rakyat dalam isu ini. Pihak kerajaan pula, walaupun berada di pihak yang menang seakan-akan takut untuk mencanang kemenangan yang dicapai dan memperkukuh mekanisme sedia ada untuk menyekat usaha memurtadkan umat Islam, bahkan lebih malang lagi apabila beberapa menteri membuat kenyataan seolah-olah memperkecilkan isu kalimah Allah ini, barangkali kerana tidak mahu menggugat sokongan yang mereka sentiasa perolehi daripada Sabah dan Sarawak. Sampai bilakah isu umat Islam akan terus menjadi barang gadaian yang sedia untuk dipertaruhkan atas survival politik?


No comments:

Post a Comment