Naib juara Piala FA 2013, Johor Darul Takzim (JDT) berada dalam laluan terbaik untuk menempah slot ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Kedah pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Tiga gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-14; Hariss Harun (21') dan pemain gantian, Luciano Figueroa dalam masa tambahan separuh masa kedua.
Gol sagu hati skuad 'Helang Merah' disumbangkan oleh Billy Osman Mehmet pada minit ke-23.
Bagaimanapun, perlawanan berkenaan dicemari layangan tiga kad merah yang dikeluarkan pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar kepada kedua-dua pasukan.
Pemain JDT, Mohd Fazly Mazlan menjadi individu pertama menerima kad merah selepas melakukan kekasaran ke atas penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-71.
Nasib malang turut menimpa pasukan pelawat selepas dua pemain mereka; Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Syazwan Tajuddin diarah keluar padang selepas masing-masing menerima kad kuning kedua pada minit ke-75 dan 83.
Juara bertahan, Kelantan pula sekadar mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Selangor PKNS FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.
Kapten skuad 'The Red Warriors', Mohd Badhri Radzi membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan menerusi sepakan percuma yang menarik sebelum penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh menyamakan kedudukan untuk PKNS FC pada minit ke-20.
Tengku Hasbullah Raja Hassan kembali meletakkan Kelantan di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-42 sebelum Ahmad Shakir Ali menambah gol ketiga pada minit ke-75 namun pemain import dari Korea Selatan, Kim Dongchen mengurangkan defisit jaringan untuk PKNS FC, tujuh minit kemudian.
Pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.
Charles Chad Souza meletakkan skuad 'The Cops' di hadapan pada minit ke-13 sebelum penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti menyamakan kedudukan untuk skuad 'Tok Gajah' pada minit ke-77.
Dalam perlawanan ang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Felda United FC dan Sarawak terikat seri tanpa jaringan.
Perlawanan suku akhir kedua bakal berlangsung pada 18 Februari ini.
Sumber - BERNAMA
No comments:
Post a Comment