Search This Blog

HOME

Sunday, March 30, 2014

Muhammad Ali you are not number one............


GOD GAVE ME THIS ILLNESS TO REMIND ME THAT I'M NOT NUMBER ONE, 
HE (ALLAH) IS - MUHAMMAD ALI

What about our hearts?


His pillow is hard, but his heart is soft......... Our pillows is soft, but what about our hearts?

Siapakah kita disampingNya?

“Dunia ini umpama lautan luas. Kita adalah kapal yang belayar diatasnya, telah banyak kapal karam didalamnya........... andai muatan kita adalah iman dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini”

We Are Americans, We Are Muslims, We Are Not Terrorists


We Are Americans, We Are Muslims, We Are Not Terrorists............ 

Keluarga dari China tuntut penjelasan, bukti kukuh

Biadap dan kurang ajar, mereka perlu dihalau keluar dari Malaysia
KUALA LUMPUR 30 Mac - Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang baharu tiba dari China mendesak kerajaan dan syarikat penerbangan itu memberi penjelasan beserta bukti kukuh berhubung pengumuman pesawat itu berakhir di Lautan Hindi pada Isnin lalu.

Menurut wakil jurucakap kepada ahli keluarga penumpang yang ingin dikenali sebagai Khong berkata, kerajaan Malaysia tidak seharusnya membuat pengumuman seumpama itu sekiranya tidak disusuli bukti kukuh.

Jelasnya, berikutan pengumuman itu, mereka ke negara ini bagi menuntut penjelasan berhubung tiga perkara agar para ahli keluarga lebih jelas mengenai status dan perkembangan terkini MH370.

"Pertamanya, kita berharap kerajaan Malaysia memohon maaf secara terbuka dan rasmi berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang boleh disifatkan hanya bersandarkan spekulasi semata-mata tanpa bukti nyata.

"Kenyataan maaf juga perlu dibuat memandangkan kerajaan Malaysia banyak mengeluarkan kenyataan serta jawapan yang tidak tepat berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkaitan MH370 yang sehingga kini masih misteri.

"Ketiganya, kami mahukan berita yang sahih dan komprehensif dalam kadar segera berhubung apa sahaja perkembangan dan nasib pesawat serta penumpang MH370 ," katanya pada sidang akhbar di Holiday Villa Subang, di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Najib dalam sidang akhbar khas mengumumkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi berhampiran barat Perth, Australia.

Tambah Khong, ahli keluarga juga langsung tidak berpuas hati dengan taklimat dan penerangan berkaitan perkembangan SAR MH370 yang disampaikan wakil Malaysia di Beijing.

"Wakil yang ditugaskan untuk memberi taklimat dan penerangan semasa perkembangan pencarian dan operasi menyelamat MH370 di Lautan Hindi melibatkan 26 negara sangat mengecewakan.

"Apa yang disampaikan tidak dilengkapi dengan maklumat sah selain boleh dianggap tidak efisen dalam menjelaskan keadaan kerana setiap persoalan yang dilontarkan, wakil terlibat gagal menjawab dengan tepat sebaliknya memberi alasan perlu merujuk kerajaan Malaysia untuk mengesahkan segala informasi yang diberikannya terlebih dahulu," katanya.

Sehubungan itu, Khong berpendapat, kerajaan Malaysia perlu menunjukkan keikhlasan dan rasa tanggungjawab dalam perkara ini dengan menghantar seseorang pegawai atau pasukan yang tepat serta boleh memberikan penerangan dan maklumat sahih bagi menenangkan ahli keluarga di Beijing.

"Kita tidak meminta untuk berjumpa dengan Perdana Menteri sebaliknya berharap akan ada satu perjumpaan yang diaturkan bagi menjelaskan pengumuman yang dibuat beserta bukti dan data yang sahih.

"Ahli keluarga yang tiba hari ini juga berhasrat untuk berjumpa dengan pasukan teknikal SAR bagi membolehkan kami mengetahui perkembangan semasa operasi pencarian dengan lebih cepat dan terkini," katanya.

Sumber - Utusan Malaysia

Thursday, March 27, 2014

Ikut cara Imam Syafi’i


Sudah menjadi kebiasaan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil berumur empat hingga enam tahun menghadapi tangisan mereka semata-mata mahukan sesuatu. Sampaikan ada yang protes dengan bermacam tindakan yang kadang-kadang dilihat comel seperti baling selipar, menjerit, malah ada yang baring di atas lantai dan menangis berguling-guling.

Semua ini untuk menarik perhatian ibu bapa untuk memberi apa dimahukan. Inilah caranya budak-budak kecil meminta perhatian ibu bapa agar memenuhi kehendak mereka. Bagi sesetengah pihak, itu dipandang tindakan yang kurang sopan. Sebenarnya bukan begitu, mereka masih kecil, belum punya fikiran yang mampu menimbang keperluan, kehendak dan cara yang wajar untuk meminta sesuatu daripada orang tuanya.

Hormati orang lebih tua adalah kesan ilmu yang diberkati

Baru-baru ini, hampir 500 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut ‘Free Education’ dengan menghapuskan pinjaman PTPTN. Ironinya, ada beberapa tindakan protes yang dilakukan sama sekali tidak menunjukkan maksud Free Education. Slogan arwah, jahanam, gimik Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi dikalungkan dengan bunga seperti mana ritual orang mati menjadi bahan pengisian protes. Ada mendakwa inilah awal bibit-bibit demonstrasi yang berlangsung pada 28 April lalu.

Saya sudah nyatakan pada penulisan dan ceramah mengenai hukum demonstrasi dan mengambil hak mengganggu urusan orang lain. Saya tidak akan membincangkannya di sini kerana sudah diketahui umum, saya tidak bersetuju dengan demonstrasi. Itulah juga pegangan ulama muktabar seperti Syaikh Abdul Muhsin al-Abbad bahawa demonstrasi tidak dibenarkan tidak kira daripada siapa pun yang melaksanakannya.

Mahasiswa yang mengikuti protes berkenaan di Dataran Merdeka kebanyakannya masih muda, sekitar awal 20-an. Sebagai insan yang dianugerahkan oleh Allah akal cerdas sehingga mampu memasuki menara gading, akhlak dan sikap mulia sepatutnya cerminan diri mereka.

Mana mungkin kita katakan gimik gambar dan kalung bunga bagi orang mati adalah tindakan cerdik bagi orang berakal. Lebih-lebih lagi individu yang dibabitkan adalah jauh lebih tua umurnya berbanding mereka.

Sudah tentu ia dipandang satu tindakan biadab bagi seorang yang lebih muda untuk berbuat sedemikian.

Sabda Nabi s.a.w: “Tidak ada sesuatu lebih besar dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat melainkan akhlak mulia dan sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang suka berbicara keji dan kotor.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sabda baginda lagi: “Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tiada pula mengasihani anak kecil kami.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini memberi pengajaran bahawa anak muda dan orang tua perlu dikasihi dan dihormati. Masing-masing pihak menjalankan tanggungjawab mereka. Di dalam hadis ini sendiri menyatakan bahawa pemuda perlu bertindak terlebih dulu iaitu dengan menghormati orang tua.

Mahasiswa wajar mencontohi Imam Syafie


Saya teringat kisah Imam Syafie yang begitu menghormati orang lebih tua dan agamanya iaitu guru beliau Imam Malik. Pernah sekali beliau bertutur: “Kemudian aku pergi pada waktu pagi kepadanya (Imam Malik) dan aku memulakan membacakan (kitab beliau) al-Muwaththa’ kepadanya. Setiap kali aku berasa segan kepada Imam Malik, dia berasa kagum dengan bacaanku dan i’rabku, dia berkata: ‘Hai, pemuda, teruslah! Agar engkau boleh menghabiskan bacaannya dalam beberapa hari.”

Perjalanan menuntut ilmu Imam Syafie sangat menakjubkan. Diwarnai dengan iman, takwa, akhlak dan sabar. Dan ada kala dicoret dengan kekangan wang, masa, keperluan bahkan hasad dengki sesetengah pihak.

Namun, beliau tidak menjadikan isu wang dan keperluan sebagai kekangan utama dalam proses pembelajaran. Tidak menuntut walau satu sen pun daripada sesiapa yang menguruskan sistem pendidikan. Malah, Imam Syafie menjual rumahnya sendiri semata-mata untuk berhijrah ke Yaman untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Kerana baginya, ilmu adalah lambang kemuliaan yang Allah tetapkan.

Allah berfirman: “Wahai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis (ilmu)”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa tahap. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah ayat 11)

Sungguh perjalanan menuntut ilmu itu memang sukar. Tambahan lagi, masa kini kesukarannya berlipat kali ganda. Teknologi, hiburan dan sukan hadir bersama dalam proses menuntut ilmu dan ia godaan sangat besar kepada mahasiswa.

Cuba perhatikan, berapa ramai mahasiswa yang sanggup menyerahkan wang kepada orang tuanya hasil duit pinjaman atau biasiswa? Bandingkan pula berapa ramai membeli gajet yang canggih hasil duit pinjaman dan biasiswa yang sebenarnya tidak wajar dimiliki oleh insan bernama mahasiswa?

Itu tidak termasuk lagi dengan melaram, mekap, tengok wayang, duit top-up dan lain-lain. Sejauh manakah wang yang ada pada mahasiswa dimanfaatkan sebaik mungkin jika mereka masih lagi merungut dengan ketidakcukupan wang?

Ilmu pengetahuan tidak mempunyai peranan lain kecuali untuk membina peribadi dan tamadun. Zaman usia muda perlu dipenuhi, diisi, disibukkan dengan menuntut ilmu. Ramai mengeluh dan menyampaikan rasa tidak puas hati dengan pencapaian umat Islam di Malaysia yang masih jauh ketinggalan dari segi pendidikan, teknologi dan ekonomi. Tetapi, berapa ramai yang berusaha untuk memperbaiki itu semua?

Sudah sampai masanya untuk kita berubah. Jangan mengeluh, banyakkan bekerja, laksanakan tanggungjawab sebagai mahasiswa. Imam Syafie sudah membuktikan beliau mampu berjaya walaupun menghadapi banyak dugaan.


MH370 : Sikap mukmin berdepan masalah besar

Kita masih boleh lagi berdoa untuk mereka

Setelah mendengar berita yang sangat menyedihkan, kehilangan pesawat penerbangan MH370 yang bermula dari awal pagi Sabtu sampai sekarang kita masih berbincang tentangnya, di samping pasukan menyelamat masih dalam proses mencari pesawat tersebut, saya terpanggil untuk berkongsi beberapa perkara, khususnya bila melihat di media sosial; di blog, twitter, facebook dan sebagainya, betapa banyak pandangan, sangkaan, bahkan tohmahan, serta berita-berita yang tidak pasti kebenaran dan kesahihannya tersebar.

Islam sentiasa mengajar kita mengembalikan segala masalah kepada petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah, sebagaimana firman Allah yang sering kita dengar, “Jika kamu berselisih tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul (Al-Quran dan Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (An Nisa: 59)

Demikian juga, apabila Allah SWT menguji negara, pemimpin dan rakyat dengan insiden kehilangan pesawat MH370, ternyata ini bukan isu politik dan bukan isu yang boleh dipermainkan. Sebaliknya ini adalah isu yang membabitkan keselamatan dan nyawa, yang sepatutnya kita kembalikan kepada Allah dan Rasul.

Jika ada yang mengatakan Al-Quran dan Al-Sunnah tidak relevan pada hari ini untuk dijadikan panduan, perkataan itu boleh membawa kepada kekufuran. Nabi SAW menyatakan dalam banyak hadis, antaranya, “Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian perkara yang putih (terang benderang), malamnya seperti siangnya. Tidaklah seseorang itu berpaling darinya selepas peninggalanku melainkan dia akan binasa.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad).

ANALISA DAN JANGAN GOPOH MENYEBARKAN BERITA

Maka marilah kita meneliti bagaimana Al-Quran dan Al-Sunnah mengajar kita mendepani isu yang membabitkan keselamatan dan maqasid al-syar’iyah.  Sebagai Muslim secara khususnya, dan sebagai rakyat Malaysia secara umumnya, kita perlu berpendirian seperti yang Allah SWT nyatakan dalam surah Al-Nisa’, “Dan apabila datang kepada mereka berita-berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyebarkannya.

Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahui kefahaman dari mereka (Rasul dan pemerintah). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebagian kecil (di antara kamu).” (Surah An-Nisa, 4: 83)

Maka perkara pertama yang perlu kita teliti dalam isu yang membabitkan negara, keamanan dan ketakutan, adalah menyerahkannya kepada agama dan kepada pemimpin di mana merekalah yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikannya.

Adapun teori, spekulasi, tuduh menuduh yang dipolitikkan, perbuatan ini menyelisihi petunjuk. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, kita perlu kembali kepada mesej yang Allah sampaikan untuk menenteramkan keadaan. Demi memastikan kesejahteraan, kita kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, seterusnya kembalikan kepada pemimpin.

Syaikh Abdurrahman bin Nasir As-Sa’di rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: “Dalam ayat ini terdapat dalil bagi kaedah adab, iaitu apabila terjadi pembahasan suatu urusan maka hendaklah diserahkan kepada ahlinya. Hendaklah diserahkan kepada orang yang berhak membahasnya, dan jangan mendahului mereka, kerana ia lebih hampir kepada kebenaran dan lebih selamat dari kesalahan.

Di dalamnya juga terdapat larangan tergopoh gapah dan terburu-buru untuk menyebarkan suatu berita setelah mendengarkannya. Dan perintah untuk meneliti dan mempelajari dengan baik sebelum berbicara; apakah bicaranya itu adalah kemaslahatan sehingga boleh dia lakukan? Atau adakah ia mengandungi kemudaratan sehingga patut dijauhi?” (Taysirul Kariimir Rahman fi Tafsiri Kalaamil Mannan)

Al-Imam Ibn Jarir Al-Tabari pula ketika menjelaskan maksud ayat ini dalam tafsirnya berkata, Allah menggunakan perkataan “azaa’uu bih” yang bermaksud menyebarkan, iaitu cepat-cepat dan bersegera menyebarkan berita tersebut.

Apa yang dapat kita lihat, realiti yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, sejak awal kejadian lagi, apabila sebahagian kita mendapat berita pesawat tersebut hilang, ada yang membuat teori sendiri bahawa pesawat tersebut terhempas. Ada yang kata pesawat tersebut telah mendarat dengan selamat di China, ada yang kaitkan dengan isu politik, ada yang jadikan ianya lawak jenaka dan permainan, dan sebagainya.

Jadi tolonglah, sebagai orang Islam, Allah telah tunjukkan di dalam Al-Quran bagaimana seharusnya sikap dan pendirian kita. Berita tentang keamanan dan ketakutan, jangan sama sekali kita segera menyebarkannya, sebaliknya serahkan kepada ahlinya iaitu orang yang berautoriti untuk mengulas.

Sabda Nabi SAW, “Antara tanda kebaikan seorang muslim itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya.” (Sahih, riwayat Ahmad)

Saya suka memetik kenyataan YB Khairi Jamaluddin apabila beliau menyatakan secara jelas dalam satu kenyataannya bahawa kita bukan berlumba-lumba untuk memastikan siapa yang paling cepat menyebarkan berita, tetapi fokus kita adalah ketepatan maklumat yang kita perolehi.

Jadi berhati-hati dalam dunia tanpa batasan pada hari ini, jangan tergolong di kalangan orang yang menyebarkan maklumat yang tidak benar. Kata Nabi dalam hadis sahih, “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa saja yang dia dengar.” (Sahih, Imam Muslim)

Bahkan Allah memerintahkan supaya menyemak kesahihan berita yang sampai sebelum kita menerimanya. “Wahai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, hendaklah kamu semak dan periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

BERTANGGUNGJAWAB DAN BERFIKIR SEBELUM BERBICARA

Dalam Al-Quran, ALLAH SWT menyatakan tidak layak bagi sesiapa yang tidak memiliki ilmu untuk mengulas apatah lagi menyebarkan berita yang dia tidak ada ilmu tentangnya. Firman Allah di dalam Surah Al-Isra’, “Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggung jawabannya.” (Al Isra: 36)

Sayang sekali, kita lihat pengamal media sosial yang menjadikan internet sebagai rujukan, mereka menerima dan menyebar maklumat secara gelojoh, menyebar perkataan yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkal kebenarannya.

Dr. Sulaiman As-Saloomi pernah berkata, “Perkataan ini asalnya milik kita, kita berhak untuk mengucapnya atau tidak mengucapnya. Kita berhak menyusun perkataan tersebut sama ada susunan itu baik ataupun buruk. Kita juga yang berhak untuk menangguhkan perkataan tersebut daripada diungkapkan.”

Firman Allah SWT, “Tidaklah seseorang itu mengungkapkan sesuatu perkataan kecuali ada di dekatnya Raqibun Atid (malaikat pengawas yang sentiasa bersiap sedia mencatat).” (Surah Qaf: 18)

Jadi kita perlu sedar bahawa setiap berita atau teori yang kita sebarkan itu dicatat oleh malaikat dan kelak akan disoal dan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita. Dalam ayat ini disebut Raqib dan Atid, yang bermaksud sangat dekat dengan manusia, sinonim dengan perkataan muraqabah yakni dekat.

Maka penting untuk kita sedar dan tahu bahawa ada malaikat yang bersama-sama kita dan bersiap sedia mencatat setiap bicara dan perbuatan manusia pada setiap masa.

Ulama salaf seperti Hammad bin Zaid menceritakan, “Ayyub As-Sakhtiani (seorang ulama hadis yang agung) pernah ditanya tentang suatu permasalahan lalu dia diam. Maka lelaki yang bertanya itu berkata: Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak faham, adakah aku perlu mengulanginya kepadamu? Ayyub berkata: Aku faham, tetapi aku berfikir sebelum aku hendak menjawab kepadamu.”

Mengapa dia berfikir sedemikian rupa kalau tidak kerana dia menyedari pada dirinya ada tanggungjawab sebelum dia mengungkapkan suatu perkataan.

BERDOA DAN ELAKKAN PERSELISIHAN

Tragedi ini juga menunjukkan walau betapa hebat pun mesin ciptaan manusia, ianya masih terlalu lemah dan sama sekali tidak dapat menandingi ilmu dan kekuasaan ALLAH. Allah berfirman, “Jika ada suatu seberat biji sawi, dan ia berada di dalam batu, atau di langit, atau di bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya. Sesungguhnya Allah Maha Halus Maha Teliti.” (Luqman: 16)

Di saat manusia keliru dan tertanya-tanya apa terjadi dan ke mana hilangnya pesawat itu, di saat manusia telah mengerahkan secanggih-canggih alat ciptaan mereka namun masih gagal, pada masa itu Allah Mengetahui dan kepadaNya kita memohon petunjuk.

Maka nasihat untuk diri saya dan seluruh kaum Muslimin ialah............ 

Pertama sekali sabar dan redha atas apa yang berlaku.

Kedua, kita berusaha, bahkan Perdana Menteri sendiri dengan kerahan agensi-agensi kerajaan berusaha untuk mencarinya.

Ketiga, kita berdoa kepada ALLAH SWT serta menjauhi syirik dan kepercayaan khurafat.

Keempat, bertawakkal kepada Allah SWT.

Kelima, pastikan maklumat yang kita peroleh tentang berita terkini adalah dari sumber yang tepat, berautoriti lagi benar.

Masyarakat awam boleh menghulur bantuan dalam bentuk doa, kata semangat dan sokongan moral. Adapun mengutuk, mengeji, memperkecilkan usaha yang dilakukan, ini tindakan tidak wajar dan menyelisihi Syarak. Sedangkan kita wajar memberi semangat dan memohon dari ALLAH agar Allah SWT memudahkan segala urusan.

Elakkan perselisihan dan perpecahan. Pada ketika inilah kita perlu berusaha memupuk perpaduan serta menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak keselamatan agar segalanya dapat diselesaikan. Sabda Nabi SAW, “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat satu binaan yang saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain.” (Al Bukhari dan Muslim)

Jika dalam hal ini kita tidak mampu bersatu bahkan mencari ruang untuk berselisih, usahlah kita mengangankan kejayaan Umat Islam dan keredhaan Allah SWT, dan usahlah kita menyangka kita ini orang yang beriman kepada risalah yang Allah turunkan. Wallahu a’lam.


Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya 

Hikmah disebalik musibah

Musibah di Highland Tower

ALLAH menjanjikan Syurga bagi hambaNYA yang menjalani hidup dengan baik. Hidup di dunia tidak akan sentiasa menyenangkan. Setiap manusia digilirkan untuk merasai perkara yang disukai dan yang dia benci. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi manusia untuk membuktikan siapa di kalangan hamba Allah yang benar imannya dan siapa yang berdusta.

Firman ALLAH, “Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 3)

Imam Ibnu Katsir rh. menjelaskan dalam tafsirnya: “(Agar dibezakan) orang yang benar dalam pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.”

Antara bentuk ujian yang dihadapi manusia adalah seperti firman Allah, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNYA kita dikembalikan).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Al-BAqarah: 155-158)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sabar ketika ditimpa musibah mendapat tiga keutamaan sekaligus; selawat Allah, rahmat dan petunjukNya. Allah SWT tidak pernah mengumpulkan tiga keutamaan sekaligus dalam satu ayat kecuali dalam ayat ini iaitu keutamaan bagi orang yang sabar ketika mendapat musibah. Makna selawat Allah kepada orang yang sabar ketika mendapat musibah adalah: Allah memuji orang tersebut di hadapan para malaikatNya yang suci, hal ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Abu Al-‘Aliyah Al-Rayyahi rhm. (Syarh Al-Mumti’, Ibnu Al-Utsaimin)

Orang beriman percaya bahawa semua takdir ALLAH itu baik dan ada hikmahnya, kerana Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Mereka mengharap pahala darinya dan hanya orang yang sabar dicukupkan pahala tanpa batas, iaitu orang yang sabar semata-mata kerana Allah, bukan kerana terpaksa. Ini kerana sabar yang diganjari pahala adalah sabar di awal musibah.

Rasulullah SAW pernah melewati di sebelah seorang wanita yang menangisi kematian anaknya. Baginda berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri pintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu. Sekarang aku sabar.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal musibah.” (Bukhari dan Muslim)

BERITA GEMBIRA BAGI ORANG YANG SABAR DAN MENGHARAP PAHALA

Hikmah terbesar di sebalik musibah adalah dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga dia beroleh Syurga ALLAH SWT. Nabi SAW bersabda, “Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar. Apabila Allah mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang redha maka Allah redha padanya, dan siapa yang murka maka Allah murka padanya.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)

Dari Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda, “Apabila Allah menginginkan kebaikan pada hambaNya, disegerakan baginya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan pada hambanya, ditahan baginya balasan dosanya hingga akan disempurnakan pada hari kiamat.” (Hasan sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)

Wuhaib bin Al-Ward rh. berkata, “Apabila ALLAH SWT ingin memuliakan hambaNya, Dia menimpakan kepadanya sesuatu yang tidak disukainya, kesakitan pada tubuhnya, dan ketakutan (yang menghapus dosanya), sehingga kematian datang kepadanya dan dia masih memiliki dosa, kematian dijadikan sangat sukar baginya disebabkannya (untuk menghapus dosa yang masih berbaki), menyebabkan dia bertemu ALLAH tanpa dosa. Dan apabila seseorang itu tidak bernilai pada ALLAH (disebabkan keingkarannya), ALLAH menjadikannya sihat, meluaskan tujuan hidupnya dan menjadikan dia merasa aman (ganjaran kebaikan yang dilakukannya dibalas ketika di dunia). Hingga kematian datang dan dia masih ada sisa kebaikan (yang belum dibalas), maka kematian dijadikan ringan baginya disebabkan kebaikannya, dan dia bertemu ALLAH tanpa apa-apa.” (Al-Mujalasah wa Jawahir Al-Ilmi)

Rasulullah SAW bersabda: “Ujian selalu bersama orang beriman lelaki dan perempuan, baik pada diri, anak dan hartanya, sampai dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu kesalahan pun.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)

Betapa manusia sangat memerlukan ampunan dari Allah, kerana setiap anak Adam tidak lepas dari dosa. Jadi mengapa harus mengeluh apabila ditimpa musibah?  Jauhilah ucapan yang dimurkai, hindarilah mengeluh dan mengadu kepada manusia kerana mengeluh kepada makhluk adalah perbuatan hina. Sebaliknya mengadulah pada ALLAH sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Yaakub, “Sungguh aku mengadu kesusahan dan kesedihanku hanya kepada ALLAH.” (Yusuf: 86)

Nabi SAW berkata, “Mereka (para Nabi) sangat gembira dengan musibah seperti kalian gembira dengan kemudahan.” (Sahih. Riwayat Ahmad). Mengapa tidak, “Tidaklah seorang muslim terkena musibah penyakit atau yang lainnya kecuali Allah menghapuskan kesalahannya seperti pokok menggugurkan daun-daunnya.” (Bukhari dan Muslim). Bahkan Nabi berkata, “Manusia pada hari Kiamat menginginkan kulitnya dipotong-potong dengan gunting ketika di dunia kerana melihat betapa besarnya pahala orang yang tertimpa musibah di dunia.” (Sahih. Riwayat Baihaqi)

Ketahuilah, Allah tidak sesekali menimpakan ujian kecuali sesuai kemampuan hambaNya. “Allah tidak membebani seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu.” (Al-Baqarah: 286). Allah juga berfirman, “Tiada satu musibah yang menimpa di bumi dan dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh demikian itu mudah bagi Allah, supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang hilang darimu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. (Al-Hadid: 22-23)

Nabi SAW bersabda dalam hadis qudsi: “Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, jika engkau bersabar dan mengharap pahala sejak awal tertimpa musibah maka Aku tidak rela memberi pahala untukmu selain Syurga.” (Hasan. Riwayat Ibnu Majah)

Jika dibanding ujian yang kita hadapi, tidaklah ia lebih berat dari apa yang menimpa umat Islam terdahulu, yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disikat badannya dengan sikat besi sehingga nampak tulangnya, Sumayyah yang ditusuk kemaluannya hingga tembus ke punggungnya oleh Abu Jahal, dan banyak lagi. Mereka diuji sesuai tahap keimanan dan darjat mereka, dan kita diuji sesuai tahap keimanan kita. Hendaklah kita bersyukur selama mana ujian itu tidak menimpa agama dan tidak membuat kita berburuk sangka kepada ALLAH. Sabda Rasulullah, “Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Riwayat Muslim).

Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Mati syahid, syarat dan penghalangnya


Syahid adalah anugerah dan kemuliaan yang besar daripada Allah kepada hambaNya. Tiada apa yang dapat menghalang orang yang Syahid dari masuk syurga seperti mana sabda Nabi SAW, “Yang terbunuh di jalan Allah akan dihapus semua dosanya kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).

Sabda Baginda lagi, “Allah menjamin bagi orang yang berperang di jalanNya; dia tidak keluar kecuali untuk jihad di jalanKu dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan para rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya pulang ke rumahnya dengan pahala dan harta rampasan perang.” (Bukhari dan Muslim)

Walaubagaimanapun setiap amal datang bersama syarat-syarat dan pembatalnya. Seperti mana orang yang solat tetapi tidak memenuhi syarat solat seperti wuduk, mengadap kiblat dan selainnya dia tidak mendapat ganjaran orang yang solat, maka begitu halnya dengan jihad. Seorang yang berjihad lalu mati tetapi tidak memenuhi syarat jihad maka dia terhalang dari mendapat kemuliaan Syahid. Oleh itu Islam menekankan ‘ilmu sebelum amal’ supaya amal yang dilakukan tidak sia-sia.

Antara syarat utama Syahid adalah iman kepada Allah dan RasulNya dengan sebenar-benar iman dan menjauhi segala kesyirikan yang menjadi punca terbatalnya seluruh amal. Firman Allah, “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia menyekutukan apapun dalam ibadat kepada Tuhannya.” (Al-Kahf: 110)

Seorang yang mati berperang tetapi ketika hidupnya tidak mentauhidkan Allah (yakni mensyirikkan Allah), percaya kepada benda-benda khurafat, bomoh, memakai tangkal sudah tentu tidak mendapat keutamaan ini kerana syirik adalah dosa yang dijamin tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat dan kembali mentauhidkan Allah.

Adapun penghalang-penghalang dari mendapat syahid antaranya adalah seperti berikut;

Pertama, keluar berjihad tanpa kebenaran pemerintah Muslim. Sesuatu urusan penting yang melibatkan umat (termasuk jihad) keputusannya terletak di tangan pemerintah Islam. Ia bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh sesiapa saja. Sabda Nabi SAW, “Imam adalah perisai, kaum muslimin berperang di belakangnya dan berlindung dengannya. Jika dia memerintahkan untuk bertakwa kepada Allah SWT dan berlaku adil, maka dia mendapat pahala kerana itu. Tetapi jika dia memerintahkan berbuat maksiat, maka dia memperoleh dosanya.” (Riwayat Muslim)

Imam Al-Nawawi menjelaskan, “(Imam adalah perisai) seolah-olah dirinya adalah tabir kerana dirinya menghalang musuh untuk tidak menyakiti kaum Muslimin dan mencegah kaum Muslimin agar tidak saling menyakiti dan melindungi negeri islam. Manusia berlindung kepadanya dan takut dengan hukumannya. Dan makna (berperang di belakangnya) adalah kaum muslimin berperang bersamanya menghadapi kuffar, pemberontak, Khawarij dan seluruh golongan yang berbuat kerosakan dan kezaliman.” (Syarah Muslim)

Ibnu Hajar menjelaskan, “Seorang Imam melindungi kaum Muslimin dari musuh dan mencegah terjadinya penganiayaan sesama kaum Muslimin. Dan yang dimaksud dengan imam adalah mereka yang menangani urusan kaum muslimin.” (Fathulbari)

Ibnu Taimiyah berkata, “Jihad hanya diseru oleh pemerintah yang mengurus urusan kaum Muslimin.” (Minhaj Al-Sunnah). Oleh itu, pemerintahlah yang layak menyeru kepada jihad, bukan ketua mana-mana kumpulan yang sebarangan, atau mana-mana individu.

Kedua: Memerangi orang yang tidak boleh diperangi. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membunuh seorang mu’ahad (orang kafir yang ada perjanjian), maka dia tidak akan mencium bau syurga dan sesungguhnya baunya dapat tercium dari jarak perjalanan 40 tahun.” ( Al-Bukhari)

Ketiga: Berjihad di bawah panji buta. Sabda Nabi: “Barangsiapa yang berperang dibawah panji yang tidak jelas, marah kerana (taksub pada) kelompok atau mengajak kepada kelompok atau menolong kerana kelompok lalu terbunuh maka dia terbunuh seperti terbunuhnya orang jahiliah. Siapa yang memberontak dari umatku, membunuh yang baik dan yang fajir dan tidak mempedulikan kemukminannya serta tidak menunaikan janjinya kepada orang yang dijanjikan maka dia bukan dariku dan aku berlepas diri darinya.” (Riwayat Muslim)

Keempat: Berperang dengan tujuan mati syahid. Syaikh Muhammad Bazmul berkata: “Adalah tidak benar bagi orang yang keluar berjihad dengan tujuan mendapatkan syahid (keluar berjihad untuk mati). Sebaliknya hendaklah dia keluar dengan tujuan untuk meninggikan kalimah Allah (yakni untuk menang) dan jika dia mendapat syahid itu adalah kemuliaan dari Allah untuknya. Dan jika dia tidak mendapat syahid, dia pulang dengan pahala dan harta rampasan. Sebahagian orang ingin membunuh dirinya tetapi mereka tahu bahawa membunuh diri tidak dibenarkan. Maka dia keluar berperang dan dia mahu dibunuh. Dia menyangka dengan cara ini dia akan mendapat ganjaran syahid. Renungkan hadis Nabi SAW:

“Allah menjamin bagi orang yang keluar di jalanNya; tidaklah dia keluar kecuali kerana ingin berjihad di jalanKu, dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan para rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke rumahnya dengan membawa kemenangan berupa pahala dan harta rampasan perang.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Jika keluar berperang dengan niat ingin mati dan menjadi syahid itu disyariatkan, mengapa tidak Rasulullah SAW melakukannya? Mengapa Baginda dan para sahabat memakai baju besi? Mengapa kita diperintahkan untuk membuat persiapan? Dan di manakah niat jihad iaitu untuk meninggikan kalimah Allah? Jika semua tentera Islam pergi berjihad untuk mati, maka Islam akan kalah dan kalimah Allah tidak akan ditinggikan. Maka umat Islam harus memerhatikan hal ini kerana ia berkait dengan masalah hati, dan ini adalah satu cara bagaimana Syaitan boleh merosakkan amal kebaikan seorang Muslim iaitu dengan merosakkan niatnya.

Kelima: Berperang tanpa izin orang tua. Ini berdasarkan hadis seseorang lelaki bertemu Rasulullah SAW meminta izin ikut berjihad. Baginda bertanya: “Adakah kedua orang tuamu masih hidup?.” Dia menjawab: Ya. Baginda bersabda: “Jika begitu, berjihadlah untuk kedua orang tuamu.” (Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain ada tambahan, Baginda bersabda: “Pulanglah dan mintalah izin kepada mereka. Jika mereka izinkan maka berjihadlah. Jika tidak, berbaktilah kepada mereka berdua.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

LARANGAN MENGATAKAN SI FULAN SYAHID

Adapun menghukum secara khusus bahawa seseorang itu syahid, ini tidak dibolehkan kecuali dengan persaksian Nabi SAW (melalui wahyu). Imam Al-Bukhari meletakkan satu bab dalam Sahihnya: “Bab Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Syahid”. Ini kerana antara syarat syahid adalah berperang untuk meninggikan kalimat Allah yang tinggi dan ini adalah urusan niat yang tidak ada jalan untuk mengetahuinya. Oleh itu Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan seorang mujahid di jalan Allah, dan Allah lebih tahu siapa yang berjihad di jalanNya.” (Bukhari)

Namun orang yang secara zahirnya baik, mentauhidkan Allah ketika hidupnya, kita mendoakan dia syahid. Kita tidak menghukumnya syahid dan kita tidak berburuk sangka kepadanya. Kita memperlakukannya di dunia dengan hukum-hukum syahid jika dia terbunuh dalam jihad fi sabilillah. Dia dikubur dengan darah di bajunya tanpa mensolatinya. Dan untuk syuhada yang lain, dimandikan, dikafani dan disolati.


Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Tawassul yang disyariatkan dan tawassul yang dilarang.

Soalan: Saya tidak pasti tentang tawassul. Bertawassul ini boleh atau tidak? Kalau boleh, bagaimana caranya?

Jawapan:

Pertama sekali kita perlu tahu apa maksud tawassul. Tawassul berasal dari perkataan Arab (wasiilah: perantara). Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Yakni menjadikan sesuatu sebagai perantara di dalam kita berdoa. Kita tetap meminta daripada Allah, tetapi kita meletakkan perantara di tengah.

Di sana ada tawassul yang masyru’ (syar’i) dan ada tawassul yang mamnu’ (dilarang).

Tawassul yang disyariatkan

Tawassul yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul adalah berdalilkan hadis-hadis Nabi shallallahu’alaihiwasallam tentang bagaimana baginda mengajarkan kepada kita cara bertawassul.

Pertama, bertawassul dengan menggunakan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah di dalam Al-Quran, “Dan Allah memiliki nama-nama yang indah, maka berdo’alah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya tersebut.” (surah Al-A’raf: 180)

Contoh berdoa dengan nama Allah adalah kita meminta dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir li”. Wahai yang Maha Pengampun, ampunilah aku. Iaitu dengan menyeru Nama Allah terlebih dahulu; Ya Razzaq, kurniakanlah rezki kepadaku, Wahai yang Maha Pengasih, kasihilah aku. Ya Rahman, Ya Rahim, irhamni – Wahai yang Maha Pemurah, wahai yang Maha Pengasih, kasihanilah aku.

Sebut Nama-nama Allah terlebih dahulu, jadikan nama-Nya sebagai perantara untuk kita berdoa dan memohon atau meminta sesuatu daripada-Nya. Itu salah satu kaedah tawassul yang syar’i.

Kedua, bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang amal ibadatnya bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang soleh yang masih hidup dan meminta orang yang soleh itu mendoakan untuk kita.

Perkara ini berlaku di dalam petunjuk Nabi SAW di mana para sahabat meminta agar Nabi berdoa. Adapun setelah kewafatan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam, Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami.” (lihat Sahih Bukhari)

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah dilanda kemarau panjang. Umar meminta Abbas radhiyallaahu’anhu berdoa dan Abbas radhiyallaahu’anhu pun berdoa. Tidak lama setelah itu, Allah pun menurunkan hujan kepada mereka.

Lagi tentang kisah doa orang yang saleh adalah peristiwa Uwais Al-Qarni.

Nabi shallallaahu’alaihiwasallam tidak pernah berjumpa dengannya dan dia pun tidak pernah bertemu Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Tetapi Nabi shallallaahu’alaihiwasallam menceritakan tentang keberadaan dan kewujudannya. Nabi menceritakan tentang ciri-cirinya kepada para sahabat. Nabi menyuruh kepada sahabat, sekiranya bertemu dengan Uwais, mintalah agar dia berdoa. Maka setiap tahun pada musim haji para sahabat mencari Uwais bin Amir Al-Qarni melalui kabilah yang datang dari Yaman untuk mengerjakan haji.

Dari Usair bin Jabir ia berkata: Umar bin al-Khatthab jika datang sepasukan dari Yaman akan berkata: ‘Apakah di antara kalian ada Uwais bin Amir’? (Demikian seterusnya) sampai datang Uwais. Beliau bertanya: Apakah engkau Uwais bin Amir? Dia menjawab: Ya. Umar bertanya: dari Murod, kemudian ke Qoron? Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau dulu memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian sembuh, kecuali sebesar dirham. Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau memiliki ibu? Ia berkata: Ya. Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda: Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama sepasukan penduduk Yaman dari Murod kemudian Qoron, dulunya dia memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian dia sembuh, kecuali sebesar dirham, dia memiliki ibu yang dia berbakti kepadanya. Kalau dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah perkenankan. Jika engkau bisa meminta agar dia memohon ampunan untukmu, lakukanlah. Maka (wahai Uwais) mohonkan ampun untukku. Kemudian Uwais memohonkan ampunan untuk Umar. (riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain, Nabi memerintahkan kepada para sahabat secara umum : “perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.”

Dari Umar bin al-Khatthab beliau berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda, Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah seorang laki-laki yang disebut Uwais, dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda putih. Maka perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.” (riwayat Muslim)

Bertawassul dengan doa orang yang saleh yang masih hidup, itu yang diajar oleh Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Dan cara bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya, bukan melalui jasadnya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan,

“Adapun yang dimaksud tawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam dalam perkataan para sahabat radhiyallaahu’anhum adalah bertawasul dengan doa dan syafaat Nabi. Adapun tawasul dengan doa dan syafaat sebagaimana yang dilakukan ‘Umar adalah bertawasul dengan doa, bukan bertawasul dengan zat Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam. Seandainya itu merupakan tawasul dengan zat beliau, maka tentu bertawasul kepada Nabi shallallaahu’alaihiwasallam lebih utama daripada dengan ‘Abbas radhiyallaahu’anhu. Ketika mereka berpaling dari bertawasul dengan Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam, namun mereka bertawasul dengan ‘Abbas, maka dari sini kita ketahui bahawa bertawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam hanya berlaku ketika baginda masih hidup dan terlarang setelah wafatnya baginda.”

Ketiga, bertawassul dengan amalan soleh.

Iaitu bertawassul dengan amalan soleh yang pernah kita lakukan. Hadis yang selalu dijadikan contoh adalah hadis tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua. Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan amalan saleh, yakni menjadikan amalan saleh sebagai perantara di dalam doa kita, kesannya itu cepat. Mudah-mudahan, insyaAllah.

Tiga jenis tawassul di atas adalah tawassul yang syar’i.

Tawassul yang dilarang

Adapun tawassul yang dilarang ada banyak. Antaranya meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada Allah.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati yang telah dibincang panjang oleh ahli ilmu. Seruan kepada orang mati, seruan kepada Nabi Muhammad shallallaahu’alaihiwasallam sedangkan baginda telah wafat. Mereka berdalilkan dengan peristiwa-peristiwa di mana kesemuanya adalah daripada hadis-hadis dha’if dan tidak membawa pengertian bahawasanya Nabi  shallallaahu’alaihiwasallam bertawassul dengan Nabi-nabi yang telah wafat sebelumnya. Tidak ada pendalilan dan penghujahannya.

Hal ini dijelaskan oleh para ulama. Ada satu kitab berkaitan dengan tawassul; Al-Tawassul Baina Masyru’i wal Mamnu’ (Tawassul antara yang disyariatkan dan yang dilarang), seingat saya ditulis oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari.

Beliau membahaskan secara terperinci penghujahan dan bantahan terhadap orang-orang yang berhujah dengan mengatakan boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara menyerunya. Contohnya, menyeru “Ya Syaikh fulan bin fulan, doakan untuk kami…” dan mereka ini mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau pun menyeru di dalam majlis mereka dan menyeru dari tempat-tempat lain. Itu antara cara yang mereka lakukan bertawassul dengan orang mati termasuk dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.

Hal-hal seperti ini tidak diamalkan dan tidak dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabi radhiyallaahu’anhu berasaskan dan berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang sahih yang jelas daripada mereka, seperti mana perbuatan Umar bin Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi sebaliknya mencari Abbas bin Abdul Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat permisalan dan menyebut bahawa “dulu ketika masih ada Nabi, kami bertawassul dengan Nabi, tetapi sekarang apabila Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan Abbas.”

Itu gambaran umum dan ringkas tentang tawassul. Maka dianjurkan untuk kita bertawassul dengan ketiga-tiga perkara yang jelas disyariatkan berdalilkan fakta-fakta dan hadis-hadis yang sahih. Adapun selainnya adalah terlarang. Wallaahua’lam.


Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Bagaimana cara Nabi Qiyamullail, Tahajjud, witir & berdoa




Soalan: Bagaimana Nabi mendidik kita cara atau kaedah qiyamullail?

Jawapan:

Perkataan qiyamullail bermaksud menghidupkan malam. Dengan apa menghidupkan malam adalah di antaranya dengan membaca Al Quran dan shalat. Shalat malam terbahagi kepada dua kategori; shalat sebelum tidur dan shalat selepas tidur.

Shalat sebelum tidur adalah qiyamullail, dan shalat selepas tidur juga adalah qiyamullail. Bezanya ialah shalat selepas tidur termasuk kategori tahajjud. Kadang-kadang orang salah faham, ramai orang menyangka shalat malam atau qiyamullail ini hanyalah shalat yang dilakukan selepas tidur sahaja.

Sebenarnya yang dilakukan sebelum tidur juga dikategorikan sebagai shalat malam tetapi kualitinya tidak sama seperti shalat atau ibadah yang dilakukan setelah bangun daripada tidur.

Didalam Surah Al-Israa, 17:79 yang bermaksud - “Dan pada sebahagian malam hari bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. “ (Al-Israa, 17: 79)

Semua itu adalah qiyamullail (menghidupkan malam) dan shalat malam. Bagaimanakah Nabi SAW mengajar kita shalat malam?

1. Bangun pada sepertiga malam

Ada beberapa sebab mengapa Nabi SAW mengajar kita untuk bangun bertahajjud pada satu per tiga malam, antara yang paling penting ialah kata Nabi SAW, Allah SWT turun di sepertiga malam mendengar pengaduan dan doa hamba-hamba-Nya.

Kita wajib mengimani bahawa Allah SWT turun ke langit dunia. Soal bagaimana Allah SWT turun, serahkan urusan itu kepada Allah SWT. Allah turun seperti apa yang layak dan sesuai bagi sifat-Nya. Ianya tidak boleh difikir atau dibayangkan dan tidak boleh disamakan dengan sifat dan bentuk mana-mana makhluk.

Menggambar dan membentukkan Allah SWT sama seperti sifat makhluk menjadikan kita mujassimah iaitu menggambarkan bagaimana rupa bentuk Allah SWT dan ini diharamkan. Jadi kita beriman bahawa Allah SWT turun tetapi bagaimana Allah turun adalah sesuai dan layak bagi sifat dan zat-Nya tanpa menyerupai makhluk, tanpa membagaimanakan, tanpa menafikan sifat tersebut, dan tanpa melakukan pentakwilan ke atas sifat tersebut.

Turunnya Allah SWT ke langit dunia adalah suatu saat yang sangat baik dan mulia. Ini dari sudut pemilihan waktu dalam kita berdoa kepada Allah SWT dan melakukan amal kebaikan.

Sebab kedua mengapa bangun di sepertiga malam adalah kerana baginda Nabi SAW bangun di sepertiga malam. Kadang-kadang ramai yang bertanya, mengapa kita buat begitu, mengapa kita buat begini? Kita seringkali mencari kelebihan, tetapi kita lupa menunaikan tanggunggjawab terlebih dahulu.

Tanggungjawab belum ditunaikan tetapi kita sudah bertanya berapa keuntungan yang bakal diperoleh. Ini mungkin disebabkan terlebih belajar ekonomi dan bisnes. Belajar ekonomi itu perlu, tetapi jangan sampai terbawa-bawa dalam urusan ibadat sehingga jika ibadat tersebut tidak dilihat menguntungkan maka kita tidak mahu melakukan.

Kelebihan yang paling utama sebenarnya adalah mentaati perintah Allah dan Rasul. Kita melakukan sesuatu ibadat kerana Nabi melakukannya. Adapun ganjaran yang dijanjikan khusus untuk amalan tersebut adalah soal kedua. Mungkin kelebihan ada disebut di dalam hadis-hadis yang lain, tetapi perkara utama dan yang terpenting adalah ibadat itu dilakukan kerana ianya adalah perintah Allah dan rasul. Itu peringkat pertama bagi orang yang taat.

Maka sebagai umat Nabi SAW, apa yang Nabi buat, contohnya Nabi bangkit di sepertiga malam, maka itulah yang kita buat kerana semestinya itu merupakan waktu yang terbaik untuk beribadat kerana mencontohi baginda adalah hal yang terbaik.

2. Shalat

Jika tadi kita membicarakan tentang waktu yang terbaik, sekarang kita membincangkan apa amalan yang terbaik. Nabi bangkit di sepertiga malam untuk shalat. Shalat apakah yang baginda lakukan?

Dari Abu Salamah bin ‘Abdirrahman, dia pernah bertanya pada ‘Aisyah RA, “Bagaimana shalat malam Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan?” ‘Aisyah mengatakan seperti riwayat Bukhari no. 1147 dan Muslim no. 738 yang bermaksud “Rasulullah SAW tidak pernah menambah jumlah rakaat dalam shalat malam di bulan Ramadhan dan tidak pula pada selainnya melebihi 11 rakaat.”

Nabi melakukan shalat malam tidak pernah melebihi 11 rakaat. Itu jumlah rakaat yang Nabi lakukan. Kemudian wujud juga hadis umum dari Nabi SAW yang telah diriwayatkan kepada Bukhari no. 990 dan Muslim no. 749, dari Ibnu ‘Umar - “Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat. Jika salah seorang di antara kalian takut masuk waktu subuh, maka kerjakanlah satu rakaat. Dengan itu bererti kalian menutup solat tadi dengan witir.”

Berdalilkan hadis yang umum ini, ulama seperti Al Imam An Nawawi rahimahullah, Imam As-Suyuthi dan selainnya menyatakan bahawa harus untuk kita melakukan shalat malam tanpa melakukan penetapan jumlahnya. Boleh dilakukan dua rakaat, dua rakaat, dan sehingga apabila takut masuk subuh lakukanlah witir sebagai penutup.

Shalat witir

Witir adalah shalat yang jumlah bilangan rakaatnya adalah ganjil. Jika ditanya pendapat saya, saya lebih cenderung kepada hadis Aisyah kerana hadis tersebut menyebut secara khusus bahawa Nabi tidak pernah menambah lebih daripada 11 rakaat di dalam shalat malamnya sama ada di dalam atau di luar Ramadhan.

Soal bagaimana 11 rakaat itu dilakukan, apakah 2 rakaat, 2 rakaat dan akhirnya 3 rakaat, atau dilakukan 8 rakaat sekaligus dan ditutup dengan 3 rakaat, atau 4 rakaat, 4 rakaat, kemudian ditutupi dengan 3 rakaat, semua itu ada disebut caranya oleh Nabi SAW.

Syaikh Muhammad Umar Bazmul mengarang buku “Meneladani Shalat-shalat Sunnah Rasulullah SAW” membahaskan topik khusus cara Nabi SAW melakukan shalat malam, termasuk di dalamnya juga salat tarawih dan shalat witir.

Sekiranya kita hendak melakukan kurang daripada itu (11 rakaat), lakukanlah shalat yang Nabi SAW tidak pernah tinggalkan iaitu shalat witir.

Shalat ini ada yang Nabi meletakkan jenama, ada yang Nabi tidak meletakkan jenama. Shalat witr bukan merujuk kepada jenama, tetapi ia merujuk kepada jumlah rakaat yang kita lakukan. Jumlah rakaat yang kita lakukan sekiranya ganjil rakaatnya maka itu ialah witir.

Kata Nabi SAW tentang shalat witir, witir adalah salah satu cara shalat malam, iaitu mengganjilkan jumlahnya. Mengganjilkan jumlah shalat ini sangat baik, antaranya sabda Nabi SAW di dalam hadis berbunyi “Sesungguhnya Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai yang ganjil.” (Muttafaq ‘alaihi)

Dan dalam riwayat yang lain Nabi menyatakan berkenaan shalat witir iaitu “Shalat yang lebih baik daripada unta merah.” (riwayat At Tirmidzi)

Ada yang mengatakan maksud “humurin na’am” dalam hadis di atas merujuk kepada 100 ekor unta merah. Maknanya di sini ada kelebihan-kelebihan pada mengganjilkan shalat malam. Sebab itu Syaikh Muhammad bin Umar Bazmul menyusun tatacara shalat witir yang dilakukan oleh Nabi SAW; 3, 5, 7, atau 11 rakaat, terpulang kepada kesediaan kita. Cuma untuk menambah kualiti shalat malam, lakukanlah ia setelah bangun daripada tidur pada waktu malam.

Apabila kita bangun daripada tidur pada waktu malam untuk beribadah, ibadah yang dilakukan itu termasuk dalam kategori tahajjud, tetapi shalat tersebut tetap shalat witir kerana kita mengganjilkan jumlahnya. Dengan mengganjilkan jumlah rakaat shalat, ada ganjaran-ganjaran tertentu yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW.

Itu di antara amalan yang Nabi SAW lakukan.

Bersendirian atau berjamaah?

Shalat malam kadangkala dilakukan oleh Nabi secara berjamaah seperti hadis yang menunjukkan Nabi berjamaah bersama Ibn Abbas, tetapi kebiasaannya dan kebanyakannya Nabi melakukannya secara bersendirian. Aisyah RA menjadi saksi betapa Nabi shalat malam, sehingga Aisyah RA berkata, “Nabi Allah SAW melaksanakan shalat malam sehingga pecah kedua tapak kakinya.” (riwayat Al-Bukhari no. 4460 dan Muslim no. 2820)

Sehingga Aisyah bertanya kepada Nabi, “Kenapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah padahal Allah Ta’ala telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?” Baginda SAW bersabda, “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?” (riwayat Muslim no. 2820)

Bersyukurnya Nabi dengan shalat malam sehingga pecah tapak kaki. Bagaimana pula dengan kita?

3. Berdoa

Ketika kita bangun dan shalat malam, dianjurkan kepada kita untuk memilih waktu yang sesuai untuk berdoa. Antara waktu yang paling sesuai untuk berdoa di dalam shalat adalah sewaktu sujud dan sebelum memberi salam. Kata Nabi SAW di dalam hadis yang bermaksud “Keadaan paling dekat seorang hamba dari Tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (riwayat Muslim)

Penyakit masyarakat kita, mereka menunggu sujud yang terakhir sahaja untuk berdoa dan memperlama sujud. Sedangkan kita dianjurkan memperbanyakkan doa di dalam mana-mana sujud tidak dikhususkan pada sujud yang terakhir.

Tatacara berdoa

Doa boleh dilakukan dengan mengangkat tangan atau dengan tidak mengangkat tangan. Antara hadis-hadis yang menggambarkan cara Nabi SAW berdoa dengan mengangkat tangan ialah seperti yang digambarkan oleh Ibn ‘Abbas RA di mana Nabi SAW merapatkan kedua-dua belah tangannya dan mengangkat di antara paras muka dan dada. Itu salah satu cara Nabi mengangkat tangan ketika berdoa.

Banyak hadis yang menunjukkan keharusan kita mengangkat tangan ketika berdoa. Walaubagaimanapun ada masa-masa dan ketika Nabi berdoa dengan tidak mengangkat tangan, seperti doa ketika khutbah (baginda hanya mengangkat jari telunjuk tangan kanan ke atas) dan beberapa tempat yang lain. Bukan setiap waktu berdoa harus mengangkat dan menadah tangan, dan ianya juga tidak ditetapkan dan dikhususkan pada masa-masa tertentu untuk mesti mengangkat tangan, cuma di antara adab ketika meminta sesuatu daripada Allah adalah dengan mengangkat tangan. Adapun ketika Nabi berdoa meminta hujan atau keperluan mendesak dan di saat genting, Nabi mengangkat tangan lebih tinggi ke langit sehingga diriwayatkan nampak putihnya ketiak Nabi SAW.

Antara yang turut dianjurkan adalah menangis dan bersungguh-sungguh dalam berdoa, dan Nabi SAW kurang menyukai doa yang terlalu detil, sebaliknya baginda menyukai doa umum yang merangkumi hal yang diinginkan, tidak terlalu terperinci melainkan jika ada keperluan yang mendesak seperti dalam hadis riwayat Abu Dawud di mana baginda mengajar kita berdoa, mohonlah pada Allah walaupun untuk meminta garam dan kasut. Jadi sekiranya benda itu merupakan keperluan yang mendesak maka mohonlah kepada Allah SWT.

Nabi juga suka mengulangi doa yang sama sebanyak tiga kali. Maka inilah yang harus kita contohi dalam kita berdoa dan bershalat malam, khususnya apabila dekat dengan ujian. Seperti mana kita melihat para sahabat Nabi RA ketika berperang, mereka tetap meneruskan shalat; shalat khauf, membuktikan hubungan dengan Allah SWT sangat penting termasuklah di saat-saat genting.


Ditulis oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya