Search This Blog

HOME

Saturday, October 5, 2013

Raih Keberkatan Hidup Dengan Enam Amalan Terpuji.

 

Barakah atau berkat dalam kalangan masyarakat Melayu ialah pengharapan kepada kebaikan yang melimpah daripada amalan dilakukan. Perkataan ini tidak pernah didengar oleh manusia kecuali setelah diturunkan wahyu dari Allah SWT.

Setiap Muslim pasti mengidamkan kehidupan yang penuh keberkatan. Hidup berkat perlu dijana dan untuk memperolehnya, harta yang diperoleh hasil dari titik peluh kita itu hendaklah melalui jalan yang diredai Allah SWT.
Menurut Iman Maghazi al-Syarqawi, hidup penuh berkat dapat direalisasikan dengan mengamalkan enam sikap dan sifat terpuji iaitu membiasakan sifat malu yang positif.
Siapa yang inginkan kebahagiaan akhirat, hendaklah meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang sudah melakukan itu semua, bererti telah betul-betul memiliki rasa malu." Riwayat Tirmidzi

Malu (al-haya’) boleh membuat seseorang Muslim berhati-hati untuk tidak berbuat maksiat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada sahabatnya: “Hendaklah kalian merasa malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Sahabat berkata: Alhamdulillah, kami sudah merasa malu kepada Allah, ya Rasul. Rasulullah berkata: Tidak, kalian belum merasa malu. Orang yang betul-betul merasa malu di hadapan Allah hendaklah menjaga kepala (berfikiran positif), menjaga perut (makan makanan dan minuman yang halal dan thayib) dan mengingat mati serta musibah. Siapa yang inginkan kebahagiaan akhirat, hendaklah meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang sudah melakukan itu semua, bererti telah betul-betul memiliki rasa malu.” (Riwayat Tirmidzi)

Bersyukur pula menurut Ibn Qayyim al Jauziyah, syukur adalah puji-pujian dan pengakuan hamba terhadap nikmat Allah disertai rasa cinta dan ketaatan kepada-Nya.

Lantaran banyak sangat kurniaan dan kenikmatan yang Allah anugerahkan, ada manusia yang lalai, tidak sedar diri dan tidak mengenal kebaikan serta kurniaan Allah kepadanya.
Ini menyebabkan Allah SWT mengingatkan manusia supaya bersyukur kepada-Nya dan memanfaatkan nikmat itu pada jalan yang diredai-Nya, supaya mereka tidak menjadi orang yang zalim serta kufur nikmat.

Senyum sedekah paling ringan

Ketiga ialah memelihara tutur kata dan berkomunikasi dengan baik (al-kalam al-thayyib) kerana komunikasi dan tutur kata yang baik adalah sedekah. Sedekah yang paling ringan dan mudah adalah memberi senyuman sesama manusia.

Berbakti kepada kedua orang tua kunci kepada keredaan dan kejayaan hidup. Doa orang tua adalah pintu masuk segala kebaikan dan keberkatan hidup.

Tidak ada seorang pun yang dapat menyangkal jasa ibu bapa dan sewajibnya anak-anak menghormati serta berbakti kepada orang tua.

Sesungguhnya, 10 anak sanggup dijaga oleh seorang ibu tetapi seorang ibu belum tentu sanggup dijaga oleh 10 anak.

Sekali imbas, kenyataan ini kedengaran agak janggal tetapi hakikatnya ia pernah berlaku dan kini sering berlaku.

Menghiasi diri dengan sifat qanaah (berpada-pada). Orang yang bersifat qanaah tidak akan tamak dan tidak mudah tergoda dengan kekayaan duniawi.

Sentiasa berlapang dada

Allah telah memberi kurniaan rezeki kepada seluruh makhluk-Nya tanpa terkecuali. Rezeki yang diberikan Allah SWT kepada makhlukNya sudah ada sukatan serta ukurannya dan Allah SWT sendiri yang menentukannya.

Contohnya, kita sama-sama mencari rezeki dan sama-sama berusaha keras tetapi hasil yang diperoleh berbeza antara satu sama lain.

Sifat qanaah menjadikan seseorang itu berlapang dada dan sentiasa kembali kepada Allah SWT.

Yang terakhir ialah istiqamah dalam berdoa kerana doa adalah kekuatan dan tenaga spiritual hamba kepada Allah SWT. Dengan doa, seorang Muslim mengembalikan segala persoalan kepada Allah SWT.

Kesemua ini dapat direalisasikan dengan iman, ilmu, amal dan takwa sebagai modal untuk meraih keberkatan hidup.

Dalam meraih hidup penuh berkat, kita harus sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya sekali gus mendekatkan diri sesama manusia.

Sesungguhnya, harta yang diberkati Allah SWT akan terus berkekalan dan cukup untuk membiayai hidup, walaupun jumlahnya sedikit.


Hidup penuh berkat menjadi limpahan kebaikan dan mendapat petunjuk Allah SWT.

No comments:

Post a Comment