Search This Blog

HOME

Saturday, October 5, 2013

Filem KL Gangster 2 Meletup.

Poster Filem KL Gangster 2

Disabotaj dan dicetak rompak sebelum hari tayangan, filem KL Gangster 2 masih meraih sokongan khalayak apabila mencatat jualan tiket sebanyak RM600,000 pada hari pertama ditayangkan Khamis lalu. Jumlah itu tidak termasuk kutipan tiket sebanyak RM700,000 yang dicatatkan sepanjang tiga malam tayangan sneak preview pada 27 hingga 29 September lepas.

Jumlah kutipan tiket hari pertama untuk tayangan serentak KL Gangster 2 di enam buah pawagam di Singapura pula akan diperoleh selewat-lewatnya esok.

"Alhamdulillah. Jumlah itu bagaimanapun jangan dibandingkan dengan kutipan hari pertama KL Gangster dahulu. Dahulu kita boleh dapat RM1.5 juta pada hari pertama tayangan. Tetapi, melihat kepada respons dan sokongan yang diterima, kami semua rasa terubat juga. Setidak-tidaknya ia tidaklah menambah rasa kecewa.

Shamsul Yusof pengarah KL Gangster 2 dah boleh tersengih kot....
"Kalau filem itu bajetnya RM2 juta, saya sudah boleh rasa gembira tapi bajet KL Gangster 2 ialah RM4.5 juta, sekurang-kurang filem itu kena dapat RM7.5 juta untuk pulang modal. Jumlah itu termasuklah kutipan pawagam dan jualan ke stesen televisyen," kata produser filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi Sensasi Bintang kelmarin.

Ketika pengarah KL Gangster 2, Syamsul Yusof masih berkurung meratap kecewa kerana filemnya menjadi mangsa jenayah siber dan cetak rompak, ada berita gembira yang mahu dikongsikan bapanya itu. Sebanyak 5,000 tiket akan disumbangkan bagi memeriahkan sambutan KL Gangster 2 di pawagam.

Pada Selasa nanti, sebanyak 10 buah rumah produksi milik bumiputera akan berkumpul di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi menunjukkan sokongan terhadap KL Gangster 2. Rumah-rumah produksi berkenaan termasuklah Suhan Movies, Bright Network, KRU Studios, Rumah Karya Cipta, Nusan Bakti, Vision Works, Kuasatek Pictures, ACE Motion, Cinematic dan World Evolusion Brain.

"Kira-kira pukul 3 petang Selasa nanti, kesemua rumah produksi itu akan berkumpul di Finas bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap KL Gangster 2. Setiap rumah produksi akan membeli sebanyak 500 tiket filem itu dan akan diagihkan kepada rakan niaga serta pihak-pihak tertentu mengikut budi bicara masing-masing.

"Saya tak menagih simpati mereka tetapi sangat menghargai dan berbesar hati terhadap kesanggupan mereka sebagai sahabat dalam industri. Penyatuan yang ditunjukkan semua pihak itu merupakan satu agenda yang tidak pernah berlaku selama ini. Ia menunjukkan bahawa pemain industri perfileman tetap bersatu untuk menangani masalah secara bersama. Semua pihak juga telah bersetuju untuk terus mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap isu berbangkit dalam industri filem mahupun muzik," jelas Yusof terharu kerana masih ada pihak yang sanggup bersama-sama dengannya berjuang untuk filem KL Gangster 2.

Dalam pada itu, Yusof turut ditanya mengenai situasi Syamsul yang masih menjauhkan diri daripada sebarang promosi filem berkenaan.

"Sebagai bapa, saya termasuklah ibunya tidak pernah putus berdoa agar Syamsul segera pulih dan dapat kembali bekerja. Syamsul seorang yang sangat bersungguh-sungguh tetapi jiwanya sensitif. Kalau saya berada di tempatnya mungkin saya juga akan berdepan situasi yang sama.


"Cuma saya nasihatkan dia supaya jangan putus asa. Soal kutipan, berjaya atau tidak, kita kena terima dengan rezeki Allah kerana ini juga satu daripada ujian Allah," tegas Yusof lagi yang akan terus berusaha mencari petualang yang bertanggungjawab ke atas pembocoran dan cetak rompak KL Gangster 2.

No comments:

Post a Comment