Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim |
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mempertahankan penamatan kontrak 22 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd sebagai hasil polisi Integrity Pact yang telah dilaksanakan bagi mematuhi urus tadbir korporat yang baik.
Jelas Abdul Khalid lagi, tindakan tersebut sekali gus dapat menjimatkan kos operasi PKNS sebanyak RM7 juta.
"Melalui saluran Integrity Pact, terdapat kakitangan PKNS memberi maklumat bahawa peluang kenaikan pangkat kakitangan tetap dalam PKNS terbantut apabila organisasi dan jabatan baharu diwujudkan yang diketuai orang luar dengan tangga gaji yang tinggi.
"Ini dibuat tanpa mengambil kira kepakaran dan pengalaman kakitangan yang sedia ada.
"Sehubungan itu, menerusi laporan kajian Pengurus Besar PKNS Azlan Alfiah, beliau telah mencadangkan PKNS melaksanakan penyusunan semula organisasi dengan serta merta.
"Antara cadangan itu termasuklah penamatan kontrak 22 kakitangan di mana berlaku pertindihan tanggungjawab dan tugas dengan kakitangan yang sedia ada dalam PKNS.
"Oleh itu prosedur penamatan kontrak itu mematuhi terma dan syarat mengikut perjanjian yang telah dibuat sebelum ini," katanya pada sidang media di pejabat Menteri Besar hari ini.
Selasa lalu PHSB memecat 22 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin.
Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.
Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada keputusan tersebut akan menjejaskan operasi PKNS, Abdul Khalid berkata, kakitangan tetap sedia ada berupaya memikul tanggungjawab ekoran daripada pengosongan jawatan itu.
Sehubungan itu, tambah Abdul Khalid selaras dengan polisi Integrity Pact, kerajaan Selangor memberi kepercayaan penuh Pengurus Besar, Azlan Alfiah untuk membuat perubahan yang berkaitan demi kebaikan PKNS dan anak-anak syarikat.
"Ini termasuklah kajian semula usahasama dan projek-projek, menyusun semula akaun PKNS dan melaksanakan strategi untuk meningkatkan keuntungan.
"Kami akan memantau perkembangan PKNS dengan teliti untuk memastikan sumber-sumber syarikat diuruskan secara profesional untuk memberi manfaat maksimumkan kepada rakyat Selangor selaras dengan agenda Hasil Negeri Untuk Rakyat," katanya.
Sumber - SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment