Ramona Zamzam |
Populariti segera yang dikecapi Ramona Zamzam usai tayangan terakhir drama bersiri Cinta Jannah yang telah mencapai rating penonton 4.2 dua minggu lalu tidak bermakna pelakon muda itu harus menghela nafas lega. Terbaharu, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 23, dilayangkan gosip liar menyatakan dia sering keluar masuk rumah seorang usahawan bergelar Datuk di pinggir ibu kota.
Lebih menjelikkan Ramona dituduh menjadi perempuan simpanan usahawan tersebut serta sering berkunjung ke banglo mewah itu bukan atas dasar perniagaan semata-mata.
Ikuti luahan hati pelakon cantik kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Kosmo!: Sebelum ini pernah keluar cerita yang kurang enak mengenai Ramona yang dikatakan bercuti ke Pulau Pinang bersama seorang lelaki bergelar Datuk menaiki pesawat peribadi, kali ini keluar lagi cerita mengaitkan anda dengan lelaki kaya yang lain pula. Apakah komen Ramona?
RAMONA: Ya, memang benar sebelum ini saya pernah dikaitkan dengan spekulasi tersebut tapi saya menegaskan bahawa saya bercuti bersama isteri seorang usahawan berpangkat Datuk dan ditemani adik serta ibu saya. Gosip kali ini sangat mengganggu emosi saya, seharian saya menangis apabila diberitahu mengenai cerita yang mengaibkan ini. Sesungguhnya, saya bersumpah cerita yang dikeluarkan itu tidak benar sama sekali!
Atas dasar apakah sampai Ramona sanggup bersumpah menafikan cerita itu?
Demi Allah saya tidak pernah mengunjungi mana-mana rumah Datuk dan saya mengaku saya seorang kaki lepak kalau saya tiada penggambaran. Ramai yang mengetahui perangai saya dan saya pun tak pandai propa (kelentong). Saya tidak kacau orang, kalau orang tidak suka saya itu bukan masalah saya tapi jangan sampai mengaibkan saya sebegini. Saya tidak tahu daripada mana cerita ini boleh timbul dan sepanjang karier saya ini tuduhan paling melampau pernah saya terima. Saya tahu saya tidak popular tapi kenapa perlu nak jatuhkan saya?
Saya tidak mengharapkan perhatian orang, kalau orang tidak perasan kehadiran saya dalam industri ini lebih bagus. Saya pun lagi selesa. Tak perlu untuk saya gila populariti.
Ramona juga dikatakan akan menjalankan bisnes dengan Datuk terbabit. Komen anda?
Memang betul saya merancang untuk memulakan perniagaan bersama kawan baik saya, Naomi Yap memandangkan saya juga lulusan Pengurusan Perniagaan. Tapi tiada seorang pun Datuk yang akan terbabit dengan urusan perniagaan saya melainkan kawan saya itu.
Mungkin ada tindakan Ramona berkunjung ke rumah individu lain berpangkat Datuk sehingga mengundang fitnah?
Saya akui saya selalu berkunjung ke rumah Naomi untuk mengambil atau menghantarnya pulang tapi baik keluarga saya atau keluarga dia masing-masing tiada berpangkat Datuk.
Selain Naomi, saya mempunyai seorang bapa saudara bergelar Datuk yang kediamannya terletak di Batu Caves, Selangor. Mungkin dia individu yang dimaksudkan cuma setiap kali saya berkunjung ke rumahnya saya akan datang bersama-sama keluarga saya. Kali terakhir ke rumahnya pun beberapa minggu lalu sempena rumah terbuka Aidilfitri.
Jadi, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini?
Saya tidak salahkan wartawan yang menulis kerana sudah pasti penulis juga mendapat informasi daripada individu di luar sana yang cemburu dan mahu melihat saya jatuh. Saya mahukan penjelasan dan bukti bahawa saya melakukan perbuatan itu bersama Datuk yang dimaksudkan.
Apakah tindakan Ramona selepas ini untuk membersihkan reputasi diri anda?
Saya seorang wanita yang akan berjuang untuk mempertahankan hak saya dan perbetulkan tohmahan negatif yang dilemparkan. Saya akan mencari siapa individu yang menyebarkan berita fitnah itu dan saya cabar untuk kemukakan bukti di depan mata saya. Jangan sampai saya bawa kes ini menjadi kes saman-menyaman. Saya tahu saya benar dan tiada seorang pun Datuk dalam hidup saya. Jangan cabar saya kerana saya boleh berdendam dengan orang.
Adakah Ramona akan lebih berhati-hati selepas ini?
Saya sangat takut sekarang kerana mungkin akan timbul spekulasi lanjutan apabila orang mendapat tahu saya akan bercuti di Eropah selama sebulan. Ingin saya tegaskan bahawa percutian ini bersama keluarga saya yang ramai menetap di sekitar Eropah dan atas titik peluh saya sendiri, tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Saya akan melawat Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Itali sepanjang tempoh itu.
No comments:
Post a Comment