Search This Blog

HOME

Sunday, October 20, 2013

Jakarta Bebas ‘Topeng Monyet’ 2014.




Jakarta: Gabenor Jakarta Joko Widodo berjanji untuk membersihkan bandar raya itu daripada penghibur jalanan yang menggunakan monyet untuk mendapatkan wang menjelang tahun depan.

Sebuah poster menampilkan wajah Joko Widodo - lebih dikenali sebagai Jokowi - berbaju kotak-kotak dengan tulisan ‘2014, Jakarta Bebas Topeng Monyet’ membayangkan kesungguhan isu itu ditangani.

Menurut Jokowi, monyet tidak boleh dijadikan alat untuk mendapatkan wang apatah lagi haiwan itu kerap diseksa pemiliknya.

Jokowi berkata, jumlah haiwan untuk hiburan Topeng Monyet serta lokasi biasa digunakan untuk hiburan jalanan sudah didaftarkan.

Bekas Datuk Bandar Surakarta berkata, dia serius mahu menangani masalah itu kerana ia sudah menjadi isu dunia.

Justeru, katanya, semua monyet yang digunakan untuk hiburan jalanan akan dibeli kerajaan sebelum dilepaskan di Taman Mergastua Ragunan (TMR).

“Kami bersungguh-sungguh mahu membasmi aktiviti ini dan semua monyet berkenaan akan dibeli kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, kata Jokowi, pemilik monyet itu tidak akan dibiarkan begitu saja.

“Sebaliknya mereka akan diberi bantuan dan latihan sewajarnya untuk mampu mencari rezeki dengan cara lain,” katanya.

Sementara itu timbalan Jokowi, Basuki Tjahaja Purnama berkata, kawasan seluas satu hektar disediakan di TMR untuk menempatkan haiwan liar termasuk monyet jalanan.

No comments:

Post a Comment