Datuk Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Abdul Jalil Datuk Abdul Rani |
Walaupun memegang gelaran Datuk Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Abdul Jalil Datuk Abdul Rani sangat mudah didekati.
Tidak lokek dengan senyuman, malah tutur bicaranya yang santun membuat penulis berasa senang walaupun baru lima minit bertemu dengan beliau.
Menjadi Orang Besar Daerah Hulu Langat, Abdul Jalil yang lebih mesra dipanggil Tok Ungku berkata, sejak dari kecil beliau menjadi saksi perkembangan di Kajang.
Katanya, dari pekan kecil, Kajang membangun menjadi sebuah bandar besar menempatkan pelbagai kemudahan dengan jumlah penduduk yang semakin padat.
Berkajang di Sungai Langat
Diminta berkongsi cerita mengenai asal usul Kajang, sambil tersenyum, Tok Ungku memberitahu mengikut versi bapanya.
Terdapat ramai pedagang luar yang datang ke Tanah Melayu melalui Sungai Langat sering kali berhenti di satu kawasan diperairan sungai itu. Menurut cerita bapa Tok Ungku, kebanyakan pedagang yang melalui laluan itu adalah orang Bugis.
“Pada zaman itu pada pedagang ini menggunakan sampan besar beratap, yang dipanggil Kajang, dan acap kali pedagang-pedagang ini berkata ‘ini tempat kita berkajang’, maksudnya macam berkhemahlah.
“Apabila sering kali kawasan itu menjadi tempat para pedagang ini berkajang maka lekatlah nama kawasan itu Kajang. Itulah cerita arwah bapa saya, tetapi ada juga versi cerita orang lain, itu saya tidak pasti,” katanya.
Arwah bapanya, Datuk Ungku Abdul Rani Datuk Shamsuddin juga merupakan bekas Orang Besar Daerah Hulu Langat dan baru meninggal dunia pada April lalu di usia 90 tahun.
“Arwah bapa saya, antara Orang Besar Daerah yang paling lama di Selangor, beliau memegang jawatan itu sejak 1955 hinggalah 2013. Banyak pengalaman dan cerita yang dikongsikan kepada saya, sebelum saya mengambil alih tugasnya secara rasmi pada tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, tugas menjadi Orang Besar Daerah ini sudah dipikul sejak tahun 2010 lagi apabila bapanya mulai uzur.
Tidak pernah keluar dari Selangor
“Sepanjang 64 tahun, di sinilah tempat saya membesar, sejak lahir saya tidak pernah keluar dari Selangor khususnya Kajang. Jika tanya saya bagaimana Kajang yang dulu dan sekarang, memang sangat berbeza,” katanya.
Menurut Tok Ungku, dari segi komposisi kaum, pada awalnya, Melayu paling ramai, diikuti Cina dan India.
Bagaimanapun, hasil pembangunan yang rancak membuatkan Kajang menjadi tumpuan orang ramai.
Katanya, dari hutan belukar menjadi sebuah pekan kecil, kini Kajang mempunyai kawasan pentadbiran seluas 78,761 hektar (787.61 kilometer persegi).
Mengikut rekod terkini, kapasiti penduduk Kajang telah menjangkau 311,785 orang, yang mana majoritinya masih dipegang kaum Melayu.
Katanya, susun atur masyarakat Kajang sama seperti di kawasan lain iaitu kaum Cina memonopoli kawasan bandar.
Bagaimanapun, hasil permodenan semasa, penempatan kawasan tidak lagi mengikut kaum malah semakin seimbang.
Bandar sate
Menurut Tok Ungku, sejak daripada dahulu lagi, Kajang sudah mendapat jolokan sebagai bandar sate.
“Ini antara tarikan utama di Kajang, tidak dinafikan orang sanggup datang dari jauh untuk menikmati sate Kajang,” katanya.
Sekali lagi membuka cerita, menurut Tok Ungku antara orang yang terawal memperkenalkan sate di Kajang adalah Haji Tasmin (Tasmin Sakiban).
“Sejarah sate ini bermula dari beliaulah sekitar 1930-an, beliau yang berasal dari Jawa datang ke sini menjaja sate dengan membawa kandar (kereta roda) dari kampung ke kampung.
“Keenakkan satenya menjadi bualan ramai sehingga jenama sate di Kajang kekal sehingga ke hari ini,” katanya.
Wakil Sultan di Hulu Langat
Gelaran Orang Besar Daerah, sedikit asing khususnya kepada belia hari ini, menurut Tok Ungku, ‘OBD’ masih berperanan dalam masyarakat hari ini sebagai wakil Sultan di sesebuah daerah itu.
“Sultan adalah ketua agama negeri, sebagai wakil kepada Sultan, peranan utama kami lebih kepada mengenai hal-hal agama, seperti memantau pembangunan masjid-masjid dan surau-surau di daerah ini.
“Selain itu, OBD juga mendengar rintihan rakyat setempat mengenai masalah atau keperluan semasa, kemudian perkara itu akan diajukan kepada pihak berwajib, jika masalah itu benar-benar tidak dapat diselesaikan baru dibawa kepengetahuan Sultan," katanya.
Penulis cuba mencuit peribadi Tok Ungku dengan bertanya, perlukah untuk buat temu janji dahulu untuk bertemu Tok Ungku?
Dalam ketawa kecil, Tok Ungku berkata: “Siapa-siapa sahaja boleh datang jumpa saya, mahu buat temu janji boleh, tiada pun tak apa. Kalau ada perkara penting diluar waktu pejabat, boleh datang terus ke rumah,” katanya.
Menurut Tok Ungku, Sultan sering kali berpesan, istana dengan rakyat mesti rapat sebagai wakil Sultan yang duduk dibawah perlu prihatin dengan rintihan rakyat.
Susulan tiada jurang yang besar diletakkan, rata-rata rakyat setempat amat menyenangi peribadi beliau.
Tidak campur politik
Ditanya dengan soalan mengenai pilihan raya kecil Dun Kajang, Tok Ungku dengan lembut memberitahu yang beliau tidak boleh mencampuri urusan politik di negeri itu.
“Kami orang istana tidak dibenar campur urusan politik, cukup sekadar ambil tahu dan kenali wakil-wakil rakyat di daerah ini. Menyentuh lebih lanjut tidak dibenarkan,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai seorang Ahli Majlis, beliau tetap mengikut perkembangan semasa di daerah Hulu Langat terutamanya Kajang.
“Tidak kira siapa yang menang, orang Kajang mahukan perkhidmatannya, beliau perlulah adil kepada semua bangsa. Mereka yang dipilih perlu bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan,” katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment